Program realiti islami yang mencungkil bakat kanak-kanak dalam bidang pengucapan awam berjaya menjadi landasan dalam usaha membentuk anak-anak agar menjadi pemimpin di masa hadapan.
Rancangan realiti televisyen adik-adikku musim kedua yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama RTM ini berlangsung di Pusat Konensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung di TV1.
Melalui program tersebut, seramai 14 finalis dari rancangan adik-adikku musim yang pertama dan kedua akan menerima geran pendidikan berjumlah RM2,400 setahun sehingga ke tingkatan lima dengan syarat perlu konsisten dengan kriteria yang ditetapkan.
Skim yang diumumkan isteri Perdana Menteri ini turut menyediakan program khusus berbentuk kepimpinan akademik dan motivasi selain bantuan pelajaran bagi membolehkan pencapaian mereka dipantau secara lebih sistematik.
Seramai tujuh peserta daripada 16 peserta yang bertanding berjaya ke peringkat akhir bagi merebut gelaran juara adik-adikku musim kedua ini.
Juara program tersebut dimenangi oleh Muhammad Amirul Munir Azlin, 10 tahun yang menerima hadiah RM10,000. Tempat kedua pula dimenangi oleh Syafiqah Ahmad Safri, 11, yang menerima RM8,000. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Zaid Najmuddin Zul Akmal 12 yang menerima RM6000. Mereka turut menerima piala serta hadiah iringan.
Empat finalis lain pula menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala serta hadiah iringan.
PTS juga turut menjadi penganjur hadiah bagi menggalakkan rancangan adik-adikku yang membentuk keperibadian anak-anak agar menjadi insan berguna satu masa nanti.
Bayangkan, jika dalam hidup ini individu tidak perlu membuat sebarang keputusan, pasti semua perkara yang hendak dibuat akan menjadi terlalu senang dan berjalan dengan lancar dan masalah juga tidak akan timbul. Kepala juga tidak pening bagi memikirkan satu persatu risiko yang akan timbul daripada setiap apa yang bakal diputuskan. Hati menjadi tenang dan tenteram. Hidup sentiasa ceria dan gembira.
Tetapi kenyataannya, dalam kehidupan ini setiap individu kena membuat keputusan. Apabila difikirkan secara mendalam, kehidupan sehari-hari memerlukan kita membuat keputusan. Bermula daripada bangun tidur pada waktu pagi, seseorang individu sudah membuat keputusan untuk dirinya. Yang paling ringkasnya adalah membuat keputusan sama ada hendak terus mandi ataupun membasuh muka sahaja, kemudian berwuduk dan solat. Itulah kecantikan yang ada dalam kehidupan yang diaturkan oleh Allah SWT kepada makhlukNya. Meskipun dalam konteks makhluk dengan Penciptanya manusia ini adalah hambaNya, tetapi manusia masih diberikan kebebasan membuat keputusannya sendiri dalam perkara-perkara yang bersesuaian dengan kedudukannya.
Adakalanya individu tidak mahu memikirkan sama ada dia sudah melalui proses yang betul dalam membuat keputusan. Apa yang biasa dilakukan oleh individu sewaktu dalam proses untuk membuat sesuatu keputusan adalah membandingkan langkah-langkah yang sedang dipertimbangkannya dengan pengalamannya sendiri pada masa lalu ataupun pengalaman orang-orang lain yang berkaitan. Sama ada betul ataupun salah keputusannya itu nanti, biasanya tidak menjadi isu atau perkara yang besar, kerana individu biasanya mengetahui apa-apa keputusan yang diputuskan memang mempunyai risiko. Yang penting adalah bersedia menerima risiko yang timbul, berhadapan dengannya dan mengambil pengajaran daripadanya. Biasanya individu belajar daripada pengalaman diri sendiri mahupun orang lain.
Jenis-jenis Keputusan
Sebenarnya keputusan yang dibuat oleh seseorang dalam hidupnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu keputusan dengan kepastian, keputusan dengan risiko yang dijangkakan dan keputusan tanpa kepastian. Dalam kehidupan sehari-hari sama ada kita sedar ataupun tidak adakalanya kita membuat keputusan dengan pasti, dengan ragu-ragu ataupun dengan berserah kepada nasib. Antara lain, keputusan-keputusan yang kita buat boleh menjadi sebegitu rupa bergantung pada sedikit ataupun banyaknya maklumat-maklumat yang kita miliki berkenaan alternatif-alternatif yang ada bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Penerangan kepada setiap jenis keputusan yang ada adalah seperti berikut:
i. Keputusan dengan kepastian: Apa yang dimaksudkan adalah, keputusan ini mempunyai hasil ataupun akibat yang jelas, yang dapat diketahui dengan pasti oleh individu yang memutuskannya. Setiap alternatif yang dicadangkan dalam keputusan yang dibuat diketahui dengan jelas akan kesan-kesannya sama ada kesan yang positif mahupun kesan yang negatif.
Contoh keputusan jenis ini adalah seperti berikut:
Anda sedang memandu kenderaan keluar daripada Lebuh Raya Karak melalui Plaza Tol Gombak. Untuk ke Zoo Negara, anda perlu mengikut jalan susur keluar di sebelah kiri ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan terus memandu sejauh kira-kira 9 km lagi menghala ke Hulu Kelang. Untuk ke Kepong, anda perlu memandu terus melalui jalan susur keluar ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Anda perlu terus memandu menghala ke Kepong sejauh kira-kira 8 km lagi dan mengabaikan mana-mana jalan susur keluar di kiri lebuhraya, sehinggalah anda sampai di Kepong.
ii. Keputusan dengan risiko yang dijangkakan: Apa yang dimaksudkan adalah, keputusan ini mempunyai hasil ataupun akibat yang tidak dapat diketahui dengan pasti oleh individu yang memutuskannya. Individu hanya boleh mengagak atau membuat jangkaan sahaja berkenaan hasil atau akibat tindakannya itu. Setiap alternatif yang dicadangkan dalam keputusan yang sudah dibuat diketahui mempunyai risiko kebarangkalian mendatangkan kesan-kesan yang positif mahupun kesan-kesan yang negatif.
Contoh keputusan jenis ini adalah seperti berikut:
Berdasarkan kepada nilai CGPA yang anda peroleh di peringkat matrikulasi anda mempunyai dua pilihan sama ada memasuki Fakulti Kejuruteraan ataupun Fakulti Sains. Jika anda memasuki Fakulti Kejuruteraan, anda mempunyai 6 daripada 10 peluang bagi mendapat purata gred C ataupun purata gred yang lebih baik sedikit daripada itu sahaja pada tahun pertama pengajian anda. Jika anda memasuki Fakulti Sains, anda mempunyai 8 daripada 10 peluang untuk mendapat purata gred B ataupun purata gred yang lebih baik lagi pada tahun pertama pengajian anda.
iii. Keputusan tanpa kepastian: Apa yang dimaksudkan dengan keputusan
jenis ini adalah keputusan ini mempunyai hasil ataupun akibat yang tidak dapat diketahui langsung oleh individu yang memutuskannya. Setiap alternatif yang dicadangkan dalam keputusan yang sudah dibuat tidak diketahui langsung akan kesan-kesannya sama ada kesan yang positif mahupun kesan yang negatif.
Contoh keputusan jenis ini adalah seperti berikut:
Semasa anda memandu kereta memasuki sebuah pekan yang pertama kali anda laluinya dalam perjalanan anda di Perlis, kereta anda mengalami kerosakan. Anda tidak mengenali sesiapa pun di pekan itu yang dapat membantu anda menunjukkan di manakah atau bagaimanakah hendak mendapatkan mekanik kereta yang bagus yang dapat membaiki kereta anda. Anda hanya mempunyai buku panduan telefon Yellow Pages kawasan utara yang memang sedia ada dalam kereta anda. Anda sendiri tidak mempunyai maklumat langsung berkenaan mana-mana bengkel membaiki kereta yang disenaraikan dalam buku panduan itu dan tiada orang yang dapat membantu anda di pekan itu disebabkan kesukaran anda untuk berkomunikasi dalam bahasa mereka. Anda hanya mampu mengharapkan bengkel membaiki kereta yang anda hubungi adalah bengkel membaiki kereta yang bagus dan bersedia menghantar mekaniknya bagi membaiki kereta anda di pekan itu ataupun bersedia menarik kereta anda keluar daripada pekan dan membawanya ke bengkel untuk dibaiki.
Walaupun mungkin sukar mencari kajian-kajian ilmiah berkaitan jenis-jenis keputusan yang dibuat oleh individu, akan tetapi sekurang-kurangnya jenis-jenis keputusan yang sudah dinyatakan dapat diterima oleh akal fikiran. Barangkali mungkin kita sendiri pernah berada dalam ketiga-tiga situasi yang dinyatakan dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang ada pada diri kita ketika itu. Individu biasanya tersepit untuk membuat keputusan dengan segera dan tidak boleh ditangguhkan kerana masa yang tidak mengizinkan. Bukan betul ataupun salah yang diutamakan dalam membuat keputusan, sebaliknya adalah keberanian. Membuat keputusan sebenarnya memerlukan keberanian, dan yang paling penting adalah berani bertanggungjawab. Berani mengambil tanggungjawab terhadap keputusan yang sudah dibuat sentiasa membuatkan individu terus maju ke hadapan.
Strategi Membuat Keputusan
Strategi-strategi membuat keputusan yang akan dinyatakan di bawah sebenarnya bukanlah suatu perkara yang asing bagi kita. Pastinya mana-mana individu pernah membuat keputusan dalam hidupnya dan keputusan itu dibuat berdasarkan strategi yang sesuai dengan keadaan dan keperluan pada masa itu. Kadang-kadang individu membuat keputusan yang segera dan cepat. Kadang-kadang individu membuat keputusan selepas mengambil kira segala kesan positif dan negatif yang mungkin timbul daripada keputusannya itu. Kadang-kadang juga, individu membuat keputusan berdasarkan rasa hati atau gerak hati. Malah ada juga individu yang membuat keputusan berdasarkan kepada keputusan rakan baiknya.
Pendek kata, ada bermacam-macam strategi yang digunakan individu dalam membuat keputusan. Apa yang jelas, perbezaan strategi wujud antara individu dalam membuat sesuatu keputusan disebabkan berbezanya keupayaan dan kebolehan antara setiap individu bagi melaksanakan langkah-langkah yang sempurna yang dicadangkan dalam membuat sesuatu keputusan. Secara teorinya, strategi-strategi yang ada dalam membuat keputusan adalah seperti yang berikut:
i. Strategi Planful: Strategi membuat keputusan berdasarkan pendekatan rasional yang seimbang antara aspek kognitif dan emosi. Dalam strategi membuat keputusan jenis ini, kesemua tujuh langkah yang dicadangkan, iaitu 1) mengenal pasti tujuan keputusan itu dibuat, 2) mencari maklumat 3) mengenal pasti pilihan-pilihan penyelesaian masalah yang ada, 4) membuat pertimbangan yang adil dan saksama, 5) membuat keputusan tentang pilihan-pilihan yang ada, 6) mengambil tindakan, dan 7) mengkaji semula keputusan yang dibuat dan kesan-kesannya -dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut urutannya. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, “Saya seorang yang membuat perancangan dan teratur.”
ii. Strategi Agonizing: Strategi membuat keputusan yang terlalu banyak menumpukan kepada usaha mengumpulkan data dan menganalisis alternatif (langkah ke 2 hingga 4). Individu yang hendak membuat keputusan hilang punca dalam timbunan maklumat yang dicari dan dikumpulkannya dan tidak dapat membuat keputusannya (langkah ke 5). Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, “Saya tidak dapat membuat keputusan”.
iii. Strategi Impulsive: Strategi membuat keputusan yang hanya mengambil alternatif yang pertama yang ada di hadapannya tanpa betul-betul melihat kepada alternatif-alternatif lain ataupun tanpa melakukan usaha mengumpulkan maklumat-maklumat sebanyak mungkin terlebih dahulu. Individu yang menggunakan strategi jenis ini bergerak dengan sangat cepat ke langkah yang ke 6 dalam proses membuat keputusan. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, “Buat keputusan sekarang, fikirkan tentangnya kemudian.”
IV. Strategi Intuitive : Strategi membuat keputusan berdasarkan rasa hati ataupun gerak hati yang tidak dinyatakan dengan secara jelas. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, “Rasa-rasanya apa yang saya buat ini betul.”
v. Strategi Delaying: Strategi membuat keputusan dengan menangguhkan pemikiran dan tindakan terhadap sesuatu masalah yang timbul kepada masa itu ke suatu masa yang lain. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, “Saya akan fikirkan perkara tersebut esok.”
vi. Strategi Fatalistic: Strategi membuat keputusan yang menyerahkan keputusan yang dibuat kepada keadaan ataupun takdir. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, “Apa yang telah ditetapkan akan berlaku, tetap akan berlaku juga.”
vii. Strategi Compliant : Strategi membuat keputusan yang mengikut perancangan orang lain dan bukan perancangannya sendiri. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, “Kalau cara itu OK dengan anda, ia juga OK dengan diri saya.”
viii. Strategi Paralytic: Strategi membuat keputusan di mana individu yang terlibat menyedari akan tanggungjawabnya membuat keputusan yang diharapkan. Akan tetapi, dia berasa tidak terdaya melakukannya (membuat keputusan) disebabkan ada perkara-perkara lain yang perlu dipertimbangkan juga yang menyebabkannya berada dalam keadaan tidak yakin dan serba salah. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, “Saya tahu saya patut berbuat sesuatu tentang masalah itu, tetapi saya betul-betul tidak berdaya membuat keputusan saya” (Harris-Bowlsbey, Spivack dan Lisansky, 1983).
Dalam kehidupan sehari-hari rasanya kita memang pernah mempraktikkan kesemua lapan strategi membuat keputusan yang ada. Apa yang penting adalah, kita harus tahu menggunakan strategi membuat keputusan yang betul dengan situasi ataupun masalah yang hendak diselesaikan. Sebagai contoh, jika hendak menentukan makan malam sebaik pulang dari pejabat, strategi impulsive mungkin sesuai digunakan. Tidak perlu bersusah payah memikirkan apa menu yang hendak dibuat. Lebih senang kalau terus sahaja buka peti sejuk di rumah dan tengok bahan-bahan yang ada dan terus memasak. Waktu malam bukan suatu tempoh masa yang panjang. Yang paling penting pada waktu malam adalah untuk berehat selepas seharian bekerja.
Begitu juga dalam urusan memilih kawan. Kita biasanya akan menggunakan strategi intuitive yang mementingkan gerak hati dan perasaan kita. Jika kita rasa serasi berkawan dengan seseorang, kita akan membuat keputusan berkawan dengannya dan biasanya kita tidak akan meneliti latar belakang rakan kita ataupun membuat penyiasatan yang mendalam berkenaan siapakah dirinya yang sebenar. Memadai untuk kita mengikut rasa hati sendiri dan menilai sama ada perasaan kita terganggu ataupun tidak apabila berada bersama-samanya ataupun apabila tidak berada bersama-samanya. Dalam berkawan memang aspek ini yang biasanya diberikan pertimbangan yang lebih banyak berbanding aspek-aspek yang lain.
Walau bagaimanapun, dalam urusan membuat keputusan berkaitan sesuatu perkara yang penting dalam kehidupan seperti membeli rumah kediaman sendiri buat pertama kali dan juga menentukan apakah kerjaya masa depan yang hendak diceburi, strategi membuat keputusan yang paling berkesan adalah strategi planful. Keputusan berhubung dengan kedua-dua urusan ini perlu dijalankan dengan teliti dan terperinci supaya apa jua hasilnya nanti adalah sesuatu yang baik ataupun sekurang-kurangnya tidaklah sesuatu yang akan mengecewakan. Strategi planful adalah strategi yang terbaik kerana ia adalah pendekatan yang rasional yang seimbang antara aspek kognitif dan emosi. Dalam strategi membuat keputusan jenis ini, kesemua tujuh langkah yang dicadangkan dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut urutannya.
Bagi lebih memudahkan pembaca melihat keberkesanan kesemua strategi membuat keputusan yang ada, penulis kemukakan di sini satu 'kontinum efektif' strategi-strategi membuat keputusan yang sudah dibentangkan di atas. 'Kontinum efektif' strategi-strategi membuat keputusan ini mempunyai dua hujung, iaitu Tidak Efektif dan Efektif. Strategi-strategi membuat keputusan akan berada sama ada di tengah, berdekatan ataupun berjauhan dari kedua-dua hujung garis kontinum itu.
Tidak Efektif ------------------------------------------------------------------------------ Efektif
Paralytic Planful
Delaying Intuitive
Fatalistic Agonizing Impulsive
Compliant
Proses Membuat Keputusan Yang Sempurna
Membuat keputusan sebenarnya adalah suatu proses. Meskipun adakalanya ia kelihatan seperti berlaku secara spontan, tetapi sebenarnya ia mengandungi komponen-komponen yang tertentu. Dalam proses membuat keputusan ada tujuh langkah yang biasanya dilalui iaitu, mengenal pasti keputusan yang hendak dibuat, mendapatkan maklumat, mengenal pasti alternatif, membuat pertimbangan, membuat pilihan antara alternatif, mengambil tindakan dan mengkaji semula keputusan dan akibatnya. Hubung kait antara setiap langkah dalam membuat keputusan adalah seperti yang ditunjukkan pada carta di bawah.
Carta Aliran Proses Membuat Keputusan
Sumber: Harris-Bowlsbey, Spivack dan Lisansky, (1983).
Apa yang ditunjukkan pada carta di atas adalah langkah-langkah yang sempurna bagi membuat sesuatu keputusan. Ia bermula dengan individu mengenal pasti tujuan keputusan itu dibuat, mencari maklumat, mengenal pasti pilihan-pilihan penyelesaian masalah yang ada, membuat pertimbangan yang adil dan saksama, membuat keputusan berkaitan pilihan-pilihan yang ada, mengambil tindakan dan mengkaji semula keputusan yang dibuat dan kesan-kesannya. Jelas sekali, membuat keputusan adalah suatu proses yang mempunyai urutannya. Jika seseorang individu meninggalkan mana-mana satu, dua ataupun beberapa langkah yang ada, sudah pasti keputusan yang dibuat akan pincang dan tidak sempurna.
Dengan menggunakan pendekatan yang dikemukakan di atas, proses membuat keputusan berkaitan pilihan pendidikan dan kerjaya bermula dengan individu perlu terlebih dahulu mengenal pasti apakah keputusan yang hendak dibuatnya. Contohnya, mungkin seorang pelajar yang dinamakan sebagai C, mengenal pasti bahawa dia ingin menyambung pelajaran setelah menerima keputusan peperiksaan SPM yang memuaskan. Selepas mengenal pasti perkara itu, barulah C boleh beralih kepada fasa yang kedua, iaitu mendapatkan maklumat tentang bidang-bidang pendidikan yang ditawarkan di universiti dalam dan luar Negara. Begitu juga dengan kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta.
Selepas mendapat maklumat yang berkaitan, bermulalah proses mengenal pasti apakah bidang pendidikan yang benar-benar sesuai dengan kelulusan yang dimiliki oleh C. Daripada sekian banyak kursus-kursus yang ditawarkan, mungkin hanya ada beberapa kursus sahaja yang diminati oleh C dan sesuai dengan kelulusan akademiknya. C perlu menyenaraikan kesemua kursus itu bagi memudahkannya membuat pemilihan. Proses membuat pilihan ini melibatkan proses membuat analisis dan pertimbangan yang menyeluruh ke atas kesesuaian diri C dengan kursus yang ada.
Selepas semua aspek yang penting (seperti kelayakan akademik yang dimiliki sesuai dengan kursus yang dipilih, bantuan kewangan yang disediakan, lokasi institusi, dan lain-lain) diambil kira, barulah C mampu menetapkan hanya tiga pilihan pendidikan sahaja yang utama, kedua utama dan ketiga utama.
Jika C masih gagal membuat keputusan tentang tiga pilihan pendidikannya, dia perlu berpatah balik semula kepada proses bagi mendapatkan maklumat, mengenal pasti alternatif dan membuat pertimbangan. Mungkin ada maklumat penting berkaitan kursus pendidikan yang tidak dapat diperoleh oleh C yang menyebabkannya gagal membuat keputusan. Dengan mengulangi semula proses membuat keputusan yang dinyatakan C akan mendapat lebih lagi maklumat yang membolehkannya membuat keputusan dengan yakin.
Anda perlu berkunjung ke Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berhampiran dengan anda bagi mendapatkan maklumat bagi masa depan anak anda. Sebagai permulaan, anda perlu mendaftarkan anak anda dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tujuan pendaftaran adalah membantu jabatan mengumpul data dan statistik.
Anda perlu dapatkan Borang Pemeriksaan Doktor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sekiranya anda ingin membuat pemeriksaan bagi anak istimewa yang sudah dewasa, borang tambahan akan diberikan.
Anda juga perlu berkunjung ke Jabatan Pelajaran Negeri yang berhampiran dan dapatkan Borang Pendaftaran dan Cadangan Penempatan Kanak-kanak Keperluan Khas (0 hingga 18 tahun). Tujuannya adalah mendaftarkan anak anda ke sekolah kerajaan dan menempatkannya di sekolah atau program yang sesuai untuknya. Borang itu boleh juga didapati di sekolah-sekolah yang mempunyai program pendidikan khas ataupun di sekolah pendidikan khas yang berhampiran.
Anda hendaklah berkunjung ke hospital dan membawa anak anda bagi membuat pemeriksaan bersama:
-Borang Pemeriksaan Doktor
-Borang Pendaftaran dan Cadangan Penempatan Kanak-kanak Keperluan Khas
PENDAFTARAN DI JABATAN PELAJARAN
Selepas pakar perubatan mengesahkan anak anda termasuk dalam golongan istimewa, anda perlu membawa Borang Pendaftaran dan Cadangan Penempatan Kanak-Kanak Keperluan Khas ke Jabatan Pelajaran Negeri yang berhampiran.
Jabatan Pelajaran negeri akan:
-Mengambil maklumat tentang pendaftaran anak anda bagi tujuan penempatan persekolahannya.
-Dapatkan surat penempatan ke sekolah atau program yang berhampiran dengan tempat tinggal anda.
-Sekiranya anak anda didaftarkan sebelum berumur 5 tahun, tuan atau puan akan dihubungi oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri bagi cadangan penempatan semasa anak anda berumur 5 tahun.
Sekiranya tidak dihubungi selepas anak anda berumur 5 tahun, sila berhubung dengan Unit Pendidikan Khas di Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.
Dapatkan juga maklumat bagi kemasukan ke program prasekolah pendidikan khas untuk anak anda yang berusia 4+ hingga 6 tahun sebelum ke program di sekolah rendah.
PENDAFTARAN DI JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT
Anda perlu membawa anak anda ke JKM bersama:
-Borang Pemeriksaan Doktor dan salinan fotostatnya yang sudah lengkap diisi oleh pakar perubatan.
-2 salinan fotostat Kad Pengenalan atau Sijil Kelahiran bagi yang belum mempunyai Kad Pengenalan.
-3 keping gambar anak anda berukuran saiz kad pengenalan.
Sekiranya anda tidak menerima kad itu dalam tempoh 3 bulan dari tarikh mendaftar di JKM, sila hubungi mereka bagi mendapatkan maklumat. Anak anda akan diberikan Kad Kenal Diri yang merupakan tanda pengenalan yang dikeluarkan kepada OKU (Orang Kurang Upaya) yang berdaftar bagi memudahkan mereka berurusan dengan pihak-pihak yang tertentu.
Terdapat lima jenis kategori Kad Kenal Diri yang terdiri daripada:
1.Masalah Pendengaran
2.Masalah Penglihatan
3.Masalah Anggota
4.Masalah Akal
5.Masalah Pembelajaran
KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN OLEH KERAJAAN
Selepas anda mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, anak berhak menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Antara kemudahan yang disediakan adalah:
1.Pengecualian Bayaran Rawatan Perubatan
OKU dikecualikan daripada bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan.
2.Kemudahan Pelepasan atau Pengecualian Cukai
Pelepasan atau pengecualian cukai bagi ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya di bawah umur 18 tahun.
Potongan cukai kepada pembayar cukai yang membeli peralatan khas bagi kegunaan diri, anak ataupun ibu bapa kurang upaya.
Potongan cukai kepada majikan-majikan yang mengambil atau menawarkan pekerja kurang upaya.
Pelepasan tambahan untuk OKU sendiri dan isteri ataupun suaminya.
3.Kemudahan Alat Ganti atau Alatan Sokongan Tiruan
Kerajaan memberi pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan yang direka khas untuk kegunaan OKU.
4.Kemudahan Peluang Pekerjaan
Komitmen kerajaan bagi membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988, iaitu 1 peratus peluang pekerjaan di sektor awam diperuntukkan kepada golongan kurang upaya. Jabatan Tenaga Kerja menyediakan perkhidmatan pendaftaran peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya yang berminat mahu bekerja di sektor swasta.
5.Kemudahan Membeli Kenderaan Nasional
Pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus ke atas pembelian kereta ataupun motosikal nasional bagi OKU yang boleh memandu. Setiap permohonan boleh dimajukan terus kepada Kementerian Kewangan dengan disertakan salinan dokumen berikut:
a.Kad Pengenalan Diri OKU
b.Kad Pengenalan
c.Lesen Memandu yang sah
d.Maklumat Kenderaan seperti model, nombor, enjin nombor Chasis dan lain-lain.
6.Kemudahan Telekom
Syarikat Telekom Malaysia menyediakan insentif atau kemudahan kepada golongan OKU seperti berikut:
a.Pengecualian Bayaran Sewa Bulanan.
b.Panggilan 103 (operator) dikecualikan caj.
c.Menyediakan panggilan menunggu atau panggilan pindahan.
7.Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan
Jabatan Imigresen mengecualikan bayaran kos ke atas perkhidmatan menyediakan dan memproses dokumen perjalanan (Pasport Antarabangsa) kepada golongan kurang upaya.
8.Kemudahan Pendidikan
Kementerian Pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Khas menyediakan sekolah khas, sekolah vokasional, program khas dan kelas inklusif kepada anak-anak istimewa. Kerajaan juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar istimewa yang mengikuti latihan kemahiran di institusi-institusi pengajian di bawah kelolaan kementerian pendidikan. Pelajar turut diberi elaun sebanyak RM300.00 sebulan.
9.Kemudahan Aktiviti Harian
Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menggalakkan berbagai kemudahan bagi membolehkan orang kurang upaya bergerak bebas. Salah satu daripada pencapaiannya adalah penubuhan Jawatankuasa Teknikal yang Urusetianya ialah SIRIM telah merangka ‘Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya ke Bangunan Awam’ yang menghasilkan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 berkaitan dengan kehendak-kehendak bangunan untuk orang kurang upaya yang mewajibkan bangunan baru mempunyai akses kepada orang kurang upaya.
10.Kemudahan Pengangkutan Awam
Syarikat pengangkutan digalakkan memberi tambang konsisi kepada orang kurang upaya. Sistem Penerbangan Malaysia memberi tambang murah 50 peratus bagi penerbangan dalam negeri. Keretapi Tanah Melayu memberi tambang konsesi 50 peratus bagi semua perjalanan untuk semua kelas. Syarikat bas yang besar memberi konsesi 50 peratus daripada harga tambang dan PUTRA-LRT juga memberi konsesi tambang kepada golongan ini.
11.Kemudahan Perumahan
Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) juga menyediakan kemudahan kepada orang kurang upaya bagi menyewa rumah kos rendah atau rumah pangsa dengan memberi pengurangan kadar sewa kepada orang kurang upaya.
12.Pencen Terbitan
Pencen terbitan ialah pencen yang berhak diperoleh oleh anak anda selepas anda meninggal dunia sekiranya anda berkhidmat dengan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen). Anda dikehendaki menyediakan tiga pucuk surat iaitu:
a.Surat daripada pakar perubatan.
b.Surat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
c.Surat daripada pihak sekolah tempat anak anda belajar.
d.Surat pengesahan majikan anda.
Anda perlu menulis sepucuk surat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan kembarkan keempat-empat surat di atas berserta dengan salinan kad pengenalan anak anda dan salinan kad kebajikan. Surat anda bolehlah dikemukakan kepada:
Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Blok C 1-2, Parcel C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya
BANTUAN YANG DISEDIAKAN OLEH JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT
Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyediakan beberapa bantuan kepada insan istimewa:
a.Elaun pekerja cacat
Skim ini diberikan sebagai insentif untuk menggalakkan OKU terus bekerja tanpa bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain di samping menampung kehidupan mereka. Bagi melayakkan anda menerima bantuan ini, anda dikehendaki:
a.mengalami kecacatan yang disahkan oleh pakar perubatan.
b.Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
c.Berusia antara 18 hingga 55 tahun
d.Mempunyai pekerjaan
e.Mempunyai pendapatan kurang daripada RM 700.00.
b.Bantuan Alat Tiruan atau Otortik atau Ortopedik
Bantuan ini bertujuan membantu OKU membeli peralatan tiruan dan peralatan sokongan atau dikenali assistive devices seperti kerusi roda, kaliper, anggota tiruan dan lain-lain peralatan khas yang tidak mampu dibeli. Tujuan bantuan ini adalah membantu insan istimewa supaya lebih produktif dan boleh hidup berdikari. Dengan adanya alat ini, mereka dapat bergerak dengan lebih pantas dan boleh menjalankan tugas harian dengan lebih cekap.
Mereka juga boleh mendapat faedah dengan menerima pelajaran, latihan vokasional dan mencari nafkah tanpa bergantung kepada orang lain. Alat-alat tiruan yang diberikan ini termasuk kaki palsu, kerusi roda, tongkat dan sebagainya.
c.Perkhidmatan Penempatan
Perkhidmatan penempatan terdapat di setiap negeri bagi membantu orang-orang yang terlatih mendapatkan pekerjaan sama ada di pasaran terbuka ataupun di bengkel terlindung bagi mereka yang tidak berkemampuan bertanding di pasaran terbuka. Antara contoh bengkel terlindung ialah Bengkel Daya Klang, Bengkel Daya Sg. Petani dan bengkel-bengkel yang diuruskan oleh pertubuhan sukarela. Dapatkan maklumat daripada JKM.
d.Geran Pelancaran
Geran ini bertujuan membantu OKU yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tetapi tidak cukup ataupun tidak mempunyai modal daripada kewangan dan peralatan bagi menjalankan projek jaya diri atau perniagaan kecil atau pertanian. Skim bantuan ini melatih golongan istimewa bekerja sendiri bagi memudahkan mereka membelikan alatan yang diperlukan bagi membolehkan mereka hidup berdikari. Kadar bantuan minimum yang diberikan adalah sebanyak RM 500 dan maksimum RM 2,000.00.
e.Organisasi Penjualan
Sebagai galakan pada perkhidmatan yang dilakukan oleh golongan istimewa, adalah dengan cara membantu mereka sama ada yang bekerja di rumah atau di pusat. Kaedahnya ialah dengan cara membeli dan mendapatkan bahan mentah bagi mereka yang bekerja di rumah dan juga memasarkan barangan yang telah siap. Program ini khas dilancarkan bagi golongan istimewa yang tidak mampu bertanding di pasaran terbuka kerana kurang kemahiran, pergerakan terhad dan sebagainya.
f.Latihan Kemahiran Vokasional
Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi –Kursus peringkat persijilan dan mendapat pengiktirafan MLVK ini ditawarkan kepada OKU yang berumur 18 hingga 40 tahun berkelulusan sekurang-kurangnya PMR atau setaraf dengannya dan boleh berdikari. Kursus yang ditawarkan seperti komputer dan kesetiausahaan, jahitan dan rekaan fesyen, unit membuat alat tiruan, penyenggaraan komputer, pendawaian letrik, elektronik, bengkel roti dan kek, fotografi dan kelas memandu.
g.Kemasukan ke Institusi Pemulihan (Taman Sinar Harapan)
Latihan pemulihan diberikan kepada individu OKU kategori terencat akal sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Pusat itu juga memberi perlindungan dan jagaan kepada OKU yang mengalami kecacatan yang teruk. Aktiviti yang dijalankan seperti latihan pemulihan kehidupan harian, latihan pra-vokasional, kelas akademik tidak formal, pendidikan agama atau moral, sukan dan rekreasi dan aktiviti luar.
h.Pemulihan dalam Komuniti (PDK)
PDK adalah satu strategi dalam pembangunan komuniti untuk golongan OKU menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat sendiri. PDK memberi peluang kepada OKU untuk menjalani pemulihan, mengecapi peluang yang sama rata dan berinteraksi dengan masyarakat. Aktiviti yang dijalankan adalah kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, perkembangan bahasa dan sosial, pengurusan diri, pra 3M, kreativiti, sukan dan rekreasi
PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN OLEH KEMENTERIAN KESIHATAN
Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan untuk anak-anak istimewa seperti berikut:
-Penilaian awal (Multidiscipline team)
-Pemulihan Cara kerja
-Pemulihan Anggota (Fisioterapi)
-Pemulihan Pertuturan
-Pemulihan Pendengaran
-Rawatan Susulan
-Penilaian Pemakanan (Dietition)
-Rawatan Psikologi ( kanak-kanak ataupun remaja)
PEKHIDMATAN YANG DITAWARKAN OLEH JABATAN TENAGA KERJA
Perkhidmatan berikut ditawarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja untuk golongan istimewa:
-Melaksanakan program promosi atau penggalakan penggajian Orang Kurang Upaya di Sektor Swasta
-Membantu mendapatkan pekerjaan di sektor swasta
-Menguatkuasakan Akta Kerja 1955 iaitu menerima aduan dan menyelesaikan aduan berkaitan pekerjaan
BADAN BUKAN KERAJAAN atau NGO
Badan Bukan Kerajaan atau NGO adalah badan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dengan badan kebajikan di seluruh Malaysia. Anak anda digalakkan mendaftarkan diri sebagai ahli badan bukan kerajaan dan mengikuti aktiviti yang dijalankan oleh mereka. Mereka boleh bergaul dengan anak-anak yang lain dan anda boleh mengambil kesempatan ini supaya beramah mesra dengan ibu bapa yang mengalami masalah yang sama. Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh NGO adalah:
-Menyediakan Pusat Harian dan Pusat Latihan
-Pemulihan dalam komuniti
-Program Intervensi Awal
-Mult disiplin aktiviti di komuniti
-Pendidikan atau latihan untuk berdikari
-Bimbingan dan sokongan melalui Laman Web
-Kumpulan sokongan atau Kumpulan Ibu bapa
-Bahasa Isyarat
-Pengajaran Braille
-Kaunseling
-Kelab Sosial
-Pusat Sumber
-Rujukan
Memandangkan keadaan kehidupan sekarang yang semakin banyak tekanan, dijangkakan statistik pesakit-pesakit jenis ini akan bertambah. Malahan dijangkakan permintaan bagi rawatan akan menjadi lebih tinggi daripada apa yang dapat disediakan. Oleh itu, latihan bagi melahirkan lebih ramai ahli profesional dalam bidang rawatan ini perlu dipertingkatkan dan kesedaran serta pendedahan bagi mereka yang dapat membantu seperti ahli keluarga pesakit amat penting.
Menurut Rosenhan dan Seligman (1995) pula, terdapat enam petanda seseorang itu mempunyai tingkah laku tidak normal. Petanda itu adalah:
1) Distres (nak guna distres, distress atau kesusahan?)
Individu berkenaan mengalami distres peribadi atau kebimbangan (anxiety) yang keterlaluan. Contohnya, semua orang akan berasa risau apabila menghadapi peperiksaan. Tetapi bagi mereka yang distres, mungkin mereka tidak dapat langsung menjawab ataupun tidak dapat menghadiri peperiksaan itu.
2) Salah adaptasi
Tingkah laku yang gagal mengadaptasi kepada kehendak-kehendak atau keperluan-keperluan normal kehidupan.
3) Tidak rasional
Tingkah laku atau percakapan yang tidak rasional dan tidak difahami oleh orang lain. Contohnya seseorang yang bercakap-cakap dengan ibunya yang sudah meninggal dunia, kerana dia terdengar-dengar suaranya.
4) Sukar diramal
Tingkah laku yang sukar diramal, seolah-olah individu berkenaan sedang berada dalam keadaan di luar kawalannya. Contohnya, seorang kanak-kanak yang tiba-tiba menghempaskan permainannya tanpa sebab.
5) Di luar kebiasaan (unconventional) dan jarang terdapat ( rarity)
Tingkah laku seseorang yang terkeluar dari norma-norma masyarakatnya dan tidak diterima daripada sudut nilai-nilai moralnya. Tingkah laku berkenaan juga dianggap sebagai sesuatu yang tidak dikehendaki.
6) Ketidakselesaan Pemerhati (Observer discomfort)
Ada juga tingkah laku yang membuatkan orang-orang di sekelilingnya berasa tidak selamat atau distres. Sesuatu tingkah laku dikategorikan sebagai tidak normal apabila tingkah laku berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya dua petanda yang disenaraikan di atas. Walau bagaimanapun, dapat disimpulkan bahawa sesuatu diagnosis psikologikal ialah satu label deskriptif yang mengenal pasti dan menerangkan kecelaruan mental berdasarkan maklumat yang dikumpulkan melalui proses pemerhatian, ujian dan analisis. (P. G. Zimbardo dan A.L.Weber 1997)
Hari ini terdapat banyak definisi umum yang digunakan oleh pakar psikologi dan orang ramai berkenaan perilaku luar biasa seperti pendapat Bootzin dan Acocella,1984; Carson,butcher dan Coleman 1988; Sarason 1984; Weckcwicz 1984. Pendapat-pendapat itu tidak semestinya sekata dan eksklusif.
Timbalan Menterinya, Datuk Hon Choon Kim, berkata kesediaan itu selaras prinsip kementerian berkenaan yang terbuka terhadap apa juga cadangan bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar.
Beliau juga mengalu-alukan cadangan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung penggunaan bahasa antarabangsa itu oleh pengetua dan guru besar di negeri berkenaan pada majlis perhimpunan pagi.
Bagaimanapun, katanya, cadangan terbabit perlu dikaji dan diperhalusi terlebih dulu bagi memastikannya praktikal dan boleh digunakan di semua sekolah.
"Kementerian akan kaji cadangan itu dari semua aspek dan jika kajian mendapati ia sesuai serta praktikal, apa salahnya diperluaskan ke seluruh negara.
"Kajian kesesuaian itu perlu dibuat mengikut sekolah kerana mungkin bukan semua pihak selesa bila berbahasa Inggeris. Jadi, ia memerlukan penelitian dari segenap aspek," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan menulis esei bahasa Inggeris peringkat negeri ini anjuran Rotary Seremban di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Mohd Said, di sini semalam.
Mengenai penggunaan bahasa Inggeris pada perhimpunan pagi di Perlis, Hon berkata, pengetua dan guru besar boleh membuat keputusan sendiri kerana kementerian berkenaan tidak membuat sebarang ketetapan berhubung perkara itu.
"Sekolah masih di bawah Kementerian Pelajaran dan belum ada arahan berhubung perkara itu. Jadi, terserah kepada pengetua dan guru besar jika mahu menggunakan bahasa Inggeris pada perhimpunan pagi di sekolah," katanya.
Beliau mengulas langkah Kerajaan Perlis mewajibkan pengetua dan guru besar sekolah di negeri itu berucap dalam bahasa Inggeris pada perhimpunan pagi di sekolah masing-masing.
Arahan itu bagaimanapun mendapat bantahan sebahagian besar pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan cadangan berkenaan sebagai keterlaluan kerana tidak menghormati martabat bahasa kebangsaan.
Selain itu, NGO terbabit berpendapat dasar pendidikan sudah membekalkan pelbagai kaedah untuk pelajar sekolah menguasai bahasa antarabangsa berkenaan dengan baik.
Pada pertandingan berkenaan, Andrian Teh 16, dari SMK King George V muncul johan kategori menengah atas sekolah bandar, manakala pelajar SMK Rantau, GR Kamini, 17, johan luar bandar.
Kategori menengah rendah sekolah bandar pula diungguli pelajar SMK Bukit Mewah, Timothy Kwan Joon Ming, 14, manakala luar bandar oleh Alvin Yee, 14, dari SMK Seri Pagi.
Tingkatan 6 Rendah Sains, 1972
Pada pertengahan Jun, saya kembali semula ke Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan untuk menyambung pelajaran ke kelas tingkatan 6 Rendah Sains. Kehadiran kali kedua tidak menimbulkan banyak masalah. Rasa sunyi dan rendah diri seperti semasa tingkatan empat dulu sudah tidak ada lagi. Tambahan pula kehadiran saya kali ini membawa bersama senjata canggih iaitu JEJAK MAL. Pelajar lelaki tingkatan 6 rendah ditempatkan dalam satu dorm khas di asrama. Seronok juga tidak bercampur dengan pelajar lain.
Kelas tingkatan 6 Rendah Sains dihuni oleh seramai 26 orang pelajar. Lebih separuh daripadanya adalah rakan-rakan saya semasa di tingkatan lima dahulu. Yang lain-lain diimport dari negeri Kelantan dan Terengganu. Kelas kami diserikan dengan sekuntum bunga, Faezah namanya. Dialah penyeri kelas ini. Faezah sangat baik dan pandai menjaga diri. Kami semua menghormatinya. Antara kawan-kawan saya yang lain ialah Prof. Jam, Alwi, Mat Karim, Aris, Musana, Mus, Suhaimi, Robil, Ismail Bidin, Ismail Husain, Razak, Rahim dan Kamarudin.
Saya terkejut besar apabila tiba-tiba cikgu Sudarjho masuk ke kelas. Beliau memperkenalkan diri sebagai guru kelas dan guru Matematik kelas kami. Saya dan Suhaimi saling berpandangan. Tahun lepas saya, Suhaimi dan dua orang lagi telah pergi berjumpa Pengetua mengadu mengenai cikgu inilah. Saya terus teringat kepada Ilmu Pelayaran yang beliau ajar. Habis kami semua sesat dalam pelayaran. Nasib baik ada seorang pelayar yang handal bernama Kamariah WA, berjaya memandu kami hingga sampai ke pangkalan.
Kali ini kami tidak protes lagi sebaliknya akan cuba mengikuti terlebih dahulu pengajarannya. Sungguh menghairankan, kali ini pengajarannya dapat saya fahami. Mungkin juga ini adalah kesan awal JEJAK MAL yang saya praktikkan sekarang ini. Satu lagi kemungkinannya ialah cikgu Sudarjho ini memang berpengalaman mengajar Matematik tahap pra universiti. Kebanyakan rakan-rakan lain terkial-kial untuk memahaminya. Apa tidaknya, asas Matematik mereka lemah. Dalam kelas ini Prof. Jam sahaja yang mendapat A2 dalam Matematik Tambahan. Azmi dari SMT Kuantan mendapat C4, manakala tiga orang pelajar yang lain termasuk saya mendapat C6. Yang lain-lain mendapat P7, P8 dan F9. Walaupun saya mendapat C6 bagi Matematik Tambahan, tetapi saya sudah pun membaiki semua kelemahan asas yang saya alami selama ini.
Hasil pertama JEJAK MAL
Selepas belajar hampir sebulan, cikgu Sudarjho mengada-kan ujian bulanan. Ujian ini meliputi tajuk Geometri Koordinat Lanjutan dan Kebarangkalian. Beberapa hari selepas itu, cikgu Sudarjho membawa bersama-samanya kertas jawapan Matematik untuk dipulangkan kepada kami semua. Bukan main berdebar lagi dada masing-masing. Tiba-tiba cikgu Sudarjho menyebut nama saya. Saya terus ke hadapan. Cikgu Sudarjho berkata, “Tahniah, saudara mendapat markah paling tinggi, lihat ini 75 peratus.”
Saya bukan main seronok lagi, rasa seperti mahu me-lompat. Memang sah pelaksanaan JEJAK MAL sudah menampakkan hasil yang pertama. Dalam ujian itu hanya tiga orang sahaja yang lulus. Prof. Jam mendapat 50 peratus dan Azmi mendapat 40 peratus. Prof. Jam macam tidak percaya saya berjaya mengatasinya kali ini dengan markah sebanyak 75 peratus. Dia beria-ia benar menyemak jawapan saya, dia mengira markah setiap soalan, takut kalau-kalau cikgu tersilap campur markah. Akhirnya dia senyap. Sebenarnya Prof. Jam tidak tahu saya sudah bersedia sejak awal April lagi.
Sejak itu, persaingan antara kami semakin sengit. Saya bukan setakat hendak bersaing dengan dia sahaja, malah mahu mendapatkan prinsipal A dalam mata pelajaran Matematik. Saya tidak pernah menceritakan kepada sesiapa pun mengenai projek JEJAK MAL yang sudah pun saya mulakan itu. Saya terus mengikuti sepenuhnya pengajaran guru di dalam kelas serta membuat latihan yang disuruh berserta latihan tambahan yang saya rancang sendiri. Selain itu, saya belajar dahulu tajuk-tajuk baru yang bakal dipelajari sebagai persediaan proaktif. Rakan-rakan lain masih ‘berhoneymoon’. Namun, saya sudah pun menetapkan jadual belajar sejak awal-awal lagi. Masa ulang kaji dan membuat latihan Matematik perlu dilakukan sekurang-kurangnya satu jam sehari.
Cari helah, cari kawan
Saya terus berbaik-baik dengan Prof Jam supaya mudah berbincang jika ada yang saya tidak faham. Ada seorang lagi pelajar yang handal Matematik, tetapi berada di dalam kelas 6 Atas Sains, namanya Abu Zarim. Abu memang nampak hebat dalam mata pelajaran ini. Pada belakang baju-t putih riadahnya penuh dengan formula Matematik yang pelik-pelik belaka. Saya lihat formula pada baju itu tahun lepas. Masa itu, Abu masih di tingkatan enam rendah dan saya di tingkatan lima. Abu sentiasa menjadi tempat rujukan kawan-kawan sekelasnya.
Saya mula memikirkan cara hendak berkawan dengan-nya. Puas juga saya memikirkan cara bagaimana mahu menghampirinya. Sebab tahun lepas ada peristiwa budak tingkatan lima berselisih faham dengan budak tingkatan enam rendah. Inilah yang menyukarkan perhitungan saya. Akhirnya, saya memilih hendak sama-sama bermain bola keranjang. Ini kerana, Abu dan rakan-rakannya memang memonopoli permainan itu sejak daripada tahun lepas lagi. Abu yang berbadan tinggi lampai itu memang sesuai dengan permainan ini. Dia yang selalu menjadi tunggak harapan dalam pasukannya.
Abu dihormati oleh rakan-rakannya bukan sahaja kerana dia pandai Matematik, dia juga dikagumi di padang kerana handal bermain bola keranjang. Kerana hendak berkawan dengan Abu, saya selalu ke gelanggang pada jam 5.00 petang. Pada mulanya, saya hanya menyaksikan mereka bermain. Saya hanya akan turut serta apabila mereka tidak cukup pemain. Apabila dapat peluang bermain saya akan cuba bermain dengan bersungguh-sungguh supaya dapat terus menjadi ahli kumpulan itu. Sebenarnya saya pernah mewakili sekolah dalam permainan ini semasa di SMK Chenor dahulu. Akhirnya, saya berjaya berbaik-baik dengan Abu Zarim dan rakan-rakanya. Dia sebenarnya tidak tahu saya ada udang di sebalik batu. Sejak itu, saya mendapat seorang lagi kawan untuk mengadu hal terutama apabila berhadapan dengan masalah yang melibatkan mata pelajaran Matematik. Yes, saya berjaya!
‘Oversea’s Student Study Group’-OSSG
Kadang-kadang semasa ‘prep’ petang dan malam, saya duduk di dalam kelas Enam Atas Sains. Suasana di dalam kelas itu ada gaya seperti orang hendak ambil periksa. Belajar dalam kelas enam rendah ini banyak cabarannya. Maklumlah, peperiksaan STP hanya akan berlangsung tahun hadapan. Ini bermakna, lebih banyak aktiviti bersembang dilakukan berbanding aktiviti belajar. Bagi mengatasi masalah itu, saya berpakat dengan beberapa orang kawan lalu membentuk kumpulan belajar.
Kumpulan ini dinamakan ‘Oversea’s Student Study Group’ atau ringkasnya OSSG. Setiap ahli OSSG perlu bertindak sebagai pakar rujuk. Aris sebagai pakar Kimia, Alwi sebagai pakar Fizik, Mat Karim pakar Biologi, Fauzi pakar Kertas Am dan saya tentulah Matematik. Sebagai tanda kenangan, petang itu kami berlima bergambar di hadapan asrama. Semua ahli OSSG bercita-cita menyambung pelajaran ke luar negara selepas peperiksaan STP nanti. Cita-cita kami hebat-hebat belaka. Mahu tahu cita-cita saya? Pensyarah universiti. Itulah azam saya. Itulah cita-cita saya.
Aktiviti OSSG hanya dapat berjalan selama beberapa minggu sahaja. Selepas itu mulalah sangkut-sangkut. Masalah utama adalah pakar rujuk tidak cukup bersedia hendak menerangkan kepada ahli-ahli kumpulan. Tidak lama kemudian, OSSG dibubarkan tapi ahli-ahlinya masih menjadi rakan karib, sama seperti dahulu juga. Kini saya lebih kerap belajar bersama-sama pelajar senior 6 Atas Sains. Mereka sudah pun menerima saya menjadi rakan study. Ada juga di kalangan mereka yang bertanya saya masalah Matematik. Bukan main seronok lagi apabila dapat menerangkan kepada senior. Di kalangan senior yang karib dengan saya adalah Osman Puteh, Jusoh, Abu, Zul, Mamat dan Daud. Memang untung dapat berkawan dengan senior. Saya dapat belajar banyak perkara daripada mereka.
Kena tangkap dengan Pengetua
Hari pertama penggal ketiga sungguh menyeronokkan. Maklumlah dapat berjumpa kembali dengan kawan-kawan selepas bercuti selama dua minggu. Hari itu, selepas waktu rehat ada mata pelajaran Kertas Am dan dua waktu terakhir ialah Matematik. Kami semua berharap cikgu tidak masuk. Sangkaan kami meleset, cikgu Kamariah J masuk juga. Dia membawa cerita kesan buruk aktiviti pembalakan. Habis dua masa mendengar ceramahnya. Cikgu Kamariah pandai mengolah hujahnya. Semua pelajar tercengang-cengang setiap kali mendengar ceritanya. Cikgu Kamariah memang bijak semasa di sekolah. Beliau dapat biasiswa ‘Collombo Plan’ bagi melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Jangan silap ya, ini cikgu Kamariah Jaafar bukan Kamariah WA yang mengajar mata pelajaran Matematik kelas saya tahun lepas. Walau bagaimanapun, kedua-dua K ini hebat-hebat belaka.
Habis waktu Kertas Am, kini tiba waktu Matematik. Sudah lima minit berlalu tetapi cikgu masih belum masuk. Kami semua mengharapkan supaya cikgu terus tidak masuk. Ada yang mengatakan cikgu Sudarjho masih bercuti di Indonesia. Secara tiba-tiba saya teringat kepada pakaian saya yang direndam di dalam baldi di bilik air asrama. Saya terus mengambil keputusan untuk cabut lari ke asrama hendak membasuh pakaian. Seronok juga membasuh pada waktu-waktu begini kerana saya tidak perlu berebut-rebut dengan sesiapa terutama ketika mahu membilas pakaian yang dibasuh.
Sedang saya asyik membilas pakaian tiba-tiba terdengar suara dari luar, “Siapa di dalam bilik air itu?” Saya pun membalas, “Oi, sayalah!” Saya meneruskan kerja membilas pakaian tanpa menoleh ke belakang. “Mengapa kamu membasuh kain semasa waktu persekolahan?” Suara itu sangat hampir, saya pun menoleh ke belakang, rupa-rupanya Encik Sofian, Pengetua sekolah sedang berdiri di belakang saya. Terkaku saya seketika, tidak dapat menjawab apa-apa kali ini. Kali ini saya jadi seperti raja catur yang sudah terkepung, tidak boleh lari ke mana-mana lagi, habis langkah, kena checkmate. Budak sekarang kata kantoi.
“Saya beri masa lima minit kepada kamu untuk tukar pakaian sekolah. Saya tunggu, lepas itu pergi sekolah,” Pengetua menyambung kata. “Habislah, kena rotanlah hari ini.” Saya membayangkan hukuman yang saya akan terima hari ini. Saya segera teringat semasa di SMK Chenor dulu, pernah dua tiga kali kena rotan. Masa tingkatan 4 dapat sekali dan kini apalah pula nasib saya. Belum sampai lima minit saya datang menemui Pengetua yang sedang menunggu di kaki lima asrama. Selepas itu Pengetua mengarahkan saya berjalan terus ke bangunan sekolah. Saya tidak tahu arah mana hendak dituju. Pengetua mengarah-kan saya terus pergi ke kelas 6 Rendah Sains. Untuk sampai ke kelas itu, saya perlu melalui kelas 5 Sains 1 dan 5 Sains 2.
Sambil berjalan saya menoleh ke belakang, rupa-rupanya beliau masih mengekori saya pada jarak dua meter. Bukan main malu rasanya apabila melalui kelas-kelas ini. Ada beberapa orang budak perempuan di dalam kelas itu menutup mulut, agaknya mereka ini mahu ketawa tetapi malu kepada Pengetua. Saya rasa geram, rasa macam mahu cungkil sahaja mata mereka yang ketawakan saya itu. Kali ini saya betul-betul rasa macam banduan yang sedang di-iringi oleh warden penjara.
Apabila sampai di hadapan kelas, saya pun berhenti. Rupa-rupanya di dalam kelas, cikgu Sudarjho sedang meng-ajar Matematik. Pengetua panggil cikgu Sudarjho keluar. “Cikgu kena tengok selalu dia ni, jangan bagi dia hilang dari kelas,” Pengetua berpesan kepada cikgu Sudarjho. “Baiklah, tuan,” balas cikgu Sudarjho. Pengetua berpaling ke arah saya pula, “Yahya, lain kali jangan buat lagi ya”, beliau me-nasihati sambil tangannya menepuk bahu saya.
Terima kasih Tuan Pengetua!
Saya terkejut kerana Pengetua tahu nama saya. Saya tidak sangka Pengetua akan menghukum saya dengan cara begini. Badan tidak sakit tapi kesannya sangat mendalam. Sejak hari itu saya serik, malah saya berjanji kepada diri sendiri selagi Encik Sofian masih menjadi Pengetua tidak akan cuba-cuba hendak ponteng kelas lagi. Lama juga saya terkenang akan peristiwa itu. Saya bersyukur mendapat Pengetua yang rajin lagi bijak seperti Encik Sofian. Saya rasa cikgu Sudarjho tersindir juga. Apa tidaknya, masa saya keluar tadi masa Matematik sudah beberapa minit berlalu. Pandai betul Pengetua main psikologi, sekali gus berjaya menyelesaikan masalah disiplin antara murid dan guru.
Saya betul-betul berterima kasih kepada beliau. Tindakan beliau itu mematikan perangai buruk yang saya baru cuba itu. Katakanlah sekiranya saya tidak tertangkap pada hari itu, mungkin saya lebih berani hendak mengulanginya sekali lagi. Sekiranya itu terjadi, mungkin misi JEJAK MAL yang sedang dilaksanakan hancur di tengah jalan. Inilah kuasa Tuhan, saya masih lagi berpeluang untuk diselamatkan. Memang saya betul-betul insaf dan semangat belajar saya menjadi semakin kuat.
Meneruskan usaha hendak berjaya
Mulai sekarang, saya menetapkan jam 2.30 hingga 4.30 petang setiap hari bagi membuat latihan Matematik. Waktu itu, mata selalu mengantuk. Saya melawan rasa mengantuk itu dengan aktiviti yang saya minati. Saya memang disiplinkan diri supaya waktu yang ditetapkan itu digunakan sepenuhnya. Ada kalanya terlajak hingga 5.30 petang. Sebelah malam saya tumpukan perhatian kepada mata pelajaran Fizik dan Kimia.
Buku teks Matematik yang saya gunakan itu sangat luas sehingga melewati sukatan pelajaran STP. Oleh itu, saya perlu ada sukatan pelajaran. Puas saya cari buku sukatan pelajaran Matematik dan Sains di kedai buku di bandar Kuantan, semua mengatakan buku-buku yang saya inginkan itu sudah habis dijual. Oleh itu, saya mengambil keputusan mendapatkan terus dari University of Cambridge Local Examination Syndicate, London. Saya beli money order dalam mata wang Pound Britsh (£), tulis surat dalam Bahasa Inggeris dan kemudian pos. Harap-harap mereka di sana faham apa yang saya tulis kerana Bahasa Inggeris saya sangat teruk, masa SPM tahun lepas saya mendapat enam pening (F9), saya gagal dalam mata pelajaran ini.
Selang dua minggu, saya menerima kiriman dari London. Saya seronok kerana mendapat buku sukatan pelajaran yang saya idam-idamkan. Pernah suatu hari Mr. Poon, guru Kimia sekolah saya meminjam buku ini untuk difotostat. Apabila sudah ada sukatan pelajaran, saya terasa lega kerana saya sudah tahu dengan lebih terperinci sukatan mata pelajaran yang perlu dipelajari, serta tajuk-tajuk yang ada bagi setiap mata pelajaran.
Saya bercadang hendak menghabiskan sukatan pelajaran Matematik Tulen tahun ini juga. Tahun hadapan bagi tempoh enam bulan pertama, saya boleh menumpukan perhatian kepada mata pelajaran Mekanik pula. Bulan Julai hingga November adalah masa ulang kaji. Saya berjaya menghabiskan sukatan mata pelajaran Matematik Tulen seperti yang dirancang. Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 6 rendah, saya mendapat 70 peratus dalam mata pelajaran Matematik, berkat usaha gigih saya selama ini berserta usaha daripada guru-guru dan doa daripada kedua-dua orang tua saya.
Tingkatan 6 Atas Sains, 1973
Saya melangkah ke tingkatan 6 Atas Sains pada tahun 1973 dengan semangat penuh di dada. Semasa di tingkatan 6 atas, saya menjadi sangat sibuk. Maklumlah hujung tahun ini saya akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Cikgu Mahjuddin dari Sulawesi, Indonesia mengajar Matematik, Mr. David Rambellow dari USA mengajar Fizik, Mr. Poon dari Kuala Lumpur, menjadi guru kelas kami dan mengajar mata pelajaran Kimia. Cikgu Abdullah dari Chenor mengajar Kertas Am, cikgu Kamariah dari Temerloh mengajar Bahasa Inggeris dan cikgu Khalil dari Jawa, Indonesia mengajar mata pelajaran Biologi. Walau bagaimanapun, saya tidak mengambil mata pelajaran ini.
Setiap hari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang saya khaskan mengulang kaji Matematik. Kali ini masa riadah selalu dikorbankan. Sebelah malam pula selama tiga jam lagi belajar Fizik dan Kimia. Saya sangat menjaga disiplin masa.
Cinta datang dan pergi
Sungguh tidak disangka, dalam sibuk-sibuk belajar jiwa remaja saya tergugat juga. Ramai kawan-kawan sekelas sudah ada makwe. Kebanyakan makwe mereka adalah pelajar yang baru melangkah ke tingkatan empat. Apa lagi, saya pun tumpang sekakilah. Pelajar perempuan yang saya minat itu cantik, putih melepak dan kecil molek orangnya. Cukuplah saya perkenalkan dia sebagai K sahaja. Kami hanya berpeluang berbual masa rehat di kantin sahaja. Itu pun tidak boleh lama kerana saya bertugas sebagai pengawas. Kawan-kawan mengatakan saya memang sepadan dengan K. Apa lagi, semakin bergeloralah jiwa remaja saya. Terlupa sekejap saya kepada JEJAK MAL yang saya perjuangkan selama ini.
Kadang-kadang K ini seperti merpati, susah saya hendak membaca perasaannya. Dia suka membaca novel. Suatu hari, saya pinjam novel yang K selalu baca itu. Ketika membuka muka pertama novel itu, terus saya terbaca tulisan tangan di bahagian dalam kulitnya. Kata-kata semangat berserta tanda tangan dan nama terpampang dengan jelasnya. Tanda tangan itu saya lihat dan saya rasa datangnya daripada seseorang yang sudah cukup matang. Cukuplah saya namakan pemilik tanda tangan itu sebagai MS. Tergugat juga perasaan saya ketika itu. Suatu hari saya bertanya kepada K siapa MS itu? K mengatakan MS adalah guru Matematiknya semasa tingkatan tiga di sekolah lamanya. Saya tidak puas hati dengan maklumat yang diberikan oleh K kepada saya.
Satu hari saya memanggil Zainudin, rakan sekampung dengan K. Saya meminta dia menyiasat apakah kaitan di antara K dengan MS. Saya meminta dia menjadi penyiasat peribadi kerana saya mempercayainya. Selepas pulang bercuti, Zainudin melaporkan hasil risikannya kepada saya. Din beritahu saya bahawa MS memang menjaga K seperti menatang minyak yang penuh semenjak dari tingkatan dua lagi. Din kata, K seolah-olah sudah dipagari oleh MS. “Hai, tidak patut betul MS ini. Awal-awal lagi dia sudah ‘booking’ anak murid sendiri. Sepatutnya, berilah peluang dia melihat dunia dahulu.” Hati saya berkata-kata sendiri.
Saya tidak mahu bertarung dengan MS. Ini kerana, saya tahu harapan bagi saya mendampingi K tipis kerana MS sudah lulus maktab perguruan, sudah mempunyai kerja tetap dan ada motor vespa pula. Saya? Masih seorang pelajar yang hanya bergantung pada biasiswa. Hendak belanja orang pun tidak mampu, apa lagi menanggung anak dara orang. Saya dapat rasakan K akan memihak kepada MS. Oleh itu, saya cuba mengelakkan diri daripada bertarung.
Undur setapak ke belakang tidak bermakna saya sudah menyerah kalah. Beberapa hari lamanya saya terpaksa berdepan dengan perasaan yang berkecamuk itu. Rupa-rupanya, pedih juga rasanya apabila kecewa bercinta. Nasib baik masa yang saya ambil bagi menenangkan diri tidak begitu lama. Selepas beberapa hari, saya kembali tenang dan dapat meneruskan semula usaha memburu kejayaan dalam pelajaran terutama Matematik. Saya sudah serik dan berjanji kepada diri sendiri tidak mahu mengulanginya lagi. Saya mahu bereskan pelajaran hingga tamat universiti dahulu. Kemudian baru saya mahu mencari cinta yang sejati.
Saat yang ditunggu-tunggu
Saya bersyukur kepada Tuhan kerana kini, apabila cikgu Mahjuddin mengajar Matematik, saya sudah boleh faham semuanya. Ini kerana, saya sudah tahu serba sedikit perkara yang diterangkannya. Saya sudah bersedia lebih awal dan sudah menjawab beberapa latihan yang mudah sebelum pengajarannya. Pengajaran cikgu Mahjuddin berjaya mengukuhkan lagi kefahaman saya. Selalu juga beliau menyuruh saya menjawab soalan di papan hitam, di depan kawan-kawan kelas saya. Itulah saat yang saya tunggu-tunggu. Semuanya dapat saya selesaikan. Ramai juga kawan-kawan yang bertanya soalan, semua dapat saya terangkan. Saya rasa bertuah kerana bertemu dengan formula belajar paling berkesan.
1.Buat persediaan awal.
2. Beri tumpuan kepada pengajaran guru.
3. Cuba jawab soalan yang diberikan, sekiranya diminta berbuat demikian.
4. Bantu kawan yang memerlukan.
Selalu juga cikgu Mahjuddin belanja saya waktu rehat. Bolehlah saya minum teh panas dan makan nasi lemak. Pada masa itu, siapa yang dapat minum teh dikira hebatlah.
Makanan tambahan punca bijak?
Pembelajaran kini kurang masalah terutama daripada segi kewangan ini kerana saya mendapat biasiswa Pra Universiti daripada Kementerian Pelajaran sebanyak $55 sebulan. Dengan biasiswa yang saya peroleh inilah saya membeli minyak ikan sebagai makanan tambahan bagi merangsang minda. Memakan minyak ikan bagus untuk kecerdasan otak. Saya menghabiskan satu botol sebulan. Masa hendak telan minyak ikan itu saya kena tutup hidung kerana baunya hanyir. Tetapi, dek kerana hendak cerdas, saya telan juga.
Saya rasa bertuah kerana semua tajuk Geometri seperti bulatan, parabola, hiperbola dan illip dapat dikuasai sepenuhnya. Saya suka menyelesaikan soalan Trigonometri terutama yang melibatkan pembuktian. Ini kerana, saya memahami semua formula Trigonometri yang banyak itu. Saya juga mahir dalam tajuk-tajuk Pembezaan, Pengkamiran, Polinomial, Teorem Baki, Teorem Faktor, Log dan Kebarangkalian.
Saya seronok mengkaji tajuk-tajuk Kaji Daya (Mekanik) kerana ia berkisar kepada objek yang nampak dan boleh dibayangkan. Tajuk Kaji Daya dipecahkan kepada Statik dan Dinamik. Tajuk Statik menjadi mudah difahami sekiranya kita faham konsep keseimbangan daya pada satu titik. Tajuk Dinamik agak mencabar sedikit. Namun, apa-bila menjawab soalan, formula yang sesuai terus sahaja datang seperti air mengalir tanpa tersekat-sekat. Inilah berkat usaha tanpa jemu hampir dua tahun. Diringkaskan cerita, semasa peperiksaan percubaan STP bagi mata pelajaran Matematik, saya memperoleh markah sebanyak 76 peratus bagi kertas 1 dan 77 peratus bagi kertas 2.
Menduduki peperiksaan STP dengan tenang
Peperiksaan yang dinanti-nantikan sudah tiba. Semasa peperiksaan STP berlangsung, saya berjaya menjawabnya dengan tenang. Bagi mata pelajaran Matematik Kertas 1 yang mengandungi 11 soalan, calon perlu menjawab mana-mana lapan soalan. Saya berjaya menjawab soalan-soalan ini tanpa henti. Malahan, saya masih ada masa bagi menyemak jawapan yang saya tuliskan itu. Bagi Kertas 2 pula, saya berjaya menjawab lima soalan daripada Bahagian A dan dua soalan daripada Bahagian B. Ada beberapa pecahan soalan Bahagian A itu yang agak diragui jawapannya terutama soalan berkaitan tajuk Dinamik. Secara ke-seluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan kemam-puan saya menjawab soalan. Saya merasakan soalannya lebih mudah berbanding soalan percubaan.
Usaha tangga kejayaan
Tanggal 31 Mac 1974 adalah hari yang sangat mendebarkan. Hari itu keputusan peperiksaan STP diumumkan. Saya sampai ke sekolah tengah hari tetapi tidak nampak rakan-rakan lain yang datang. Saya ada dengar cerita pagi itu mengatakan keputusan STP tahun lepas merosot terutama aliran sastera, tapi dikatakan ada seorang pelajar kelas sains yang mendapat sijil penuh. Saya congak punya congak budak kelas sains itu kemungkinan besar antara saya ataupun Prof. Jam sahaja. Apabila sampai sahaja ke pejabat sekolah terus sahaja cikgu-cikgu yang ada di situ mengucapkan tahniah kepada saya. Saya tergamam apabila melihat keputusan STP. Syukur, saya lulus sijil penuh. Matematik pula jelas tercatat prinsipal A, Kertas 1 dapat gred 1 dan Kertas 2 dapat gred 2.
Tidak lama kemudian, saya dipanggil masuk ke bilik pengetua. Tuan Pengetua SMART mengucapkan tahniah kepada saya. Beliau mengatakan, saya adalah pelajar aliran sains yang pertama di sekolah ini dalam masa tiga tahun yang berjaya mendapat sijil penuh. Oh, bangganya saya apabila mendengar kenyataan itu. Tuan Pengetua bertanya bagaimana saya belajar hingga lulus semua mata pelajaran termasuk Fizik, Kimia, Matematik dan Kertas Am? Beliau seterusnya bertanya, apakah petua menjadi cemerlang dalam mata pelajaran Matematik.
Selepas berbual-bual dengan Pengetua saya memohon diri untuk keluar. Di luar bilik Pengetua, saya ternampak seorang pelajar perempuan sedang berdiri tetapi menghala ke arah lain. Tiba-tiba dia berpaling ke arah saya. Saya terkejut, dia adalah K yang saya sudah lupakan. K meng-ucapkan tahniah kepada saya. Dia kelihatan sungguh gembira dengan kejayaan saya itu. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Kali ini saya tidak mahu memberi banyak ruang kepadanya. Apa yang terbayang dalam fikiran saya sekarang ialah menara gading.
Saya terpaksa meninggalkan K kerana cikgu Khalil mengajak saya ke kelas Tingkatan 6 Atas Sains. Dia meminta saya memberi nasihat dan menceritakan pengalaman saya kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 atas. Semasa berhadapan dengan mereka, saya ternampak seorang pelajar yang bernama Mohamed Maidin, pelajar yang berasal dari Temerloh. Dia sangat meminati mata pelajaran Matematik. Saya berharap dia akan mengikut jejak langkah saya. Saya juga ternampak pelajar perempuan yang ketawakan saya semasa saya ditangkap oleh Tuan Pengetua sebelum ini. Kalau dulu saya terasa macam mahu cungkil sahaja matanya, tapi kali ini mereka memandang saya dan saya nampak mereka ini senyum sahaja kepada saya.
Apabila saya keluar dari kelas 6 atas, ramai yang mengerumuni saya. Semuanya gembira dan mengucapkan tahniah. Hari itu saya rasa jadi hero. Saya ingat lagi Mohamad Maidin dan rakan-rakannya menghantar saya ke perhentian bas di luar pagar sekolah. Mereka menemani saya hingga saya menaiki bas. Suatu penghormatan spontan kepada saya daripada mereka.
Khabar gembira daripada seorang anak
Saya mahu pulang segera ke kampung kerana hendak memberi tahu khabar gembira ini kepada emak, ayah, abang long, adik-adik dan saudara mara. Saya tersenyum sendiri membayangkan emak tentu akan gembira sekali lagi apabila mendengar saya mendapat gred A dalam mata pelajaran Matematik.
Saya masih ingat lagi sewaktu perjalanan pulang ke rumah. Untuk sampai ke rumah, perlu berjalan kaki melalui rumah Ayah Talib. Ayah Talib adalah ayah kepada Mat Pilus, kawan saya yang membawa radio semasa kerja bertukang rumah di Chenor dahulu. Saya nampak ayah dan beberapa orang rakannya berada di bumbung rumah Ayah Talib. Mereka sedang memasang atap rumah. Itulah pekerjaannya ayah. Pagi menoreh getah dan sebelah petang bertukang rumah. Saya sedar ayah memang kuat bekerja. Malah, kerja yang tidak tentu hasilnya seperti memancing ikan dan menyuluh di hutan memang tidak pernah saya nampak. Sebab itulah agaknya saya juga tidak suka memancing. Saya terus memanggil ayah supaya turun. Nampaknya ayah bergegas turun. Saya terus menceritakan kepadanya bahawa saya lulus sijil penuh dan Matematik mendapat gred A.
Saya nampak kegembiraan di wajah ayah. Bukan senang ayah hendak menunjukkan muka yang gembira. Ini kerana, dia adalah seorang yang sangat serius. Saya masih ingat lagi malam itu, beberapa ekor ayam dalam reban menjadi korban. Adik-adik saya tumpang gembira malam itu kerana kami semua makan nasi lauk ayam kampung.
Menjadi pelajar SMART
Awal Januari 1970 saya meneruskan pelajaran ke tingkatan 4 aliran sains di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan. Tingkatan 4 sains ada lima kelas. Kedudukan kelas ditentukan berdasarkan keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya ditempatkan di tingkatan 4 Sains 4. Sedih juga rasanya kerana ditempatkan di kelas ini. Apa tidaknya, hanya saya seorang sahaja dari SMK Maran yang ditempatkan di kelas itu. Rakan-rakan saya yang lain dari SMK Maran berjaya ditempatkan di kelas 4 Sains 1, 4 Sains 2 dan 4 Sains 3. Alangkah sunyinya berada di kelas itu.
Selepas direnungkan, memang patut saya diletakkan di kelas 4 Sains 4. Penempatan berdasarkan pencapaian Matematik dan Sains. Saya memperoleh 25 agregat, Matematik I dapat C4, Matematik II dapat C6 dan Sains dapat C6. Bayangkanlah ada ramai pelajar yang lebih cemerlang daripada saya. Bilangan mereka dianggarkan 100 orang. Kelas 4 Sains 1 memang terdiri daripada ‘top student’ negeri Pahang. Hanya seorang sahaja wakil SMK Maran yang berjaya masuk ke kelas 4 Sains 1. Beliau adalah Kamarudin Taib. Dia ini memang jaguh.
Senarai buku teks tingkatan 4 diedarkan semasa pendaftaran. Saya terkejut kerana buku teks Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi dalam Bahasa Inggeris. Harganya pula mahal. Pada waktu itu belum ada Skim Pinjaman Buku Teks. Semuanya kena beli sendiri. Nampaknya ayah terpaksalah menoreh getah dahulu bagi menyediakan wang yang banyak bagi membeli buku-buku tersebut. Saya bertanya di dalam hati, “Bolehkah saya faham apabila membaca buku-buku itu?” Buku Matematik Tambahan yang saya perlukan adalah buku yang bertajuk Elementary Analysis karangan J. Poker dan Dakin. Seingat saya, jarang sekali saya membuka buku itu, semuanya berdasarkan apa yang diberi oleh guru sahaja.
Cikgu Lim Sim Kuey mengajar Matematik dan Pendidikan Jasmani. Seronok juga belajar dengan Cikgu Lim tetapi lebih seronok belajar Pendidikan Jasmani (PJ). Semasa PJ, budak lelaki kelas saya bergabung dengan budak Tingkatan 4 Sains 3. Cikgu Lim selalu menjalankan pelbagai aktiviti memanaskan badan, pertandingan antara kumpulan dan gimnastik. Kadang kala ada juga diselitkan permainan takraw, bola sepak dan ragbi. Permainan ragbi yang paling kerap kerana cikgu Lim adalah jurulatih ragbi sekolah kami. Pada masa itu SMART memang hebat dalam permainan ragbi. Cikgu Lim mesti jadi refrinya, kalau tidak adalah pelajar yang akan bertinju sebab di kalangan kami ada yang gemar menjadi batu api. Kami semua seronok belajar PJ. Memang kami bermain bersungguh-sungguh. Selepas PJ, badan kami basah kuyup. Singlet boleh diperah macam tuala basah.
Buku latihan ‘dilancarkan’ ke luar kelas
Cikgu Lim mampu menyampaikan pengajaran Matematik dalam Bahasa Melayu dengan baik. Pelat sedikit-sedikit itu biasalah tetapi tidak sampai mengganggu konsentrasi kami dalam memahami pengajarannya. Belajar Matematik daripada Cikgu Lim ini boleh tahan juga penatnya sebab banyak kerja rumah yang diberikan kepada kami. Ramai juga rakan saya mengeluh dan tidak dapat menyiapkan kerja rumah. Selalu juga Cikgu Lim memarahi kami apabila kami tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan. Kalau Cikgu Lim marah nampaklah cuping telinganya menjadi merah. Yang hairannya, Cikgu Lim tidak pernah memukul kami. Paling teruk pun kami akan disuruh berdiri sahaja.
Suatu hari Cikgu Lim naik berang sebab hampir semua pelajar kelas saya tidak menyiapkan kerja rumah termasuklah saya. Hari itu sungguh tidak saya sangka, Cikgu Lim mengambil tindakan yang memeranjatkan. Buku latihan Matematik kami ‘dilancarkan’ ke luar tingkap. Apa lagi, melayanglah buku-buku itu dari tingkat tiga ke dataran rumput betul-betul di hadapan bilik pengetua.
Beberapa minit selepas itu Cikgu Lim menyuruh kami, pelajar lelaki mengambil buku masing-masing. Kami terus turun untuk mengambil buku masing-masing. Saya terasa seram juga sebab terpaksa melintasi bilik pengetua. Pengetua kami ini boleh tahan juga garangnya. Namanya Encik Nawawi. Kami bergerak memberanikan diri terus mengambil buku masing-masing. Tetapi nasib kami kurang baik. Belum pun sempat cabut lari, terus sahaja kedengaran bunyi suara yang nyaring, “Berhenti!” Rupa-rupanya suara itu datangnya dari bilik Tuan Pengetua. Kami semua diarah masuk ke bilik beliau. Habis buku diperiksa satu demi satu. Selepas bersoal-jawab, kami mengaku tidak menyiapkan kerja rumah. Akhirnya setiap orang mendapat hadiah masing-masing. Satu sebatan seorang. Boleh tahan juga sakitnya. Maklumlah Pengetua kami ini masih gagah, masih lasak sebab saya pernah melihat beliau bermain ragbi dan bola sepak berlawan dengan pasukan pelajar tingkatan enam. Agaknya, kalau kena rotan tiga kali terus tidak boleh bangun.
Selepas mendapat ‘hadiah’ masing-masing, kami pun masuk kelas. Apabila masuk ke kelas kami senyap sahaja. Tidak ada seorang pun yang membuka mulut. Cikgu Lim tidak bertanya apa-apa pun. Saya terfikir, “Mungkinkah ini adalah pakatan antara Cikgu Lim dan Tuan Pengetua?”
Bukan main susah hendak duduk, serba tidak kena. Maklum sahajalah, kami baru sahaja menerima habuan daripada Tuan Pengetua. Sakitnya masih terasa. Pelajar-pelajar perempuan mengagak sesuatu menimpa kami. Ada yang berbisik memberitahu pelajar lain. Selepas itu, Cikgu Lim suruh mereka pula mengambil buku. Apa lagi kedengaran bunyi “Tidak mahu.” berulang-ulang kali. Dalam keadaan kelam kabut itu tiba-tiba Othman Sulong berkata, “Oi, pergilah. Tidak ada apa-apanya.” Memang selayaknya Othman berkata begitu sebab dia adalah ketua kelas kami. Nampaknya mereka mengalah dan terpaksa turun mengambil buku masing-masing. Sebagaimana dijangka, mereka juga menerima habuan daripada Tuan Pengetua. Apabila mereka masuk kelas semuanya menutup muka dengan buku sambil tangan kirinya digenggam macam hendak bertinju sahaja. Ada di antara mereka menangis teresak-esak. Saya meluat betul melihat orang menangis. “Manja tidak bertempat,” hati saya berbisik. Itulah hadiah kepada yang malas.
Cikgu Lim tidak dapat meneruskan pengajarannya kerana masing-masing tidak berhenti menangis. Saya hanya mendiamkan diri sambil mengenangkan peristiwa ini. Waktu itu saya rasa sangat bernasib baik kerana bersekolah di Kuantan, jauh dari rumah. Kalau tidak tentu berita kena rotan ini tidak sampai ke pengetahuan ayah. Beberapa hari selepas itu, kelas Matematik berjalan dengan lancar. Kami tidak berani untuk tidak menyiapkan kerja rumah. Namun begitu, banyak jawapan yang masih silap dan serupa. Elok juga Cikgu Lim buat begitu. Kalau tidak ramai yang main-main sahaja.
Suatu hari, semasa perhimpunan di dewan sekolah, Tuan Pengetua ada menyentuh mengenai tanggungjawab pelajar menyiapkan kerja rumah yang diarahkan oleh guru. Beliau mengatakan ada kelas tertentu yang tidak menyiapkan kerja rumah tetapi nasib baik tidak menyebut kelas yang mana satu. Kalau tidak seluruh sekolah tahu peristiwa itu. Kalau tidak, malu kami. Mana hendak sorok muka. Itu pun saya rasa ada pelajar kelas lain yang sudah tahu berita itu. Sebabnya, semasa Tuan Pengetua menyentuh mengenai perkara tersebut ada beberapa orang pelajar dalam barisan di sebelah menoleh ke arah barisan kami. Semasa di tingkatan empat ini, kami hanya belajar Matematik setakat apa yang diajar di dalam kelas dan menjawab soalan latihan yang disuruh sahaja. Memang tiada inisiatif sendiri untuk menjawab soalan tambahan atau cuba mengkaji semula apabila ada tajuk yang tidak difahami.
Penangan guru dari Indonesia
Kisah mata pelajaran Matematik Tambahan (MT) lain pula ceritanya. Inilah cabaran yang paling hebat. Guru yang mengajar mata pelajaran ini diimport dari Indonesia. Rasanya dalam tahun itu sudah tiga kali berlaku pertukaran guru. Mula-mula Bapak Rebo Siswojo, selepas itu, Bapak Panggabean dan akhir sekali, Bapak Sudarjho. Semuanya sama sahaja. Sangat membingungkan. Habis semua pelajar tidak faham apa yang diajar, tetapi tiada seorang pun pelajar yang berani bertanya.
Masa guru Matematik Tambahan mengajar, ada yang tidak memberikan perhatian dan mengganggu kawan-kawan yang lain. Nampak sangat mereka ini tidak tahu tanggungjawab masing-masing. Sudahlah belajar tidak faham, tidak bertanya pula. Habislah lingkup. Guru MT kami suka menyebut perkataan yang pelik-pelik. Kelas menjadi riuh rendah apabila terdengar perkataan yang pelik-pelik yang disebutkan. Antara perkataan ganjil yang kami pernah dengar adalah perkataan seperti ‘shahwat.’ Sebenarnya beliau ingin maksudkan kepada pesawat.
Bapak Rebo Siswojo menjadi serba salah apabila kami semua mengetawakan beliau. Sepanjang setahun pengajian di tingkatan empat, buku Elementry Analysis tidak diguna-kan. Saya selalu tengok beliau membawa buku teks Indonesia. Oleh itu, selalulah kami terdengar istilah yang pelik-pelik seperti itu. Dalam masa setahun, saya tidak pernah bertanya kepada beliau walaupun tidak faham. Bagi saya, kawan-kawan kelas 4 Sains 2 seperti Alwi dan Fauzi dari Maran dan Razali dari Chenor menjadi tempat rujukan. Saya lebih selesa bertanya kepada mereka. Tapi ada juga masalahnya kerana ada kalanya mereka juga tidak tahu.
Syukur, dapat ‘lompat’ kelas
Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 4, saya lulus kedua-dua pelajaran Matematik itu. Saya mendapat 51 peratus bagi Matematik Awalan dan 49 peratus bagi Matematik Tambahan. Walaupun pencapaian saya hanya pada tahap C6 dan P7, saya kira pencapaian itu sudah cukup baik. Apa tidaknya, hanya saya seorang sahaja dalam kelas 4 Sains 4 yang lulus kedua-dua pelajaran Matematik. Lebih seronok lagi saya dapat nombor tiga dalam kelas ini. Suatu kedudukan yang tidak pernah saya mimpikan sebelum ini.
Guru kelas saya ada memberitahu kami, senarai nama pelajar tingkatan 5 tahun hadapan akan dikeluarkan sebelum cuti akhir tahun. Saya berharap supaya mendapat kedudukan yang lebih baik. Pada suatu pagi, ramai pelajar tingkatan empat berkerumun membaca notis yang ditampal di papan kenyataan. Saya pun ikut serta. Rupa-rupanya mereka sedang melihat senarai nama pelajar tingkatan lima tahun hadapan. Saya lihat senarai nama tingkatan 5 Sains 1 daripada awal hingga akhir, namun nama saya tidak tercatat di situ. Selepas itu, saya lihat pula senarai nama pelajar tingkatan 5 Sains 2. Puas saya turuti dari awal hingga ketiga terakhir, baru kelihatan nama saya. Syukurlah kerana saya berjaya melompat dua anak tangga. Rosnah, Zaimun dan saya sahaja dari kelas 4 Sains 4 yang berjaya melompat ke kelas 5 Sains 2. Yang lain ikut nasiblah bertaburan dari kelas 5 Sains 3 hingga ke kelas 5 Sains 5.
Kami bertiga dari kelas ini ada persamaan daripada segi minat terutama dalam bidang sukan olahraga. Semasa olahraga tahunan sekolah memang kami mengambil bahagian dalam banyak acara masing-masing, tetapi saya tidak mendapat sebarang pingat pun. Walau bagaimanapun, dua orang rakan saya itu memang jaguh pecut. Mereka berjaya mewakili sekolah ke MSSD Kuantan. Walau bagaimanapun, saya berjaya memberi sumbangan mata dalam sukan tara dan merentas desa kepada Rumah Megat Terawis.
Nampaknya saya terpaksa berpisah dengan rakan-rakan sekelas dan bersaing pula dengan rakan-rakan baru. Saya dapati dalam senarai kelas 5 Sains 2 itu tercatat nama Lotfi, Arshad, Wan Zahari, Saari dan Aziz. Mereka semua itu adalah rakan baik semasa di SMK Chenor dan SMK Maran. Saya berazam hendak belajar bersungguh-sungguh lagi apabila naik tingkatan 5 nanti. Pastinya saingan menjadi lebih sengit lagi. Walau bagaimanapun kami semua akan bercuti panjang selama tujuh minggu terlebih dahulu.
Hari pertama persekolahan dihabiskan dengan kerja men-cuci kelas, susun kerusi meja dan bercerita mengenai pengalaman menghadapi banjir yang lalu di tempat masing-masing. Hari itu Cikgu Muslim Tanjung, guru kontrak dari Indonesia masuk ke kelas memperkenalkan diri. Beliau adalah guru kelas kami dan mengajar Sains bahagian Fizik. Kurus tinggi orangnya. Umurnya lebih dari 50 tahun. Sejak tahun lepas hingga kini saya perhatikan cikgu ini sentiasa memakai baju putih berlengan panjang dan berseluar warna biru tua. Bukanlah sepasang itu sahaja tetapi sekadar ingin bercerita betapa cekalnya beliau mengekalkan identiti pakaiannya. Hari itu kami memilih ketua kelas dan Khalid Abdullah berjaya menyandang jawatan itu. Sementara jawatan penolong ketua pula disandang oleh Rosnah.
Sesat dalam pelayaran, kapal terbang hilang arah tuju, kapal laut tidak sampai ke pelabuhan
Kini cikgu Sudarjho mengajar Matematik pula dan cikgu Panggabean mengajar Matematik Tambahan. Hampir sebulan belajar Matematik terutama mengenai tajuk Ilmu Pelayaran, habis semua orang tidak faham. Halaju di air dan halaju di darat tidak dapat dibezakan sampai sudah. Kesannya? Kami sesat dalam pelayaran. Kapal terbang hilang arah tuju dan kapal laut tidak sampai ke pelabuhan kerana kami tidak faham ilmu belayar. Saya sungguh kecewa kerana pengajaran sangat mengelirukan. Ditambah lagi dengan penggunaan Bahasa Indonesia yang pekat. Apabila diadakan ujian selepas habis belajar topik Ilmu Pelayaran, semua pelajar gagal. Saya sendiri menerima pukulan KO, hanya memperoleh 25 peratus sahaja. Kalau macam ini memang tidak boleh jadi, tidak boleh berpanjangan begini.
Nampaknya semangat belajar para pelajar kelas ini sangat berbeza dengan kelas saya tahun lepas. Masing-masing berkobar-kobar mahu belajar. Mahu mendapat markah yang baik dalam peperiksaan. Oleh itu, kami semua sudahpun mengambil kata sepakat.
Kami semua berbincang dipengerusikan oleh Khalid selaku ketua kelas. Perbincangan kami berakhir dengan suatu keputusan yang berani. Kami mahu mengadu hal ini kepada Pengetua. Pengetua SMART II pada masa itu adalah Encik Sufian bin Ahmad. Kami berani mengadu hal kepada beliau kerana kami melihat beliau sebagai seorang yang mudah didekati, mudah senyum tetapi tegas orangnya. Pengetua sentiasa melawat asrama serta dewan makan dua kali sehari. Oleh itu, memang tiada peluang para pelajar hendak ponteng kelas dan lepak di asrama. Ketika itu asrama bersih dan makanan pun sedap. Itulah kesan keprihatinan Tuan Pengetua kami.
Wan Zahari, Suhaimi, Khalid dan saya diamanahkan supaya berjumpa dengan Pengetua. Kami berempat berbincang bagi menyusun hujah. Wan Zahari dipilih sebagai jurucakap utama. Pada ketika itu, kelemahan sendiri langsung tidak nampak. Yang nampak hanyalah kelemahan pihak orang lain. Kami memberanikan diri masuk ke bilik Pengetua. Kami bawa semua kertas ujian. Wan Zahari adalah jurucakap utama sebab dia pandai berhujah. Dia memang ada bakat menjadi peguam ataupun pegawai penerangan. Nampaknya, Tuan Pengetua bersimpati dengan kami. Beliau bertanya, “Kamu hendak belajar dengan siapa?” Cepat-cepat saya menjawab, “Cikgu Kamariah.”
Selang beberapa hari selepas bertemu dengan Pengetua, kelas kami mendapat jadual baru. Memang cantik, tercatat nama Cikgu Kamariah sebagai guru Matematik. Memang kami ada dengar cerita daripada kawan-kawan dari kelas 5 Sastera mengatakan mereka seronok belajar dengan Cikgu Kamariah. Mereka kata mudah faham. Kata mereka lagi, Cikgu Kamariah akan cuba menerangkan berulang-ulang kali sekiranya ada pelajar tidak faham. Ini bermakna, pasti ada kelas yang akan kehilangan khidmat Cikgu Kamariah. Tentu mereka akan kecewa kerana hilangnya seorang guru yang baik. Ah, jangan hiraukan mereka. Yang penting kami dapat apa yang kami hajati.
Kami tidak sesat lagi!
Apa yang kami jangkakan menjadi kenyataan. Memang betul. Dua minggu sahaja cikgu Kamariah mengajar tajuk Ilmu Pelayaran, kami sudah boleh faham. Kini saya faham apakah yang dimaksudkan dengan halaju di air dan halaju di darat. Selepas itu, beliau mengadakan ujian topikal. Kali ini lebih ramai pelajar yang lulus. Saya gembira kerana mendapat markah yang baik, 90 peratus. Kini, sekiranya saya yang menjadi nakhoda kapal, tentu tidak sesat lagi. Semua orang gembira kerana percaturan yang dilakukan mengena.
Semasa kami membuat latihan di dalam kelas, cikgu Kamariah suka berjalan-jalan dan melihat kerja setiap pelajarnya. Beliau pantas bergerak dan menyemak kerja kami semua. Pendek kata, semasa kelas Matematik memang tiada seorang pelajar pun yang terpinggir. Yang mengagum-kan, cikgu Kamariah boleh ingat semua nama pelajar kelas kami dalam masa beberapa hari sahaja.
Kini kami semua rasa seronok dan tiada tekanan lagi, terutama apabila ingin memahami apa yang diajarkan. Kami berani bertanya sekiranya ada yang tidak faham. Saya sendiri semakin seronok belajar mata pelajaran ini. Tidak hairanlah dalam peperiksaan percubaan SPM saya mendapat 76 peratus. Suatu peningkatan yang ketara berbanding semasa di tingkatan empat di mana saya hanya mampu mendapat markah 51 peratus sahaja. Memang kami tidak akan melupakan jasa Cikgu Kamariah yang dikagumi itu. Bak kata pepatah Melayu, ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Ingatan saya kepada Cikgu Mutalib, Cikgu Sabu dan Cikgu Kamariah memang tidak terhakis walau sedikit pun.
Suatu hari, pihak sekolah mengambil gambar kami bersama guru-guru yang mengajar kelas kami. Oleh kerana saya selalu mendapat markah Matematik tertinggi di dalam kelas, dapatlah saya berdiri di belakang cikgu Kamariah.
Terima kasih Prof. Jam!
Pelajaran Matematik Tambahan lain pula ceritanya. Semasa belajar di dalam kelas, banyak fakta yang diterangkan oleh guru kami tidak faham. Macam dulu juga, walau pun tidak faham tetapi kami tidak berani memberitahu guru yang kami tidak faham. Guru Matematik Tambahan mengajar kami macam pensyarah mengajar penuntut universiti. Ada rakan yang mengaku kalah. Semangat ingin mencuba kebanyakan daripada kami tidak membara. Namun saya masih belum putus asa. Walaupun sepanjang di tingkatan lima ini saya tidak pernah mendapat markah lebih daripada 40 peratus, namun saya tetap ingin teruskan juga. Semasa peperiksaan percubaan SPM, saya hanya mendapat markah sebanyak 34 peratus sahaja.
Saya sungguh tidak selesa dengan keadaan sekarang, tetapi saya masih belum berputus asa. Selepas peperiksaan percubaan, saya melipatgandakan usaha mengulang kaji mata pelajaran ini. Saya tidak sanggup untuk mendapat F9 bagi mata pelajaran MT dalam peperiksaan SPM nanti. Masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan. Saya mahu berjuang hingga ke saat terakhir. Tetapi kebanyakan budak dalam kelas saya sudah hanyut. Kali ini saya terpaksa merujuk buku teks Elementary Analysis yang tersimpan selama ini. Memang sebelum ini saya hanya bergantung kepada nota yang diberi oleh guru di dalam kelas. Perjuangan kali ini sangat mencabar kerana saya perlu memahami bahasanya terlebih dahulu. Saya memang lemah Bahasa Inggeris. Oleh itu, saya perlu menterjemahkan terlebih dahulu satu persatu perkataannya, baru boleh jawab soalannya.
Setiap kali saya menghadapi kesukaran dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, saya selalu meminta pertolongan daripada seorang sahabat, Jamaludin namanya dari kelas 5 Sains 1. Dia paling handal mata pelajaran ini di dalam kelasnya. Kawan-kawan memanggilnya Profesor tetapi saya memanggilnya dengan nama Prof. Jam. Panggilan Prof. Jam nampaknya lebih menyeronokkannya. Dia senyum sahaja apabila saya memanggilnya dengan nama itu.
Hendak bertanya pun, perlu pandai main psikologi juga. Kena tengok masa yang sesuai sebelum bertanya apa-apa. Kalau dia sedang khusyuk menelaah, lupakan sahaja hasrat untuk bertanya kerana dia tidak akan melayannya. Walau bagaimanapun, Prof. Jam memang tidak kedekut ilmu. Saya banyak mendapat pertolongannya di saat-saat akhir ini. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan ada kalanya memberi pujian atas kebolehannya.
Sudah menjadi lumrah manusia memang seronok apabila dipuji. Walaupun saya terus membuat ulang kaji, tetapi masih banyak tajuk yang belum saya kuasai terutama Trigonometri, Janjang Geometri dan Kebarangkalian. Sewaktu menduduki peperiksaan SPM, saya hanya mampu menjawab separuh sahaja daripada semua soalan yang disediakan. Oleh itu, saya ada banyak masa bagi menyemak semua jawapan supaya semuanya betul. Sekiranya semua jawapan betul, bermakna saya berpeluang memperoleh 50 peratus ataupun Kepujian 6. Harap-harap begitulah.
Apabila saya renungkan kembali pengalaman belajar Matematik Tambahan, ada beberapa perkara yang dapat disimpulkan:
1. Antara guru dan murid terdapat jurang komunikasi yang besar. Kami tidak terdorong untuk belajar.
2. Halangan bahasa. Tidak faham isi kandungan buku teks Matematik Tambahan kerana semuanya ditulis dalam Bahasa Inggeris. Ruginya tidak pandai Bahasa Inggeris.
Bahagian 1
Panduan untuk Guru dan Jurulatih
Cara Menggunakan Buku Ini
Buku ini ditulis bagi menolong guru-guru mengajarkan teknik-teknik berfikir kepada para pelajar. Tetapi, ibu bapa pun boleh menggunakan buku ini untuk membimbing anak masing-masing.
Kami mengesyorkan kaedah ini diperkenalkan mulai tahun empat sekolah rendah. Tetapi guru-guru boleh memperkenalkan teknik-teknik ini lebih lewat daripada usia itu. Prinsip-prinsip berfikir serupa sahaja, seperti halnya dengan prinsip-prinsip matematik. Hanya bahan sahaja yang perlu disesuaikan dengan peringkat usia. Bagi pelajar yang lebih tinggi usianya, soalan-soalan yang diberi perlu lebih kompleks, dan jawapan-jawapan yang diharap daripada para pelajar lebih kompleks juga.
Teknik-teknik ini juga boleh diperkenalkan kepada pelajar-pelajar di bawah usia 10 tahun, tetapi guru perlu memberi soalan-soalan yang sesuai dengan peringkat usia itu.
Fokus
Aktiviti berfikir selalu dibuat secara tidak berdisiplin, tidak tentu arah dan selekeh.
Kita memberi kepada para pelajar satu masalah untuk diselesaikan, mereka mula mendapat macam-macam idea untuk menyelesaikan masalah-masalah lain sama sekali.
Kita suruh para pelajar membincangkan satu topik, mereka mula terbawa-bawa dan membincangkan hal-hal lain yang lain daripada topik asal. Memanglah, apabila perkara-perkara seperti ini berlaku, para pelajar rasa seronok, tetapi cara mereka berfikir kekal tidak efektif.
Berfikir memerlukan disiplin. Ini penting dalam mengajarkan kemahiran berfikir. Tanpa disiplin para pelajar akan berfikir secara simpang-perenang, berputar-putar tidak tentu arah dan oleh itu tidak mencapai hasil yang dikehendaki. Dengan hal yang demikian mereka tidak dapat mencapai rasa puas dan rasa berjaya.
Bagi mengelakkan masalah seperti di atas, kita perlu memberi kerangka berfikir yang lebih ketat kepada para pelajar. Perkara ini nampak seperti bertentangan daripada aktiviti berfikir itu sendiri yang sepatutnya dibuat secara bebas, tidak terkongkong dan tidak terhad.
Sebenarnya, kerangka yang lebih ketat tidak membawa kesan negatif pada aktiviti berfikir. Semakin ketat kerangka itu semakin pelajar dapat berfikir dengan bebas dalam kerangka itu. Keadaan ini diibaratkan seperti seorang tukang kayu. Seorang tukang perlu ada alat kerja, dan dia juga perlu mahir menggunakan alat itu. Kalau tidak, dia tidak boleh bertukang. Dia bebas bekerja dengan cara-cara yang dia suka dan untuk apa-apa tujuan yang dia suka. Tetapi, pada setiap masa si tukang kayu tahu apa kerja yang dia akan buat menggunakan alat itu dan dia mahir menggunakan alat itu. Demikianlah juga halnya dengan kemahiran berfikir dan teknik-teknik berfikir. Bagi mendapatkan fokus, guru perlu sentiasa ada soalan-soalan ini dalam kepala:
1. Apakah subjek yang sedang aku ajarkan sekarang?
2. Apakah teknik berfikir yang aku mahu pelajar gunakan sekarang?
Cara Mengajar
Guru-guru diingatkan supaya melakukan perkara-perkara berikut:
1. Jangan disusah-susahkan.
2. Jangan dikacau-bilaukan.
3. Guru mesti jelas apa yang sedang dilakukannya.
4. Buat latihan dengan menggunakan pelbagai bahan latihan.
5. Gunakan banyak contoh supaya pelajar faham apa yang guru mahu mereka lakukan.
Kemahiran berfikir hendaklah diajar mengikut kaedah ‘dari tengah’. Ertinya, guru perlu memberikan contoh-contoh yang jelas kepada para pelajar.
Katakanlah, para pelajar mengalami kekeliruan. Mereka tidak pasti yang itu ataupun yang ini. Jangan jadikan keadaan itu asas bagi memulakan perbincangan dan perdebatan yang berjela-jela di kalangan para pelajar. Guru jangan pula menokok tambah dengan memberi pendapat-pendapat dan falsafah-falsafah dengan harapan kekeliruan itu akan dapat ditamatkan. Apabila guru berbuat begitu, itu adalah cara mengajar ‘dari tepi’. Dalam keadaan begitu, lebih baik guru memberi contoh lain yang lebih jelas kepada para pelajar.
Guru perlu sentiasa jelas akan apa yang hendak dicapainya. Ada masanya guru gagal mencapai apa yang hendak dicapai, tapi yang penting guru tahu apa yang cuba dicapainya.
Dalam membuat semua latihan, adalah penting supaya sesi dijalankan dengan cara-cara yang mudah dan praktikal. Jangan peduli mencari cara-cara dan jawapan-jawapan yang sempurna serba-serbi.
Guru boleh menggunakan cara-cara di bawah bagi mengajarkan teknik-teknik berfikir di dalam buku ini.
1. Tunjuk ajar
Sebelum memberikan latihan untuk dibuat oleh pelajar, guru menunjukkan cara-cara membuat latihan itu. Ini bertujuan memastikan para pelajar faham apa yang guru mahu mereka lakukan. Terangkan teknik berfikir yang akan mereka pelajari dan tunjukkan cara yang betul bagaimana teknik itu digunakan.
2. Soal jawab lisan
Semua latihan berfikir boleh dibuat secara soal jawab lisan. Guru bertanya, murid-murid mengemukakan cadangan. Cadangan-cadangan itu boleh dituliskan pada papan hitam supaya dapat dinilai bersama-sama.
3. Secara tulisan
Guru boleh meminta para pelajar mengemukakan cadangan-cadangan mereka secara bertulis supaya dikutip dan dinilai oleh guru.
4. Secara lukisan
Kaedah ini sesuai untuk soalan-soalan yang berupa reka cipta. Kaedah ini juga sesuai digunakan kepada para pelajar di bawah usia 12 tahun. Murid-murid boleh menunjukkan lukisan-lukisan mereka dan memberi penerangan lanjut kepada pelajar-pelajar lain secara lisan.
5. Arahan kepada individu
Guru memberi bahan latihan dan mengarahkan supaya tiap pelajar membuat latihan itu dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Kalau mahu, pelajar boleh diberi beberapa minit untuk berfikir sebelum membuat soalan yang diberikan. Para pelajar membuat latihan ini secara lisan. Guru boleh memberi komen-komen kepada jawapan-jawapan mereka.
6. Latihan berkumpulan
Para pelajar dibahagi-bahagikan kepada kumpulan empat ataupun lima orang. Guru memberi latihan yang serupa kepada semua kumpulan. Selepas mereka membuat soalan itu, guru boleh meminta setiap kumpulan melantik jurucakap bagi menerangkan jawapan yang mereka buat.
Gabungan guru dan pelajar
7. Di sini guru dan pelajar sama-sama membuat latihan. Guru ikut memberi cadangan-cadangan bagi mendorong para pelajar mengemukakan cadangan-cadangan mereka. Ini dilakukan terutamanya apabila para pelajar menemui jalan buntu. Cara ini tidak bermakna guru dan pelajar membuat perbincangan dan perdebatan. Ini bererti mereka sama-sama menerbitkan idea, bukan mengupas idea yang sudah dikemukakan. Kaedah ini dibuat secara lisan.
Latihan
Latihan-latihan yang disediakan di dalam buku ini diduga dapat menimbulkan rasa seronok kepada para pelajar.
Tujuan buku ini ditulis bagi membantu guru-guru mengajar para pelajar berfikir menggunakan kaedah-kaedah yang mudah tetapi berkesan. Jadi, buku ini bukanlah alat memberi tahu apa yang sepatutnya mereka buat ataupun jangan buat. Guru-guru digalakkan membuat bahan-bahan latihan tambahan sendiri supaya lebih sesuai dengan situasi bilik darjah dan para pelajar yang mengikuti kursus ini.
Bahan Latihan
Bahan-bahan latihan di dalam buku ini patut digunakan. Sekiranya mahu, guru-guru boleh membuat tambahan. Ada empat jenis bahan latihan.
1. Bahan seronok
Bahan-bahan ini dapat menimbulkan rasa seronok pada para pelajar kerana ia menggalakkan mereka menggunakan banyak daya imaginasi yang gila-gila dan memerlukan keupayaan membuat bermacam-macam ramalan. Walaupun begitu, di sebalik keseronokan itu mereka akan menggunakan prinsip-prinsip berfikir yang serius. Sebagai contoh soalan, "Apa akan jadi jika kamu ada tujuh jari pada kedua-dua belah tangan kamu?"
Bahan-bahan ini dapat memberi dorongan dan keseronokan kepada para pelajar supaya mahu belajar menggunakan teknik-teknik berfikir yang diajarkan. Salah satu ciri peng-gunaan bahan-bahan ini adalah tidak ada gangguan prejudis, perasaan dan pengalaman lama sewaktu menjawab soalan-soalan itu.
2. Bahan asing
Bahan-bahan ini adalah bahan-bahan yang sebenarnya berlaku tetapi di luar pengalaman remaja. Bahan-bahan ini datang daripada dunia orang dewasa. Sebagai contoh, "Apakah cara bagi menggalakkan pemuda-pemuda supaya tidak menunggang motosikal dengan laju dan berbahaya?"
Bahan-bahan ini memberi para pelajar pengalaman berfikir cara orang dewasa dalam menghadapi masalah-masalah dunia sebenar. Pengalaman dan kemahiran yang mereka dapat daripada menjawab soalan-soalan itu adalah berharga untuk kehidupan mereka pada masa akan datang.
3. Bahan persekitaran
Bahan-bahan ini datang daripada dunia remaja, yang sebenarnya mereka alami dan gemari. Sebagai contoh, "Kamu tahu sahabat baik kamu mengambil makanan di kantin sekolah dan tidak membayarnya. Apa yang akan kamu lakukan?" Para pelajar suka pada bahan-bahan seperti ini, tetapi mereka juga suka pada bahan-bahan di luar persekitaran mereka. Guru-guru perlu mencipta sendiri bahan-bahan latihan daripada persekitaran pelajar kerana mereka lebih arif tentang persekitaran pelajar di mana mereka mengajar.
4. Bahan berat
Bahan-bahan ini mempunyai implikasi serius pada kehidupan remaja. Sebagai contoh, "Kamu ingin masuk ke dalam kumpulan penyanyi rock, tetapi ibu bapa kamu menentang. Apa yang patut kamu buat?" Bahan-bahan seperti ini perlu digunakan dengan terhad.
Penggunaan bahan-bahan seperti ini memberi kesedaran pada para pelajar bahawa teknik-teknik berfikir yang mereka pelajari dapat membantu mereka menghadapi masalah-masalah yang rumit dan sukar dalam kehidupan sebenar.
Sebelum para pelajar pandai menggunakan teknik-teknik berfikir, guru disyorkan memberi bahan latihan berdasarkan pembahagian seperti berikut:
Bahan seronok 50%
Bahan asing 20%
Bahan persekitaran 20%
Bahan berat 10%
Selepas para pelajar pandai menggunakan teknik-teknik itu, disyorkan pembahagian seperti berikut:
Bahan seronok 20%
Bahan asing 30%
Bahan persekitaran 30%
Bahan berat 20%
Salah dan Betul
Tidak ada jawapan yang salah ataupun jawapan yang betul bagi soalan-soalan berfikir di dalam buku ini. Guru perlu sentiasa menghindari daripada membuat penilaian salah ataupun betul ke atas jawapan yang diberikan oleh para pelajar.
Berfikir ialah suatu daya usaha dan kemahiran. Berfikir sama seperti bermain bola. Ada masanya kita bermain dengan cemerlang, ada masanya kita kurang cemerlang. Namun, cemerlang ataupun tidak, permainan yang kita lakukan adalah bermain bola juga. Begitulah halnya dengan berfikir.
Di dalam buku ini tidak ada jawapan yang ‘betul’. Oleh itu, keghairahan yang dialami oleh pelajar perlu datang daripada sumber-sumber lain, barulah mereka seronok. Keseronokan datang daripada sumber-sumber ini:
1. Berapa banyak alternatif yang mereka dapat terbitkan.
2. Siapa yang lebih banyak alternatif.
3. Perbezaan antara jawapan-jawapan sesama mereka.
4. Peluang menambah alternatif-alternatif baru.
5. Rasa tidak sangka.
6. Terfikir idea-idea yang sebelum itu tidak pernah terfikir oleh mereka.
7. Persaingan dengan pelajar-pelajar lain.
Namun, dorongan yang paling berkesan adalah kecekapan. Apabila kita sudah pandai berenang, kita seronok berenang. Apabila mereka sudah pandai menggunakan teknik-teknik berfikir di dalam buku ini, mereka akan seronok menggunakan teknik-teknik itu. Apabila mereka dapat berfikir dengan yakin dan berkesan, itu adalah dorongan yang berkesan.
Waktu
Jangan beri masa yang lama kepada pelajar bagi membuat sesuatu latihan. Apabila para pelajar seronok membuat satu-satu latihan sekalipun, jangan teruskan lama-lama. Teruskan kepada latihan lain.
Tujuan latihan yang diberikan adalah untuk memberi kemahiran berfikir, bukan untuk menghasilkan sesi perbincangan yang seronok.
Tempoh masa yang diberikan kepada para pelajar boleh jadi tiga minit sahaja ataupun lebih. Pada mulanya ini memang dirasakan terlalu pendek. Perkara ini sengaja disyorkan. Selepas beberapa kali dicuba, para pelajar akan terperanjat apabila mereka dapati dalam tempoh tiga minit mereka dapat menerbitkan bermacam-macam pemikiran.
Kalau masa yang panjang diberikan, biasanya, masa itu habis digunakan untuk berbincang-bincang dan berdebat-debat antara mereka, bukan benar-benar untuk berfikir.
Remaja dan Berfikir
Usia ketika remaja paling seronok berfikir adalah antara 9 dan 11 tahun. Dalam usia ini mereka seronok menerbitkan bermacam-macam idea.
Selepas usia 12 tahun, remaja mula mahu mengemukakan idea-idea yang ‘betul’ sahaja. Maka, mereka bersikap konservatif, iaitu mereka mengemukakan idea-idea yang pernah mereka tahu, dengar ataupun baca.
Remaja belasan tahun mula bersikap defensif tentang pemikiran mereka. Ertinya, mereka mula berasa wajib mempertahankan idea-idea dan pendapat-pendapat mereka. Mereka tidak mahu mengakui idea mereka salah ataupun kurang baik. Perilaku ini datang daripada rasa takut membuat sebarang kesilapan.
Dorongan
Guru perlu memberi dorongan supaya para pelajar mahu belajar menggunakan teknik ini. Tanpa dorongan, para pelajar tidak berminat hendak belajar. Para pelajar yang masih muda tidak terdorong dengan kata-kata guru yang memberitahu betapa pentingnya kemahiran berfikir bagi kehidupan seseorang.
Jadi, tidak perlu digunakan kata-kata seperti itu untuk mendorong mereka.
Para remaja suka berfikir dan seronok menggunakan minda mereka bagi menerbitkan bermacam-macam idea. Oleh itu, guru boleh mendorong mereka dengan menjadikan masa belajar berfikir sebagai masa yang penuh keseronokan. Jadikan situasi berfikir biar mirip situasi bermain-main supaya penuh aktiviti. Aktiviti berfikir perlu hidup, seronok dan menggembirakan mereka.
Yang penting, soalan-soalan yang diberikan kepada mereka adalah soalan-soalan yang dapat mereka buat. Soalan yang sukar ataupun yang membosankan dapat membunuh dorongan mereka kerana mereka masih remaja. Oleh itu mereka tidak berminat pada apa-apa yang terlalu sukar ataupun membosankan.
Unsur yang penting bagi mendorong para pelajar adalah bahan soalan. Semakin soalan itu menyeronokkan dan semakin soalan itu perlu dijawab secara agak-agak, semakin mereka terdorong untuk menjawab soalan-soalan itu. Suatu kesilapan yang buruk adalah apabila kita sangka soalan-soalan yang berat dan susah mendorong mereka mencuba bagi menjawabnya.
Dorongan timbul daripada rasa kejayaan, bukan daripada rasa kegagalan. Apabila para pelajar berasa mereka ada harapan berjaya, mereka terdorong mencapai harapan itu. Tetapi, apabila mereka berasa akan gagal, mereka tidak terdorong untuk mencuba dan menempah kegagalan.
Bab 3: Mengurus masa
Manusia memerlukan dan melakukan pelbagai kegiatan dalam kehidupannya. Badan manusia memerlukan tidur dan makan. Otak manusia perlu rehat dari pemikiran serious dan berat. Untuk keselesaan, manusia juga perlu membersihkan badannya, pakaian dan menyediakan makanan. Di samping itu sebagai makhluk bermasyarakat, manusia perlu mengambil masa bergaul dengan sahabat handai dan kaum keluarga.
Pelajar tidak boleh lari daripada kegiatan biasa seseorang manusia. Oleh itu sekiranya kegiatan kehidupan tidak diseimbangkan pelajar mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar. Salah satu rahsia kejayaan orang yang berpencapaian tinggi adalah pengurusan masa yang cekap yang membolehkan mereka membuat dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan dengan jayanya.
Oleh kerana minat dan keperluan kepada pelbagai kegiatan, seseoranag itu kadang-kala akan menghadapi pertelingkahan mengenai apa yang hendak dibuat dalam sesuatu waktu. Sebagai contohnya, seorang pelajar hendak belajar tetapi pada waktu yang sama ingin menonton tv. Keadaan begini menyebabkan pelajar tersebut serba salah, dan ia akan membazirkan masa untuk mengambil keputusan. Perencanaan masa mengelakkan dilema begini kerana kegiatan pada sesuatu masa itu sudah diputuskan.
PERANGKAAN PENGGUNAAN MASA
Untuk membolehkan pengurusan masa yang cekap pelajar perlu tahu mengenai kegiatan dan masa yang diambil olehnya sepanjang hari. Setiap individu menjalankan kegiatan kehidupannya berlainan dengan i
ndividu lain. Banyak pelajar tidak sedar berapa lama masa yang diambil untuk makan, tidur, bermain dan lain-lain lagi.
Sebelum perencanaan masa dibuat pelajar perlu mengkaji penggunaan masa yang dilakukannya secara lazim. Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan merakamkan setiap kegiatan dalam masa satu minggu. Dengan cara ini pelajar akan tahu kegiatan dan jumlah masa yang diambil.
Pelajar di sekolah sudah pasti menggunakan masa secara lain. Kegiatan hari Isnin akan hampir-hampir serupa dengan hari kerja lain yakni Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Hari Sabtu dan hari Ahad atau hari kelepasan akan berbeza di mana masa kelas akan berkurangan atau tiada langsung.
Setelah dicatat kegiatan ini untuk dua atau tiga minggu pelajar akan dapat membuat pengkelasan kegiatan dan masa yang terambil.
Perhatikan yang jadual masa mempunyai masa bebas, yakni masa yang tidak diperuntukkan untuk kegiatan apa-apa atau tertentu. Sebenarnya manusia mempunyai beberapa jam masa bebas sehari yang biasanya tidak digunakan untuk kerja-kerja yang serious. Pelajar boleh menggunakan masa ini untuk belajar dan juga untuk mengambil kegiatan yang ia minati. Maklumat dari jadual tersebut membolehkan seseorang mengawasi penggunaan masanya dengan mempastikan masa yang cukup untuk belajar dan juga untuk kegiatan lain disamping mengurangkan masa bebas.
FAKTOR YANG PERLU DIAMBIL KIRA
DALAM PENJADUALAN
Keutamaan
Setelah mengetahui bagaimana masa digunakan dalam sesehari, pelajar perlu menentukan berapa lama ia perlu belajar, masa untuk bergaul, dan untuk perkara-perkara lain. Kalau difikirkan dan direnungi dalam-dalam, memanglah banyak perkara yang ingin kita lakukan tetapi masa dalam sehari hanya ada dua puluh empat jam! Memang benar kata-kata “masa itu emas”. Seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah meletakkan masa belajar sebagai suatu keutamaan melebihi kegiatan sosial atau hiburan. Tetapi keutamaan bukanlah bermakna menghapuskan kegiatan tersebut. Kegiatan tersebut adalah rempah ratus hidup yang dapat menghindarkan perasaan bosan disamping mencaskan kembali otak yang letih. Di sinilah peranan pengurusan masa, di mana sesorang pelajar dapat mengatur dirinya untuk memberi keutamaan kepada pelajaran di samping mengambil bahagian dalam kegiatan lain.
Rancangan Jangka Panjang dan Pendek
Pengurusan masa yang berkesan utuk tujuan pembelajaran memerlukan jadual masa jangka panjang dan jadual masa mingguan.
Jadual masa jangka panjang mengambil kira silabus yang hendak diliputi, masa percutian, dan masa persediaan untuk peperiksaan. Dengan meneliti silabus kita dapat menganggarkan bahan dan buku yang hendak dipelajari dan dalam sesetengah kes kerja-kerja kursus seperti amali makmal yang perlu dibuat. Rancangan jangka panjang ini juga menetapkan bilakah persediaan intensif untuk peperiksaan bermula.
Sebaik-baiknya jadual mingguan dibuat setiap minggu supaya masa dapat digunakan secara optimum sesuai dengan keperluan pada minggu berkenaan. Umpamanya pelajar ingin menghadiri susuatu acara pada waktu yang biasanya ia mengulangkaji, katakanlah pukul 8.00 hingga 10.00 malam pada dua malam dalam sesuatu minggu. Ia harus memikirkan sama ada ia perlu menggantikan masa ulangkaji pada waktu lain atau tidak.
Sekiranya jadual mingguan sukar hendak dibuat setiap minggu, sekurang-kurangnya pelajar mestilah mengubah jadual mengikut musim dan keadaan pelbagai fasa rancangan jangka panjang. Umpamanya dalam fasa awal, masa ulangkaji jadual mingguan tidak patut sama dengan masa jadual dalam fasa persediaan untuk peperiksaan.
Jadual Masa yang Boleh Diamalkan
Sekiranya sesuatu perencanaan penggunaan masa itu sukar atau mustahil hendak dilaksanakan maka rancangan akan pelajar sentiasa mengubah cara ia menjalankan kegiatannya. Sebagai contohnya, jika waktu untuk makan dijadualkan selama 15 minit tetapi sebenarya masa yang diperlukan adalah 30 minit, maka kegiatan selepas makan seperti berehat dan sebagainya akan terjejas. Pelajar tersebut akan mengubah atau membatalkan jadual kegiatan berikutnya. Jika perubahan sentiasa dibuat, disiplin untuk mematuhi rancangan tadi akan luntur dan lambat laun rancangan tadi tidak dapat diikuti lagi.
Masa Tidur
Masalah rancangan masa yang terdapat di sesetengah kalangan pelajar ialah jadual masa tidur yang tidak sesuai. Ada pelajar yang gemar belajar hingga larut malam dan kemudiannya bangun lewat hinggakan tidak dapat hadir kelas atau kuliah. Perencanaan masa yang realistik mestilah memastikan supaya kelas atau kuliah serta kelas makmal dan bimbingan dapat diikuti. Sekiranya anda ada masalah ini, sesuaikan masa tidur anda dengan secara perlahan-lahan, yakni awalkan masa tidur anda peringkat demi peringkat hingga sampai ke tahap yang sesuai.
Tempoh Masa Belajar
Pelajar mesti merancang untuk belajar pada waktu ia cergas untuk berkerja. Pelajar juga perlu merancang bila yang ia perlu untuk berehat. Ahli psikologi mendapati daripada penyelidikan meluas yang manusia menjalankan kerja terbaik dengan bekerja keras untuk jangka masa yang berpatutan kemudian berehat atau bertukar kepada kegiatan lain. Ada kitaran optimum kerja dan rehat untuk setiap kegiatan bagi seseorang. Ada pendapat yang menyatakan kitaran masa yang baik untuk pembelajaran adalah 1 jam belajar dan 10 minit rehat.
LELEHAN MASA
Banyak pelajar mempunyai jadual masa tetapi malangnya mendapati jadual tersebut tidak digunakan. Walaupun mereka bermula dengan niat baik mereka tidak dapat mematuhi jadual tersebut. Salah satu sebabnya ialah kerana penglelehan masa.
Satu contoh yang dikatakan lelehan masa adalah seperti berikut: seorang pelajar yang mengikut jadual beliau sepatutnya mengkaji mata pelajaran Sains Bahan antara pukul 8 hingga 10 malam. Dengan azam yang kuat beliau duduk di meja tepat jam 8.00 malam. Semasa mengkaji nota kuliah Sains Bahan beliau mendapati ada tulisan beliau yang tidak dapat dibacanya. Oleh itu beliau memutuskan untuk bertanya kepada rakan sekursusnya yang kebetulannya jiran bilik beliau. Semasa ia masuk ke bilik kawannya beliau mendapati ada perbincangan yang menarik mengenai perlawanan bolasepak maka ia pun masuk campur berbincang. Setelah beberapa lama ia pun ingat yang sepatutnya ia membaca nota kuliah. Semasa perjalanan pulang ia teringat yang ada rancangan televisyen yang bagus pada waktu itu. Dengan bantuan bisikan hatinya, maka iapun percaya yang beliau boleh membaca nota kuliah sambil menonton televisyen. Begitulah masa meleleh hilang hinggakan pukul 10.00 malam satu helai nota pun tidak habis dibaca.
Pelelehan masa merupakan batu penghalang kepada pembelajaran berkesan. Sekiranya anda mempunyai masalah ini selesaikanlah dengan hati-hati dan beransur-ansur. Pelelehan masa boleh dihapuskan dengan amalan dan keazaman.
Rancangan masa yang realistik dan dipatuhi dengan penuh disiplin dapat membantu bukan sahaja pelajaran tetapi semua manusia untuk melibatkan diri dalam lebih banyak kegiatan dengan cara teratur.
MENGOPTIMUMKAN PERENCANAAN
Sudah menjadi lumrah manusia yang kecergasan otaknya turun dan naik setiap hari. Pada waktu hampir tidur manusia akan rasa mengantuk jika ia membuat kegiatan yang menjemukan. Oleh itu semasa menjadualkan rancangan masa pelajar perlu mengambil kira waktu yang otaknya cergas untuk belajar dan waktu yang ia perlu untuk berehat.
RINGKASAN
a. Pengurusan masa membolehkan pelajar men-jalankan kehidupan manusia biasa dan belajar dengan masa yang sama.
b. Jadual masa perlu mengambil kira kebolehlaksana-annya oleh pelajar.
c. Elakkan dari melelehkan masa.
Bab 3: Mengurus masa
Manusia memerlukan dan melakukan pelbagai kegiatan dalam kehidupannya. Badan manusia memerlukan tidur dan makan. Otak manusia perlu rehat dari pemikiran serious dan berat. Untuk keselesaan, manusia juga perlu membersihkan badannya, pakaian dan menyediakan makanan. Di samping itu sebagai makhluk bermasyarakat, manusia perlu mengambil masa bergaul dengan sahabat handai dan kaum keluarga.
Pelajar tidak boleh lari daripada kegiatan biasa seseorang manusia. Oleh itu sekiranya kegiatan kehidupan tidak diseimbangkan pelajar mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar. Salah satu rahsia kejayaan orang yang berpencapaian tinggi adalah pengurusan masa yang cekap yang membolehkan mereka membuat dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan dengan jayanya.
Oleh kerana minat dan keperluan kepada pelbagai kegiatan, seseoranag itu kadang-kala akan menghadapi pertelingkahan mengenai apa yang hendak dibuat dalam sesuatu waktu. Sebagai contohnya, seorang pelajar hendak belajar tetapi pada waktu yang sama ingin menonton tv. Keadaan begini menyebabkan pelajar tersebut serba salah, dan ia akan membazirkan masa untuk mengambil keputusan. Perencanaan masa mengelakkan dilema begini kerana kegiatan pada sesuatu masa itu sudah diputuskan.
PERANGKAAN PENGGUNAAN MASA
Untuk membolehkan pengurusan masa yang cekap pelajar perlu tahu mengenai kegiatan dan masa yang diambil olehnya sepanjang hari. Setiap individu menjalankan kegiatan kehidupannya berlainan dengan i
ndividu lain. Banyak pelajar tidak sedar berapa lama masa yang diambil untuk makan, tidur, bermain dan lain-lain lagi.
Sebelum perencanaan masa dibuat pelajar perlu mengkaji penggunaan masa yang dilakukannya secara lazim. Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan merakamkan setiap kegiatan dalam masa satu minggu. Dengan cara ini pelajar akan tahu kegiatan dan jumlah masa yang diambil.
Pelajar di sekolah sudah pasti menggunakan masa secara lain. Kegiatan hari Isnin akan hampir-hampir serupa dengan hari kerja lain yakni Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Hari Sabtu dan hari Ahad atau hari kelepasan akan berbeza di mana masa kelas akan berkurangan atau tiada langsung.
Setelah dicatat kegiatan ini untuk dua atau tiga minggu pelajar akan dapat membuat pengkelasan kegiatan dan masa yang terambil.
Perhatikan yang jadual masa mempunyai masa bebas, yakni masa yang tidak diperuntukkan untuk kegiatan apa-apa atau tertentu. Sebenarnya manusia mempunyai beberapa jam masa bebas sehari yang biasanya tidak digunakan untuk kerja-kerja yang serious. Pelajar boleh menggunakan masa ini untuk belajar dan juga untuk mengambil kegiatan yang ia minati. Maklumat dari jadual tersebut membolehkan seseorang mengawasi penggunaan masanya dengan mempastikan masa yang cukup untuk belajar dan juga untuk kegiatan lain disamping mengurangkan masa bebas.
FAKTOR YANG PERLU DIAMBIL KIRA
DALAM PENJADUALAN
Keutamaan
Setelah mengetahui bagaimana masa digunakan dalam sesehari, pelajar perlu menentukan berapa lama ia perlu belajar, masa untuk bergaul, dan untuk perkara-perkara lain. Kalau difikirkan dan direnungi dalam-dalam, memanglah banyak perkara yang ingin kita lakukan tetapi masa dalam sehari hanya ada dua puluh empat jam! Memang benar kata-kata “masa itu emas”. Seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah meletakkan masa belajar sebagai suatu keutamaan melebihi kegiatan sosial atau hiburan. Tetapi keutamaan bukanlah bermakna menghapuskan kegiatan tersebut. Kegiatan tersebut adalah rempah ratus hidup yang dapat menghindarkan perasaan bosan disamping mencaskan kembali otak yang letih. Di sinilah peranan pengurusan masa, di mana sesorang pelajar dapat mengatur dirinya untuk memberi keutamaan kepada pelajaran di samping mengambil bahagian dalam kegiatan lain.
Rancangan Jangka Panjang dan Pendek
Pengurusan masa yang berkesan utuk tujuan pembelajaran memerlukan jadual masa jangka panjang dan jadual masa mingguan.
Jadual masa jangka panjang mengambil kira silabus yang hendak diliputi, masa percutian, dan masa persediaan untuk peperiksaan. Dengan meneliti silabus kita dapat menganggarkan bahan dan buku yang hendak dipelajari dan dalam sesetengah kes kerja-kerja kursus seperti amali makmal yang perlu dibuat. Rancangan jangka panjang ini juga menetapkan bilakah persediaan intensif untuk peperiksaan bermula.
Sebaik-baiknya jadual mingguan dibuat setiap minggu supaya masa dapat digunakan secara optimum sesuai dengan keperluan pada minggu berkenaan. Umpamanya pelajar ingin menghadiri susuatu acara pada waktu yang biasanya ia mengulangkaji, katakanlah pukul 8.00 hingga 10.00 malam pada dua malam dalam sesuatu minggu. Ia harus memikirkan sama ada ia perlu menggantikan masa ulangkaji pada waktu lain atau tidak.
Sekiranya jadual mingguan sukar hendak dibuat setiap minggu, sekurang-kurangnya pelajar mestilah mengubah jadual mengikut musim dan keadaan pelbagai fasa rancangan jangka panjang. Umpamanya dalam fasa awal, masa ulangkaji jadual mingguan tidak patut sama dengan masa jadual dalam fasa persediaan untuk peperiksaan.
Jadual Masa yang Boleh Diamalkan
Sekiranya sesuatu perencanaan penggunaan masa itu sukar atau mustahil hendak dilaksanakan maka rancangan akan pelajar sentiasa mengubah cara ia menjalankan kegiatannya. Sebagai contohnya, jika waktu untuk makan dijadualkan selama 15 minit tetapi sebenarya masa yang diperlukan adalah 30 minit, maka kegiatan selepas makan seperti berehat dan sebagainya akan terjejas. Pelajar tersebut akan mengubah atau membatalkan jadual kegiatan berikutnya. Jika perubahan sentiasa dibuat, disiplin untuk mematuhi rancangan tadi akan luntur dan lambat laun rancangan tadi tidak dapat diikuti lagi.
Masa Tidur
Masalah rancangan masa yang terdapat di sesetengah kalangan pelajar ialah jadual masa tidur yang tidak sesuai. Ada pelajar yang gemar belajar hingga larut malam dan kemudiannya bangun lewat hinggakan tidak dapat hadir kelas atau kuliah. Perencanaan masa yang realistik mestilah memastikan supaya kelas atau kuliah serta kelas makmal dan bimbingan dapat diikuti. Sekiranya anda ada masalah ini, sesuaikan masa tidur anda dengan secara perlahan-lahan, yakni awalkan masa tidur anda peringkat demi peringkat hingga sampai ke tahap yang sesuai.
Tempoh Masa Belajar
Pelajar mesti merancang untuk belajar pada waktu ia cergas untuk berkerja. Pelajar juga perlu merancang bila yang ia perlu untuk berehat. Ahli psikologi mendapati daripada penyelidikan meluas yang manusia menjalankan kerja terbaik dengan bekerja keras untuk jangka masa yang berpatutan kemudian berehat atau bertukar kepada kegiatan lain. Ada kitaran optimum kerja dan rehat untuk setiap kegiatan bagi seseorang. Ada pendapat yang menyatakan kitaran masa yang baik untuk pembelajaran adalah 1 jam belajar dan 10 minit rehat.
LELEHAN MASA
Banyak pelajar mempunyai jadual masa tetapi malangnya mendapati jadual tersebut tidak digunakan. Walaupun mereka bermula dengan niat baik mereka tidak dapat mematuhi jadual tersebut. Salah satu sebabnya ialah kerana penglelehan masa.
Satu contoh yang dikatakan lelehan masa adalah seperti berikut: seorang pelajar yang mengikut jadual beliau sepatutnya mengkaji mata pelajaran Sains Bahan antara pukul 8 hingga 10 malam. Dengan azam yang kuat beliau duduk di meja tepat jam 8.00 malam. Semasa mengkaji nota kuliah Sains Bahan beliau mendapati ada tulisan beliau yang tidak dapat dibacanya. Oleh itu beliau memutuskan untuk bertanya kepada rakan sekursusnya yang kebetulannya jiran bilik beliau. Semasa ia masuk ke bilik kawannya beliau mendapati ada perbincangan yang menarik mengenai perlawanan bolasepak maka ia pun masuk campur berbincang. Setelah beberapa lama ia pun ingat yang sepatutnya ia membaca nota kuliah. Semasa perjalanan pulang ia teringat yang ada rancangan televisyen yang bagus pada waktu itu. Dengan bantuan bisikan hatinya, maka iapun percaya yang beliau boleh membaca nota kuliah sambil menonton televisyen. Begitulah masa meleleh hilang hinggakan pukul 10.00 malam satu helai nota pun tidak habis dibaca.
Pelelehan masa merupakan batu penghalang kepada pembelajaran berkesan. Sekiranya anda mempunyai masalah ini selesaikanlah dengan hati-hati dan beransur-ansur. Pelelehan masa boleh dihapuskan dengan amalan dan keazaman.
Rancangan masa yang realistik dan dipatuhi dengan penuh disiplin dapat membantu bukan sahaja pelajaran tetapi semua manusia untuk melibatkan diri dalam lebih banyak kegiatan dengan cara teratur.
MENGOPTIMUMKAN PERENCANAAN
Sudah menjadi lumrah manusia yang kecergasan otaknya turun dan naik setiap hari. Pada waktu hampir tidur manusia akan rasa mengantuk jika ia membuat kegiatan yang menjemukan. Oleh itu semasa menjadualkan rancangan masa pelajar perlu mengambil kira waktu yang otaknya cergas untuk belajar dan waktu yang ia perlu untuk berehat.
RINGKASAN
a. Pengurusan masa membolehkan pelajar men-jalankan kehidupan manusia biasa dan belajar dengan masa yang sama.
b. Jadual masa perlu mengambil kira kebolehlaksana-annya oleh pelajar.
c. Elakkan dari melelehkan masa.
Bahagian 1 : Selamat Masuk ke Universiti
Selamat Datang
Semasa menerima surat tawaran masuk belajar ke universiti, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada anda. Apabila anda menerima surat itu, rasanya seolah-olah dunia ini anda yang punya. Jika belum, mungkin surat itu bakal anda terima setahun ataupun dua tahun lagi. Kerja kuat, pastikan anda lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM, STPM ataupun matrikulasi nanti dan pasti surat itu milik kita. Yang penting di sini saya tahu dan semua orang tahu anda mampu dan layak untuk ke universiti.
Buku ini ditulis bagi membawa ‘alam universiti’ itu lebih awal kepada kita. Walaupun masih di bangku sekolah, anda layak membaca buku ini. Kita perlu tahu bagaimana hidup di menara gading. Dunia itu bakal kita lalui tidak lama lagi. Ia dapat menjadi dorongan kuat kepada anda bagi menjadikannya kenyataan, Insyallah. Kepada yang sudah berada di universiti, anda juga dapat memperoleh faedah daripada buku ini. Ramai mahasiswa terutama di tahun pertama, tidak pasti bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan suasana baru di kampus dengan cepat. Tempoh tiga hingga empat tahun itu tidak lama dan kita perlu mencapai kejayaan setinggi mungkin semasa di universiti.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke alam universiti, bermulalah perjalanan hidup yang bakal mengubah diri kita pada masa hadapan. Tidak ramai yang bernasib baik seperti kita. Belajarlah mempercayai bahawa anda sekarang bergelar golongan intelektual yang semakin hampir kepada cita-cita dalam hidup.
Jika selama ini anda bercita-cita hendak menjadi doktor maka selepas mengikuti pengajian di Fakulti Perubatan, anda akan menjadi doktor. Jika mahu menjadi ahli sains sekarang anda mempunyai kesempatan untuk menjadi ahli sains yang paling hebat di dunia. Alam baru ini bakal mengubah diri kita menjadi dewasa, berpengetahuan dan dihormati. Setiap tahun kita lihat di akhbar betapa bangganya mahasiswa yang melalui detik-detik konvokesyen. Kita lihat dalam brosur-brosur universiti, suasana kampus adalah kehidupan yang indah dan ceria. Aktiviti persatuan, mengembara, menjadi anak angkat di kampung asing, bergambar dengan profesor dan sebagainya adalah aktiviti biasa di kampus dan semua ini menanti kita.
Kegembiraan ini bukan milik anda seorang. Ibu bapa juga pasti bangga dan gembira semasa menghantar anak kesayangan mereka menjejak kaki ke universiti lebih-lebih lagi jika anda anak pertama ke menara gading. Sebelum berangkat pasti ada kenduri kesyukuran meraikan anda nanti. Mereka juga mahu bercerita dengan jiran-jiran dan saudara lain bagaimana hebatnya kampus universiti anak mereka nanti.
“Belon Hitam pun Dapat Terbang”
Ini kisah seorang kanak-kanak Negro yang miskin, berkulit hitam legam, tinggal di sebuah kampung kecil di pedalaman Amerika.
Pada suatu hari kanak-kanak itu berjalan-jalan di pinggir sebuah pasar. Dia tidak mempunyai wang dan tiada tujuan hendak membeli apa-apa di pasar itu. Hanya sekadar melihat-lihat.
Dia terpandang seorang penjual belon sedang berteriak memanggil pelanggan. Belon-belonnya berwarna-warni dan semuanya terapung di udara.
Ada sesuatu yang terlintas di fikiran anak kecil itu. Lantas dia menghampiri si penjual belon.
“Kamu mahu belon yang mana?” tanya penjual belon.
“Saya tidak mahu membeli belon!” jawab si anak perlahan.
“Saya cuma mahu bertanya.”
“Apa dia?” tanya si penjual kehairanan.
“Mengapa pakcik menjual belon-belon yang berwarna-warni? Mengapa tidak ada belon berwarna hitam? Belon berwarna hitam tidak boleh terbang ke, pakcik?” tanya si anak bertalu-talu dan bersungguh-sungguh.
Si penjual terpegun dan merenung si anak kecil itu dengan mata berkaca.
“Anakku, bukan warna belon yang membuatnya boleh terapung. Apa yang ada di dalam belon itu yang membuatnya terbang apabila dilepaskan.”
Ada cahaya yang terbit dari wajah si anak lalu bertanya lagi. “Maknanya belon warna hitam pun boleh terbang jugalah?”
“Ya. Benar anakku! Belon warna hitam pun boleh terbang tinggi seperti belon-belon lain,” balas si penjual.
“Terima kasih, pakcik. Terima kasih,” balas si anak lalu melompat girang dan berlalu pergi.
Syed Yusainee
Mengapa Perlu Masuk Universiti?
Sebelum pergi lebih jauh, mengapa anda perlu ke universiti? Satu soalan yang bagus dalam suasana hari ini! Adakah sekadar hendak mendapat ijazah dan kemudian mencari kerja? Dalam keadaan sekarang, mempunyai ijazah pun belum tentu dapat kerja, jadi mengapa semua orang sibuk-sibuk masuk universiti? Lebih baik belajar berniaga dengan ayah, timba pengalaman dan jadi kaya macam tauke di Genting Highlands itu? Sebenarnya semua itu betul, tetapi belajar di universiti lebih daripada sekadar hendak mendapatkan pekerjaan ataupun menjadi kaya.
“Pendidikan di universiti akan menunjukkan betapa sedikitnya apa yang orang lain tahu.”
Thomas C. Haliburton (1796 - 1865)
Usia yang dihabiskan sekurang-kurangnya 3 hingga 4 tahun di kampus akan mengubah dan memberi kesan seumur hidup ke atas kita. Dalam tempoh ini kita dilatih dalam jurusan masing-masing sama ada untuk menjadi jurutera, pentadbir, guru, ahli sains, ahli sejarah, jurubahasa dan lain-lain. Kita belajar menerima arahan daripada dekan ataupun profesor, belajar membuat kertas kerja, membuat rujukan perpustakaan, membuat penyelidikan, berbincang, bermesyuarat, berdebat, memimpin persatuan dan seribu satu macam aktiviti lain.
Kesemua ini dapat membuka dan merangsang kemahiran berfikir, bertindak dan berdisiplin. Kemahiran ini akan digunakan bagi meneroka kejayaan masa depan anda nanti. Benar bahawa semua ini dapat diperoleh melalui pengalaman hidup. Namun begitu, kita perlu menghabiskan tempoh masa yang panjang dan diuji sebelum kita sempat mempelajari apa-apa.
Peribahasa Cina ada mengatakan, “Pengalaman adalah cikgu yang keras. Dia memberi ujian sebelum mengajar.”
Di universiti kita akan belajar dan bersedia sebelum diuji dalam hidup. Kesimpulannya belajar di universiti bukan sahaja mengasah kemahiran dalam bidang masing-masing tetapi menjadikan kita manusia yang lebih baik. Itu sebab mengapa kita perlu ke universiti!
Manusia Mulia Kerana Ilmunya
Zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid adalah antara tempoh kegemilangan Islam. Sesuai dengan nama beliau yang bermakna ‘Yang Agung’, Khalifah Harun al-Rashid memiliki segala kemewahan dan penghormatan manusia. Walaupun begitu beliau tidak terleka dan sangat suka kepada ilmu pengetahuan.
Pada zaman pemerintahan beliau, ada seorang ilmuwan terkenal yang bernama Imam Malik. Mendengar kehebatan ilmu yang dimiliki Imam Malik, Khalifah Harun al-Rashid mahu belajar daripadanya. Khalifah kemudian memerintahkan pegawai dan segala kelengkapannya menghantar rombongan menjemput Imam Malik ke istana.
Semasa pegawai istana menyampaikan hasrat baik Khalifah itu, Imam Malik dengan sopan menolaknya. “Jika Khalifah mahu belajar, biarlah dia sendiri datang ke mari,” pesan Imam Malik semasa menghantar rombongan istana itu pulang.
Kembali ke istana, pegawai itu menyampaikan pesan Imam Malik. “Baiklah, Beta tidak tunduk kepada sesiapa, tetapi beta tunduk pada Imam Malik kerana ilmu yang ada padanya” kata Khalifah Harun al-Rashid lalu mengarahkan persiapan untuk ke rumah Imam Malik.
Datanglah Khalifah agung Harun al-Rashid menadah kitab bersama-sama dengan murid-murid lain di hadapan Imam Malik. Tidak ada beza, semuanya dilayan sama rata.
Selesai mengajar Imam Malik berkata kepada murid-muridnya, “Apa ditunggu lagi? Mengapa tidak dilayan Tuanku Khalifah yang agung ini” sambil berjalan menuju kepada Khalifah dengan perasaan bangga dan terharu.
Pengajaran daripada cerita di atas adalah kerana ilmu, seseorang itu boleh menjadi begitu mulia sehingga dihormati pemimpin negara.
Hari yang Ditunggu Sudah Tiba!
Terbit fajar hari besar itu, maka berduyun-duyun keluarga menghantar anak-anak ke universiti yang sudah ditetapkan. Semasa melangkah kaki meninggalkan rumah pada hari itu, kita memulakan perjuangan yang cukup mulia. Semasa datang mendaftar sebagai mahasiswa menara gading pada hari bersejarah itu, kita disambut oleh pelajar-pelajar senior ataupun pegawai Hal Ehwal Pelajar Universiti. Mereka membantu membawa anda dan keluarga ke lokasi pendaftaran. Jangan lupa membawa beberapa keping gambar terbaru wajah tampan dan jelita anda dalam ukuran pasport. Pasti banyak borang-borang semasa pendaftaran itu yang perlu ditampalkan wajah anda nanti.
Banyakkan bersabar semasa proses pendaftaran kerana bukan anda seorang sahaja yang datang ke kampus hari itu. Ikuti arahan dan papan tanda pandu arah tempat di mana anda diminta berada. Semua orang mahu cepat pada hari itu dan dengan mengikuti segala arahan proses pendaftaran dapat berjalan dengan lancar. Tidak perlu satu kampung menghantar anda ke kampus kerana bilangan kenderaan yang terlalu banyak menyesakkan kawasan di dalam kampus.
Pada hari anda datang mendaftar sebagai warga kampus, pastikan surat tawaran, surat pemeriksaan doktor, sijil persekolahan, beberapa salinan gambar foto terbaru, pakaian dan keperluan peribadi dibawa bersama. Anda tidak perlu membawa baldi, sabun, penyapu dan lain-lain kerana keperluan itu ada dijual di kedai kemudahan pelajar. Seelok-eloknya buat pemeriksaan kesihatan beberapa hari sebelum datang mendaftar. Jika tidak berkesempatan, pemeriksaan itu dapat dilakukan kemudian.
Selesai pendaftaran di Pusat Pelajar, anda akan dibawa ke asrama ataupun kolej yang ditentukan. Bermula dari hari pendaftaran sebagai pelajar baru, kolej kediaman menjadi ‘rumah’ baru kita. Tidak ada ibu bapa, kakak ataupun adik yang bakal menyambut kita kecuali rakan baru yang tidak pernah kita kenali sebelum ini. Kawan baru kita ini datang daripada berbagai-bagai latar belakang. Mereka ini mungkin datang daripada keluarga berada ataupun mempunyai gaya yang anda tidak biasa sebelum ini. Anda mungkin serta-merta menyenangi rakan baru ini ataupun mungkin sudah dapat membayangkan masalah yang bakal muncul.
Bilik-bilik penginapan yang disediakan mempunyai semua kemudahan asas seperti katil, almari, meja belajar dan sebagainya. Namun begitu, kemudahan-kemudahan ini mungkin tidak sehebat dengan apa yang anda miliki di rumah sendiri. Selain itu semua kemudahan ini perlu dikongsi bersama-sama dengan rakan yang lain. Untuk berhadapan dengan keadaan ini anda perlu membuat persediaan mental yang mencukupi sebelum hari pendaftaran itu. Jiwa yang kukuh, sikap toleransi, tolak ansur dan mudah mesra akan membantu kita menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini.
Bab 1
Pengertian Penyelidikan
Sejarah penyelidikan bermula sejak tamadun manusia. Masalah yang dialami manusia sendiri menyebabkan manusia mengkaji dan terus mengkaji bagaimana memperoleh hasil penyelidikan yang sesuai daripada semasa ke semasa bagi memperbaiki kehidupan mereka. Kemajuan yang dicapai di dunia pada hari ini adalah hasil daripada penyelidikan yang dijalankan oleh manusia. Justeru itu kehidupan seharian manusia sentiasa dipengaruhi oleh hasil-hasil penyelidikan. Penyelidikan sentiasa dilakukan oleh manusia. Contohnya, organisasi kerajaan dan swasta sentiasa menjalankan penyelidikan yang dirancang dengan teliti bagi memperbaiki lagi perkhidmatan dan produktiviti masing-masing.
Begitu juga dengan ahli-ahli antropologi sentiasa menjalankan penyelidikan berkenaan kesan-kesan tinggalan tamadun silam bagi mengetahui corak kehidupan pada masa lampau. Penyelidikan-penyelidikan yang dijalankan adalah bagi mengetahui apa yang sedang, telah dan akan berlaku bagi menambahkan pengetahuan manusia. Ada manusia mendapat pengetahuan baru secara spontan, melalui pengalaman dan wahyu daripada Tuhan, tetapi terdapat manusia yang memperoleh pengetahuan melalui metode yang logik bagi mendapatkan generalisasi yang dinamakan pengetahuan. Justeru itu penyelidikan adalah satu bidang yang luas dan berkembang. Sebahagian besar daripada kemajuan yang dicapai di dunia moden kini adalah hasil daripada kajian penyelidikan ahli-ahli sains.
Penyelidikan adalah usaha-usaha yang dilakukan bagi mengkaji masalah-masalah tertentu dengan menggunakan pendekatan saintifik berdasarkan data-data yang diperoleh daripada sesuatu masalah yang dikenal pasti. Segala maklumat yang diperoleh adalah sangat berguna dan penting malah boleh dipercayai. Penyelidikan juga satu pengkajian yang sistematik dalam menyediakan satu informasi bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Melaluinya, pengkaji memperoleh maklumat terkini dan terbaru di samping memperbaharui teori, kesimpulan dan hukum-hukum yang sedia ada.
Penyelidikan berguna kerana ia adalah satu tatacara teratur yang digunakan oleh manusia bagi menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman. Penyelidikan dijalankan dengan lebih terperinci dan menggunakan langkah-langkah khusus yang telah dikhaskan. Pengetahuan yang baru diperoleh memberi banyak manfaat dan faedah bergantung kepada bidang yang diterokai. Kebiasaannya, penyelidikan bertujuan mencari jawapan kepada persoalan yang dianggap penting dan berfungsi bagi meningkatkan ilmu pengetahuan. Di samping itu membentuk globalisasi, prinsip-prinsip ataupun teori sebagai asas ramalan kepada masalah yang akan berlaku. Penyelidikan juga sering dikaitkan dengan sifat sejagat kerana ia bertujuan mencari hubung kait yang stabil antara sebab dan akibat. Penyelidikan sangat penting kepada kita semua terutamanya masyarakat moden seperti negara kita yang sedang membangun. Setiap negara perlu menjalankan penyelidikan tersendiri dalam pelbagai bidang terutamanya yang berkaitan dengan kemasyarakatan.
Penyelidikan adalah usaha mencari data yang digunakan bagi memecahkan sesuatu persoalan tertentu, atau sekadar ingin mengetahui sama ada wujudnya ataupun tidak sesuatu persoalan itu. Daripada segi sejarah perkembangan penyelidikan pula, jelas membuktikan kaji selidik adalah suatu langkah sistematik yang mengkaji perhubungan antara pemboleh ubah. Langkah sistematik ini adalah elemen yang terpenting dalam konsep asas penyelidikan. Seseorang berkemungkinan melakukan sesuatu kajian ataupun pemerhatian, tetapi tindakan itu tidak membawa sebarang makna yang berkesan sekiranya proses langkah sistematik diabaikan. Penyelidikan bertujuan mendapatkan kebenaran yang mempunyai logik berkaitan sesuatu fenomena, tetapi ia tidak bererti kebenaran yang didapati adalah kebenaran yang muktamad mengenai fenomena itu.
Hasil penyelidikan adalah pengetahuan baru. Ini kerana pengetahuan yang ada bersifat berubah-ubah. Dengan adanya sifat ini, sesuatu pengetahuan yang dianggap baru pada suatu masa mungkin tidak lagi sesuai pada masa lain. Begitu juga pengetahuan yang ada dan sesuai di negara-negara Barat mungkin tidak ada dan tidak sesuai di negara kita. Menurut Majid Konting (1994) penyelidikan bermula apabila suatu masalah mula dirasai. Masalah yang dihadapi adalah rangsangan kepada penyelidik. Akal yang dirangsang oleh masalah akan berfikir dan menimbang sama ada sesuatu masalah yang dihadapi adalah masalah sebenar dan memerlukan penyelesaian. Akal akan mengenal pasti dan menganggarkan sejauh mana masalah tersebut perlu dikaji. Akal juga menentukan sebanyak mana faedah yang dapat diperoleh daripada penyelidikan ke atas masalah. Akal terus dirangsang oleh masalah. Tanpa dirangsang oleh masalah, akal tidak akan berfungsi dan seterusnya penyelidikan tidak akan berlaku.
Justeru itu, aktiviti penyelidikan sebenarnya digerakkan oleh suatu keperluan yang dirasai oleh masyarakat. Contohnya, masalah penyalahgunaan dadah, masyarakat merasakan bahaya dan implikasi buruknya dan masalah ini perlu dibanteras. Oleh itu masyarakat seluruhnya merasakan ia perlu diberi perhatian dan berusaha mencari apakah sebabnya, apakah faktor yang mempengaruhinya maka ia perlu kepada pengkajian dan penyiasatan. Perkara-perkara inilah yang dapat menghasilkan suatu perancangan bagi menjalankan satu penyelidikan.
Penyelidikan
Penyelidikan adalah suatu proses penghasilan pengetahuan. Dengan erti kata lain, ia bukan melibatkan pemindahan kenyataan ataupun sesuatu kebenaran daripada satu sumber ke tempat lain contohnya, pemindahan kenyataan daripada sebuah buku terus ke sebuah kertas kerja ataupun laporan. Sebaliknya aktiviti penyelidikan dilakukan melibatkan pemindahan maklumat daripada satu tempat ke tempat yang lain bagi menambahkan pengetahuan masyarakat dan mengurangkan kejahilan bukan memindahkan kenyataan yang menjadi pengetahuan umum.
Penyelidikan adalah satu cabang ilmu yang saintifik dan sistematik. Kaedah logik dan sistematik digunakan bagi melahirkan pengetahuan serta mengasaskan kajian-kajian sebenar. Sesuatu penyelidikan itu perlu dijalankan kerana ia bertujuan mengelakkan diri daripada membuat kesilapan yang melulu ke atas sesuatu fenomena sosial dan tidak hanya berdasarkan pada pemerhatian yang ringkas dan bukti yang tidak lengkap. Setiap pemerhatian yang dilakukan tidak harus dipengaruhi oleh kepercayaan, nilai, rujukan ataupun kehendak pemerhati atau seseorang pengkaji (Rohana, 1996). Setiap pemerhatian dan kajian mestilah dibuat oleh pengkaji yang terlatih dan memahami kaedah penyelidikan. Setiap penyelidik mestilah pakar dalam bidangnya dan dapat menggunakan kaedah penyelidikan yang sebaik-baiknya dalam sesuatu penyelidikan. Ini kerana penyelidik yang tidak terlatih tidak dapat memahami apa yang hendak dilihat dan bagaimana hendak menginterpretasikan sesuatu hasil yang diperoleh.
Menurut Kamarudin Ngah (1990) peranan penyelidikan amat penting dalam proses pembangunan manusia dan sumber. Ia menjadi input utama kepada sebarang cadangan perubahan yang berkesan. Seseorang penyelidik seharusnya menggunakan proses pemikiran bagi menjayakan satu-satu kajian. Setiap penyelidikan mestilah mempunyai suatu rangka ke arah penyelidikan yang baik, kemas dan fleksibiliti bagi penyesuaian sepanjang kajian. Sebelum menjalankan sesuatu penyelidikan, seharusnya pe-nyelidik mengetahui dan memahami pengertian dan matlamat penyelidikan yang dijalankannya.
Mengikut Webster’s New International Dictionary, penyelidikan ialah membuat satu inquiry atau penyiasatan yang rapi dan kritikal dengan sepenuh pemerhatian bagi memperoleh fakta-fakta dan prinsip-prinsip dalam menentukan ataupun menjawab sesuatu persoalan dan permasalahan.
Skidmore (1996) pula mendefinisikan penyelidikan sebagai, “the manipulation of things, concepts or symbols for the purpose of generalizing to extend, correct, or verify knowledge, whether that knowledge aids in the construction of a theory or in the practice of an art”. Skidmore lebih menumpukan kaedah penyelidikan dalam proses kerja-kerja sosial. Proses kerja sosial membolehkan penyelidikan menguasai kebanyakan daripada praktik kerja sosial. Pekerja sosial memerlukan jawapan saintifik berkaitan soalan-soalan penyelidikan yang dikemukakan. Mereka perlu tahu kenapa responden mereka berkelakuan begitu dan mengetahui berkenaan fungsi sosial mereka. Teknik dan kemahiran pekerja sosial dalam membantu mereka yang dalam kesusahan diperlukan. Bagi menjawab semua itu, pekerja sosial perlu menjalankan penyelidikan terlebih dahulu dalam mengenal pasti masalah-masalah yang dialami atau dihadapi oleh kebanyakan responden mereka.
Selain itu, penyelidikan juga boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang teratur atau sistematik bagi mencari jawapan kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan berkenaan sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenal pasti. Definisi ini menekankan kepada wujudnya beberapa soalan yang perlu dijawab. Soalan-soalan itu dipanggil soalan penyelidikan. Dalam sebarang penyelidikan, seseorang itu bertujuan mencari dan mentafsirkan fakta-fakta baru, membaharui teori, kesimpulan atau hukum-hukum yang sedia ada dengan mengambil kira fakta-fakta baru tadi.
Penyelidikan juga adalah usaha yang sistematik dan tersusun bagi mengkaji sesuatu masalah khusus yang memerlukan penyelesaian. Sesuatu masalah itu perlu dikenal pasti terlebih dahulu. Kemudian barulah langkah mencari maklumat, menganalisis data dan mengenal pasti faktor-faktor yang berkaitan dengan masalah itu diambil. Kesemua kaedah ini dikenali sebagai penyelidikan kerana ia adalah aktiviti dan siri yang dirancang secara sistematik bagi membolehkan pengkaji memahami masalah yang perlu ditangani atau diminimumkan.
Pengertian lain bagi penyelidikan ialah sebagai suatu aktiviti yang tersusun, sistematik, berdasarkan data, kritikal dan penyiasatan yang saintifik kepada masalah khusus yang dilakukan bertujuan mendapatkan jawapan atau penyelesaian kepada masalah berkenaan. Penyelidikan mempunyai skop yang luas dalam mengkaji setiap aspek kehidupan. Pada kebiasaannya, penyelidikan dilakukan oleh orang perseorangan atau kumpulan-kumpulan tertentu. Pada kebiasaannya, penyelidikan yang dijalankan merujuk kepada sesuatu perkara atau benda yang telah, sedang ataupun akan berlaku.
Penyelidikan dilakukan bagi mengkaji masalah khusus dan semestinya menggunakan pendekatan saintifik. Maksudnya, setiap penyelidikan itu akan menjawab setiap persoalan mengapa sesuatu hal yang dikaji berlaku. Pendekatan saintifik turut menjurus kepada pembentukan dan pengkhususan sesuatu teori sama ada yang sedia ada ataupun baru dicipta. Pendekatan saintifik turut melibatkan langkah yang sistematik dan objektif setiap benda yang dikaji. Ini adalah kerana ia melibatkan prosedur-prosedur yang dirancang dengan teliti dan analisis yang dilakukan adalah terperinci.
Dalam mencari jawapan kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan berkenaan sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenal pasti penyelidikan merujuk kepada satu aktiviti yang teratur. Definisi ini menekankan pada wujudnya beberapa soalan yang perlu dijawab yang dinamakan sebagai soalan-soalan penyelidikan.
Rumusannya, penyelidikan adalah cara teratur memperoleh pengetahuan baru. Penyelidikan adalah satu aktiviti berhubung usaha memperoleh dan menganalisis maklumat bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah. Hasil penyelidikan ialah pengetahuan baru. Ini kerana pengetahuan yang ada bersifat berubah-ubah. Dengan adanya sifat tersebut, sesuatu pengetahuan yang dianggap baru pada suatu masa mungkin tidak lagi sesuai pada masa lain. Begitu juga sesuatu pengetahuan yang ada dan sesuai di negara-negara barat mungkin tidak sesuai di Malaysia. Dengan adanya penyelidikan, idea dan pengetahuan baru yang sesuai boleh diperoleh.
Secara umumnya terdapat lima sumber utama manusia memperoleh ilmu pengetahuan (lihat Rajah 1). Perbezaan utama antara sumber ini berteraskan kepada dua perkara:
1. Keyakinan seseorang pada pengeluar kenyataan atau pengetahuan yang dikatakan benar iaitu siapakah yang mengatakannya.
2. Atur cara ataupun proses penghasilan kenyataan iaitu, kita bertanya, bagaimana kenyataan itu dihasilkan? Bagaimana anda tahu?
Mengenali Pembelajaran Orang Dewasa
Pendahuluan
Kertas kerja ini membincangkan suatu fenomena yang berlaku dalam sesebuah organisasi masyarakat iaitu pembelajaran dewasa. Sebelum membincangkan perkara ini dengan lebih jauh, kita perlu mengetahui apa yang dikatakan dengan dewasa dan pembelajaran.
Ramai juga yang masih keliru dalam membezakan antara makna pembelajaran dan pendidikan. Semua pendidikan adalah membabitkan proses pembelajaran tetapi tidak semua proses pembelajaran itu adalah berkaitan dengan pendidikan.
Orang dewasa sering kali ditakrifkan berdasarkan faktor umur mereka. Namun, umur bukanlah menjadi ukuran bagi seseorang itu untuk belajar. Oleh itu, kita tidak boleh membuat paradigma sendiri seseorang individu itu dewasa pada umur yang tertentu. Sesungguhnya selagi ilmu itu ada sesiapapun boleh mempelajarinya.
Menurut Knowles (1981), orang dewasa juga mempunyai keinginan untuk bertindak ke arah kendiri apabila mereka semakin matang walaupun ada kalanya mereka bergantung pada orang lain. Mereka juga berusaha untuk cuba menguasai sesuatu pengetahuan atau kemahiran untuk disesuaikan dengan kehidupannya.
Menurut Gordon G. Darkkenwald dan Sharan B. Merriam (1982) dalam bukunya Adult education foundations of practice, pembelajaran dewasa adalah suatu proses yang dilakukan oleh manusia yang mana dikelaskan dewasa ataupun mempunyai status dewasa secara sistematik ataupun sebaliknya yang seterusnya akan membawa perubahan dalam pengetahuan, sikap, nilai atau kemahiran.
Siapa itu Pelajar Dewasa?
Pelajar dewasa adalah individu yang mampu berfikir secara waras. Mereka juga mampu membezakan perkara yang baik mahupun buruk. Selain itu, corak pemikiran mereka adalah lebih matang berbanding dengan remaja sekali gus melahirkan idea-idea yang bernas dan memberi keuntungan pada mereka. Di samping itu, setiap keputusan yang dihasilkan memberi manfaat pada dirinya, masyarakat dan juga institusi. Ciri-ciri fizikal yang dapat dilihat pada pelajar dewasa ini adalah keperluan spiritual dan biologikal atau dalam erti kata lain struktur badan mereka lebih menonjolkan kematangan. Minat mereka juga bersifat tetap dan mempunyai corak pembelajaran yang berbeza-beza.
Antara ciri utama yang dapat dilihat tentang pelajar dewasa ini adalah mereka sering mempelajari sesuatu melalui pengalaman yang mereka lalui. Mereka juga sering mengaitkan pengajaran baru dengan pengalaman yang sedia ada pada mereka. Dengan cara ini mereka dapat meningkatkan status ilmu mereka. Sebagai contoh mereka turut mempelajari bidang informasi teknologi dan secara tidak langsung mereka akan cuba mengaitkan dengan pengalaman yang sedia ada. Mereka juga lebih gemar menonjolkan bakat serta inginkan penghormatan daripada masyarakat. Namun begitu tidak dinafikan mereka juga kadangkala bergantung kepada orang lain.
Teori-teori Pembelajaran Orang Dewasa
Pelbagai teori sudah dikemukakan oleh para sarjana berkaitan dengan pembelajaran orang dewasa. Teori-teori yang di-kemukakan ini membolehkan kita mengetahui keperluan dan motif sebenar pembelajaran yang dapat mengubah seseorang itu. Teori-teori yang dikemukakan terlalu banyak. Justeru teori-teori ini dibahagikan kepada beberapa teori pembelajaran orang dewasa yang utama.
Teori behaviouris
Antara para sarjana yang memberikan idea dalam teori ini adalah Thorndike, Pavlov, Watson, Guthrie, Hull, Tolman dan Skinner. Menurut teori yang berorientasikan tingkah laku ini, pembelajaran boleh membentuk tingkah laku yang boleh menyokong ke arah perubahan kendiri. Konsep teori ini adalah merangsang gerak balas, pengubahsuaian tingkah laku, kecekapan asas dan kemahiran penuh dalam sesuatu pembelajaran. Kaedah latihan dan pengukuhan dipraktikkan dalam pembelajaran tersebut. Teori ini sebenarnya lebih kepada perubahan tingkah laku seseorang itu dalam membentuk persekitaran pembelajaran.
Teori kognitif
Antara para sarjana yang telah memberikan idea dalam teori ini adalah Koffka, Kohler, Lewin, Piaget, Ausubel, Bruner, Gagne. Teori kognitif menyatakan manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun dan mengeluarkan semula pengalaman mereka. Konsep teori ini ialah menggunakan prinsip ulangan dan menggunakan perbandingan analogi dan aplikasi. Teori ini lebih kepada penggunaan pemikiran seseorang bertujuan membentuk struktur kognitif dalam ingatan dan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ingatan. Ia adalah suatu proses mental dalaman.
Teori humanisis
Berlainan pula Maslow dan Rogers yang mengutarakan teori humanisis. Menurut mereka pembelajaran adalah menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan kendiri serta perkembangan dan penyempurnaan kendiri. Teori ini bersifat kemanusiaan yang mana pembelajaran mengalami kebebasan arah kendiri, terbuka, bekerjasama dan melibatkan perasaan. Kaedah seperti tugasan kumpulan atau perbincangan secara berpasukan bertujuan mengeratkan hubungan sesama ahli.
Teori pembelajaran sosial
Bandura dan Rotter pula mengemukakan idea mereka dalam teori pembelajaran sosial. Menurut Rotter, “Kebanyakan tingkah laku manusia adalah berkait rapat dengan persekitaran yang penting dan berinteraksi sosial dengan orang lain”. Menurut teori pembelajaran sosial, kaedah pembelajaran adalah secara berinteraksi dan pemantauan terhadap orang lain daripada segi sosial. Selain itu, pembelajaran adalah interaksi antara manusia, persekitaran dan tingkah laku.
Di atas hanyalah beberapa teori sahaja yang sering diperkatakan oleh para sarjana. Masih banyak lagi teori yang wujud seperti teori progresif dan liberal.
Kenapa Orang Dewasa Belajar?
Setiap individu mempunyai tujuan atau matlamat tertentu dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Matlamat utamanya adalah untuk mendapat sesuatu ganjaran seperti mana yang dikehendaki oleh diri masing-masing. Walaupun begitu, ia terpulanglah kepada diri individu masing-masing sama ada baik ataupun buruk niat hati mereka. Akan tetapi bagi orang dewasa, mereka meneruskan pelajarannya mungkin untuk kepentingan dirinya, keluarganya, masyarakat ataupun negaranya. Walaupun demikian, hakikatnya terdapat banyak sebab yang mendorong orang dewasa ingin belajar semula seperti yang dinyatakan di bawah.
Sebagai tuntutan
‘Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad’ adalah salah satu mutiara kata yang menuntut setiap insan yang hidup di dunia supaya mencari ilmu sebanyak mungkin. Ia menunjukkan ilmu pengetahuan itu sangat penting kepada setiap individu. Dalam erti kata lain, menuntut ilmu itu adalah satu proses berterusan yang dituntut oleh agama. Setiap orang perlu mencarinya sendiri kerana ilmu itu luas ibarat sebuah lautan.
Keperluan
Orang dewasa belajar kerana hendak memenuhi keperluan hidup masing-masing. Dengan adanya ilmu pengetahuan, ia dapat membantu seseorang itu mencapai matlamat sebagaimana yang mereka inginkan. Sebagai contoh, seseorang memerlukan ilmu bagi mendapatkan sesuatu pekerjaan.
Menonjolkan bakat
Pada umumnya, orang dewasa terdiri daripada individu yang sudah bekerja dan terlibat dengan aktiviti bermasyarakat. Ia memudahkan mereka menonjolkan bakat masing-masing dan memainkan peranan sosial dalam masyarakat sekali gus mendapat pengiktirafan dan penghormatan dari masyarakat sekeliling. Secara tidak langsung, mereka dapat menjadi contoh dalam keluarga mahupun komuniti.
Menguasai ilmu
Seseorang individu belajar untuk menguasai ilmu termasuklah orang dewasa. Ilmu yang dikuasai kemudiannya diamalkan dalam kehidupan seharian selaras dengan perkembangan teknologi yang pesat agar kehidupan menjadi lebih bermakna.
Untuk kualiti hidup
Seseorang akan berasa lebih yakin untuk menjalani kehidupan sekiranya mereka mempunyai ilmu pengetahuan atau pelajaran terutamanya apabila dikelilingi oleh orang ramai. Mereka juga tidak mudah berasa rendah diri apabila berinteraksi dengan orang ramai. Dengan sifat sebegini, hidup mereka sentiasa dalam kegembiraan tanpa sebarang masalah dan lebih berkualiti.
Menyelesaikan masalah
Seorang dewasa yang menuntut ilmu percaya bahawa penguasaan ilmu dapat membantu mereka menyelesaikan sebarang masalah dalam kehidupan seharian. Contohnya, masalah yang berkaitan dengan pekerjaan mereka seperti masalah untuk mengendalikan sesuatu mesin dapat diatasi dengan adanya ilmu pengetahuan tentang penggunaannya berserta dengan latihan praktikal yang telah dilaksanakan.
Kesukarelaan diri sendiri
Setiap individu termasuk orang dewasa mempunyai kesedaran akan kepentingan menuntut ilmu. Mereka belajar atas kehendak diri sendiri tanpa sebarang paksaan bagi memenuhi matlamat kehendak diri mereka masing-masing.
Mengubah pencapaian dan memotivasikan diri
Seseorang individu tidak akan mencapai kepuasan dengan tahap pendidikan yang rendah. Begitu juga dengan pelajar dewasa, mereka masih mempunyai banyak masa dan ruang untuk mencapai kemajuan atau kejayaan. Mereka juga ingin mendapatkan pendidikan di peringkat yang lebih tinggi supaya mereka dapat menjalankan pekerjaan dan kehidupan seharian dengan lebih yakin. Secara tidak langsung, ilmu yang diperoleh dapat menimbulkan semangat untuk berubah ke arah tingkah laku yang baik dan positif.
Memudahkan pekerjaan dan tanggungjawab
Ilmu yang diperoleh akan membantu melicinkan tugas dan tanggungjawab seseorang dalam apa jua perkara yang dilakukan tanpa mengira masa dan tempat.
Suatu persaingan yang sihat
Dalam menuntut ilmu, pelajar dewasa dapat membuktikan kebolehan diri masing-masing seterusnya dapat mewujudkan persaingan yang sihat. Contohnya, dalam bidang perniagaan, ahli perniagaan akan bersaing untuk mencapai kemajuan dengan menunjukkan kebolehan dan keupayaan masing-masing.
Bagaimana Orang Dewasa Belajar?
Setiap pembelajaran orang dewasa mestilah disesuaikan dengan keperluan orang dewasa. Sebagai pengajar, mereka juga perlu tahu peringkat pembelajaran dan perlu bertanggungjawab terhadap perkara-perkara tertentu seperti kemampuan, keperluan cara belajar yang terbaik dan seterusnya dapat menyesuaikannya dengan penggunaan bahan pengajaran kepada setiap pelajar. Di bawah ini ditunjukkan sembilan proses pembelajaran orang dewasa.
Motivasi
Pelajar dewasa memerlukan sokongan bagi meneruskan pelajaran dan mereka lebih bersemangat hendak meneruskan pelajaran apabila diberikan ganjaran dan sokongan yang dapat memotivasikan mereka terutama daripada ahli keluarganya.
Perhatian
Pelajar dewasa perlu mengambil perhatian dan tumpuan khusus terhadap penerangan atau demonstrasi daripada tenaga pengajar supaya mereka cepat memahami pelajarannya.
Jangkaan
Prestasi pelajar dewasa perlu diberitahu terlebih dahulu supaya mereka dapat memperbaiki kekurangan diri dan mungkin akan berasa lebih bersemangat dan bersedia menghadapi apa jua bentuk keadaan.
Perolehan ingatan kembali
Pelajar dewasa menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membantu mereka memahami konsep yang baru dipelajari dengan mudah dan cepat tanpa sebarang masalah.
Pemilihan persepsi
Pelajar dewasa perlu membuat pilihan sesuatu perkara atau rangsangan. Ia lebih merujuk kepada tindakan seseorang untuk membezakan perkara atau rangsangan sama ada ia penting dan relevan ataupun kurang penting.
Mengekodkan dan penyimpanan jangka panjang
Pelajar dewasa seterusnya perlu membuat kod terhadap maklumat yang diterima untuk disimpan ke dalam sistem saraf pusat. Ini dilakukan bagi memastikan maklumat tersebut lebih mudah diingati dan dapat digunakan pada masa-masa akan datang.
Gerak balas atau prestasi
Pembelajaran orang dewasa berlaku apabila segala maklumat yang dikodkan dan disimpan dapat dilaksanakan oleh mereka dengan membuktikannya dengan tindakan dan perubahan tingkah laku berserta peningkatan prestasinya.
Maklum balas dan peneguhan
Ia mempunyai dua fungsi iaitu untuk memberitahu perkara yang seharusnya dibuat dan motivasi yang mendorong individu meningkatkan atau memperbaiki prestasi mereka.
Generalisasi atau pemindahan pembelajaran
Generalisasi merupakan pemindahan pembelajaran dari satu situasi kepada situasi yang lain. Kebolehan ini akan bertambah jika mempraktikkan kemahiran baru dalam pelbagai situasi.
Kaedah Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman
Salah satu kaedah pembelajaran orang dewasa yang utama adalah berdasarkan pengalaman. Kaedah pembelajaran ini merupakan satu proses secara berperingkat-peringkat. Sebenarnya proses ini bukan sahaja dilalui oleh orang dewasa, malah ia adalah satu proses umum yang mana setiap individu perlu melaluinya untuk menjadikan pembelajaran mereka lebih efektif serta mendapat kepuasan hati supaya lebih cemerlang. Begitu juga dengan orang dewasa, mereka perlu melalui proses tersebut untuk mendapat kepuasan pembelajaran. Namun begitu orang dewasa juga kadangkala mempunyai kaedah yang tersendiri yang bergantung pada individu itu sendiri.
Mereka lebih gemar belajar dalam suasana yang tidak dikongkong oleh mana-mana peraturan yang membuatkan mereka sukar untuk belajar sesuatu topik. Justeru seorang pengajar perlu memahami diri dan tahap pemikiran orang dewasa.
Tidak dapat dinafikan orang dewasa memang banyak belajar berdasarkan pengalaman. Di samping itu, pembelajaran yang hendak dipelajari perlu sesuai dengan minat dan kesukaan mereka. Bagi mereka, pembelajaran melalui pengalaman membolehkan mereka bertukar idea atau pendapat yang mana membuatkan mereka akan dapat melihat sesuatu yang bermakna daripada apa yang dipelajari. Mereka juga sering menghubungkan pelajaran baru dengan pengalaman mereka yang sedia ada. Selain itu, proses pembelajaran ini dapat membantu mereka untuk mengeratkan hubungan dan secara tidak langsung menjadikan pembelajaran lebih aktif.
Dalam satu situasi lain pula, mereka lebih gemar berdialog atau berada dalam satu kumpulan. Dengan cara ini, mereka dapat mengutarakan pendapat yang pelbagai dan dapat meluaskan pandangan serta pengetahuan. Mereka akan menunjukkan kebolehan dan kepimpinan mereka dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Keadaan ini membolehkan mereka bebas memberikan pendapat mereka. Dalam erti kata lain, mereka lebih suka berada dalam situasi yang tidak formal seperti tiada peperiksaan. Ini kerana, apa yang dipelajari lebih baik diamalkan daripada mengingat atau menghafal. Kemungkinan mereka merasakan ia satu beban bagi mereka. Nyatalah orang dewasa bukan seperti pelajar yang perlu diperintah supaya melakukan sesuatu perkara. Orang dewasa lebih gemar melakukan sesuatu mengikut kemahuan dan keinginan mereka supaya apa yang dipelajari memberi kesan kepada mereka untuk masa kini dan hari muka.
Kesimpulan
Dalam menuju era yang serba moden ini, penguasaan ilmu amatlah penting dalam kehidupan kita supaya kita tidak menjadi seorang yang boleh dilabelkan sebagai ‘katak di bawah tempurung’. Apabila dikaitkan dengan penguasaan ilmu pastinya terlintas di fikiran suatu perkara yang berkaitan dengannya iaitu ‘pembelajaran’. Penguasaan ilmu bukan hanya tertumpu kepada remaja tetapi juga kepada pelajar dewasa.
Namun begitu, pelajar dewasa ini belajar kerana beberapa sebab yang lebih menjurus ke arah penglibatan peranan sosial dan kepentingan masyarakat, institusi dan juga untuk kepentingan diri sendiri. Suatu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah mereka lebih gemar belajar dalam keadaan yang tidak formal dan lebih banyak menggunakan pengalaman mereka. Mereka lebih suka bertukar pendapat serta berdialog dalam satu kumpulan secara tidak langsung boleh membuatkan pemikiran yang lebih meluas.
Proses pembelajaran pula melibatkan beberapa fasa. Menurut Gagne, proses pembelajaran terdiri daripada motivasi, perhatian, jangkaan, ingatan kembali, pemilihan persepsi, mengekodkan dan penyimpanan jangka panjang, gerak balas atau prestasi, maklum balas dan peneguhan serta generalisasi atau pemindahan pembelajaran. Pelajar dewasa akan memperoleh banyak faedah daripada penyertaan yang aktif dalam proses pembelajaran.
Kaedah Penyelidikan Psikologi Lebih Menekankan Pendekatan Kualitatif dan Kaedah Klinikal
Dengan berdasarkan kepada beberapa contoh penyelidikan maka pendekatan kualitatif dan kaedah klinikal dalam penyelidikan psikologi dapat dibincangkan.
Pendahuluan
Psikologi adalah satu bidang kajian yang mengkaji tingkah laku manusia secara saintifik dan sistematik. Oleh itu, kajian ini memerlukan proses atau prosedur yang bermula daripada per-nyataan atau definisi masalah, membina hipotesis, mengumpul data, menguji hipotesis dan akhir sekali membuat kesimpulan atau inferens.
Menurut Mohd Salleh Lebar (1994: ms. 6), psikologi ialah satu kajian yang berkaitan dengan tingkah laku manusia. Dalam sesuatu kajian, pengkaji perlulah bersifat terbuka bagi membolehkan penyelidik lain menguji kebenaran terhadap penyelidikan atau hipotesis yang dibuat. Sehingga kini walaupun pelbagai penyelidikan dibuat, namun terdapat lagi perkara-perkara yang masih belum difahami dengan mendalam terutama perkara-perkara yang berkaitan tingkah laku manusia. Oleh itu, bagi sesuatu kajian yang dibuat, penyelidik perlu mengambil kira pelbagai aspek yang berkaitan untuk menguji sesuatu kebenaran. Aspek yang dimaksudkan itu adalah seperti pengalaman, motivasi dan mental-emosi. Kebenaran sesuatu ujian membolehkan penyelidik lain membuat anggapan yang betul terhadap tingkah laku manusia. Bagaimanapun tidak semua penyelidikan yang dibuat oleh ahli psikologi semuanya betul dan boleh disesuaikan dalam situasi yang berbeza.
Mohmood Nazar (1992: ms. 13) pula mengatakan psikologi ialah satu kajian saintifik tentang jiwa dan tingkah laku manusia. Sebagai satu disiplin bersaintifik, psikologi berpegang teguh kepada objektif-objektif sains, iaitu membekalkan informasi yang terbaru dan berguna kepada masyarakat. Informasi yang dibekalkan ini haruslah diuji kesahihannya atau verifiable oleh pakar-pakar yang lain. Dengan cara ini, barulah ia boleh diterima sebagai satu kajian yang bersaintifik.
Mohamad Mahzan (1997: ms. 1) mengatakan psikologi adalah bidang yang mengkaji keseluruhan tingkah laku manusia dengan merujuk kepada perasaan, pemikiran serta tindakan manusia.
Crow and Crow (1980: ms. 8), mentakrifkan psikologi sebagai suatu kajian mengenai tingkah laku dan perhubungan manusia. Tingkah laku seseorang adalah merangkumi perlakuan yang dilihat dan semua tindak balas kepada pengaruh batin dan pengaruh alam sekitar.
Kaedah penyelidikan dalam psikologi
Dalam bidang psikologi, pelbagai kaedah penyelidikan boleh digunakan bagi menyelidik dan memahami jiwa serta tingkah laku manusia. Pada dasarnya, penyelidikan itu boleh dijalankan sama ada dalam bentuk kaedah klinikal, pendekatan kuantitatif ataupun pendekatan kualitatif (Slavin, R.E, 1997: ms. 14).
Pendekatan kualitatif dapat dibahagikan kepada kaedah deskriptif, etnografi, kajian kes dan pemerhatian atau tinjauan. Sementara pendekatan kuantitatif pula dapat dibahagikan kepada kaedah penilaian, kaedah eksperimen, kaedah expost-facto dan kaedah perangkaan atau korelasi.
Antara kaedah-kaedah penyelidikan psikologi di atas, pendekatan kualitatif dan kaedah klinikal adalah kaedah atau teknik yang lebih ditekankan dalam penyelidikan psikologi.
Pendekatan kualitatif
Menurut John McLeod (1999: ms. 74), penyelidikan kualitatif kerap didefinisikan sebagai kajian yang tidak melibatkan pengukuran atau teknik statistik. Sebagai contoh Miles dan Huberman (1984), menghuraikan data kualitatif sebagai perkataan dan bukannya nombor, manakala Strauss dan Corbin (1990), memandang pendekatan kualitatif sebagai sebarang penyelidikan yang menghasilkan penemuan yang tidak melalui prosedur statistik atau cara pengkuantitian yang lain.
Othman (1999) pula mengatakan penyelidikan kualitatif merujuk kepada suatu pendekatan penyelidikan yang memberi penekanan kepada deskriptif, induktif, grounded theory dan kajian ke atas bagaimana manusia memberi makna kepada kehidupan mereka.
Oleh itu, antara teknik dan kaedah untuk menjalankan pendekatan kualitatif dalam penyelidikan psikologi adalah seperti kaedah deskriptif, kaedah etnografi, kaedah kajian kes dan kaedah pemerhatian atau tinjauan.
Kaedah Deskriptif
Menurut Othman (1999), matlamat penyelidikan deskriptif ialah untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Contohnya, faktor-faktor yang menentukan keberkesanan program KPLI. Penyelidik akan menerokai sesuatu bidang yang belum atau kurang dikaji. Oleh kerana faktor-faktor mempengaruhi keberkesanan program KPLI belum dikenal pasti, jadi kita cuba menerokai faktor-faktor tersebut dengan menggunakan kaedah deskriptif. Tambahan pula, penyelidik tidak terlebih dahulu menentukan faktor-faktor yang mendatangkan kesan ke atas sesuatu peristiwa. Oleh itu, kaedah ini tidak bertujuan untuk menguji kebenaran sesuatu hipotesis.
Slavin, R.E. (1997: ms. 14-15), seterusnya memberi contoh penyelidikan dalam psikologi pendidikan seperti berikut. Katakan anda berminat dalam mengkaji sikap pelajar anda terhadap pembekalan perkhidmatan kesihatan kepada pendatang-pendatang baru ataupun sikap guru-guru sekolah anda terhadap pelbagai jenis kecacatan. Tujuan kajian adalah untuk menerangkan apa yang manusia buat atau bagaimana pelajar-pelajar berfikir mengenai isu-isu tertentu di dalam kelas atau sekolah. Kaedah ini memberi tumpuan kepada pengkajian terhadap fenomena semasa dalam konteks kehidupan yang sebenar seperti mana mengikut Denzin (1978), “The case study is a naturalistic type of enquiry”.
Slavin, R.E. (1997: 15), seterusnya memberi contoh penyelidikan dalam psikologi pendidikan. Contohnya Tombari, Fitzpatrick dan Childress (1985) memprogramkan sebuah komputer untuk memberi ganjaran dalam bentuk permainan video dan menggunakannya sebagai sebahagian daripada pencelahan pengurusan kendiri bagi membantu kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam. Kamps et al. (1992) mengkaji apa yang dilakukan oleh seorang guru untuk mengajar seorang kanak-kanak autistik untuk berinteraksi dengan rakan sebayanya. Trovato dan Bucher (1990) menerangkan bagaimana seorang rakan sebaya bertindak sebagai seorang guru mengajar kemahiran membaca kepada seorang rakan dalam kelas tahun empat.
Kaedah Pemerhatian
Menurut Tan Chee Yee (1993), terdapat dua jenis kaedah pemerhatian dalam penyelidikan psikologi iaitu:
1.Kaedah Pemerhatian Naturalistik
Siti Hawa (1990) menegaskan dalam kaedah ini, penyelidik atau pengkaji hanya memerhati sikap dan tingkah laku sesuatu objek itu tanpa disedari oleh responden atau subjek tersebut. Pemerhatian dijalankan semasa subjek berada dalam keadaan natural atau semula jadi. Penyelidik tidak akan bergaul atau berinteraksi dengan subjek. Dengan ini adalah sukar untuk sesuatu subjek itu menyedari bahawa beliau adalah objek atau responden yang sedang dikaji. Melalui cara inilah para penyelidik mendapat segala maklumat yang dikehendaki dengan betul dan tepat. Contoh penyelidikan yang dilakukan secara pemerhatian dibuat oleh Jan Goodal (1971) adalah kajian terhadap seekor cimpanzi di hutan Afrika.
Mengikut Mohd Salleh (1994) pula, dalam konteks psikologi pendidikan bilik darjah, pemerhati boleh menggunakan kaedah pemerhatian ini untuk melihat keberkesanan penggunaan alat pandang dengar dalam pengajaran bahasa Inggeris. Pendapat beliau ini pula diperkukuhkan lagi dengan contoh yang dikemukakan oleh Mohmood Nazar (1992). Contoh kajian beliau ialah sekumpulan penyelidik yang digelar etologi sering membuat kajian yang mendalam dan terperinci terhadap tingkah laku haiwan dalam keadaan semula jadinya. Namun begitu, kaedah ini turut mempunyai risiko yang tinggi kerana akan berlaku pemindahan atau penerapan unsur-unsur yang subjektif oleh penyelidik ke dalam kajian yang dilakukannya. Keadaan ini adalah bersamaan dengan teori-teori yang terpesong dari sesuatu kepercayaan dan kesahan serta interpretasi yang dibuat terhadap sesuatu kajian itu. Dalam hal ini, penyelidik perlulah memerihalkan pemerhatiannya dalam bentuk yang lebih objektif dan deskriptif.
2.Kaedah Pemerhatian Sistematik
Menurut Siti Hawa (1990), dalam kaedah pemerhatian sistematik ini penyelidik lebih menekankan dan berminat untuk mengkaji masalah-masalah yang lebih khusus dan tertentu. Contohnya, kekangan yang timbul apabila para penyelidik membuat kajian tentang pendapatnya dan faktor-faktor mempengaruhi pendapat tersebut. Contoh lain pula ialah analisis tentang pengiklanan terhadap pembelian oleh para pengguna dan hipotesis tentang kejayaan di institusi pengajian tinggi. Kaedah pemerhatian sistematik ini juga adalah kombinasi beberapa kaedah atau teknik yang melibatkan inventori, rekod, soal selidik dan pengujian.
Menurut Crow and Crow (1980) pula, ahli psikologi atau guru terlatih dan berpengalaman boleh mendapat maklumat yang terperinci tentang tingkah laku seseorang individu melalui pemerhatian. Laporan yang ditulis secara objektif dan mantap berhubung dengan pemerhatian ini akan membantu dalam mencari punca masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh seseorang individu pelajar.
Selain daripada itu, menurut Mohmood Nazar (1994), terdapat juga kajian penyelidikan yang sukar dilakukan melalui cara eksperimen ataupun pemerhatian. Oleh itu, kaedah tinjauan digunakan oleh para penyelidik bagi mengkaji masalah berhubung dengan pendapat masyarakat umum tentang masalah yang kritikal, contohnya masalah dadah dan hubungan seks pasangan yang sudah berkahwin. Kaedah tinjauan yang sering digunakan adalah cara temu duga atau soal selidik. Ini dapat dilihat dalam kajian yang dilakukan oleh Kinsey (1948, 1953). Beliau mengkaji tentang tingkah laku seks manusia. Melalui data-data kaedah tinjauan, beliau dapat memahami sifat dan kecenderungan manusia yang bersangkut paut dengan seks.
Contoh kajian tinjauan yang lain pula adalah kajian berkaitan persepsi guru pelatih semester empat terhadap faktor-faktor tekanan semasa Praktikum III yang dijalankan oleh Choong Lean Keow et.al. (Jurnal, ms. 43).
Kaedah Klinikal
Kaedah klinikal adalah suatu kaedah atau teknik penyelidikan yang biasanya dijalankan bagi mengkaji dan membuat hipotesis terhadap sesuatu bahan ataupun sampel. Kajian ini kerap dilakukan di dalam makmal. Dalam kajian ini, pesakit atau sampel kajian ditempatkan di dalam sebuah bilik khas. Kaedah ini bukan hanya popular kepada para saintis tetapi ia juga amat popular di kalangan para doktor perubatan, ahli-ahli psikiatri dan ahli-ahli kaunselor. Kajian ini juga ada kalanya melibatkan eksperimen ataupun uji kaji.
Menurut Mohd. Salleh (1994), kaedah klinikal ini lazimnya digunakan untuk mengkaji dan membuat hipotesis terhadap tingkah laku seseorang individu yang dikaji. Tingkah laku itu dikaji pula dengan kaedah eksperimen. Contoh kajian tingkah laku yang dimaksudkan adalah tingkah laku pesakit di wad, pelajar yang bermasalah, kanak-kanak hiperaktif dan sebagainya.
Dalam kajian ini, subjek atau sampel akan diminta pergi ke bilik yang dikhaskan untuk dikaji oleh psikiatri atau kaunselor. Dalam pertemuan itu, pengkaji akan meneroka untuk mengenal pasti masalah dan kesulitan yang dihadapi serta cuba mengatasinya dengan beberapa alternatif. Sehingga hari ini, segala pengetahuan kajian tentang motivasi atau teori-teori yang berkaitan dengan emosi dan personaliti dalam bidang psikologi adalah sumbangan daripada kaedah klinikal. Kelebihan dan kebaikan kaedah ini adalah ia dapat mengumpul maklumat yang lengkap tentang tingkah laku dan dapat memberi idea-idea terbaru yang lebih mantap dan relevan. Kajian ini juga dijalankan secara intensif.
Siti Hawa (1990) pula, menegaskan kaedah klinikal membolehkan para penyelidik mengkaji asal-usul penyakit yang biasanya terdiri daripada pesakit otak, penagih dadah, kanak-kanak yang terlalu agresif dan pesakit di wad psikiatri. Para pesakit diasingkan atau dipisahkan dengan alam sekitarnya yang natural dan dibawa ke alam buatan seperti wad khas untuk didiagnosis oleh seorang ahli psikiatri atau kaunselor. Contohnya dalam psikologi kaunseling, perkhidmatan kaunseling yang diberikan kepada mahasiswa yang bermasalah di universiti berhubung kemerosotan pelajaran mereka adalah menggunakan kaedah ini. Kaedah ini bertujuan mengenal pasti punca masalah dan memperbaiki prestasi pelajaran mereka.
Kaedah klinikal ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri kerana kajian intensif yang terperinci dijalankan terhadap subjek atau sampel. Namun begitu, terdapat juga kelemahan dalam menjalankan kaedah klinikal ini. Alam atau persekitaran yang tidak natural atau buatan akan mengurangkan keberkesanan kaedah yang menyesuaikan subjek dalam keadaan lazim atau normal. Contohnya ialah seorang bekas penagih dadah yang menjalani pemulihan di pusat serenti (keadaan buatan) akan menghadapi masalah untuk berinteraksi, mendampingi dan diterima oleh masyarakat umum (keadaan lazim). Kemungkinan juga beliau akan menjadi sasaran pengedar dadah apabila berada dalam persekitaran yang natural.
Kaedah klinikal juga banyak diaplikasikan dalam penyelidikan psikologi klinikal. Menurut Mohmood Nazar (1992), psikologi klinikal dapat merawat masalah sakit jiwa, kecelaruan mental serta tingkah laku bilazim. Oleh itu, pakar-pakar psikologi lazimnya menjalankan penyelidikan dengan mendiagnosis serta merawat klien-klien mereka dengan menggunakan kaedah klinikal ini. Penyelidikan ini juga dapat memberi manfaat kepada manusia. Sebagai contohnya mereka menjalankan penilaian tingkah laku dan personaliti manusia dengan menggunakan alat-alat tertentu seperti alat TAT (Thematic Apperception Test), Rorschach, Bender Gestalt, CPI dan lain-lain lagi. Murray ialah ahli psikologi yang menyiapkan ujian projektifnya yang terkenal iaitu TAT. Selain daripada itu, Yusof Zaki (1986) menyatakan ahli psikologi menggunakan beberapa istilah khas untuk menerangkan tentang tingkah laku penghidap bilazim. Antaranya ialah penyakit jiwa (neurosis), penyakit akal (psikosis) dan penyakit saraf (nervous diseases).
Di samping itu juga ahli psikologi klinikal juga menggunakan ujian psikometrik bagi membantunya memahami masalah yang dihadapi oleh klien. Contoh ujian psikometrik adalah seperti berikut:
1. Ujian kecerdasan
2. Ujian bakat
3. Ujian personaliti
4. Ujian penyesuaian
5. Ujian minat
Menurut Hassan Langgulung (1986), ujian-ujian yang dijalankan oleh ahli-ahli psikologi ini dapat menolong ahli psikologi klinikal membuat diagnosis tentang sesuatu masalah serta membuat tindakan bagi menghadapinya.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1987) pula menyatakan kaedah klinikal ini juga sering digunakan oleh ahli psikologi untuk membuat hipotesis berkaitan tingkah laku manusia yang seterusnya akan dikaji pula dengan menggunakan kaedah eksperimen.
Keistimewaan kaedah klinikal adalah:
1. Ia dapat mengumpulkan banyak data tentang pengetahuan tingkah laku.
2. Ia juga dapat memberikan idea-idea baru untuk diuji seterusnya dengan kaedah yang lain (eksperimen).
Jelasnya lagi, kebanyakan daripada pengetahuan kita tentang personaliti, motivasi dan emosi berasal daripada penyelidikan yang menggunakan kaedah klinikal ini.
Ahli psikologi terkenal, Sigmind Freud (1856-1936) memajukan lagi satu teori personaliti yang lebih komprehensif dan mantap melalui pengalamannya merawat pesakit mental. Teori personaliti yang diterokainya ini menekankan betapa pentingnya usia beberapa tahun selepas dilahirkan untuk penyesuaian dalam menjalani kehidupan seharian. Beliau juga memberi penumpuan terhadap kepentingan mimpi konflik bawah sedar (tidak sedar). Tambahan beliau lagi, tahap bayi dan kanak-kanak adalah kritikal dalam pembentukan dan pengukuhan personaliti serta imej kanak-kanak.
Kesimpulan
Penyelidikan adalah suatu proses mencari dan meningkatkan ilmu pengetahuan atau kebenaran yang boleh diterokai melalui kaedah pemikiran saintifik yang berdisiplin. Penyelidikan juga dapat membantu manusia mencari makna dan kebenaran tentang fenomena dunia (Mohamad Najib Abdul Ghafar, 1999). Begitu juga dengan penyelidikan psikologi, di mana ahli psikologi boleh menggunakan satu pendekatan atau lebih dalam membuat sesuatu kajian. Setiap daripada kaedah penyelidikan ini mempunyai keistimewaan dan kelemahan yang tersendiri. Kaedah yang dipilih adalah berdasarkan jenis kajian dan kesesuaiannya dengan penggunaan kaedah tersebut. Setiap kaedah ini saling memerlukan antara satu sama lain. Misalnya data yang didapati melalui penggunaan satu kaedah atau pelbagai teknik mungkin perlu dianalisis dengan kaedah lain (perangkaan).
Penemuan-penemuan serta kesimpulan yang diperoleh daripada sesuatu penyelidikan psikologi tidak semestinya muktamad kerana terdapat perubahan secara teori, kaedah dan kecenderungan kajian lampau dalam jangka masa tertentu. Jelasnya di sini bahawa kajian dan penyelidikan psikologi perlu dijalankan secara berterusan dengan penggunaan teknik atau kaedah yang lebih baik yang dapat menghasilkan data serta formula-formula yang lebih objektif dan jitu. Tujuannya juga haruslah lebih unggul dan mantap untuk memperbaiki, menyesuaikan dan meningkatkan kecemerlangan serta kesempurnaan amalan dan fahaman.
Resipi Satu
Menetapkan Matlamat
1. Anda bukan dari sekolah tadika dan terus masuk ke universiti. Anda tahu matlamat paling asas dan paling utama apabila datang ke universiti. Ibu bapa, guru-guru, abang, kakak, atuk dan nenek sudah menyebutnya. Sekiranya anda masih terlalai ataupun terlupa akan matlamat ini, maka hidup anda di universiti kelihatan menuju kegagalan. Oleh itu, tetapkan matlamat itu sekarang. Jangan tunggu esok. Mulakan sekarang!
2. Jangan simpan matlamat dalam otak sahaja. Tulis supaya kita nampak! Buat senarai matlamat jangka pendek, sederhana dan jangka panjang. Gunakan senarai bagi memastikan matlamat harian tercapai. Dengan ini kita akan lebih fokus dan tidak tergelincir. Selain itu, dengan melihat matlamat yang ditetapkan setiap hari kita boleh menyemak, mengubah suai ataupun mengingatkan diri tentang keutamaan perkara-perkara yang perlu dilakukan.
3. Setiap orang sebaik-baiknya ada senarai panjang matlamat yang hendak dicapai dalam hidup ini. Dalam senarai ini kita tidak mampu melakukannya sekali gus. Ada yang perlu didahulukan maka perlu diutamakan. Mana yang boleh dikemudiankan perlulah dikemudiankan. Cuba melakukan semua hanya meletihkan diri dan tidak memberikan hasil terbaik. Tetapkan keutamaan mengikut kepentingan anda. Selesaikan mengikut keutamaan dan keupayaan diri.
4. Matlamat yang tidak jelas ataupun terlalu umum tidak cukup kuat bagi mendorong diri maju ke depan. Bagi matlamat yang kuat, tidak cukup anda menyatakan anda mahu cemerlang di kampus. Cemerlang yang bagaimana? Sebaik-baiknya anda menyatakan, “Saya ingin mencatatkan PNGK lebih daripada 3.3 semester ini dan mewakili universiti dalam badminton.” Contoh lain, “Saya akan menjadi jurutera profesional yang bekerja dengan syarikat petroleum antarabangsa” ataupun, “Saya akan menjadi diplomat yang bekerja di PBB.” Semakin khusus matlamat anda, maka semakin jelas sasaran yang anda tuju. Ia akan lebih memudahkan anda menyemak dan memastikan matlamat ini dicapai. Setelah berjaya, anda boleh beralih kepada matlamat seterusnya.
5. Apabila kita menetapkan matlamat yang hendak dicapai, ia perlulah berupaya meletakkan diri kita ke suatu tahap yang lebih tinggi. Matlamat ini perlu mencabar keupayaan diri tetapi masih dalam jangkauan untuk dicapai. Ia memerlukan usaha di luar zon selesa. Namun begitu, matlamat ini memerlukan anda rasional dengan keupayaan diri. Sekiranya suara anda boleh merosakkan telinga, tidak masuk akal anda boleh menjadi penyanyi soprano. Namun begitu anda boleh bertolak ansur dengan menjadi pemuzik ataupun konduktor orkestra profesional.
6. Matlamat tidak terlaksana dengan sendiri. Perancangan, tindakan, usaha dan disiplin amat diperlukan dalam proses men-zahirkan matlamat ini. Matlamat jangka panjang di puncak gunung hanya dicapai dengan mendaki satu persatu mata tangga-tangga batu yang menjadi matlamat-matlamat jangka pendek. Sebagai contoh, adalah bagus anda menetapkan matlamat mencapai PNGK 4.0 setiap semester. Namun, ini tidak bermakna anda tidak membuat kerja lain selain belajar, belajar dan membaca buku. Bersukan, bersosial dan nikmatilah hidup di menara gading kerana kenangannya nanti tidak akan berulang semula Pencapaian PNGK 4.0 itu hanya nombor. Hidup ini terlalu mahal untuk diukur sekadar dengan nombor.
7. Ramai orang hanya suka melihat kejayaan sebagai sumber inspirasi. Adakah orang yang berjaya itu sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal? Sebenarnya, orang yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak berbuat apa-apa! Jangan mengaku kalah hanya kerana sedang menghadapi masalah. Kegagalan akan menang apabila kita berhenti mencuba dan berusaha.
8. Kita tidak menulis matlamat hidup ini atas papan batu. Ada waktu-waktunya kita perlu duduk merenung diri berkenaan perjalanan hidup terutama semasa di kampus. Mungkin di tahun pertama kita masih kabur tetapi meningkatnya usia sepatutnya kita meningkatkan kematangan. Semak semula sasaran dan matlamat anda sama ada jangka pendek, sederhana ataupun jangka panjang. Sekiranya perlu dan anda pasti ia sudah tersilap, jangan ragu-ragu untuk mengubahnya secara total.
9. Pecah-pecahkan matlamat anda. Mungkin matlamat anda terlalu banyak sehingga nampak sukar. Bahagikan ia kepada tahunan, bulanan, mingguan dan harian. Sekiranya anda hendak mengumpulkan sebanyak RM100,000.00 dalam masa 30 tahun, berapakah duit yang perlu anda tabungkan setiap hari? Berapa banyak yang hendak dimasukkan ke dalam akaun pelaburan setiap bulan?
Catatan Seorang Anak Saudara
Saya ada seorang pak cik. Pangkat bapa saudara sepupu sebelah abah. Umur lewat 40-an. Sejak kecil hidup susah dan selepas berkeluarga, hidup sederhana dengan kerja kerani di UPM, Serdang. Walau hidup sederhana tetapi murah rezeki dengan anak. Ada 13 orang semua setakat cerita ini ditulis. Saya tidak pasti berapa lelaki dan berapa perempuan. Nama anak-anaknya pun saya ingat yang tiga paling tua. Dia tidak ada kereta ataupun motor. Ulang-alik pergi kerja tumpang kereta kawan. Bayar bulan-bulan.
Semenjak saya pandai membaca, saya sudah tahu dia menduduki STPM setiap tahun. Selama bertahun-tahun sebenarnya. Cita-citanya cuma satu iaitu hendak masuk universiti. Mungkin rezeki tidak ada barangkali, dia sentiasa hampa. Tapi niat baik itu pasti ada jalannya. Beliau pergi berjumpa Naib Canselor memohon nasihat dan bantuan. Kata si Naib Canselor, "U kerja di universiti... kalau tak nak belajar tak tau saya nak cakap apa!"
Ok! Dia terima cabaran NC tetapi untuk melaksanakannya berat. "Syed... I tak larang U nak belajar tetapi kerja-kerja office U kena buat juga," kata si ketua jabatannya antara mendorong dan menghalang. Apabila dia pergi ke kelas tiga jam maknanya dia kena balik tiga jam lewat. Kadangkala kena tidur terus di pejabat ataupun di masjid universiti.
Sewaktu mendengar khabar pakcik saya belajar di UPM sambil kerja dengan segala kesusahan begitu, saya jadi tidak yakin langsung. "Paling-paling pun enam bulan sahaja dia tahan", cekel hati kecil saya. Tahun-tahun terus berlalu dan saya tidak begitu mendengar sangat tentang berita pakcik saya itu. Maklumlah saya waktu itu juga sibuk dengan pengajian peringkat M.Sc dan keluarga pula tinggal di Pahang. Setiap minggu ulang-alik. Penat!
Di satu majlis keraian keluarga saya terjumpa dengan pakcik saya itu. Masih kurus macam dulu. Kasihan melihatnya begitu. "Macam mana study ami?", tanya saya dengan telinga sudah bersedia dengan jawapan yang saya rasa saya akan dengar. "Patutnya dah tamat dah, tapi tidak apalah... kita enjin lama, buatlah perlahan-lahan", jawabnya sambil senyum-senyum tanpa tahu apa ada dalam hati saya.
"Hah? Masih lagi ke..." tanya saya terperanjat. Bukan terperanjat dia kena lanjut tempoh pengajian tetapi macam mana dia boleh tahan bertahun-tahun begitu. "Result ok?", saya menyerang lagi tetapi sudah mula kagum.
"Boleh la... sekarang ni PNGK 3.4 sikit-sikit. Ingat mahu dapat 1st class tapi dah tak boleh lagi dah. Kalau dapat semua A pun subjek yang tinggal ni pun tak dapat 3.5". Masa itu muka saya rasa tebal semacam. Malu pun ada.
"Apasal ami susah-susah macam ini, bukan boleh buat apa pun? Sudah boleh kira hari hendak pencen!", tanya saya hairan.
"Saja hendak cabar anak-anak. Kalau walid dia sudah tua pun boleh buat dengan susah payah macam ini, diorang tidak faham jugak tak tau la hendak cakap apa lagi".
"Ok... ok... nanti bila hendak konvo bagi tahu la. Kena panggil orang paper ni! Mesti interview. Yang direndam tak empok, dibakar tak hangus macam ni la yang patut orang tahu", kata saya sambil senyum-senyum kelat pahit.
Benar dan sesungguhnya benar. Beliau naik ke pentas konvokesyen dengan Kelas Kedua Atas. Sikit sangat lagi hendak dapat Kelas Pertama.
Sekarang beliau masih bekerja dan belajar. Buat Sarjana. Saya takut hendak tanya lagi. Ini bukan kes di bakar tidak hangus, tetapi langsung tidak dimakan api!
Resipi Enam
Etika Masa Seorang Mahasiswa
1. Selamatkan masa, kenal pasti 'pencuri-pencuri' masa anda. Lihat jadual waktu yang anda ada. Adakah anda terlebih meluangkan masa pada sesuatu yang tidak penting? Sekiranya anda hanya perlukan sedikit masa, kenapa hingga menghabiskan sebahagian besar masa? Katakan anda hilang 30 minit bagi satu kerja tidak penting, dan ada tiga tugasan seperti itu. Maknanya, dalam masa sehari, anda sudah 'hilang' satu jam setengah. Bagaimana sekiranya tujuh hari? Banyak bukan? Oleh itu, kenal pasti dari sekarang apakah perkara-perkara yang telah 'pencuri' curi masa anda dari sekarang.
2. 'Taat' pada jam anda. Jam adalah penunjuk kepada waktu dan perjalanan setiap hari. Anda membuat jadual waktu juga mengikut kepada waktu-waktu. Ramai orang tidak menyedari betapa 'berkuasanya' jam yang mereka miliki. Jam sepatutnya 'ditaati' sekiranya anda ingin berjaya dan cemerlang dalam hidup. Jangan 'berdalih-dalih' dengan jam anda; menangguhkan kerja, lewat, membazirkan masa, tidak tepati janji, dan sebagainya.
3. 'Hormati' jadual waktu anda. Selain 'mentaati' jam, anda juga perlu 'menghormati' jadual waktu anda. Anda sudah memerah otak bagi memikirkan jadual yang ter-baik untuk anda. Anda mem-buatnya dengan penuh motivasi dan keyakinan hendak berjaya dalam hidup. Tiba-tiba, anda ingin 'mempermainkannya'? Di mana letaknya harga diri anda apabila anda 'memperlekehkan' hasil usaha keyakinan diri anda? Hormatilah diri anda sendiri. Hormatilah jadual waktu anda.
4. Isi masa-masa yang 'tersembunyi'. Sedar ataupun tidak, terdapat banyak masa 'tersembunyi' yang dapat dimanfaatkan. Contohnya semasa anda sedang menunggu bas, dalam perjalanan ke rumah, menunggu rakan-rakan di padang, selang antara dua waktu dan banyak lagi. Apa yang biasa pelajar lakukan pada ketika ini? Berbual? Bersembang? Termenung? Dan banyak lagi yang belum tentu mendatangkan faedah kepada diri mereka. Jangan begitu. Isilah masa-masa ini dengan sesuatu yang berfaedah. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
5. Jadilah seorang 'pencuri' masa. Orang yang bijak bukan sahaja pandai menggunakan masanya, tetapi juga pandai menggunakan masa orang lain. Bagaimana? Mereka pandai bekerjasama dengan rakan-rakan di sekelilingnya untuk melakukan kerja bersama. Sekiranya ada yang kelapangan dan membuang masa, dia akan mengagihkan kerja dan kerja secara berpasukan. Tetapi, ini tidak bermakna anda perlu menjadi pemalas. Mengagihkan tugasan bukan bermakna lari daripada tugas. Ia adalah dua perkara yang berbeza.
6. Tukar tabiat masa. Tukar daripada tabiat melengahkan kepada tabiat cekap dan pantas. Daripada pemalas kepada rajin dan bersemangat. Daripada membuang masa kepada memanfaatkan masa. Bagaimana? Binalah sikap baru dalam diri anda. Mulai hari ini, pandanglah diri anda sebagai seorang yang menghargai masa. Anda tidak akan menjadi juara sekiranya anda sendiri tidak memandang diri anda sebagai seorang juara. Andalah yang perlu mengiktiraf diri anda sebelum orang lain mengiktirafnya. Oleh itu, pandanglah diri anda sebagai orang yang menepati masa, menghargai jadual waktu, cekap, serta cemerlang dalam menguruskan kerja dan waktu.
7. Ada orang lain yang lebih sibuk. Orang yang berjaya sememangnya melakukan banyak perkara sebelum berjaya. Sekiranya anda tiada masa hendak mensia-siakan masa anda, mungkin itu satu petanda anda sedang melalui liku-liku mereka yang berjaya. Jangan berpatah balik sekarang. Teruskan lagi perjuangan anda!
8. Masa adalah emas dalam tanah. Apa yang anda perlu lakukan adalah melombong dan mencanainya supaya menjadi barang kemas yang cantik dan berharga. Emas dalam tanah yang tidak diterokai tidak akan memberi apa-apa faedah kepada manusia. Oleh itu, lombonglah sekarang! Dan sedarilah masa itu adalah emas. Sekiranya anda inginkan emas, anda perlu melombongnya terlebih dahulu. Selepas itu, ia perlu dibersihkan daripada lumpur dan kotoran. Kemudian, ia perlu dipanaskan dalam relau yang sangat panas dan akan ditempa dengan lembut dan berhati-hati. Begitu juga dengan masa anda. Ia akan menjadi emas yang cantik sekiranya anda berusaha dan tekun bagi menjadikannya begitu.
9. Bantulah orang lain. Memberi bantuan kepada orang lain secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran anda mengenai kualiti masa anda sendiri. Apabila anda menolong orang lain, anda seolah-olah 'memasuki' ke dalam masa mereka. Apabila ini berlaku, anda akan dapat membandingkan dengan masa anda dan kemudiannya anda akan berusaha lebih bagi menambahkan kecemerlangan masa anda.
Catatan Seorang Pensyarah
Situasi:
Seorang pelajar siswa melangkah masuk ke bilik saya selepas mengetuk pintu dan memberi salam. Wajah berkerut tanda ada sesuatu yang tidak kena. "Encik lapang ke? Saya ada perkara mahu bincang sikit". "Saya sibuk sekarang ini. Sekejap lagi ada mesyuarat di HEA," jawab saya lurus.
"Saya ada masalah ni!", jawab siswa itu. Nadanya sedikit mendesak.
Oleh kerana ingat Piagam Pelanggan Universiti yang menjadi majikan saya, otak ligat mencari ruang membantu pelajar dan tidak tertinggal mesyuarat sebentar lagi.
"Ok lah... kamu ada masalah... baiklah! Tapi sebelum kamu bercakap, saya mahu tanya sikit kamu ni," kata saya.
"Isteri kamu tidak sihat ke?". "Saya belum kahwin lagi encik!" jawab si siswa terperanjat.
"Ok! Belum kahwin maknanya tidak ada anak, emak ayah kamu di kampung tidak sihat ke?" sambung saya. "Tidak, semuanya sihat!", jawab siswa makin keliru.
"Bagus! Ada adik beradik kamu masuk hospital sakit tenat ke?" "Tidak!"
"Kamu pula, sihat ataupun tidak?"
"Saya sihat Encik."
"Duit ada... cukup belanja?"
"Cukup... baru dapat PTPTN!", jawab siswa. Dia mula faham.
"Habis itu apa masalah kamu?"
"Rasanya saya tidak ada masalah besar cik semua ok, under control!" si siswa mula senyum.
"Hah!... macam itulah saya mahu pelajar kursus saya," sambil memegang bahu pelajar itu. “Nanti bila kamu sudah kerja, meeting pukul 2.30... hah! itu baru big problem!!" gurau saya.
"Terima kasih encik!", jawab si pelajar tersenyum lega sambil melihat saya bergegas mengemas kertas hendak ke bilik mesyuarat.
Pendahuluan
Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering, membosankan, dan kadangkala menakutkan. Tatabahasa dianggap kering dan membosankan kerana kononnya tatabahasa hanya terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya dengan Matematik. Bercakap mengenai tatabahasa seolah-olah bererti bercakap mengenai soal salah betul penggunaan bahasa semata-mata. Sekian lama pula telah tertancap pada benak kebanyakan orang bahawa tatabahasa mengekang gaya bahasa dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala menjadikan orang takut, malah mungkin benci pula akan tata bahasa. Jika timbul rasa takut dan benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek yang menarik di bilik darjah?
Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan mengenai kaedah dan teknik pengajaran tatabahasa yang menarik ialah berusaha membetulkan anggapan salah mengenai tatabahasa. Kata pepatah “Tak kenal maka tak cinta”. Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat tatabahasa, tumbuhlah rasa cinta kepadanya. Teringat pula saya akan satu baris dalam lagu Melayu lama yang berbunyi “Kalau hati sudah suka, semua indah sahaja”. Demikianlah mudah-mudahan tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.
Tata Bahasa dan Hakikat Bahasa
Untuk mencapai makrifat bahasa, penting sekali kita mengenal hakikat bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah tatabahasa, dengan pengertian yang lebih dasar dan luas daripada sekadar subsistem yang terdiri daripada morfologi dan sintaksis. Tatabahasa yang saya katakan menjadi asas hakikat bahasa ialah suatu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada anak-anak Adam (manusia) sewaktu mereka masih di alam roh, sebelum dilahirkan ke dunia (al-Qur’an, al-A’raf: 172). Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau innate ini disebut tata bahasa sejagat (universal grammar). Potensi ini bukan sahaja dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu, tetapi merupakan satu kemampuan akal yang dapat membentuk unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem semantik.
Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas bagi semua manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing melalui proses penyesuaian parameter (lihat Bab 1). Dengan memahami asal usul bagaimana kita berbahasa, terang pada kita bahawa tatabahasa adalah asas yang memungkinkan kita berbahasa. Adanya tatabahasa sejagat pada manusia inilah yang memungkinkan manusia menjadi kreatif, iaitu dapat menghasilkan unsur-unsur bahasa yang tidak terbatas jumlahnya dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata bahasa ini jugalah yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak seperti haiwan yang biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya kata-kata melalui latihan intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu dalam pola-pola yang bersistem, kreatif, dan berkonteks.
Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus bagi sesuatu bahasa yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya yang khusus yang perlu dipelajari apabila orang ingin menguasai mana-mana bahasa. Jadi, adanya konsep tatabahasa sejagat tidak bererti hanya ada satu tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti yang disalahfahami oleh setengah-setengah orang. Perihal adanya kepelbagaian bahasa manusia, yang bererti adanya tatabahasa yang berlainan dijelaskan dalam al-Qur’an (surah al-Hujurat, ayat 13 dan surah al-Rum, ayat 22). Oleh itu perlu difahami perbedaan tatabahasa sejagat daripada tatabahasa khusus bagi bahasa yang tertentu.
Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan dalam hubungannya dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa. Representasi bahasa yang diwakili oleh kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis berasaskan satu kerangka tersembunyi yang menjadi asas pembentukan pola-pola bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain daripada tatabahasa. Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia bertutur untuk melahirkan idea dan perasaan kerana kerangka itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem yang teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak mungkin berlaku proses pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis dalam satu sistem yang menimbulkan makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan menguasai sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai skema sistem itu dan menerjemahkannya dalam bentuk-bentuk bahasa yang bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa (gramatikos) yang ditakrifkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai “seni membaca dan menulis”, yang dengan jelas menunjukkan peranan tatabahasa.
Demikianlah selayang pandang penjelasan mengenai hakikat tatabahasa. Dengan bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata bukan sekadar sehimpunan rumus atau aturan bahasa menurut pengertian yang sempit, baharulah sesuai kita bincangkan soal menjadikan tatabahasa sebagai sesuatu yang penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari (oleh murid atau pelajar).
Pengajaran Tata Bahasa: Penyataan Fenomena
Tata bahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik kepada guru mahupun murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara didaktik pula. Memang tujuan pokok kita mengajarkan tatabahasa ialah supaya murid menguasai sistem bahasa selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem bahasa itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu, penghayatan nilai-nilai masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi, terang bahawa pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang berkesan dan juga bagi tujuan pembinaan diri, terutama melalui pemerolehan ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata. Sebaliknya pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan secara langsung dengan aspek-aspek fungsionalnya.
Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan bahasa soal tujuan pengajaran bahasa, termasuk tata bahasa. Sekurang-kurangnya ada empat mazhab yang dominan dalam hal ini. Yang pertama ialah mazhab tradisionalis yang menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa. Yang kedua ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang ketiga pula ialah mazhab rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan pelaksanaan bahasa (bentuk unggul bahasa lawan realiti penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab fungsionalis yang menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial. Keempat-empat mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang ekstrem sehingga menimbulkan salah faham tentang tujuan pengajaran bahasa. Tiga mazhab yang pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai “model pengajaran kemahiran” kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab keempat yang mengemukakan “model pengajaran alamiah” terlalu cenderung pada aspek praktis sehingga agak mengabaikan penguasaan sistem pula.
Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa ialah “keupayaan linguistik” dan “keupayaan komunikatif”. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan perhatian berat kepada penguasaan sistem bahasa kurang atau sama sekali mengabaikan aspek komunikatif bahasa. Dalam hal pengajaran tata bahasa, penekanan kepada penguasaan rumus-rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Yang taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa. Kesannya ialah bahawa yang pertama gagal atau kurang berjaya menjadikan tata bahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan murid. Yang kedua pula mungkin menarik kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari tetapi gagal melahirkan murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang gramatis dan bersistem.
Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah pengajaran tata bahasa yang dapat mengukuhkan keterampilan bahasa murid daripada segi sistem bahasa dan juga daripada segi pragmatiknya. Murid yang patut kita bentuk ialah yang menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan sekali gus dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras “bahasa terhad” (restricted code) bahkan untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh laras “bahasa terbina” (elaborated code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan aras yang dapat menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan budaya tinggi.
Strategi Pengajaran Tatabahasa
Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di negara ini sejak tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi diajarkan menurut cara lama yang memisah-misahkan aspek-aspek yang diajarkan, misalnya antara satu kemahiran dengan kemahiran yang lain, antara kemahiran dengan sistem bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem bahasa dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.
Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu berasas pada strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan. Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula pada lewat 1970-an melibatkan:
a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem bahasa (terutama tata bahasa) dan sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.
Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang berkaitan ialah penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas, pengajaran tatabahasa tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada kemahiran. Apabila tatabahasa diajarkan secara gabung jalin dengan kemahiran, maka dapatlah dielakkan pengajaran yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus tatabahasa sehingga menimbulkan kebosanan. Tata bahasa dapat diajarkan bersama-sama dengan aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain tidak membosankan, dapat pula murid memahami penggunaan tata bahasa secara fungsional dan dalam konteks yang sesuai dan wajar. Hal ini dibincangkan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa terancang.
Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan menyepadukan aspek sistem bahasa dan kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa di samping menitikberatkan penguasaan tata bahasa serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis), perlu turut menekankan aspek kandungan bahasa.
Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala maklumat mengenai kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan bahasa di negara kita, penyerapan melibatkan dua aspek utama, iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih terperinci, ilmu dipecahkan kepada beberapa aspek lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran lain, sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya dan warisan. Selain itu terdapat pula isu dan hal masyarakat dan negara, serta isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagikan kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu diserapkan juga unsur kewarganegaraan.
Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa pengajaran tatabahasa dapat menjadi sesuatu yang menimbulkan minat guru dan murid, menjadi sesuatu yang betul-betul bererti, dan sekali gus dapat menghakis anggapan salah bahawa tatabahasa merupakan bidang yang kering dan tidak lebih daripada sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabung-jalinan murid diasuhkan menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Melalui strategi, penyerapan pula, murid dituntun menguasai tata bahasa dalam konteks yang bermakna, iaitu sambil mempelajari beraneka maklumat ilmu, hal ehwal semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada kehidupan sehingga fahamlah murid mengapa ia perlu mempelajari tatabahasa dan fahamlah juga guru mengapa ia perlu mengajarkan tatabahasa.
Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam pengajaran tata bahasa memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi perancangan dan pengajarannya di bilik darjah.
Perancangan
Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal pasti unsur-unsur tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan berdasar pada Risalah Panduan Pemeringkatan dan Perincian Tatabahasa untuk peringkat sekolah menengah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Selanjutnya unsur-unsur tatabahasa itu perlu dimasukkan dalam perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian unsur tatabahasa tertentu dimasukkan dalam kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di bawah setiap kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu mudah sukarnya dan relevannya dengan bahan pengajaran.
Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan pengajaran. Bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. “Bahan” di sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian unsur tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian makna dan contohnya untuk unsur “kata ganda” yang menjadi fokus pengajaran. Bahan yang dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah bahasa ialah pelbagai bentuk wacana, sementara yang dapat menjadi asas mencungkil unsur tata bahasa ialah ilustrasi. Dengan perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai “bahan rangsangan”.
Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran tata bahasa ialah:
a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan bahan grafik, sesuai dengan kepelbagaian konteks penggunaan tatabahasa.
b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu.
c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan penyerapan nilai.
d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti brosur iklan, berita, borang, risalah, dan sebagainya.
e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis kesilapan.
f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.
Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang tata bahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-jenis wacana. Maksudnya, murid tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat membina latihan daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang berdasarkan tema.
Pengajaran
Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti yang sesuai dan menarik. Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam bentuk penerangan rumus tampaknya tidak sesuai untuk pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah. Antara aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid termasuklah:
a. Kegiatan penemuan – murid mengesan unsur atau unsur-unsur tata bahasa tertentu dalam pelbagai wacana seperti dialog, cerpen, rencana, puisi, iklan dan sebagainya.
b. Kegiatan berdialog dan berlakon – murid menggunakan pola-pola tertentu yang sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata, ayat seruan, ayat permintaan) atau kata-kata tanya, kata silaan, kata seru, dan sebagainya.
c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual – murid menamakan objek atau peristiwa, menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat daripada bahan tersebut, dan sebagainya.
d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita – murid menghayati unsur-unsur bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan puisi, seni kata, dan cerita.
e. Kegiatan pentomim – murid mengagak nama, perbuatan atau sifat, atau mungkin ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.
f. Kegiatan main peranan – murid diletakkan dalam situasi atau konteks yang sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks itu, misalnya sebagai wartawan ia menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang betul (5W + 1H).
g. Kegiatan permainan bahasa – murid berteka-teki, menjawab kuiz, meneka nama, sifat, perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda, memadankan unsur bahasa (seperti subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar struktur ayat untuk maksud yang sama, dan sebagainya.
h. Kegiatan penyuntingan – murid membuat analisis kesilapan dan membetulkan bahasa pada bahan autentik (termasuk juga karangan murid).
i. Kegiatan penghasilan – murid berkreativiti menggunakan unsur-unsur tatabahasa untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan sebagainya.
Penutup
Demikianlah secara umum gagasan bagaimana kira-kira tatabahasa dapat diajarkan dengan menarik. Asas yang saya gunakan ialah pertama-tama sekali menimbulkan pengertian bahawa tata bahasa ialah bahagian yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tatabahasa tidak boleh diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Bagi memenuhi strategi tersebut, perlu dibuat perancangan yang rapi, terutama daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan konteks yang sesuai bagi unsur-unsur tatabahasa yang hendak diajarkan. Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid sehingga pengajaran tatabahasa dapat membantu murid menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau terpaksa.
Pengertian Legal Literacy
Para pendidik, pengetua, guru besar dan pegawai perkhidmatan pendidikan yang lain sentiasa terdedah kepada keadaan yang boleh menyebabkan mereka melanggar peraturan dan undang-undang pendidikan. Ini adalah disebabkan mereka tidak faham, atau tidak tahu tentang adanya peraturan dan undang-undang dalam pendidikan. Kadang-kadang mereka terperangkap dengan arahan-arahan yang bertentangan dengan undang-undang pendidikan. Pentadbir pendidikan di sekolah khasnya pengetua dan guru besar tidak peka peraturan-peraturan yang sedia ada dan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya ke atas pelajar-pelajar. Kejahilan pentadbir dan pengurus sekolah adalah antara faktor yang dikenal pasti sebagai punca sekolah sering didakwa oleh ibu bapa. Oleh itu, Tie Fatt Hee (2002) menyebut mentaliti yang sedia mengambil tindakan mahkamah ke atas guru adalah suatu unsur yang sudah meresap masuk ke dalam bidang pendidikan di Malaysia.
Namun demikian, para pendidik adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang. Ini terbukti daripada laporan kes-kes di mahkamah yang amat kecil bilangannya yang membabitkan para pendidik. Malah terdapat juga ibu bapa atau pelajar yang mengheret guru-guru ke mahkamah kerana ‘kecuaian’ yang dilakukan oleh mereka. Profesion perguruan ini sentiasa menerima tekanan daripada orang awam dan masyarakat yang mengharapkan segala yang terbaik daripada golongan ini, dan apa sahaja yang kurang menyenangkan berlaku dalam masyarakat, sekolah, guru sentiasa dipersalahkan. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan para pendidik memberi sumbangan yang tidak sedikit dalam pembangunan negara.
Di samping itu, pegawai perkhidmatan pendidikan seharusnya celik undang-undang pendidikan iaitu legal literacy yang sepatutnya dipelajari ataupun didedahkan di maktab-maktab perguruan ataupun institusi pendidikan tinggi sebelum berkhidmat di sekolah. Dengan cara ini, mereka lebih bertanggungjawab dan bertindak mengikut peraturan semasa mendidik pelajar-pelajar di sekolah.
Penguasaan sistem pendidikan di Malaysia terletak di bawah kerajaan pusat dan pendidikan adalah proses jangka panjang. Oleh itu, pendidikan menduduki tempat teratas dalam perancangan ekonomi dan masyarakat bagi negara moden. Di Amerika Syarikat keputusan yang paling penting mengenai undang-undang pendidikan sudah dibuat oleh Supreme Court dalam kes Brown v. Board of Education.
Today, education is perhaps the most important function of state and local governments. Compulsory school attendance laws and the great expenditures for education both demonstrate our recognition of the importance of education to our democratic society. It is required in the performance of our most basic public responsibilities, even service in the armed forces. It is the very foundation of good citizenship. Today it is a principal instrument in awakening the child to cultural values, in preparing him for later professional training, and in helping him to adjust normally to his environment. In these days, it is doubtful that any child may reasonably be expected to succeed in life if he is denied the opportunity of an education. Such an opportunity, where the state has undertaken to provide it, is a right which must be made available to all on equal terms.1
Di Malaysia Akta Pendidikan 1996 telah dipinda dengan memasukkan satu seksyen baru, iaitu seksyen 29A yang menetapkan kuasa Menteri bagi mewajibkan pendidikan rendah di negara ini. Seksyen 29A (2) juga menjelaskan:
Setiap ibu bapa yang merupakan warga negara Malaysia hendaklah memastikan bahawa jika anaknya telah mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa anak itu didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah dalam tahun itu dan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan wajib.2
Ibu bapa yang melanggar subseksyen (2) di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.3
Legal Literacy
Legal Literacy digunakan bagi menerangkan sejauh manakah seseorang itu memahami undang-undang persekolahan. Ia termasuk juga langkah-langkah yang perlu diambil oleh pengetua berkaitan dengan undang-undang persekolahan (Rossow L.F,1990). Kajian yang dijalankan mendapati ramai para pendidik dan pentadbir sekolah tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai keputusan yang diambil oleh Mahkamah yang bersabit dengan kes-kes dalam pendidikan. Oleh sebab itu katanya lagi,
“....The dispensing of information on school law should begin in teacher preparation programs, should continue in programs preparing school administrators, and should become a regular part of inservice programming for educators at all levels and in all locations…4
Di negara maju seperti United Kingdom, mata pelajaran Undang-Undang dimasukkan ke dalam sukatan mata pelajaran pada peringkat ‘A’ Level dan pelajar-pelajar boleh memilih komponen mata pelajaran sama ada English Legal System ataupun Law Of Contract.5 Tujuan diperkenalkan mata pelajaran ini adalah supaya pelajar-pelajar meneruskan pengajian dalam bidang perundangan pada peringkat universiti atau mengambil kursus dalam bidang sastera yang mereka minati.
Undang-undang pendidikan penting bagi setiap warga negara, tua ataupun muda dan mereka sepatutnya memahami proses bagaimana undang-undang tercipta dan bagaimana ia boleh dipinda oleh sesuatu pihak dan dalam keadaan yang bagaimana. Selain daripada itu, hak seseorang warganegara dan tanggungjawabnya mestilah dijelaskan dan difahami dengan betul.
Kita juga sedar, masyarakat kini semakin kompleks dan tanggung jawab yang dibebankan ke atas bahu para pendidik semakin berat dan mencabar. Seiring dengan itu, taraf pendidikan ibu bapa dan ahli masyarakat semakin tinggi. Justeru, dakwaan di mahkamah ke atas guru dan sekolah menjadi perkara yang tidak asing lagi.
Mengapa Pendidik dan Sekolah Didakwa?
Sekolah terdiri daripada pelajar yang datang daripada latar belakang yang pelbagai ragam. Dan suasana sekolah penuh dengan tingkah laku manusia yang berbeza. Sekiranya sekolah mengambil sesuatu tindakan ke atas pelajar disebabkan oleh pelanggaran peraturan sekolah, maka ia mengundang interpretasi yang bermacam-macam. Tindakan yang diambil oleh sekolah seperti merotan, ‘Ketuk ketampi’ 6 boleh disalahertikan sebagai deraan atau seksaan.
Guru-guru sekolah kadang-kadang mengenakan hukuman yang melampau ke atas pelajar-pelajar dengan tujuan mendisiplinkan mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar di salah sebuah sekolah menengah di Langkawi didakwa ditampar dan ditumbuk oleh seorang guru manakala di Kota Bharu, Kelantan seorang guru agama didakwa menyepak, menumbuk dan menghentak seorang pelajar dengan kerusi.7 Di Terengganu pula, dilaporkan beberapa orang pelajar sekolah menengah didakwa dirotan lebih 100 kali manakala di Selangor, seorang ibu mengadu anaknya telah dirantai kakinya dan lehernya dimangga oleh pihak sekolah.8
Sebenarnya Kementerian Pendidikan sudah menyedari perkara-perkara seperti di atas berlaku di sekolah-sekolah tertentu sejak beberapa tahun dahulu, dan sudah pun mengeluarkan pekeliling pada 7 November, 19839 dan yang terkini pada 11 Oktober 1995.10 Akan tetapi, disebabkan oleh kejahilan guru-guru dan pengetua-pengetua berkenaan, maka tindakan dan hukuman yang melampau masih berlaku hingga ke hari ini.
Oleh sebab salah persepsi di kalangan ibu bapa mengenai tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas pelajar-pelajar, maka ia menjadi mudah untuk ibu bapa mendakwa sekolah. Pengetua atau guru besar yang mengambil tindakan yang tidak bertepatan dengan prosedur atau peraturan yang ditetapkan sudah tentu menghadapi banyak masalah.
Bagi membantu pihak sekolah melaksanakan tugas dengan lebih teratur dan sempurna terutama apabila berhadapan dengan kes-kes disiplin di kalangan pelajar-pelajar, Kementerian Pendidikan menyediakan pelbagai buku panduan, surat-surat pekeliling ikhtisas daripada semasa ke semasa dengan tujuan meningkatkan kefahaman pengetua atau guru besar dalam hal pengurusan disiplin ataupun hal ehwal pelajar di sekolah.
Oleh sebab pentingnya dokumen-dokumen yang disebutkan tadi, pihak sekolah dan guru-guru seharusnya merujuk semua dokumen yang dikeluarkan supaya tindakan yang diambil adalah selaras dengan pekeliling dari Kementerian Pendidikan. Adalah menjadi tanggungjawab pengetua dan guru besar sekolah menyebarkan dokumen itu kepada warga sekolahnya.
Sebagai contoh Ordinan Pelajaran, 1957 Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin) Sekolah, 1959. Peraturan ini masih diguna pakai walaupun Akta Pendidikan 1996 mula berkuat kuasa mulai 1 Januari 1998. Ini terbukti dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5 / 199811
Para 3 dalam surat pekeliling itu berbunyi, “Peraturan-peraturan di bawah Akta Pelajaran 1961 dan ordinan-ordinan sebelumnya yang tidak diliputi oleh peraturan-peraturan baru di bawah Akta Pendidikan 1996 adalah masih terpakai sehingga selesai disemak dan dimansuhkan.”
Peraturan-peraturan baru dalam Akta Pendidikan 1996 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 1998 adalah:
1. Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Prasekolah) 1997,
2. Peraturan-peraturan Pendidikan (Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil atau Diploma Politeknik) 1997,
3. Peraturan-peraturan Pendidikan (Peperiksaan, Penilaian dan Persijilan) (Maktab Pendidikan Guru) 1997,
4. Peraturan-peraturan Pendidikan (Kursus Pengajian dan Program Latihan) (Maktab Pendidikan Guru) 1997,
5. Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kursus Pengajian dan Program Latihan di Politeknik) 1997,
6. Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997,
7. Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas),
8. Peraturan-peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan),
9. Peraturan-peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) (Pindaan) 1998; dan,
10. Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendaftaran Institusi Pendidikan) 1997.
Di antara peraturan-peraturan yang masih digunakan di sekolah adalah peraturan mengenai disiplin di bawah. Sebagai contoh penyataan mengenai hukuman koperal (corporal punishment) yang sangat sensitif berbunyi berikut;12
“Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, guru besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat:
Dengan syarat bahawa;
(a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan
(b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang Guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan ditapak tangan ataupun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu
(2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan (1) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh Pendaftar.”
Oleh sebab adanya peraturan di atas, hukuman koperal digunakan sejak dulu lagi bagi mengatasi masalah disiplin. Walau bagaimanapun, kesedaran masyarakat terutama di kalangan ibu bapa mengenai hak mereka menyebabkan penggunaan bentuk hukuman ini berkurangan (Tie Fatt Hee, 2002). Ancaman mengambil tindakan mahkamah ke atas guru yang menyalahgunakan autoriti mereka semakin meningkat. Secara umum, ibu bapa harus mengetahui polisi dan prosedur hukuman koperal. Ini kerana kekeliruan ke atas tafsiran polisi dan prosedur hukuman ini boleh menimbulkan banyak masalah di kalangan ibu bapa dan juga guru besar.
Namun demikian, daripada tinjauan yang dibuat di kalangan pegawai perubatan dan jururawat mengenai disiplin pelajar, mereka lebih cenderung menyokong hukuman merotan bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan atau juvenile delinquents.13 Tinjauan ini amat mengejutkan dan oleh itu, Presiden Persatuan Kesihatan Malaysia mencadangkan program latihan untuk pegawai perubatan dan jururawat dikaji semula.
Di negara lain, terdapat banyak pendapat mengenai hukuman koperal. Ada negara yang mahu hukuman ini dihentikan sama sekali dan ada negara yang mahu hukuman ini dijalankan bagi pelajar-pelajar yang nakal.14 Neville Harris (1992) menyatakan,
“The Education (No. 2) Act. 1986 banned the use of corporal punishment in the state sector. At last the government recognized what many researches had been saying for years: that corporal punishment did not address the causes of bad behaviour, caused resentment among older pupils in particular.”
Oleh sebab hukuman koperal boleh dikenakan kepada pelajar-pelajar di negara ini, Tie Fatt Hee (2002) menggariskan tiga jenis tindakan yang boleh diambil ke atas guru yang melakukan hukuman koperal kepada pelajar iaitu:
(a) Dakwaan Jenayah;
(b) Tuntutan Ganti Rugi dalam suatu tindakan sivil;
(c) Tindakan Disiplin oleh pihak majikan.
Berdasarkan kepada Peraturan 5 (1) hukuman koperal hanya boleh dilakukan oleh guru besar atau pengetua sekolah dan adalah salah sekiranya dilakukan oleh orang lain. Dan guru besar atau pengetua tidak boleh menjalankan hukuman koperal ke atas pelajar perempuan.
Walau bagaimanapun mengikut Peraturan 6; “Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukuman kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu; tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu:
Dengan syarat bahawa kuasa menjalankan hukuman dera tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana orang selain daripada guru berdaftar.”
Sehubungan dengan perkara di atas, pentadbir sekolah, pengetua, guru besar dan guru-guru hendaklah sedar dan memahami tentang undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait dengan pendidikan dan implikasinya apabila mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar-pelajar di sekolah.
Sekolah sebagai ‘In Loco Parentis’
Pihak sekolah menjadi tanggungjawab yang penting apabila murid-murid berada dalam kawasan sekolah. Oleh itu, semua guru dengan sendirinya menjadi ganti kepada ibu bapa dan mereka hendaklah memastikan agar murid-murid sentiasa diberi penjagaan yang rapi dan dilindungi daripada sebarang risiko yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Tanggungjawab guru-guru di sekolah bergantung juga kepada faktor-faktor berikut:
1. Bilangan pelajar di sekolah.
2. Umur, kemahiran, dan tanggungjawab mereka.
3. Aktiviti yang sering dijalankan.
4. Kelengkapan yang terdapat di sekolah.
5. Keadaan fizikal sekolah itu sendiri seperti bangunan dan bilik darjah.
Tanggungjawab Guru dalam Bilik Darjah
Adalah menjadi tanggungjawab guru berada di dalam kelas pada setiap masa ataupun menyelia pelajar-pelajar sepanjang masa persekolahan mereka. Ini adalah bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Meninggalkan bilik darjah tanpa kawalan boleh mengakibatkan kemalangan berlaku dan mendedahkan sekolah kepada dakwaan di mahkamah.
Satu kes mahkamah berkenaan penyeliaan murid dalam bilik darjah adalah kes Zazlin Zahira Hj. Kamarulzaman (budak) menuntut melalui bapa dan penjaganya Hj.Kamarulzaman bin Mohd. Ali mln. Louis Marie Neube Rt. Ambrose a/l Ambrose & 2 lagi.15
Sinopsis kes
Pada 19 Mac 1985 seorang guru Muzik (defendan pertama) mengajar Muzik dalam darjah satu. Semasa pengajaran, guru tersebut mengadakan gerakan “gerabak kereta api” di mana murid-murid termasuk Zazlin (plaintif) membuat beberapa pergerakan mengikut rentak muzik. Guru memberi penerangan yang jelas, dan mereka mengelilingi bilik darjah mereka. Semasa pengajaran dilakukan, pelajar tersebut jatuh dan tangannya patah. Guru (defendan) dengan bantuan guru yang lain memberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke hospital atas arahan guru besar. Guru besar memaklumkan kepada ibu bapa berkenaan apa yang berlaku dan tindakan yang sudah diambil oleh sekolah. Plaintif kedua (bapa Zazlin) mengambil tindakan ke atas kejadian itu dan menuntut ganti rugi.
Mahkamah putuskan seperti berikut:
1. Sebagai seorang guru, defendan pertama mempunyai kewajipan berjaga-jaga ke atas plaintif dan berkewajipan bertindak dengan cara yang munasabah bagi menjaga keselamatan murid-murid di bawah penyeliaannya.
2. Dalam kes ini, fakta menunjukkan tidak ada perkakas merbahaya diberikan kepada murid-murid oleh defendan pertama, dan oleh hal yang demikian, tidak ada alasan mengatakan kelas berkenaan adalah kelas yang merbahaya yang memerlukan penjagaan yang luar biasa rapinya.
3. Pada setiap kali kelas hendak dimulakan adalah memadai pengawasan biasa dibuat oleh guru berkenaan. Defendan sudah mengingatkan murid-muridnya supaya jangan tolak-menolak, berlari ataupun keluar dari barisan. Arahan-arahan ini cukup dan memadai untuk tidak berlaku kecuaian dipihak defendan.
4. Tuntutan ditolak.16
Oleh sebab adanya kes yang dibawa ke mahkamah, peralatan dalam bilik darjah juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Kerusi meja yang rosak dan senang patah boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar-pelajar. Begitu juga alat elektrik seperti kipas, lampu serta suis. Cermin tingkap yang pecah hendaklah segera digantikan.
Satu lagi kes mengenai penyeliaan dalam bilik darjah ialah ‘Kes Pensel.’
Dalam kes ini seorang pelajar berumur 11 tahun bersekolah di Sekolah Dato’ Kelana Maarof Seremban, dalam darjah lima tercedera kerana tercucuk pensel yang dipegang oleh kawannya bernama Azmi. Azmi seorang pelajar yang nakal dan sering mengganggu rakan-rakannya di dalam kelas. Kelas itu diajar oleh Puan Kenny.
Dalam keputusan di Mahkamah Tinggi, hakim menyebelahi plaintif, tetapi setelah dirayu di Mahkamah Rayuan dalam kes Government of Malaysia & Ors. v. Jumat bin Mahmud & Anor17 Hakim memihak kepada perayu dengan alasan:
1. Guru tidak mendedahkan plaintif kepada kecederaan yang boleh dijangkakan. Sebatang pensel bukanlah benda yang merbahaya dan semua murid menggunakan pensel di dalam kelas.
2. Andaian yang menyatakan kecuaian guru mengawasi kelas menyebabkan kecederaan pelajar tidak boleh diterima kerana:
a. Pengawasan guru belum pasti dapat mengelakkan kecederaan.
b. Apabila murid nakal menyebabkan kecederaan, ini tidak bererti pengurusan pada pihak guru tidak wujud sama sekali.
c. Hubungan kurangnya pengawasan dan kecederaan yang dilakukan ke atas murid bukanlah bererti kemungkinan, tetapi perkara itu adalah andaian semata-mata.
Yang Arif Hakim Raja Azlan memutuskan:
“ The duty of care owed by (the teacher) required only that he should take such measures as in all the circumstances were reasonable to prevent physical injury to (the pupil). This duty not being one to insure against injury, but to take reasonable care to prevent it, required no more than the taking of reasonable steps to protect the plaintiff against risks of injury which (the teacher) should reasonably have foreseen.”
Kawasan Sekolah
Banyak sekolah kini menumpukan kepada aspek keceriaan agar sentiasa cantik dan bersih. Ada sekolah yang menjadikan tandas sebagai bilik stor ataupun bilik tertentu supaya ia bersih dan tidak berbau busuk. Ini kadang-kadang merugikan kemudahan untuk pelajar-pelajar menggunakan dengan betul. Sekolah-sekolah ditanam dengan tanaman yang berduri dan beracun.
Apabila sekolah menumpukan kepada keceriaan, tentulah ada ‘rock garden’, kolam ikan atau air terjun yang dapat mencantikkan kawasan sekolah dan kadangkala mengundang bahaya kepada pelajar-pelajar. Tempat-tempat yang membahayakan kepada pelajar-pelajar hendaklah sentiasa diberi amaran agar mereka dapat mengelakkannya. Pekeliling mengenai kebersihan dan keceriaan sekolah adalah seperti berikut:
1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/ 198518
Rancangan Mencantik dan Mengindahkan Sekolah dan Kawasannya (Landscaping)
2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/ 1989 19
Kebersihan Sekolah
Keselamatan Pelajar
Oleh sebab sekolah adalah ‘loco parentis’, keselamatan pelajar di sekolah adalah tanggungjawab guru dan pengetua sekolah selagi mana mereka berada di dalam kawasan sekolah. Adalah menjadi tanggungjawab pengetua juga bagi keselamatan pelajar di luar kawasan sekolah apabila pelajar-pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum di luar atau terlibat dalam kes-kes jenayah ataupun disiplin di luar kawasan sekolah. Terdapat beberapa pekeliling ikhtisas Kementerian Pendidikan mengenai keselamatan pelajar. Antaranya adalah:
1. Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/ 197420
Keselamatan Dalam Makmal
2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/ 1988 21
Keselamatan Diri Pelajar Di Sekolah
3. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/199122
Pelaporan Kejadian Tidak Diingini Di Sekolah
4. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/199523
Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah
5. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 21/199824
Persediaan Menghadapi Bencana Alam
6. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/199925
Keselamatan Diri Murid Dalam Perjalanan Pergi dan Balik Sekolah
7. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/200026
Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah.
Dengan adanya pekeliling-pekeliling di atas adalah diharapkan pengetua atau guru besar mengambil langkah-langkah yang pro-aktif bagi mengelakkan pelajar-pelajar daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku di dalam dan luar kawasan sekolah masing-masing.
Pada tahun lepas, Kementerian Pendidikan melaksanakan Polisi Sekolah Selamat. Polisi ini bermaksud persekitaran sekolah yang selamat di mana warga sekolah berasa selamat tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sama ada dari dalam mahupun luar.27 Polisi ini dilancarkan oleh Menteri Pendidikan pada 6 Mei 2002 di Sungai Petani, Kedah dan mula dilaksanakan di dua puluh buah sekolah. Pada tahun ini semua sekolah rendah dan menengah seluruh negara terlibat dalam pelaksanaan polisi berkenaan.
Antara lain objektif pelaksanaan Polisi Sekolah Selamat adalah meningkatkan kefahaman dan penghayatan bahawa keselamatan hendaklah dijadikan agenda utama dalam semua aspek pendidikan di sekolah. Satu kes yang berkait dengan keselamatan dibawa ke Mahkamah pada tahun 1982 yang melibatkan pengetua sekolah adalah kes:
Headmistress, Methodist Girls School & Ors v. Headmaster, Anglo-Chinese Primary School & Anor 28
Dalam kes ini seorang murid berumur sembilan tahun dilanggar oleh bas sekolah semasa berjalan di dalam kawasan sekolah, Anglo-Chinese Primary School untuk pulang ke rumahnya. Oleh sebab dia mengalami kecederaan yang teruk, dia saman pemandu bas dan pemiliknya serta menuntut kerugian. Pemilik bas kemudian membawa responden (guru besar dan kerajaan) sebagai orang ketiga untuk sama-sama bertanggungjawab membayar ganti rugi. Ini adalah kerana membenarkan bas memasuki kawasan sekolah. Hakim memutuskan untuk dibayar ganti rugi kepada murid tersebut berjumlah RM 20,000.00 dan tidak membenarkan sekolah sama-sama membayar.
Pemilik bas merayu keputusan tersebut dan kes ini di bawa ke Mahkamah Federal. Hakim mendapati sekolah tidak terlepas dari tanggungjawab menjaga keselamatan dalam kawasannya. Keputusan yang diambil adalah pihak sekolah membayar 30% sebagai ganti rugi dan pemilik bas membayar 70%.
Undang-undang TORT
Menurut Abd. Ghani (1985) Tort merangkumi soal tuntutan dan dakwaan berkaitan kerugian, kecederaan dan kesakitan. Peranan undang-undang tort adalah menentukan soal-soal liabiliti dan ganti rugi yang dituntut dalam kesalahan sivil.
Tort adalah satu daripada cabang undang-undang sivil yang menetapkan tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas yang melakukan perbuatan ataupun kecuaian bagi mendapatkan ganti rugi; tidak tertentu jumlahnya.
Secara mudah tort bermakna ‘salah’. Bidang ‘tort’ ini sangat luas dan mencakupi pencerobohan, kacau ganggu, fitnah dan pernyataan silap atau misstatement.
Kecuaian atau negligence sebagai tort adalah pelanggaran kewajipan undang-undang untuk berjaga-jaga oleh defendan yang mengakibatkan kerosakan yang tidak diinginkan kepada plaintif (Rogers,W.V.H, 1994). Unsur-unsur kecuaian adalah;
a. kewajipan undang-undang di pihak A ke atas B untuk berhati-hati dalam segala perbuatan,
b. pelanggaran kewajipan tersebut,
c. kerosakan berbangkit kepada B.
Unsur-unsur di atas tidak selalunya boleh dipisahkan dan ia hanya merupakan tiga cara berlainan apabila melihat satu masalah yang serupa.
Kecuaian
Dalam pendidikan terdapat perbezaan di antara ‘kecuaian guru’ dan ‘kecuaian pendidikan’. Kecuaian guru berpunca daripada konsep tanggungjawab berjaga-jaga daripada segi undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada guru. Biasanya kecuaian guru dikaitkan dengan kemalangan dan kecederaan fizikal yang menimpa pelajar. Guru terpaksa membayar denda dalam bentuk ganti rugi jika mahkamah memutuskan wujud liabiliti guru dalam sesuatu keadaan. Biasanya ganti rugi dibayar kepada ibu bapa pelajar berkenaan.
Di London, sekolah menjadi sasaran untuk disaman oleh ibu bapa kerana kecederaan-kecederaan kecil. Pada bulan Mei 2002, Neil Primrose, Pengetua sekolah Norlington di Timor London memohon agar kerajaan memberi per-lindungan kepada sekolah-sekolah dan tempat-tempat awam daripada ancaman yang semakin bertambah.29 Neville Harris (1992) menyatakan,
“ There is a general principle that where a teacher ( or indeed any other employee) is negligent in the course of his/her duties, the employer may be vicariously liable……. In many cases the injured party (known in a legal action as the ‘plaintiff’) may decide to sue the employer because the latter’s financial resources available to satisfy any judgment will be far greater than those of the teacher.”
Tie (2002) menyatakan empat elemen penting yang perlu wujud sebelum seseorang guru itu boleh didakwa oleh pihak pendakwa:
1. Terdapat elemen berjaga-jaga seperti arahan yang diberikan oleh pengetua kepada guru bagi mengajar sesebuah kelas pada sesuatu masa.
2. Tanggungjawab itu tidak dipatuhi dan guru meninggalkan kelas untuk berehat di bilik guru menyebabkan pelajar-pelajar bertumbuk.
3. Akibat daripada pelanggaran tanggungjawab tadi, seorang pelajar cedera di muka dan mengalami kerugian.
4. Terdapat kaitan yang rapat di antara tingkah laku defendan dengan kecederaan yang dialami oleh plaintif.
Kecuaian pendidikan merujuk kepada kegagalan guru mendidik pelajar. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kegagalan pelajar memperoleh ataupun menguasai sesuatu kemahiran dalam pendidikan. Namun dalam banyak situasi, usaha membuktikan sesuatu kecederaan intelek berpunca daripada pengajaran guru yang kurang baik adalah amat menyukarkan.
Oleh itu 99% daripada guru-guru tidak perlu bimbang kerana guru-guru yang bimbang adalah mereka yang tidak cekap, yang tidak hiraukan murid-murid di bawah jagaan mereka. Guru-guru yang bekerja sedikit, tidak terlatih dan kekurangan sumber adalah lebih ‘cuai’ dalam pengajaran mereka.30
Sebagai contoh seorang guru dipertanggungjawabkan mengajar empat puluh orang pelajar di tingkatan tiga sebuah sekolah menengah. Selepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hanya sepuluh orang sahaja pelajar mendapat 8 A. Jika dipandang daripada segi kecuaian pendidikan, adakah semua guru mata pelajaran gagal mendidik tiga puluh orang pelajar di kelas itu? Atau, adakah pelajar-pelajar itu sendiri gagal mempelajari apa yang disampaikan oleh guru-guru?
Keadaan di atas perlu dilihat dan dikaji dengan teliti sebelum sesuatu keputusan dibuat. Ini amat merumitkan. Contoh-contoh kecuaian yang lain yang dapat meng-akibatkan pihak sekolah bertanggungjawab secara tort adalah:
1. Gagal menyediakan kawalan pada alatan yang digunakan oleh pelajar.
2. Meninggalkan bahan-bahan kimia yang merbahaya yang dapat dicapai oleh pelajar.
3. Membiarkan pelajar bermain dengan alat-alat yang merbahaya tanpa kawalan.
Tanggungjawab sekolah tidak berakhir apabila loceng terakhir berbunyi dan sekolah berakhir. Tanggungjawab ini perlu diteruskan bagi menjalankan pengawasan dan penyeliaan yang baik dan rapi ke atas murid-murid sehingga ibu bapa atau penjaga datang untuk mengambil mereka pulang.
Dalam kes-kes kecuaian di sekolah di mana kecenderungan menyabitkan pihak sekolah bertanggungjawab bagi sesuatu kecuaian, bergantung banyak kepada keadaan-keadaan tertentu. Neville Harris (1992) menegaskan;
“Having established who may be responsible for a teacher’s negligent act (or omission), the question of when negligence occurs must be considered. It has been said that it is not for every careless act that a man may be held responsible in law, nor even for every careless act that causes damage.”
Satu lagi kes kecuaian dalam pendidikan ialah kes:
Mohamed Raihan Bin Ibrahim & Anor. V. Government Of Malaysia & Ors 31
Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Port Dickson mengalami kecederaan di kepala kerana terkena cangkul yang digunakan oleh rakannya semasa kelas amali Sains Pertanian. Beliau mendakwa kecederaan berlaku kerana responden, guru mata pelajaran Sains Pertanian gagal membuat penyeliaan ke atas pelajar yang mengikuti kelas perkebunan dan gagal memberi penerangan berkenaan penggunaan cangkul. Tuntutan beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Plaintif membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Rentetan peristiwa adalah seperti berikut:
• Pelajar-pelajar tingkatan satu yang terdiri daripada 37 atau 38 orang mengikuti kelas amali pertanian di bawah pengawasan guru perempuan Mrs. Hau Kan Yong.
• Selepas berbaris bagi mengambil peralatan pertanian dari stor, mereka terus ke kebun.
• Pelajar-pelajar dibahagikan kepada enam kumpulan dan setiap kumpulan diberikan satu batas. Ukuran batas adalah 15 kaki panjang dan 3 kaki lebar.
• Plaintif meninggikan batasnya dengan menggunakan penyodok dan rakannya, Raja Aminuddin membuat kerja yang sama di batas sebelah dengan menggunakan cangkul yang pemegangnya sepanjang 5 kaki.
• Oleh sebab jarak mereka terlalu dekat, plaintif memberitahu Raja Aminuddin supaya jangan menggunakan cangkul sehingga beliau selesai kerjanya. Akan tetapi, Raja Aminuddin terus mengangkat cangkul tanpa menghiraukan kata-kata plaintif.
• Akhirnya cangkul Raja Aminuddin terkena kepala plaintif dengan luka 2 ½ inci dan retak pada tulang tengkorak kanan.
• Semasa kemalangan, guru sedang duduk di bawah pokok, beberapa ela dari batas pertanian.
Kesimpulan daripada hujah dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, terdapat kecuaian dan gagal mengambil tindakan munasabah dan langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengelakkan perayu yang di bawah jagaan beliau daripada menanggung kecederaan. Guru tidak memeriksa peralatan kebun dan tidak menyediakan sistem keselamatan semasa kelas pertanian. Guru mempercayai pelajar dan tidak menguruskan peralatan kebun dengan baik. Guru tidak memberi peringatan dan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan mengikut keadaan pelajar termasuk jarak antara mereka, bagi mengelak berlakunya kecederaan.
Hakim Salleh Abas F.J menegaskan;
“It is a settled law that a school teacher is under a duty to exercise supervision over his pupils when they are in the school premises, either in the classroom or the playground. The degree of supervision depends on the circumstances of each case, such as the age of the pupils and what they are doing at the material time. If the teacher knows that the pupils are engaged in doing acts which are likely to cause injuries to one another, the teacher is under a duty to take steps to ensure the safety of the acts.”32
Kes kecuaian yang seterusnya dilaporkan ialah, Yogeswari Nadarajah & Anor v. Government of Malaysia.33
Pada 7 November 1975 lebih kurang pukul 7.25 pagi, iaitu sebelum sekolah bermula, plaintif pertama, seorang murid tahun dua SRJK (T) Gemas, Negeri Sembilan sedang berdiri di padang sekolah. Pada masa itu dua orang murid lelaki sedang bermain membaling ranting kayu bunga raya. Ranting bunga raya itu terkena plaintif tadi dan mencederakan mata kirinya sehingga matanya itu terpaksa dikeluarkan.
Plaintif pertama dan ibunya mendakwa defendan pertama iaitu kerajaan Malaysia, Lembaga Pengurus Sekolah dan guru besar sekolah berkenaan. Pihak defendan mengatakan dalam kes ini, tidak terdapat alasan yang kukuh untuk membolehkan plaintif membuat dakwaan.
Bukti daripada plaintif adalah, dia merupakan seorang murid tahun dua sekolah itu. Apabila dia pergi ke sekolah pada 7 November, dua orang murid lelaki membaling ranting kayu dan terkena mata kirinya. Selepas kejadian itu, matanya terpaksa dikeluarkan.
Bukti juga menunjukkan ranting pokok bunga raya dipotong dan dibiarkan berselerak di bawah pokok. Sebelum kejadian itu berlaku, murid-murid bermain dengan ranting kayu pokok itu.
Peguam bela plaintif mengusulkan, defendan sepatutnya membuang semua ranting kayu dari kawasan sekolah. Kegagalan berbuat demikian adalah suatu kecuaian pada pihak defendan kerana mereka mempunyai tanggungjawab memastikan kawasan sekolah sentiasa dalam keadaan selamat.
Daripada bukti yang didapati, perkara yang perlu diberi pertimbangan adalah sama ada defendan sudah melepaskan tanggungjawab menjaga plaintif, iaitu ada ataupun tidak pihak defendan memikirkan risiko yang mungkin ditanggung oleh murid. Sekiranya ada, apakah langkah-langkah yang diambil bagi mengelakkan daripada risiko berkenaan.
Bukti yang jelas adalah dua orang murid sedang membaling ranting kayu di antara satu sama lain di belakang tandas dalam kawasan sekolah. Dan ranting kayu tadi terkena mata kiri plaintif.
Yang Arif Wong Kim Fatt, J.C mengatakan, ranting kayu itu bukanlah benda yang merbahaya sama juga seperti kerusi, meja yang terdapat di sekolah. Adalah tidak munasabah meletak seorang guru menyelia aktiviti-aktiviti permainan murid. Dalam kes itu, tidak terdapat bukti yang menunjukkan defendan mengetahui risiko kecederaan yang ditanggung oleh plaintif.
Sama juga dengan kes Government of Malaysia & Ors v. Jumat bin Mahmud & Anor34, Yang Arif menjelaskan, undang-undang dianggap tidak meletakkan liabiliti yang tegas ke atas guru apabila pelajar-pelajarnya cuai dalam undang-undang tort. Undang-undang hanya memerlukan bukti yang menunjukkan guru gagal mengambil langkah yang munasabah mengawasi muridnya daripada kecederaan yang sepatutnya dapat dielakkan. Keputusannya adalah tuntutan plaintif ditolak tanpa kos.
Ordinan-ordinan yang Masih Diguna Pakai
Ordinan Pelajaran, 1957
Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin) Sekolah 1959
Peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah), 1959 dan hendaklah bagi semua sekolah selain daripada:-
(a) sekolah yang dikecualikan daripada pendaftaran di bawah seksyen 114(2) Ordinan dan,
(b) sekolah gaya pos.
Dalam peraturan ini peranan Lembaga Pengurus / Pengelola sekolah bagi sekolah-sekolah kerajaan dimansuhkan.
Beberapa peraturan dalam Ordinan Pelajaran 1957 telah dipinda atau dimansuhkan dan digantikan dengan Peraturan 1980 dalam Akta Pelajaran 1961.
Semua pengetua sekolah dan guru besar telah diberi arahan supaya mematuhi Peraturan-peraturan Tatatertib Sekolah seperti dalam surat pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (ketika itu) Bil. 1/ 1972, bertarikh 4 hb. Februari, 1972. Sebelum itu surat pekeliling dari Kementerian Pelajaran pernah dikeluarkan mengenai tatatertib di sekolah seperti Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/68 bertajuk ‘Pembuangan Murid-murid daripada sekolah kerana Kelakuan Curang’ dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/ 68 bertajuk ‘Tatatertib di Sekolah’.
Satu kes yang boleh diambil contoh berkenaan pembuangan seorang pelajar yang melanggar disiplin di sekolah dan dibawa ke mahkamah adalah seperti di bawah:
Mahadevan v. Anandarajan & Ors.35
( O.C.J. (Abdul Hamid J.) September 5, 1969)
Dalam kes ini, seorang pengetua sekolah dalam keterangannya menyatakan seorang pelajar dibuang sekolah kerana terdapat laporan daripada guru berkenaan tingkah laku pelajar itu pada masa pertunjukan talentime yang diadakan pada 1 April 1968. Laporan berkenaan perangai pelajar itu juga diberikan oleh ketua pengawas dan Pengerusi Kelab Interact. Laporan itu juga menyebut, pelajar itu menduduki tempat duduk berharga RM3.00 walaupun hanya membayar RM2.00 sahaja. Selain daripada itu, dia ketawa dan meninggalkan pertunjukan itu beberapa kali bagi mengganggu pertunjukan. Laporan juga menyebut, dia menyalakan mancis api dan berperangai tidak senonoh dalam kumpulannya.
Pengetua memanggil pelajar itu bersama dua orang rakannya yang lain ke dalam pejabatnya pada 2 April 1968. Beliau memberi amaran kepada mereka. Pengetua memanggil pelajar itu juga secara bersendirian pada hari itu dan memberitahu perangainya yang kurang sopan pada masa yang lepas. Pelajar itu menyangkal beberapa tuduhan tetapi mengaku kesalahan yang lain.
Pada masa yang lain, pelajar itu membawa surat sakit daripada doktor tetapi pada petang itu dia bermain badminton. Apabila disoal, dia menyatakan dia tidak datang bagi aktiviti sekolah tetapi sakitnya itu tidak teruk bagi membolehkan dia bermain badminton.
Selepas menemui pelajar itu, pengetua berpuas hati dan merasakan pelajar itu patut diambil tindakan buang sekolah bagi menjaga disiplin di sekolahnya. Pengetua membincang berkenaan perkara itu dengan rakan sejawatnya dan pada 10 April, 1968 dia bertekad membuang pelajar itu. Oleh sebab ketika itu sekolah akan tutup, pengetua menyampaikan keputusannya pada 6 Mei 1968. Bapanya merayu kepada Lembaga Pengurus Sekolah tetapi rayuannya ditolak.
Pelajar itu bersama bapanya membawa kes itu ke Mahkamah bagi membatalkan tindakan pengetua agar dia disekolahkan semula. Dalam pengakuannya, ia menyatakan tuduhan yang dibuat ke atasnya tanpa memberi peluang yang mencukupi untuk dia menjawab pertuduhan yang dibuat. Dan pertuduhan dibuat dengan cara yang tidak tepat dan tidak mengikut undang-undang keadilan asasi atau natural justice.
Mahkamah Tinggi mendengar keterangan yang diberikan dan berpuas hati bahawa pelajar itu tidak diberi peluang yang mencukupi untuk didengar. Mahkamah menyatakan dengan memberi amaran yang pelajar akan dibuang tidak memadai untuk menerima sebagai keadilan asasi. Mahkamah berpendapat, pengetua tidak memberi notis yang secukupnya kepada pelajar untuk dia menikmati kehendak keadilan asasi. Mahkamah mendapati terdapat pelanggaran aspek tersebut dan keputusan yang diambil oleh pengetua sebagai batal dan tak sah iaitu null and void dan pelajar itu diterima bersekolah semula.
Pengetua merayu kes ini ke Mahkamah Federal. Mahkamah Federal mendapati tindakan yang diambil oleh pengetua adalah mengikut peraturan dan menepati keadilan asasi. Mahkamah menetapkan, bagi menjaga disiplin di sekolah, pengetua tidak perlu mengadakan sesi pertemuan yang panjang lebar sebelum bertindak. Sekolah tidak tertakluk kepada alteram partem atau the right to be heard. Mahkamah Federal berpuas hati dengan tindakan pengetua yang sudah memberi peluang yang mencukupi kepada pelajar itu dan pelajar itu dibuang dari sekolah.
Tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Federal , pelajar itu merayu kesnya ke Majlis Privy atau Privy Council. Majlis Privy menolak rayuan itu. Majlis Privy menyatakan, dalam hal pentadbiran seperti penyingkiran pelajar, adalah tidak sama kesnya dengan kes jenayah. Keadilan asasi itu adalah mengambil tindakan secara yang adil dan saksama. Apa yang adil bergantung kepada keadaan dan mengikut pemikiran biasa Majlis Privy tidak ada sebarang ketidakadilan dalam tindakan yang diambil oleh pengetua sekolah. Rayuan ditolak
School (General Regulations), 195136
Selain daripada peraturan berkenaan disiplin, terdapat peraturan yang disebut sebagai Schools (General) Regulations, 1951. Walaupun peraturan ini adalah lama, tetapi ia masih sesuai dan berguna untuk pentadbir sekolah. Penekanan yang diberikan dalam peraturan ini adalah antara lain:
Keperluan untuk bangunan sekolah
Dalam peraturan ini, semua aspek yang berkaitan dengan bangunan sekolah seperti keluasannya, bilangan bangunan, bilik darjah serta tempat rekreasi sama ada dalam bentuk pelan ataupun gambar hendaklah diberi kepada pendaftar sekolah apabila dikehendaki.
Bangunan itu hanya boleh digunakan apabila ia didaftarkan dan sesuai digunakan. Apabila sekolah itu didaftarkan, nama sekolah yang didaftarkan itu hendaklah ditulis dengan jelas di depan pintu masuk sekolah itu.
Bangunan tambahan untuk sekolah tidak boleh dibuat selagi tidak mendapat kebenaran daripada pendaftar sekolah. Tandas untuk bangunan hanya akan dibenarkan sekiranya ia sesuai pada pandangan pendaftar atau pegawai perubatan.
Keperluan kesihatan
Tiap-tiap bilik darjah hendaklah sesuai pembinaannya agar udara dan cahaya dapat masuk dengan senang melalui tingkap atau lubang, dan ruang terbuka ini hendaklah luasnya satu perlima daripada keluasan lantai.
Peraturan ini juga menentukan kawasan tempat duduk seseorang itu tidak boleh kurang daripada 15 kaki persegi, dan sekiranya ketinggian siling bilik itu kurang daripada 12 kaki, maka sijil pengesahan daripada pegawai perubatan hendaklah diperolehi bagi mengesahkan penggunaan bilik itu agar tidak menjejas kesihatan pelajar.
Penggunaan bilik darjah
Di bahagian depan tiap-tiap bilik darjah hendaklah ditandakan dengan jelas nombor atau huruf pengenalan bilik itu. Bilangan pelajar yang dapat dimasukkan ke dalam tiap-tiap bilik hendaklah dikira pada 180 kaki padu ruang dalaman untuk setiap pelajar. Cahaya untuk bilik darjah hendaklah mencukupi supaya tidak mengganggu penglihatan pelajar.
Peraturan ini juga memerlukan sijil supaya dipaparkan di tiap-tiap kelas yang menunjukkan bilangan pelajar yang dimasukkan ke dalam kelas itu. Mengikut peraturan ini juga tidak lebih daripada 40 orang yang boleh diajar pada satu-satu masa oleh seorang guru kecuali untuk pengajaran Pendidikan Jasmani atau Nyanyian atau kegunaan lain yang di luluskan oleh pendaftar. Orang lain daripada guru tidak boleh menggunakan bilik darjah. Buku kedatangan pelajar yang dibenarkan oleh pendaftar hendaklah disimpan di tiap-tiap bilik darjah.
Bagi memelihara penglihatan pelajar, meja-meja hendaklah disusun supaya cahaya dapat jatuh di bahagian kiri pelajar dan huruf-huruf yang ditulis di papan hitam atau hijau tidak kurang daripada satu inci tinggi.
Kebersihan dan kesihatan
Peraturan ini juga menetapkan guru-guru dan pelajar-pelajar hendaklah sentiasa bersih. Bilik darjah hendaklah dibersihkan tiap-tiap hari lepas persekolahan. Lantai dibasuh seminggu sekali dan bangunan lain, padang serta parit dan longkang dibersihkan setiap hari.
Meludah dalam kawasan sekolah adalah dilarang. Pegawai perubatan atau yang mempunyai autoriti daripadanya boleh pada sesuatu masa memeriksa sekolah bagi melihat kebersihan dan tandas sama ada dalam keadaan bersih ataupun tidak dan satu laporan akan dihantar kepada pendaftar.
Pengetua atau guru besar perlu memastikan sebab seseorang pelajar itu tidak hadir ke sekolah selama lebih dari sehari. Dan dia patut melaporkan kepada pegawai perubatan sekiranya terdapat penyakit berjangkit di kalangan guru, pelajar dan pekerja lain di sekolahnya.
Sekiranya terdapat mana-mana sekolah yang di dalamnya guru-guru, pelajar dan pekerja lain mengidap penyakit berjangkit, pendaftar atas nasihat pegawai perubatan mengarahkan supaya sekolah itu ditutup bagi jangka masa yang sesuai.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/98 37: Menjaga Kesihatan Pelajar di Sekolah, menekankan berkenaan pentingnya menjaga kesihatan pelajar di sekolah. Antara tindakan yang dicadangkan adalah:
1. Elakkan aktiviti yang mendedahkan pelajar, untuk jangka masa yang lama kepada keadaan cuaca yang dapat menjejaskan kesihatan mereka seperti jerebu dan cuaca panas.
2. Pastikan premis dan persekitaran sekolah, termasuk asrama dan kantin sentiasa dalam keadaan bersih, selesa dan selamat, supaya pelajar tidak dijangkiti penyakit.
3. Melaporkan semua kes penyakit berjangkit kepada pejabat kesihatan berhampiran dan tidak membenarkan pelajar yang disahkan menghidapi penyakit hadir ke sekolah bagi suatu tempoh yang difikirkan wajar.
4. Mengawal selia penyediaan dan penjualan makanan di kantin dan asrama supaya kejadian keracunan makanan di sekolah dapat dielakkan.
5. Mengawasi secara berterusan penjualan makanan di kantin, supaya makanan untuk pelajar mencukupi, harga jualan dipatuhi seperti dalam perjanjian, dan sesuai dengan kemampuan perbelanjaan harian pelajar.
6. Menangani masalah disiplin pelajar dengan mewujudkan persekitaran sosial sekolah yang dapat membantu perkembangan emosi, rohani dan sosial yang sihat.
7. Menggalakkan penyertaan dan kerjasama ibu bapa, komuniti setempat serta agensi-agensi kesihatan dalam mewujudkan sekolah sihat sesuai dengan konsep dan matlamat Program Bersepadu Sekolah Sihat yang dilancarkan oleh Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1997.
8. Melaksanakan saranan dan cadangan yang terkandung dalam surat-surat siaran, pekeliling-pekeliling ikhtisas dan buku panduan yang disediakan dan disiarkan dari semasa ke semasa.
Surat Pekeliling Ikhtisas Berkait dengan Kesihatan
i. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1981 38
Jualan Makanan dan Minuman di Kantin-kantin Sekolah untuk Murid-murid Berbilang Agama.
ii. Surat Pekeliling Ikhtisas No. 4/198139
Kebersihan di Sekolah-sekolah
iii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/198240
Kempen Anti Denggi di Sekolah-sekolah.
iv. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1983 41
Garis Panduan Kempen Anti Merokok di Sekolah-sekolah.
v. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/198342
Kantin Sekolah.
vi. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/198543
Rancangan Mencantik dan Mengindahkan Sekolah dan Kawasannya(Landscaping)
vii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/198844
Penyakit Demam Kepialu (Tifoid), Taun (Kolera), Penyakit Kuning (Hepatitis B), dan Keracunan Makanan.
viii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1988 45
Keselamatan Diri Pelajar di Sekolah.
ix. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 15/1988 46
Penyenggaraan dan keceriaan Maktab Perguruan/ Politeknik/ Sekolah.
x. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1989 47
Rancangan Kesihatan Sekolah.
xi. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/1989 48
Kebersihan Sekolah.
xii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1995 49
Keselamatan Diri Pelajar semasa Pengajaran Jasmani dan Kesihatan serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan di dalam dan di luar Sekolah.
xiii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1995 50
Keracunan Makanan di Sekolah-sekolah.
xiv. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1996 51
Penampilan Diri Pelajar, Kekemasan Kerapian Berpakaian.
GARIS PANDUAN
i. Garis Panduan Kantin Sekolah
Cetakan Pertama 1989
ii. Amalan Kebersihan Sekolah – Garis Panduan
Cetakan Pertama 1997
iii. Amalan Kebersihan Sekolah – Panduan Aktiviti
Cetakan Pertama 1997
iv. Program Bersepadu Sekolah Sihat
Cetakan Pertama 1997
v. Rekod Kesihatan Murid
Disiplin: Jadual waktu dan kurikulum:
Latihan kecemasan
Peraturan ini juga menetapkan jadual waktu, sukatan pelajaran hendaklah dihantar kepada pendaftar supaya diluluskan. Perubahan pada jadual waktu dan sukatan pelajaran tidak dibenarkan kecuali dengan persetujuan pendaftar.
Guru besar atau pengetua hendaklah membuat rancangan untuk pelajar-pelajar meninggalkan bangunan sekolah apabila berlaku kebakaran. Rangka atau pelan kawad kecemasan perlu dipaparkan di sekolah dan semua guru perlu membiasakan diri dengan rangka itu.
Semua kelas hendaklah diadakan kawad kecemasan supaya pelajar-pelajar tahu kedudukan mereka dan tugas yang ditetapkan kepada mereka. Latihan perlu diadakan pada waktu yang sesuai.
Sijil berhenti sekolah
Semua pelajar kecuali yang tidak menjelaskan yuran sekolah hendaklah diberi sijil berhenti sekolah menggunakan borang yang diluluskan oleh pendaftar dan mempunyai nama sekolah yang tercatat sama ada sekolah kerajaan atau sekolah swasta.
Pelajar-pelajar yang dibuang sekolah disebabkan oleh kes disiplin juga diberi sijil berhenti sekolah dengan ada catatan daripada guru besar.52
Penggunaan sekolah atau Use of school premises
‘Tiada seorang pun boleh tanpa sebab yang munasabah masuk atau cuba masuk atau tinggal di premis itu atau di mana-mana bahagian premis itu yang digunakan sebagai atau berkaitan dengan sesebuah sekolah yang mana suatu perintah yang dibuat di bawah perenggan (1) adalah berkuat kuasa.’53
Tidak seorang pun orang luar dibenarkan menggunakan premis sekolah pada bila-bila masa bagi menghimpunkan pelajar-pelajar atau guru bagi tujuan mengajar, bersyarah, memeriksa ataupun mengedarkan risalah atau bahan bacaan ataupun mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah atau memeriksa aktiviti pendidikan kecuali ia mendapat kelulusan daripada pendaftar.
Penggunaan premis sekolah sebagai tempat propaganda politik dengan tujuan mempengaruhi pelajar tidak dibenarkan.
Premis sekolah atau sebahagian daripada sekolah tidak boleh digunakan untuk permainan haram seperti judi ataupun loteri.
Rujuk:
1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/1976 54
Mengharamkan Semua Jenis Permainan Judi di Sekolah-sekolah.
2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1991 55
Penggunaan Kemudahan Sekolah oleh Pertubuhan dan Persatuan Belia.
Peraturan-peraturan dalam Akta Pendidikan 1996
Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan Bahagian XIII bagi menjelaskan peraturan-peraturan yang boleh dibuat oleh menteri. Antara peraturan itu boleh diringkaskan seperti berikut:
1. Pendaftaran pelajar
2. Tempoh penggal persekolahan
3. Penubuhan institusi pendidikan
4. Yuran yang dikenakan untuk pendaftaran
5. Disiplin di institusi pendidikan
6. Kurikulum kebangsaan
7. Persatuan murid-murid dan ibu bapa
8. Peralatan persekolahan
9. Bahan-bahan pengajaran
10. Penyimpanan akaun
11. Piawaian kesihatan dan keselamatan
12. Perkara-perkara lain yang suai manfaat untuk Akta ini.
Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998
Dengan terbitnya peraturan di atas, peraturan-peraturan di bawah Seksyen 92 Ordinan Pelajaran 1952 dibatalkan, dan peraturan ini mula berkuat kuasa pada 21 Mei 1998.
Penubuhan persatuan sekolah
Guru besar atau pengetua, setelah menerima permohonan secara bertulis, hendaklah menubuhkan persatuan sekolah daripada kategori yang berikut:
(a) Mata pelajaran yang diajar di sekolah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997;
(b) hobi dan rekreasi;
(c) sukan dan permainan;
(d) badan beruniform; atau
(e) apa-apa persatuan lain yang diluluskan oleh Pendaftar.
Laporan persatuan
Jawatankuasa tiap-tiap persatuan sekolah hendaklah mengemukakan secara bertulis kepada guru besar atau pengetua, laporan yang lengkap mengenai perkara-perkara yang berikut:
(a) perlembagaan dan peraturan persatuan;
(b) senarai ahli jawatankuasa persatuan; dan
(c) senarai aktiviti utama persatuan.
Laporan itu hendaklah dikemukakan dalam tempoh empat belas hari mula berkuat kuasanya peraturan-peraturan ini atau dalam hal persatuan yang ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan ini berkuat kuasa, dalam tempoh empat belas hari selepas mesyuarat pertama persatuan itu.
Perlembagaan dan peraturan persatuan sekolah hendaklah diluluskan oleh guru besar atau pengetua.
Selain daripada penasihat persatuan yang dilantik oleh guru besar atau pengetua serta rekod persatuan yang perlu disimpan dengan rapi, akaun persatuan hendaklah diawasi dengan baik oleh pengetua atau guru penasihat.
Pembubaran persatuan
Pendaftar, guru besar atau pengetua boleh, secara bertulis mengarahkan mana-mana persatuan sekolah dibubarkan jika dia berpuas hati bahawa persatuan itu mungkin digunakan bagi maksud;
a. yang tidak memberi manfaat kepada guru atau murid;
b. propaganda politik yang memudaratkan kepentingan Malaysia atau awam;
c. yang memudaratkan kepentingan murid; atau
d. yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini.
PEKELILING-PEKELILING IKHTISAS MENGENAI PERSATUAN (KOKURIKULUM)
1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1971 56
Permainan Catur di Sekolah-sekolah Menengah
2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/77 57
Pengelolaan Walkathon di Sekolah-sekolah
3. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1982 58
Permainan Pin-table, Video Game, Game Watch
4. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1984 59
Garis Panduan berkenaan Aktiviti-Aktiviti Kebudayaan di Sekolah-sekolah
5. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1986 60
Rekod Kedatangan dan Laporan Gerak Kerja Kokurikulum Pelajar
6. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1986 61
Penyelarasan Pelaksanaan Kurikulum “Pengenalan Kepada Komputer” dan Kegiatan Kelab Komputer Sekolah
7. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1986 62
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Komputer Sekolah.
8. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1988 63
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Pereka Cipta Sekolah
9. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1988 64
Penyertaan Pelajar dalam Pertandingan atau Kejohanan Sukan Anjuran Persatuan atau Badan Induk Sukan
10. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1989 65
Penyertaan Pelajar dalam Kegiatan Sukan di Sekolah
11. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1992 66
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Persatuan Silat Sekolah
12. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1994 67
Pelaksanaan Kokurikulum pada Tahun 5 dan Tahun 6 KBSR
13. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1995 68
Pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah (KRS)
14. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1995 69
Penyertaan Pelajar dalam Pertandingan Kejohanan Sukan Anjuran Persatuan atau Badan Induk Sukan
15. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1995 70
Rancangan Kegiatan Sekolah selepas Peperiksaan UPSR bagi Murid-murid Tahun 6
16. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1997 71
Pengiktirafan Persatuan Seni Bela Diri sebagai Pasukan Pakaian Seragam Sekolah.
17. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998 72
Penglibatan Guru dan Murid dalam Aktiviti Pasukan Pakaian Seragam Anjuran Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.
18. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/2000 73
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah
19. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 74
Penubuhan Kelab Rukun Negara di Sekolah-sekolah
20. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000 75
Penggalakan Aktiviti Fotografi di Kalangan Murid
21. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 20/2000 76
Panduan Penubuhan Persatuan Agama Bukan Islam di Sekolah-sekolah.
Satu kes yang dilaporkan berkenaan kecuaian guru dalam menguruskan aktiviti kokurikulum ialah kes Chen Soon Lee melawan Chong Voon Pin dan Lain-lain (O.C.J. Lee Hun Hoe J.) June 13 1966.77
Tindakan diambil disebabkan oleh kecuaian pada pihak defendan. Defendan terdiri daripada seorang pengetua dan dua orang guru di sebuah sekolah di Miri, Sarawak. Mereka mengiringi beberapa orang pelajar sekolah itu untuk aktiviti perkelahan di tepi pantai di Tanjong Lobang. Semasa pelajar-pelajar bermain bola di dalam air, ada di antara mereka yang pergi ke tempat yang dalam dan mereka tenggelam. Guru-guru dan pelajar lelaki cuba menyelamatkan mereka dan didapati seorang daripada mereka hilang. Akhirnya pelajar itu dijumpai dan tidak dapat diselamatkan. Waris mangsa menuntut ganti rugi atas alasan bahawa defendan bertindak cuai.
Defendan pertama ialah Guru Besar Sekolah Chung San, Riam Road, Miri, Sarawak. Defendan kedua dan ketiga adalah kedua-dua orang guru di sekolah yang sama. Peristiwa berlaku pada hari Ahad, 6 Disember 1964.
Yang Arif Lee Hun Hoe berpendapat, perkelahan itu dikelolakan oleh pelajar sendiri pada hari Ahad. Defendan berhak menolak permintaan pelajar mengiringi mereka ke perkelahan itu. Pelajar mungkin meneruskan aktiviti mereka walaupun tanpa penyertaan defendan.
Aktiviti perkelahan itu dijalankan pada hari Ahad. Oleh itu, guru besar dan guru tidak berkewajipan membuat penyeliaan yang cukup kepada mereka. Dalam kes ini, tiada seorang pun yang tahu atau sedar bahawa mereka sedang berkelah di suatu kawasan yang merbahaya.
Yang Arif juga menyatakan defendan mempunyai kewajipan menjaga pelajar-pelajarnya. Defendan didapati sudah mengambil langkah tertentu bagi memastikan pelajar-pelajar itu mematuhi arahan mereka.
Menurut defendan pertama, pelajar-pelajar tahun 6 sudah memohon melalui guru darjah mereka untuk pergi berkelah di Tanjong Lobang dan dia membenarkan. Dia mengeluarkan arahan kepada tiap-tiap pelajar. Daripada jumlah dua belas orang guru di sekolah itu, enam orang bersetuju menyertai perkelahan itu.
Pelajar-pelajar dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diselia oleh guru dan guru besar. Semasa bermain di dalam air, guru dan guru besar ada bersama menyelia murid-murid. Tujuannya adalah bagi memastikan murid-murid tidak bergerak ke kawasan perairan yang dalam. Permainan di dalam air diselia dengan rapi. Tidak ada bukti yang menunjukkan guru besar dan guru cuai dalam tanggungjawab mereka yang menyebabkan kematian pelajar itu kerana penyeliaan yang berterusan sudah diberikan sepanjang permainan itu.
Yang Arif menyatakan, pihak pendakwa gagal menunjukkan bukti yang kukuh defendan cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Seperti Bagai Dikata
Dalam bab ini diterangkan pengenalan kepada perkataan-perkataan serta ayat-ayat yang kita gunakan dalam komunikasi harian melalui pembacaan atau percakapan. Seperti ayat di atas, ayat ini terbentuk daripada beberapa perkataan.
Ayat ialah pembentukan beberapa perkataan yang munasabah dan dapat difahami ataupun penyusunan perkataan-perkataan yang membawa maksud yang juga dapat difahami. Perkataan-perkataan yang terdapat dalam ayat di atas adalah:
Saya
Berminat
Untuk
Belajar
Bahasa Inggeris
Tetapi
Tidak
Tahu
Cara
Yang
Paling
Berkesan
Sehinggalah
Membeli
Buku
Ini
Pembahagian Perkataan atau Part of Speech
Perkataan-perkataan dapat dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut maksudnya iaitu:
Perbuatan - Verbs
Kata nama - Nouns
Kata keterangan kepada nama - Adjectives
Kata keterangan kepada perbuatan - Adverbs
Sendi nama - Prepositions
Kata hubung - Conjunctions
Ganti nama - Pronouns
Perbuatan (Verb)
Maksud:
Dalam bahasa Inggeris perbuatan ialah ‘verb’ yang membawa maksud tindakan atau keadaan.
Contoh: Tindakan (lari, menyanyi, makan, tidur).
Keadaan (ada, jadi (being))
Contoh ayat
Bahasa Inggeris: He walks to school
Bahasa Malaysia: Dia berjalan ke sekolah.
Bahasa Inggeris: Where are you?
Bahasa Malaysia: Di mana awak berada?
Perbincangan lanjut tajuk ini dimuatkan dalam Bab 'Yang Susah itu Sedikit.'
Kata nama (Nouns)
Maksud:
Dalam bahasa Inggeris kata nama ialah 'nouns' yang membawa maksud nama bagi orang, tempat atau benda (persons, place or things)
Contoh: Siti Nurhaliza, perempuan, taman bunga, basikal, arnab, kegelapan, kesihatan, pemilihan
Jenis:
Kata nama khas: Proper Nouns
Nama-nama orang tertentu, tempat tertentu tertentu.
Contoh: Siti, Pulau Pinang, Christmas.
Kata nama kumpulan: Collective Nouns
Nama-nama kumpulan benda yang dianggap sebagai keseluruhan.
Contoh: Pasukan, (team) kumpulan (collection), orang ramai (crowd)
Kata nama abstrak: Abstract nouns
Kata nama merujuk kepada kualiti, keadaan minda, pe-rasaan ataupun tindakan (kesemuanya hanya dapat di bayangkan dan tidak dapat di lihat dengan mata)
Contoh; Tenaga (energy) perhatian (attention) dosa (sin) marah (anger)
Kata nama biasa (nama Am): Common nouns
Kata nama yang tidak termasuk dalam ketiga-tiga kategori diatas.
Contoh: Pencil (pensel), book (buku), wine (arak), water (air).
Sedikit fakta lain mengenai kata nama:
Satu (Singular) dan Banyak (Plural)
Jantina: Contoh; hero-heroin, widower-widow, manager-manageress
Kepunyaan
Peraturan ringkas Singular & Plural
Dalam keadaan nama-nama biasa untuk satu tiada 's' untuk banyak ditambahkan 's'
Contoh: Book (satu buku) – books buku-buku)
Pengecualian daripada peraturan 1:
Kata nama yang berakhir dengan bunyian 'ess' (hissing sound) hanya tambahkan 'es' dihujungnya.
Contoh: Ash-ashes, loss-losses,
Kata nama yang berakhir dengan _f dan ef dengan menukarkan _f dan ef kepada _ves.
Contoh: Knife-knives, half-halves.
Kata nama banyak yang tiada peraturan tertentu:
Contoh: Child-children, ox-oxen, man-men, mouse-mice, foot-feet.
Kata nama yang berakhir dengan konsonan _y ditukarkan dengan _ies.
Contoh: Ally-allies, country-countries.
Kata nama yang sama dalam keadaan satu ataupun banyak.
Contoh: Sheep, swine, deer
Kata nama yang tidak mempunyai kata nama banyak
Contoh: Trousers, scissors, dregs, mathematics.
Peraturan untuk kepunyaan
Tambahkan 's (koma di atas dan s) selepas kata nama bagi menerangkan kepunyaan satu nama.
Contoh: Tiket kepunyaan penumpang itu: The passenger's ticket.
Tambah koma diatas (s') selepas kata nama yang banyak. Contoh: Tiket kepunyaan penumpang-penumpang itu: The passengers' tickets.
Kata penunjuk (Article)
'Articles' atau dapat dikatakan sebagai kata penunjuk adalah perkataan a, an dan the.
Cara penggunaannya:
'A' dan 'an' adalah juga dipanggil sebagai 'indefinite Articles' kerana ia tidak menerangkan atau menunjukkan kepada kita secara khusus orang atau benda (nama-nama) yang dicakapkan.
Contoh:
Saya lihat seekor kucing (I saw a dog).
Saya beli sebiji telur (I bought an egg).
Article 'A' digunakan bagi nama yang boleh dikira yang bilangan nya satu.
Contoh: A house
Article 'an' digunakan untuk nama-nama yang dapat dikira, bilangannya satu dan dimulakan dengan bunyi vowel (a, e, i, o, u).
Contoh: An apple, an elephant, an island, an orange,an umbrella, an hour.
Article 'The' digunakan bila:
Merujuk kepada nama-nama orang atau benda yang ter-tentu (yang diketahui)
Contoh: I gave him the book
Saya memberi buku itu kepadanya
Digunakan sebelum 'Superlative Adjective'
Contoh: The hottest day, the smallest boy, the most beautiful girl.
Ganti nama (Pronouns)
Jenis-jenisnya:
Ganti nama persendirian (Personal pronouns)
Orang pertama (first person)
Contoh: I, me, us, we.
Orang kedua (second person)
Contoh: you, she, her, he, him.
Orang ketiga (third person)
Contoh: they, them.
Ganti nama kepunyaan (Possesive pronouns).
Contoh: mine, his, hers, its, ours, yours, theirs.
Ganti nama penunjuk (Demonstrative pronouns)
Contoh: This, these, those (apabila perkataan-perkataan ini menggantikan nama).
Ganti nama pertanyaan (Interogative pronouns)
Contoh: What, who, whose, whom, which (apabila perkataan-perkataan mengambil tempat nama)
Ganti nama yang tak ditentukan (Indefinite pronouns)
Contoh: Anyone; sesiapa saja yang tidak ditentukan dengan tepat dan lain-lain termasuklah any, some, several, anybody, anything, someone, one (semua perkataan ini akan jadi pronoun apabila mengambil tempat nouns).
Ganti nama pembahagian yang membezakan (Distributive pronouns)
Contoh: Each, either, neither, and every
Ganti nama Refleksif dan penegasan (Emphasising & reflexive pronouns)
Contoh: Myself, yourself, himself, herself, itself, our self, yourself, themselves) emphsise the same person and no one else).
Relative Pronouns.
Perkataan-perkataannya ialah:
Who, which, that, whose, whom (perkataan ini mengantikan nama sambil memberi keterangan)
Contoh: The shop assistant was an obliging person who spent a long time helping me.
Perkataan yang menerangkan nama (Adjectives)
Maksud:
Dalam bahasa Inggeris 'adjective' yang membawa maksud perkataan yang menghuraikan dan menerangkan nama.
Contoh: Cantik, malas, banyak, rajin, merah, bodoh, bahaya, keempat, berbagai.
Jenis-jenis Adjective;
Menerangkan kualiti
Brown shoes, silly question, dangerous driving…
Menerangkan kuantiti
Thirty thousand visitors, many, several…
Menerangkan kepunyaan
My pen, your car, his house, their school.
Bersifat penunjuk (demonstrative adjectives)
This, that, those, these
Bersifat pertanyaan interrogative
Which, what, why, when.
Menegaskan [Emphatic Adjective)
Contoh: My own work
Distributive adjective (menerangkan bahagian tertentu)
Contoh: Each, every.
Adjective dalam perbandingan (Tahap perbezaan- Degree of comparisons)
Positive degree: High
Comparative degree: Higher
Superlative degree: Highest
Kata keterangan kepada perbuatan (Adverbs)
Maksud:
Perkataan yang menerangkan dengan lebih jelas berkaitan tindakan yang dihuraikan dalam perbuatan.
Contoh:
Contoh dalam bahasa Malaysia ialah seperti dengan berhati-hati,dengan cepatnya,dengan perlahan-lahan.
Contoh dalam bahasa Inggeris ialah seperti 'You walk quickly or briskly to the station'.
Jenis-jenis:
Kata keterangan kelakuan (Adverbs of manner)
Contoh: Purposefully bagi menerangkan walk
(seolah-olah menjawab bagaimana (how) dia berjalan).
Kata keterangan masa perbuatan dilakukan
Contoh: Dia tiba kelmarin: He arrived yesterday (untuk menjawab bila dia sampai).
Kata keterangan tempat perbuatan itu dilakukan.
Contoh: Where is the newpaper, it is there.
Jenis-jenis lain adverbs:
Frasa yang bertindak sebagai adverbs: (Advervial phrase)
Contoh: You'll find it behind the bag.
Klausa yang bertindak sebagai perbuatan (Adverbial clause) Contoh: The ferry docked as it was growing dark.
Kata keterangan kepada perbuatan (adverbs) yang
menerangkan tahap(degree) tindakan sesuatu perbuatan itu berlaku; (adverbs of degree).
Contoh: Too, much, quite, so, most, completely, mainly, fairly, very, exceedingly, so, immensely.
Kata keterangan kepada perbuatan (adverbs) yang mem-buat soalan (Interrogative adverbs)
Contoh: When, where, how, why.
Kata keterangan kepada perbuatan (adverbs) yang membuat pengesahan (affirmative adverbs)
Contoh: Certainly, surely, assuredly.
Kata sendi (Prepositions)
Maksud:
Dalam bahasa Inggeris ialah 'prepositions' yang bermaksud per-kataan yang menerangkan hubungan antara nama, ganti nama dengan bahagian lain sesuatu ayat sama ada perbuatan, sifat atau nama-nama lain.
Contoh: They live in a house near the village.
Perkataan-perkataan bahasa Inggeris lain yang digunakan sebagai sendi nama ialah termasuk:
At, down, after, for, above, from, along, in, across, into, among, near, around, on, by, to, before,through, below, under beneath, with, during, without.
Kata hubung (Conjuction)
Maksud:
Dalam bahasa Inggeris disebut 'conjunction' yang bermaksud perkataan yang digunakan untuk mencantumkan perkataan-perkataan dalam satu ayat.
Contoh:
Although, an, as, before, because, but, it, or, since, though, than, that, till, until, unless, whereas, yet, in case, as long as, provided, providing, like, during, while.
Ayat-ayat
Komponen ayat
Subjek = Pembuat
Objek=Kata yang menerima hasil perbuatan daripada subjek.
Subjek = Bahagian dalam satu ayat yang menamakan apa yang sedang kita fikirkan.
Predikat = Bahagian dalam satu ayat yang membuat kenyataan mengenai subjek.
Contoh:
I (subject) enjoyed it (predicate)
Saya (subjek) belajar bahasa Inggeris (predikat)
Pembentukan ayat
Ayat adalah himpunan perkataan-perkataan yang membawa maksud dan munasabah.
Sekiranya himpunan perkataan-perkataan itu tidak membolehkan makna atau maksud difahami,ianya dinamakan frasa.
Manakala klausa adalah himpunan perkataan-perkataan yang mempunyai satu finite verb (perbuatan finit) iaitu satu subjek dan satu predikat.
Dependent clause: Adalah klausa yang apabila ia sahaja tidak mendatangkan apa-apa maksud tetapi menyumbangkan kepada maksud lebih penuh yang menjadi sebahagian kepada ayat itu.
Main clause: Klausa yang dengannya sahaja dapat membawa maksud.
Jenis-jenis Ayat:
Ayat Mudah atau Simple Sentence
Ayat yang mempunyai satu finite verb (perbuatan yang tertakluk kepada perubahan tatabahasa)
Contoh: An old man sat by the side of the road
Ayat dua lapis atau Double sentence
Ayat yang mempunyai dua finite verbs
Contoh: The taxi drove away and she was left alone.
Ayat berlapis atau Multiple sentences
Ayat yang mempunyai tiga atau lebih finite verbs
Contoh: She sat down, picked up the newspaper and began to read carefully.
Ayat kompleks atau Complex sentence
Adalah ayat yang terdiri daripada satu klausa utama (main clause) dan satu atau lebih klausa tergantung (dependent clause)
Contoh: When she returned home, she spent several hours writing down his thought.
When she returned home-dependant clause
She spent several hours writing down her thought-main clause
Ayat aktif dan Ayat pasif
Ayat dapat dibahagikan juga kepada 2 bahagian iaitu:-
Ayat Aktif
Ayat yang menunjukkan subjek melakukan perbuatan.
Contoh: Ali (subjek) makan nasi (objek)
Ayat Pasif
Ayat yang menunjukkan objek menerima atau mengalami tindakan oleh perbuatan.
Contoh: Nasi (objek) dimakan Ali (subjek).
Kumpulan-kumpulan ayat
Ayat dalam bentuk pemberitahuan kenyataan (statement).
Contoh:We can't wait any longer.
Ayat dalam bentuk pertanyaan (question).
Contoh: Where are the books?
Ayat dalam bentuk kata seruan (exclamation).
Contoh: What a pity!
Ayat dalam bentuk arahan atau perintah (order or command).
Contoh: Don't make noise in this room.
Bab 15 Ujilah
Sebagaimana bab-bab terdahulu bab ini penting bagi membuktikan pencapaian saudara setakat ini. Ini juga bersesuaian dengan saranan saya supaya saudara mencabar diri saudara memecahkan rekod pencapaian saudara sama ada daripada segi masa ataupun kualiti. Ingat juga, kotak pemikiran kita yang dianugerahkan oleh Tuhan tiada ternilai dan pencapaiannya amat menakjubkan. Ingat ia selalu.
Bab ini sengaja saya asingkan daripada bab-bab terdahulu. Saya ingin mengajak saudara berhenti sejenak dan membuat lintas langsung ke bab ini. Ini kerana kita pasti dapat rasakan pencapaian kita sejauh mana supaya masa yang kita tentukan tidak terbuang dan matlamat kita kesampaian. Apabila terdapat kesilapan, dengan segera kita dapat perbetulkannya melalui ujian yang kita sendiri pemeriksanya. Ini menambahkan lagi pemahaman kita berkenaan bahasa Inggeris dan ada kalanya kita dapat menguasainya dengan baik dan cepat.
Sebelum saudara memulakan ujian-ujian yang saya sarankan melalui bab-bab terdahulu, di sini saya cadangkan beberapa panduan yang pernah membantu saya dan pelajar-pelajar saya mencapai matlamat mereka seperti berikut:
Beritahu diri saudara yang minda saudara mempunyai banyak kekosongan yang mampu saudara isikan dengan maklumat-maklumat baru.
Gambarkan berkali-kali dalam pemikiran saudara segala bab-bab yang sudah saudara baca secara terang dengan segala warna dan bunyinya supaya ia seolah-olah berada di hadapan saudara.
Percaya perkara yang saudara hajati tidak mustahil dan orang-orang terdahulu sudah dapat menguasainya dengan baik.
Bersangka baik dengan diri saudara dan kenangkan kembali kejayaan-kejayaan yang pernah saudara peroleh.
Baca berkali-kali peraturan di atas sehingga ia sebati dalam diri saudara. Sekarang tiba masanya kita memulakan ujian dalam buku ini.
Ujilah: 1
Pengajian, pengenalan dan pemahaman keseluruhan perkataan-perkataan dan ayat bahasa Inggeris.
Bahan-bahannya adalah:
Surat khabar berbahasa Inggeris tempatan ataupun antarabangsa yang dapat saudara peroleh.
Novel - ikut cita rasa saudara.
Buku latihan untuk ujian setebal 200 muka surat.
Cara ujian:
Catatkan semua perkataan mengikut kategori yang sudah diterangkan dalam bab 8 masing-masing 99 perkataan.
Masa yang diberikan adalah 99 perkataan seminit.
Pemeriksaan:
Selepas selesai catatkan masa pencapaian dan bandingkan kembali dengan Bab 8 dan beri markah mengikut pencapaian.
Ujilah: 2
Pemindahan dan penyimpanan perkataan-perkataan ke dalam kotak simpanan (otak) dan pengeluarannya.
Bahan-bahannya adalah;
Penulisan / peringatan peristiwa-peristiwa yang memberi kesan yang mendalam dalam hidup saudara sama ada sedih, seronok, menakutkan ataupun melucukan. Bagi tujuan ini saudara bolehlah sama ada mencatatkan dalam buku latihan ataupun cuma mengenang kembali dalam pemikiran saudara. Bagi tujuan ini saudara kategorikan mengikut penyelamat tahunan ataupun apa-apa cara lain yang saudara suka.
Bahan-bahan cerita filem ataupun drama-drama yang saudara tidak dapat lupa. Ingat kembali serta senaraikan berapa banyak bahan-bahan itu.
Cipta sendiri cerita-cerita yang kurang munasabah dan tidak masuk akal dan cuba dibesar-besarkan cerita itu.
Cara ujian:
Pilih huruf S. Bahagikan ia mengikut bahagian penyusunan abjad seperti yang diterangkan terdahulu dan gunakan semua bahan-bahan di atas untuk pemindahan ke kotak pemikiran saudara. Mulakan dengan huruf S.
Masa yang diberikan adalah enam puluh perkataan seminit.
Pemeriksaan:
Selepas selesai, catatkan masa pencapaian dan bandingkan dengan Bab 9 dan berikan markah. Ia dapat dibuat secara maya iaitu hanya dengan menggunakan pemikiran dan ingatan tanpa lain-lain bantuan fizikal.
Ujilah: 3
Pengertian nahu dan penggunaannya serta perbezaan dan persamaannya dalam bahasa Inggeris.
Bahan-bahannya adalah:
Surat khabar berbahasa Inggeris tempatan ataupun antarabangsa yang dapat saudara peroleh.
Novel mengikut cita rasa saudara yang tebalnya sekurang-kurangnya 300 muka surat.
Buku latihan atau ujian yang tebalnya 200 muka surat.
Cara ujian:
Tanpa merujuk bab 10, senaraikan tiap-tiap contoh ayat penggunaan masa dan keadaan sekurang-kurangnya 50 ayat bagi setiap kategori.
Pemeriksaan:
Bandingkan dengan bab tersebut dan berikan markah. Apabila terdapat kesilapan buat pembetulan.
"Ingatlah pengulangan ialah punca kemahiran"
Ujilah: 4
Skrip hayat.
Bahan-bahannya ialah:
Diri Saudara.
Minda Saudara.
Suara Saudara.
Persekitaran Saudara.
Manusia di sekeliling Saudara.
Waktu Saudara.
Cara-cara ujian:
Gunakan setiap skrip seperti yang terdapat dalam bab 12. Lakukan secara menyeluruh dan berterusan dalam masa 30 hari tanpa gangguan. Apabila ada gangguan mulakan kembali.
Masa yang diberikan adalah 30 hari berturut-turut dengan gangguan.
Pemeriksaan:
Dilakukan pada setiap masa selepas selesai penyampaian skrip sama ada saudara ataupun orang lain yang terlibat dalam penuturan itu.
Sebelum tidur berikan markah kepada pencapaian saudara dan betulkan sebarang kesilapan. Lakukan setiap hari selama 30 hari.
Ujilah: 5
Berkarya.
Bahan-bahannya:
Pen.
Buku karya setebal 200 muka surat.
Cara-cara ujian:
Buatlah satu karya yang mempunyai sekurang-kurangnya 1000 perkataan dalam masa 30 hari merangkumi 2 tajuk di bawah.
Apa yang saudara mahu dalam hidup.
Sejarah diri saudara.
Selepas selesai hantarkan kepada saya untuk disemak ataupun emailkan ke zbie4m @ yahoo.com.
Ujilah: 7
Ucaplah.
Bahan-bahannya:
TV yang berfungsi dan yang dapat menerima siaran.
Pemacu CD ataupun kaset.
Cara:
Pilih mana-mana nyanyian berbangsa Inggeris yang paling saudara minati. Berikan perhatian yang paling mendalam dalam jangka masa paling lama satu jam.
Pilih filem ataupun siri Inggeris di televisyen dan dengar serta lihat mulut pelakon-pelakonnya semasa bertutur. Ulanginya dalam pemikiran saudara beberapa kali. Ungkapkan kembali sepanjang masa selepas selesai rancangan tersebut. Sehari sejam. Pilih sebuah lagu sehari dan nyanyi bersama-sama dengan penyanyi tersebut dengan dialeknya. Tiru betul-betul dialek penyanyi itu. Cuba dan inilah bukti kemampuan saudara.
Manusia menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan yang
penting dalam kehidupan sehari-harian. Ini kerana bahasa adalah salah satu perkara yang membezakan kita dengan haiwan. Selain itu, bahasa mempunyai suatu sistem yang sistematis, dinamis dan selalu berubah-ubah sesuai dengan perkembangan zamannya.
Halliday dalam bukunya bertajuk Explorations in the functions of language (1973) telah mengemukakan tujuh fungsi bahasa. Antara fungsi itu ialah:
Fungsi Instrumental
Fungsi ini bermaksud manusia menggunakan bahasa bagi melayani pengelolaan lingkungan yang menyebabkan sesuatu peristiwa terjadi. Penggunaan kata-kata mengikut fungsi ini dapat menyempurnakan sesuatu kehendak sama ada dengan cara memerintah ataupun meminta. Contohnya:
Ayuh, kita bergerak sekarang!
Jangan pijak rumput itu!
Dia mahu makan nasi.
Fungsi Regulasi
Fungsi bahasa di sini bertindak sebagai pengawas dan mengendalikan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Fungsi regulasi bermaksud bahasa digunakan untuk mengendalikan serta mengatur orang lain. Contoh:
Kalau kamu mencuri, kamu pasti dihukum.
Kenderaan hendaklah diletakkan di petak yang disediakan. Jika tidak, anda akan disaman.
Fungsi Pemerian
Penggunaan bahasa untuk membuat penyataan-penyataan, menyampaikan pengetahuan, membuat penjelasan atau melaporkan. Bahasa dalam konteks ini digunakan untuk membuat pemerian ataupun menggambarkan keadaan sebenarnya yang dilihat seseorang. Contoh:
Matahari panas.
Garam masin.
Pantai itu sangat cantik.
Hujan sedang turun dengan lebatnya.
Fungsi Interaksi
Fungsi bahasa ini memainkan peranan bagi menentukan supaya hubungan antara manusia dapat terus berlangsung ataupun dipertahankan. Oleh itu, kita memerlukan pengetahuan yang luas berkenaan loghat, jargon, gurauan, cerita rakyat, budaya setempat dan sebagainya.
Fungsi Peribadi
Fungsi ini memberi kesempatan kepada manusia bagi menyatakan perasaan, emosi, peribadi serta reaksinya. Contoh:
Saya suka kamu.
Saya berasa sangat letih.
Fungsi Heuristik
Ia melibatkan penggunaan bahasa bagi memperoleh ilmu pengetahuan. Ini kerana ia disampaikan dalam bentuk pertanyaan yang memerlukan jawapan. Kanak-kanak misalnya banyak menggunakan fungsi ini dengan sentiasa bertanya berkenaan dunia sekelilingnya. Mereka sentiasa berhadapan dengan peristiwa-peristiwa baru di sekeliling. Contoh:
Mengapakah ayam berkokok?
Bagaimanakah terjadinya pelangi?
Siapakah yang mencipta telefon?
Fungsi Khayalan
Fungsi ini digunakan oleh manusia bagi mencipta mimpi-mimpi yang mustahil dicapai oleh akal. Fungsi ini dibawa melalui buku-buku dan cerita-cerita dongeng.
Ketujuh-tujuh fungsi bahasa tersebut sebenarnya bersifat saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Sekarang mari kita tinjau fungsi bahasa Melayu.
Fungsi Bahasa Melayu
Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesat. Bahasa Melayu mengalami proses pemodenan daripada segi peristilahan, pengekodan dan penye-ragaman. Ini memungkinkan bahasa Melayu dapat menjalankan berbagai-bagai tugas baru sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Setelah hampir empat dekad berlalu, bahasa Melayu kini dapat menjalankan berbagai-bagai fungsi. Antara fungsi itu ialah bahasa kebangsaan.
Bahasa Kebangsaan
Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan Malaysia. Selepas tercapainya kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pemilihan satu bahasa kebangsaan bertujuan mencari suatu lambang penyatuan. Tugas bahasa sebagai fungsi penyatuan akan disalurkan melalui sistem pelajaran kebangsaan sebagaimana termaktub dalam bab permulaan Akta Pelajaran 1961 yang antara lain menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah. Sebelum 1969, bahasa kebangsaan ini dikenali sebagai bahasa Melayu tetapi selepas peristiwa 13 Mei 1969, bahasa ini diberikan nama baru iaitu bahasa Malaysia. Walaupun diberikan nama baru namun taraf bahasa itu tidak berubah seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Per-lembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa, "Bahasa kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu…..".
Di samping memenuhi keperluan sebagai lambang penyatuan, bahasa Melayu juga diperlukan dalam negara Malaysia atas keperluan bagi kepentingan kebangsaan. Ini bermaksud fungsi bahasa Melayu sebagai lambang kebebasan negara daripada belenggu penjajahan. Sebagai sebuah negara membangun, amat wajar sekali mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana kehadirannya akan memberikan sifat kesatuan.
Sebagai sebuah bahasa kebangsaan, penggunaan suatu bahasa baku dapat menjalankan beberapa fungsi. Antaranya, fungsi penyatuan iaitu bahasa baku bertindak sebagai alat yang meng-hubungkan penutur-penutur yang menuturkan berbagai-bagai dialek bahasa yang sama dan dengan itu dapat menyatukan mereka ke dalam suatu masyarakat pertuturan. Di samping itu, suatu bahasa baku juga dapat menjalankan tugas prestij iaitu kewujudan atau kepunyaan suatu bahasa baku menimbulkan perasaan kewujudan atau kepunyaan dan bersifat megah bagi negara Malaysia.
Sebagai sebuah bahasa kebangsaan, bahasa Melayu dikehendaki memikul tugas baru. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Semua fungsi ini dijalankan oleh bahasa Melayu selepas 1957. Bagi menjalankan berbagai-bagai fungsi tersebut, usaha-usaha merancang, membina dan mengembangkan bahasa Melayu perlu dijalankan bagi menjadikan ia sebuah bahasa komunikasi yang lengkap, sempurna, sesuai dan berkeupayaan memperkatakan pelbagai aspek baru dalam kehidupan manusia.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan yang sangat besar dalam usaha ini. Usaha murni mereka berjaya menyeragamkan sistem ejaan dan sebutan bahasa Melayu. DBP juga berjaya memainkan peranan yang besar dalam bidang perkamusan bahasa Melayu dengan lebih 600 ribu istilah teknikal dalam berbagai-bagai bidang disiplin.
Bahasa Ilmu
Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar ilmu di sekolah-sekolah termasuk di maktab-maktab perguruan dan di universiti. Sebagai bahasa ilmu, bahasa yang memperkatakan segala ilmu pengetahuan, bahasa Melayu seharusnya diperkembangkan dan disesuaikan dengan kehendak-kehendak baru. Perbendaharaan katanya perlu diperluaskan. Ia digunakan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden dalam berbagai-bagai bidang seperti bidang sains dan teknologi, undang-undang, kedoktoran, kejuruteraan, sastera dan sebagainya. Dalam bidang perubatan misalnya, pelbagai istilah telah diwujudkan dalam bahasa Melayu. Antaranya ialah dalam bidang anatomi, mikrobiologi, fisiologi, biokimia, ginekologi dalam sebagainya.
Dalam bidang kejuruteraan pula, terhasil berbagai-bagai istilah baru terutama dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, kimia, elektrik, kejuruteraan teknologi maklumat, kejuruteraan angkasa lepas dan sebagainya.
Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan bahasa. Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dan sebagainya dengan tepat. Keintelektualan bahasa ini dapat dicapai melalui pengembangan kosa kata ataupun penukaran bentuk kata.
Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa ilmu kerana mem-punyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa. Ciri-ciri kesempurnaan bahasa Melayu yang pertama ialah kestabilan. Ini bermaksud bahasa yang mempunyai sistem dan peraturan. Antaranya ialah sistem ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Yang kedua ialah kelenturan. Ciri ini bermaksud bahasa Melayu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku daripada semasa ke semasa.
Bahasa Rasmi
Sesudah dipilih sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi negara kita. Ini bermaksud, bahasa ini digunakan bagi menjadikannya sebagai bahasa utama dalam apa-apa sahaja acara yang bersifat rasmi. Ini termasuklah mesyuarat-mesyuarat persekutuan dan negeri, di persidangan-persidangan dan seminar-seminar, dalam pidato-pidato, di parlimen dan dalam perbicaraan di mahkamah. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu menyalahi Artikel 152, Perlembagaan Malaysia.
Bahasa Pengantar
Oleh kerana Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, dasar pendidikan negara Malaysia berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di pusat-pusat pengajian. Dasar Pelajaran Kebangsaan, sebagaimana yang termaktub dalam Penyata Razak telah dilaksanakan pada tahun 1957, dan dasar ini disokong pula oleh Penyata Rahman Talib pada tahun 1961. Antara tahap-tahap penting dalam proses pelaksanaan ini ialah penubuhan sekolah-sekolah yang mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (1963), pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran khusus di sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan (1968) dan permulaan pelaksanaan berperingkat bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar tunggal di sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan (1971).
Pada peringkat sekolah menengah, BM menjadi satu mata pelajaran pada tahun 1957 dan tidak lama kemudian menjadi satu mata pelajaran dalam Sijil Peperiksaan Seberang Laut. Pada tahun 1970, dengan pengambilalihan Sijil Seberang Laut oleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), BM dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua calon yang mengambil peperiksaan tersebut.
Pelaksanaan sepenuhnya penggunaan BM sebagai bahasa pengantar bermula pada tahun 1983. Sehingga kini, semua sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi kebanyakan mata pelajaran. Pada tahun 2002, timbul desakan banyak pihak yang memberi penekanan kepada penggunaan Bahasa Inggeris (BI) sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Daripada desakan ini, kabinet memutuskan penggunaan bahasa Inggeris (BI) dalam mata pelajaran sains dan matematik bermula pada tahun 2002. Walau bagaimanapun, menurut Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, BM kekal sebagai bahasa pengantar di sekolah. (Berita Harian, Isnin 15 Julai 2002)
Pada peringkat pengajian tinggi, pertukaran daripada bahasa Inggeris (BI) ke BM berlaku secara beransur-ansur pada tahun-tahun enam puluhan di beberapa buah maktab perguruan dan beberapa jabatan di Universiti Malaya. Pada tahun 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan iaitu sebuah universiti yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar tunggal.
Selain fungsi di atas, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai penggambar akal budi masyarakat Melayu. Ini kerana terdapat pelbagai unsur dalam bahasa Melayu yang dapat menggambarkan dengan jelas kehidupan masyarakat Melayu. Antara unsur itu ialah pantun Melayu dan pepatah Melayu. Antara pantun yang terkenal ialah:
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan di kandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Pantun di atas menggambarkan dalam masyarakat Melayu, budi pekerti adalah aspek yang amat ditekankan. Sejak kecil sehingga dewasa, anak-anak diasuh agar mengenang budi dan jasa orang.
Selain pantun, pepatah Melayu juga dapat menggambarkan pemikiran Melayu. Cuba kita tinjau pepatah-pepatah berikut:
Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
Air dicincang tidak akan putus.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Kesimpulannya, penerangan di atas sudah cukup menggambarkan fungsi bahasa Melayu yang pelbagai. Hari ini, bahasa Melayu boleh menjadi bahasa kebangsaan, bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi.
Di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, pendidikan dewasa adalah keperluan sosial yang jelas seiring dengan pembentukan demokrasi dan revolusi perindustrian. Pendidikan dewasa kali pertama muncul di negara-negara Eropah adalah di England pada awal abad kesembilan belas. Manakala, pendidikan dewasa hanya mula tumbuh di Amerika Syarikat pada penghujung abad kesembilan belas iaitu sebagai pendidikan tambahan bagi orang dewasa seperti universiti, perpustakaan awam dan muzium.
Pendidik, pelapor pendidikan dan tercatat dalam ensiklopedia bahawa banyak aktiviti yang dapat dilakukan di bawah pendidikan dewasa. Sejarawan Herbert Baxter Adams lebih gemar menamakan pendidikan dewasa sebagai pendidikan popular atau pendidikan tambahan, manakala Melvil Dewey menamakan pendidikan dewasa sebagai pendidikan keluarga atau home education. Menurut Stubblefield dan Rachal (1992), sejak tahun 1910 lagi istilah pendidikan dewasa lebih gemar digunakan dalam mereka bentuk dan mengkategorikan program pendidikan yang diadakan bagi orang dewasa.
Pada awal 1920-an, the Carnegie Corporations berinisiatif menjadi perangsang dalam pergerakan sosial. Carnegie mem-bayangkan gambaran perkembangan dalam bidang ini, mempelajari pendidikan dewasa di perpustakaan, memperluaskan pengetahuan di universiti atau cara pembelajaran yang sesuai dengan orang dewasa.
Lyman Biyson, professor serta pelopor dalam bidang pendidikan dewasa, melihat pembangunan ini sebagai tanda penggerak dalam mengubah masyarakat ke arah yang lebih bermakna.
Menurutnya (1936):“Pembelajaran sepanjang hayat adalah ideal sejarah ketamadunan tetapi pendidikan dewasa adalah gerakan sosial yang tersusun dalam kehidupan baru masyarakat Amerika.”
Beliau mengatakan, pendidikan seumur hidup adalah warisan dalam sejarah budaya nenek moyang, tetapi pendidikan dewasa adalah pergerakan sosial yang baru dan terancang dalam kehidupan Amerika. Oleh itu, kita boleh menyatakan bahawa pendidikan dewasa menjadi pendorong utama dalam proses pemodenan masa kini kerana dengan melalui pendidikan dewasa, perubahan-perubahan terbentuk dan membawa masyarakat ke arah yang diidamkan.
Definisi
Pendidikan dewasa adalah bidang pembelajaran yang sangat luas definisi dan konsepnya. Pendidikan dewasa didefinisikan oleh Ely (1936) dalam karyanya Journal of Adult Education sebagai bidang pendidikan yang merangkumi matlamat masyarakat, sejarah, program pendidikan yang spesifik, penyelesaian masalah, isi kandungan pendidikan dan pemudah cara.
Manakala menurut Bryson (1936) di dalam buku teks pertama berkenaan dengan pendidikan dewasa, pendidikan dewasa boleh didefinisikan sebagai:“… semua aktiviti dalam lingkungan tujuan pendidikan yang melibatkan manusia dalam urusan kehidupan hariannya.”
Bryson menambah bahawa pendidikan dewasa adalah pembelajaran menerusi inisiatif sendiri pelajar itu bagi mendalami suatu ilmu di samping mencapai peningkatan kendiri; peningkatan kendiri adalah dorongan daripada motivasi dalaman pelajar itu untuk belajar.
Selain itu, pendidikan dewasa juga adalah petunjuk dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan bagi orang dewasa yang tidak belajar dalam sekolah menengah, bagi mereka yang kekurangan pendidikan asas dan bagi mereka yang tidak berupaya bercakap, membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris.
Pendidikan dewasa membantu orang dewasa menyelesaikan masalah yang dihadapi supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan dalam pekerjaan, keluarga dan masyarakat. Di samping itu, pendidikan dewasa juga dapat membantu orang dewasa mencapai matlamat masing-masing serta membangunkan pengetahuan dan potensi mereka dengan meningkatkan tahap pendidikan.
Pendidikan dewasa juga boleh didefinisikan sebagai semua aktiviti pendidikan yang bukan sepenuh masa. Ia termasuk pembelajaran separuh masa di kolej ataupun program-program Ijazah, kursus-kursus yang berkaitan dengan pekerjaan seperti kelas-kelas atau seminar-seminar yang disediakan oleh majikan, kelas-kelas untuk pembangunan peribadi, hiburan, program-program sijil yang membawa kepada ijazah kolej atau universiti dan program-program vokasional atau teknikal.
Pendidikan dewasa juga boleh dikatakan sebagai proses di mana lelaki dan wanita (secara individu, kumpulan ataupun dalam institusi) berusaha memperbaiki diri sendiri ataupun masyarakat dengan meningkatkan kemahiran, pengetahuan ataupun kepekaan mereka; atau ia adalah sebarang proses di mana individu-individu, kumpulan-kumpulan atau institusi-institusi cuba membantu lelaki dan wanita bagi memperbaiki diri mereka dengan cara-cara itu. Husle (1977)
Berdasarkan pada pelbagai definisi pendidikan dewasa, dapat dirumuskan bahawa pendidikan dewasa adalah bidang yang luas merangkumi segalanya daripada kemahiran asas atau latihan GED sehingga pendidikan komuniti dan pendidikan berterusan serta latihan untuk pekerja. Matlamat akhir pendidikan dewasa mungkin membawa kepada perubahan dalam struktur sosial masyarakat.
Tujuan Pendidikan Dewasa
Secara umumnya, banyak sumber yang menyatakan bahawa pendidikan dewasa mempunyai dua tujuan utama iaitu membawa kepada perubahan sosial dan pembangunan kendiri. Walau bagaimanapun, pendidikan dewasa mempunyai banyak tujuan lain iaitu seperti berikut (David, 1988):
1.Memberi peluang pada orang dewasa yang kekurangan pendidikan sekolah tinggi memperoleh kemahiran yang diperlukan supaya dapat berfungsi dengan berkesan dalam masyarakat dan pekerjaan.
2.Memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira pada tahap asas yang diperlukan bagi mendapat suatu pekerjaan.
3.Mencapai syarat-syarat kemasukan bagi program latihan vokasional.
4.Belajar untuk lulus dalam peperiksaan prestasi kerja.
5.Memperoleh kemahiran pekerjaan peringkat tinggi.
6.Memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi menjadi ibu bapa yang baik.
7.Memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi menjadi seorang ahli masyarakat yang berfungsi, dapat memberi sumbangan dan menjadi pengguna yang pintar.
8.Mempelajari kemahiran bahasa lain sebagai bahasa kedua dan kemahiran berkomunikasi.
9.Mendapat diploma sekolah tinggi.
10.Menggalakkan keamanan, pemahaman antarabangsa dan kerjasama dalam pekerjaan.
11.Membangunkan pemahaman kritikal daripada masalah-masalah terkini dan perubahan sosial serta berupaya mengambil bahagian secara aktif dalam masyarakat dengan tujuan mencapai keadilan sosial.
12.Menggalakkan peningkatan kesedaran berkenaan dengan hubungan antara orang dewasa dengan keadaan fizikal mereka dan persekitaran budaya; dan mengaitkan hasrat memelihara alam persekitaran dan melindungi alam semula-jadi serta hak-hak umum.
13.Mewujudkan pemahaman dan penghormatan pada ke-pelbagaian adat resam dan kebudayaan, tidak kira adat resam dan kebudayaan itu tempatan ataupun antarabangsa.
14.Menggalakkan peningkatan kesedaran dan memberi kesan pada pelbagai bentuk komunikasi dan perpaduan pada tahap keluarga, tempatan, daerah, nasional dan antarabangsa.
15.Menjamin kesedaran dan efektifnya orang dewasa lelaki dan wanita dalam alam pekerjaan dengan membekalkan pendidikan teknikal dan vokasional terkini serta mem-bangunkan kebolehan mencipta, sama ada secara individu ataupun berkumpulan.
16.Membangunkan keupayaan atau kebolehan menyelesaikan masalah-masalah yang terlibat dalam usaha mendidik kanak-kanak.
17.Membangunkan sikap menggunakan masa lapang dengan kreatif bagi memperoleh sebarang pengetahuan yang di-perlukan atau diingini.
18.Membangunkan pengetahuan atau pemahaman yang diperlukan dalam pembangunan media masa komunikasi, radio, televisyen, pawagam dan pentafsiran pelbagai mesej yang dialamatkan pada lelaki dan wanita oleh masyarakat.
19.Membangunkan sikap belajar secara sukarela.
20.Mencabar anggapan-anggapan ekonomi dan sosial yang dibentuk dan menyumbang pada pemeliharaan sistem yang sedia ada.
21.Membantu orang dewasa menjadi lebih sedar pada biografi sendiri dalam hubungannya dengan masyarakat secara keseluruhan.
Dapat dirumuskan, pendidikan dewasa bertujuan membawa pe-rubahan positif secara menyeluruh dalam semua bidang bermula daripada individu seterusnya pada masyarakat dalam aspek sosial, ekonomi mahupun politik. Semua ini memerlukan komitmen dan inisiatif individu terhadap pembelajaran kerana tanpa keinginan ini, maka sukar menggerakkan perubahan.
Prinsip Pendidikan Dewasa
Sebelum program pendidikan dewasa dijalankan, adalah penting bagi pendidik ataupun penganjur jelas dan memegang prinsip-prinsip yang terkandung dalam penganjuran program pendidikan dewasa itu. Antara prinsip-prinsip yang perlu diketahui adalah seperti berikut:
1.Program pendidikan dewasa perlu berdasarkan keperluan peserta (orang dewasa) dan menjadikan pengalaman mereka yang berlainan itu berguna dalam pembangunan pendidikan dewasa.
2.Ia perlu bergantung pada keupayaan dan keazaman semua manusia bagi membawa kemajuan dalam seluruh kehidupan mereka pada tahap pembangunan kendiri dan dalam hubungan aktiviti sosial mereka.
3.Perlu sedar minat membaca dan membangunkan aspirasi kebudayaan.
4.Ia perlu menggalakkan dan mengekalkan minat pelajar dewasa berkembang bagi mengembangkan dan mem-perluaskan pengalaman mereka dan menggalakkan mereka menyertai dan mengambil bahagian secara aktif dalam semua proses pembelajaran.
5.Ia perlu sesuai dengan keadaan hidup setiap hari dan pekerjaan sebenar serta mengambil kira ciri-ciri peribadi pelajar dewasa seperti umur mereka, keluarga, sosial, pekerjaan ataupun latar belakang kerakyatan dan cara ciri-ciri itu berhubung kait.
6.Ia perlu mencari penyertaan orang dewasa secara individu, kumpulan dan komuniti dalam membuat keputusan pada semua tahap dalam proses pembelajaran; termasuklah mengenal pasti keperluan, pembangunan kurikulum, program pelaksanaan dan penilaian dan perlu merancang aktiviti pendidikan dengan suatu pandangan bagi mentransformasikan persekitaran pekerjaan dan kehidupan orang dewasa.
7.Ia perlu tersusun dan beroperasi secara fleksibel dengan mengambil kira faktor-faktor sosial, kebudayaan, ekonomi dan institusi setiap negara dan masyarakat serta dalam konteks pelajar dewasa
8.Ia perlu menyumbang pada pembangunan ekonomi dan sosial bagi keseluruhan komuniti.
9.Ia perlu dikenal sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, suatu bentuk daripada organisasi kolektif yang ditubuhkan oleh orang dewasa dengan pandangan untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka dari hari ke hari.
10.Ia perlu mengakui bahawa pengalaman-pengalaman hidup setiap orang dewasa itu adalah peralatan kebudayaan yang membolehkan mereka memainkan kedua-dua peranan pelajar dan fasilitator dalam proses pembelajaran yang mereka sertai.
Peranan Pembelajaran Dewasa
Pendidikan dewasa adalah ‘pemberi pengalaman kehidupan’ kepada orang dewasa dan pendidikan dewasa hanya dikategorikan sebagai ‘pemberi pengalaman kehidupan’ apabila:
1.Pendidikan dewasa ini membolehkan individu itu mem-bangunkan kelebihan-kelebihan yang terpendam dan mempertingkatkan konsep kendiri individu itu.
2.Pendidikan dewasa dapat membantu orang dewasa membaca situasi yang merunsingkan mereka seperti ke-bimbangan, pilih kasih, kesilapan dan kepalsuan serta membantu melepaskan individu itu daripada gangguan fitnah, sebaran cerita dongeng dan ikatan dengan pemikiran kolot.
3.Pendidikan dewasa yang dapat menarik minat orang dewasa mengambil tahu ataupun melibatkan diri dalam rekaan dan ciptaan kreatif dalam bidang penulisan dan kesenian.
4.Pendidikan dewasa yang dapat membentuk pemikiran kreatif orang dewasa dalam merancang kerjaya dan mencapai matlamat yang bererti.
5.Pendidikan dewasa yang mempertingkatkan kesanggupan semua orang supaya lebih toleransi, peka, saling faham-memahami dan mewujudkan keadilan sosial.
6.Pendidikan dewasa yang mempelawa peluang yang lebih cerah dan luas pada orang dewasa bagi memajukan diri sendiri.
7.Pendidikan dewasa yang menggalakkan seluruh masyarakat mengembangkan potensi-potensi yang ada pada mereka.
8.Pendidikan dewasa yang menjadi sebahagian daripada usaha mengekalkan dan mengembangkan kebudayaan tradisional serta nilai-nilai perikemanusiaan.
Akan tetapi, terdapat juga situasi yang mana pendidikan dewasa itu tidak dapat digelar sebagai ‘pemberi pengalaman kehidupan’ apabila berlakunya keadaan-keadaan seperti berikut:
1.Pendidikan dewasa yang memberi keputusan yang muktamad apabila berlaku percanggahan dan berlaku kekeliruan iaitu tidak menggalakkan orang dewasa itu berfikir sendiri dalam mencari penyelesaian.
2.Pendidikan dewasa yang menamatkan perbincangan sementara masalah yang dihadapi itu masih belum diselesaikan lagi dengan membekalkan pengetahuan ilmiah.
3.Pendidikan dewasa yang hanya membekalkan jawapan iaitu tidak menekankan orang dewasa itu berdikari.
4.Pendidikan dewasa yang tidak berguna membekalkan pendekatan yang membolehkan orang dewasa itu menilai kebenaran berkenaan dengan sebarang informasi yang diterimanya.
5.Isi kandungan pendidikan dewasa yang tidak berguna iaitu tidak dapat membantu dalam menyelesaikan masalah.
Model Pembelajaran Dewasa Knowles (1970)
Pendidikan dewasa adalah anjuran aktiviti-aktiviti pendidikan bagi membantu orang dewasa dalam mencapai kejayaan, di mana kejayaan dinilai berdasarkan pencapaian dalam kedudukan dan kesanggupan peserta bagi mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari. Dengan itu, menurut Malcolm S. Knowles (1970), terdapat tiga model keperluan dan matlamat dalam membentuk program pendidikan dewasa yang dapat membantu mencapai kejayaan iaitu berkenaan dengan keperluan dan matlamat individu, keperluan dan matlamat organisasi serta keperluan dan matlamat sosial.
1.Keperluan dan matlamat individu
Secara umumnya, pendidikan dewasa adalah bagi membantu individu mencapai keperluan maksimum dan kepuasan. Di samping itu, pendidikan dewasa juga ingin membangunkan sikap pelajar bahawa belajar adalah proses seumur hidup dan bagi meningkatkan kemahiran, ia bergantung pada keputusan individu dalam pemilihan program pendidikan yang dipilih untuk disertai.
2.Keperluan dan matlamat organisasi
Pendidikan dewasa juga terletak di bawah salah satu program anjuran organisasi bagi membantu pekerjanya dan meningkatkan produktiviti keluaran dalaman organisasi. Selain itu, organisasi juga ingin menggunakan kefahaman pekerja berkenaan dengan operasi organisasi biarpun teknologi ataupun pengurusan. Di samping itu, organisasi juga ingin membentuk suasana kerja yang menyenangkan semua pekerja dapat membina hubungan baik antara semua pekerja dan saling hormat-menghormati.
3.Keperluan dan matlamat masyarakat
Pendidikan dewasa bertujuan membangunkan ahli-ahli masyarakatnya bagi menghadapi perubahan-perubahan dalam masyarakat seperti perubahan teknologi, ekonomi, politik, sosial dan budaya. Dalam daripada itu, elemen seperti alam sekitar dan geografi juga diberi penekanan dalam pendidikan dewasa. Menerusi pendidikan dewasa juga, percanggahan juga di-harapkan dapat ditangani seperti daripada segi agama, warna kulit (kaum), masyarakat timur dengan masyarakat barat dan yang kaya dengan yang miskin.
Kesimpulan
Pendidikan dewasa adalah bidang pendidikan yang dirancang khas untuk orang dewasa dalam membangunkan kendiri, organisasi mahupun masyarakat. Dalam jangka masa yang panjang, melalui pendidikan dewasa juga, ia membawa kepada perubahan secara menyeluruh dalam masyarakat iaitu membentuk pergerakan sosial yang menuju ke arah masyarakat yang lebih adil, mengutamakan hak asasi manusia dan setiap orang menikmati kebebasan.
Dalam organisasi pula, pendidikan dewasa memainkan peranan membantu organisasi mencapai matlamat iaitu dengan membangunkan pekerja-pekerja dalam organisasi daripada segi kemahiran, pengetahuan, nilai dan sikap. Di samping itu, pendidikan dewasa juga adalah pelengkap bagi mereka yang kurang mendapat pendidikan awal, menengah atau tinggi apabila mereka ingin membangunkan diri sendiri.
Sebelum melaksanakan pendidikan dewasa, penganjurnya perlu mengetahui prinsip-prinsip yang perlu dipegang kerana sasaran yang mereka hadapi adalah golongan dewasa yang mempunyai konsep kendiri yang tersendiri dan masing-masing memiliki pengalaman. Oleh itu, pelaksanaan pendidikan dewasa perlu dijadikan penyumbang ilmu pengetahuan ataupun kemahiran bagi orang dewasa dengan mengharapkan mereka berubah dengan sendirinya dan bukan mahu mengubah mereka.
Selain itu, orang dewasa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk jenis pendidikan yang mereka kehendaki berdasarkan keperluan masing-masing.
BUDAYA membaca teks akademik di kalangan masyarakat tidak hadir tanpa persediaan dan perancangan yang sistematik. Membaca sebagai budaya yang boleh wujud melalui amalan suka akan aktiviti membaca yang konsisten yang tersebar secara menyeluruh dan tidak mudah ditinggalkan begitu sahaja.
Persoalannya ialah sejauh manakah kesan yang diperoleh semasa membaca. Apakah yang pembaca lakukan semasa membaca? Pembaca sering berhadapan dengan kesukaran membaca terutama yang melibatkan teks akademik. Keadaan akan menjadi lebih sukar apabila pembaca mengalami kesukaran memahami konsep yang abstrak dan memerlukan pemikiran yang mendalam. Manakala bagi pembaca peringkat rendah, fokus diberikan kepada aspek konkrit teks tersebut, fakta, perkara yang mudah difahami.
Selain itu, membaca di peringkat kolej memerlukan pembaca menggunakan strategi metakognisi yang merupakan kebolehan menguruskan pembelajarannya sendiri. Pembaca perlu berfikir akan gaya pembelajaran mempunyai interaksi dengan teks yang dibaca sehinggakan strategi yang digunakan dapat membantu pembaca berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat apabila membaca teks akademik.
Strategi Pembaca Berjaya
Terdapat empat pemboleh ubah yang perlu diberikan perhatian apabila pembaca berhasrat menjadi pembaca yang berjaya iaitu aspek pembaca, teks, strategi dan matlamat membaca. Ciri-ciri pembaca pula termasuklah kemahiran membaca, minat terhadap topik tersebut, faktor fizikal seperti tidur yang mencukupi atau masalah perut yang lapar. Pemboleh ubah teks pula terdiri daripada jenis teks seperti novel, sains, permainan, psikologi dan sebagainya serta faktor kesukaran teks yang dibaca. Bagi sesetengah pembacaan boleh berlangsung dalam masa yang singkat manakala terdapat juga masa membaca yang padat dengan isi dan menjemukan akibat teks yang sarat dengan maklumat.
Sementara itu, faktor strategi membaca pula dimiliki oleh pembaca yang berbeza daripada segi pelaksanaannya. Terdapat beberapa strategi yang sangat sesuai digunakan semasa membaca bagi menjadikan bacaan suatu pengalaman akademik yang menyeronokkan. Pemilihan strategi membaca juga perlu disesuaikan dengan matlamat membaca tersebut. Persoalannya mengapakah saudara membaca teks ini? Apakah yang saudara inginkan melalui teks yang dibaca?
Sesetengah pelajar adalah pembaca yang baik. Berkemungkinan keluarga mereka sering membacakan buku kepada mereka semasa zaman kanak-kanak dan sesudah dewasa mereka mampu membaca bacaan yang lebih mencabar, membaca bagi tujuan kerehatan dan mendapati aktiviti membaca adalah sesuatu yang menyeronokkan dan mudah dilakukan. Mereka didorong supaya memahami cara menggunakan strategi membaca yang sesuai. Secara umum-nya, apabila membaca akhbar, pelajar tidak memerlukan kemahiran membuat bacaan sekilas muka surat dengan cepat dan kemudian beralih kepada artikel yang diminati.
Terdapat juga pelajar yang malas dan kurang memberikan perhatian terhadap membaca atau merasakan rasa tidak selamat dan takut apabila berhadapan dengan teks yang kompleks. Mereka sebenarnya tidak membaca teks yang sukar seperti teks akademik bagi tujuan pengajian dan bahan-bahan penyelidikan. Bagi sesetengah pelajar amat jarang mempelajari strategi membaca.
Strategi Memudahkan Proses Pembacaan
Setiap kali membaca kita sebenarnya mengajar diri sendiri cara membaca. Secara ringkasnya, apabila kita membaca bahan pembelajaran di atas katil sebelum tidur beberapa minit, kita sebenarnya mengajar diri kita sendiri supaya tidak mengambil berat dan tidak membantu untuk membaca.
Membaca teks akademik bukanlah proses yang mudah. Untuk membaca dengan lebih baik, pembaca perlu menggunakan strategi membaca yang boleh membantu memudahkan proses membaca. Sukar bagi seseorang mendapatkan sesuatu makna yang terkandung dalam teks dengan sekali baca. Disebabkan teks akademik dibicarakan dengan cara disiplin yang mementingkan pemahaman aras tinggi maka pembaca sewajarnya sudah dapat mengagak kesukaran yang bakal dihadapinya. Pelajar yang berjaya belajar cara membaca yang efektif dan mengingat kandungan yang dibaca. Pembaca perlukan cara yang sesuai untuk membaca, sentiasa membaca, menyudahkan pembacaan, membuat ringkasan serta mengaitkan maklumat yang baru dengan pengetahuan yang lain yang diperoleh.
Strategi Membaca yang Efektif
Terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan untuk membaca dengan efektif. Bagi pembaca yang baik, penggunaan sekurang-kurangnya tiga strategi sudah memadai. Percubaan dengan menggunakan strategi yang berbeza sangat sesuai digunakan dan ini akan membantu pembaca yang bersifat kritikal terhadap bacaannya. Membaca bukan hanya berfaedah untuk jangka masa tertentu sahaja namun bagi kehidupan yang lebih ke hadapan.
Membaca sesuai dilakukan sambil duduk di kerusi atau meja, dengan cukup pencahayaan pastikan kebisingan pada tahap minimum. Bunyi yang kuat daripada muzik rock tidak akan membantu pembaca menjadi pembaca yang baik. Di samping itu, bunyi-bunyi bising yang boleh mengganggu pembaca juga perlu dihindari. Contohnya bunyi kanak-kanak menangis, perbualan rakan sebilik, bunyi televisyen ataupun radio. Maka pembaca perlu mewujudkan suasana yang benar-benar dapat membantu proses membaca dapat berlangsung dengan baik supaya pembaca dapat menumpukan kepada teks yang dibaca.
Pembaca juga digalakkan menyediakan pen dan kertas bagi memudahkan pembaca menggunakannya apabila diperlukan. Ini disebabkan semasa membaca pembaca sering mencatatkan perkara-perkara penting untuk dirujuk apabila diperlukan. Membuat catatan semasa membaca banyak memberikan kelebihan kepada pembaca terutama bagi tujuan mengingat fakta penting.
Sebelum membaca, pembaca disarankan supaya memikirkan atau menetapkan matlamat setiap kali membaca. Kemukakan persoalan mengapa guru meminta tugasan itu dibuat, apakah yang akan pembaca peroleh daripada teks tersebut catatkan isi penting yang barkaitan setiap kali semasa membaca terutama bagi mendapatkan maklumat berkaitan persoalan yang sudah dikemukakan.
Bagi memastikan proses membaca berlangsung dengan baik, sesuai jika pembaca melakukan tinjauan sebelum membaca. Bagi tujuan membaca yang bersifat kritis, pembaca boleh meneliti tajuk dan subtajuk yang terdapat dalam teks. Jika teks tersebut ditulis dengan huruf tebal maka pembaca perlu memberikan tumpuan ketika membaca. Kadangkala terdapat juga teks yang disertai ilustrasi atau graf bagi mengukuhkan lagi konsep yang dihuraikan. Semua sumber ini perlu diberikan perhatian supaya pembaca dapat memanfaatkan kandungan teks dengan lebih berkesan.
Semasa membaca teks, pembaca perlu membaca pengenalan dan kesimpulan. Selepas itu kembali semula membaca keseluruhan teks tersebut. Di samping itu, pembaca juga disarankan supaya membaca baris pertama setiap perenggan bagi mendapatkan idea serta perkembangan isi kandungan teks tersebut. Selepas itu pembaca boleh membaca semula teks tersebut. Aktiviti membaca dengan memberikan tumpuan kepada pengenalan dan baris pertama setiap perenggan boleh membantu pembaca membuat inferens terhadap isi kandungan keseluruhan teks yang dibaca.
Bagi mendapatkan kesan yang lebih mendalam, pembaca boleh mengimbas teks yang dibaca. Strategi ini boleh membantu pembaca mendapatkan fokus bagi perkara penting atau relevan. Dengan cara tersebut maklumat yang penting dapat diberikan perhatian utama sebelum pembaca membaca secara keseluruhan.
Pembaca juga boleh melakukan strategi skimming terutama bagi memastikan maklumat yang hendak dicari dalam teks. Bagi tujuan tersebut, pembaca perlu membaca setiap perkataan yang terdapat dalam teks serta menumpukan sepenuh perhatian bagi tujuan mendapatkan maksud. Walaupun pembaca akan berhadapan dengan perkataan yang sukar, namun melalui strategi penumpuan ini pembaca akan dapat mengenal pasti maksud teks dengan lebih jelas lagi.
Menulis semula pemahaman teks adalah strategi yang sesuai digunakan bagi memahami teks. Pembaca digalakkan menulis nota dan menyatakan semula secara lisan. Terangkan dengan jelas maksud teks dan tandakan muka surat yang berkaitan. Tuliskan juga perkara yang diminati dan membosankan semasa membaca teks tersebut. Di samping itu, pembaca juga boleh membuat spekulasi berkaitan perkara tersebut.
Strategi Menghadapi Kesukaran Ketika Membaca
Apabila pembaca menghadapi kesukaran semasa membaca, fikirkan dan tuliskan di mana kesukaran tersebut berlaku. Fikirkan faktor yang menjadikan sesetengah bahagian didapati sukar difahami. Sebagai pembaca yang baik, fikirkan juga cara yang sesuai memecahkan kebuntuan semasa membaca. Oleh itu, pembaca juga disarankan menggunakan penulisan sebagai strategi yang berkesan apabila berhadapan dengan kesukaran memahami teks.
Di samping menulis mengenai kesukaran tersebut, pembaca juga boleh menggunakan strategi merekodkan dan meneroka perkara yang mengelirukan. Maka semasa membaca, kekeliruan yang dihadapi penting kepada pembaca kerana itu adalah tahap pertama dalam memahami teks. Pembaca yang baik seharusnya dapat mewujudkan kesedaran yang mendalam semasa membaca teks. Oleh itu, keupayaan pembaca menimbulkan kekeliruan menunjukkan pembaca dapat mengaitkan pengetahuan lalunya dengan maklumat baru yang diperoleh.
Antara strategi membaca yang sesuai digunakan apabila sukar memahami teks ialah dengan memperlahankan kelajuan membaca. Pembaca juga disarankan supaya membaca semula bahagian tersebut. Memperlahankan kelajuan bacaan serta membaca semula boleh dilakukan dengan tujuan memberikan peluang menyemak semula bacaan. Sementara itu, pembaca juga boleh membahagikan bacaan kepada beberapa segmen. Contohnya, apabila teks yang dibaca itu panjang, pembaca boleh membahagikannya kepada sepuluh muka surat. Selepas membacanya, pembaca boleh melakukan kerja lain. Selepas merasai kelapangan, pembaca boleh menyambung semula bacaannya bagi sepuluh muka surat yang lain.
Bagi pembaca yang baik, buku yang dibaca akan digarap kandungannya secara menyeluruh. Ini bermakna, pembaca perlu membaca prakata dan ringkasan yang boleh membantu mempelajari kandungan buku tersebut secara terperinci. Perhatikan juga jadual kandungan buku tersebut bagi mengetahui struktur dan perkembangan buku tersebut. Di samping itu, lihat juga indeks bagi tujuan melihat nama-nama yang spesifik, nama tempat, istilah dan sebagainya. Secara umumnya, pembaca perlu menggunakan sepenuhnya buku yang dibaca bagi memudahkan pemahaman.
Manakala bagi teks yang sukar difahami, pembaca boleh menterjemahkan bahan yang dibaca kepada bahasa yang mudah difahami pembaca. Ini bermaksud pembaca perlu menulis sebuah teks alternatif yang bertujuan memudahkan pemahaman. Keadaan ini menunjukkan perlunya kemahiran bahasa yang tinggi bagi menggambarkan maksud teks dengan mudah.
Bagi teks yang mempunyai soalan pemahaman di akhir setiap bab, pembaca disarankan supaya cuba menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Bagi menjawab soalan-soalan tersebut, pembaca perlu menggunakan perkataan sendiri yang mudah difahami. Nyatakan perkara atau isi yang ditekankan oleh penulis. Nyatakan juga pandangan bagi persoalan yang dikemukakan oleh penulis bagi perkara yang ingin pembaca mengetahuinya. Ini melibatkan daya cerapan pembaca yang tinggi kerana pembaca perlu menunjukkan respons yang mendalam terhadap teks yang dibaca.
Selepas tamat membaca, pembaca disarankan membuat semakan berkaitan idea yang dibaca. Bagi menunjukkan kemantapan pemahaman pembaca, ajukan soalan-soalan yang boleh menterjemahkan sejauh mana pembaca dapat menguasai teks tersebut dengan baik. Bagi pelajar, mereka boleh mencatatkan persoalan yang tidak terjawab semasa membaca dengan mengemukakannya kepada guru semasa pengajaran di dalam kelas. Pembaca juga boleh menggunakan sumber yang lain yang boleh membantu pembaca menyelesaikan kesukaran yang dialami semasa membaca.
Kesimpulan
Berdasarkan strategi membaca yang dinyatakan di atas, pembaca boleh memilih strategi yang sesuai dengan keperluan semasa membaca. Ini disebabkan terdapat perbezaan daripada segi penerimaan pembaca terhadap strategi terutama masalah membaca yang dihadapi tidak sama antara seorang pembaca dengan pembaca yang lain. Maka dalam usaha membudayakan aktiviti membaca dalam kehidupan, pembaca perlu memiliki strategi membaca yang sesuai supaya tujuan membaca akan dapat dicapai dengan berkesan dan dengan itu dapat mewujudkan masyarakat berpengetahuan dan ini akan menggambarkan kematangan masyarakat tersebut.
PENGAJARAN perbendaharaan kata sangat penting sama ada kepada pelajar-pelajar bahasa pertama ataupun bahasa kedua. Penguasaan perbendaharaan kata yang baik akan membantu pelajar menguasai kemahiran bahasa yang lain seperti kemahiran lisan, membaca dan menulis. Bagi pelajar-pelajar bahasa pertama, penguasaan perbendaharaan kata yang sukar sering menjadi masalah terutama bagi tujuan memahami teks yang dibaca. Kelemahan penguasaan aspek perbendaharaan kata ini juga akan mempengaruhi tugasan menulis karangan yang memerlukan mereka menguasai perbendaharaan kata yang baik.
Seseorang pelajar tidak akan dapat bertutur, memahami, membaca, atau menulis dengan baik jika tidak menguasai banyak perbendaharaan kata. Terdapat dua pendekatan pengajaran yang umum cara pelajar belajar perbendaharaan kata terutama bagi pelajar-pelajar bukan Melayu iaitu menggunakan pendekatan terus dan pendekatan tidak langsung.
Melalui pendekatan terus, pelajar akan mempelajari perkataan dalam senarai atau melengkapkan latihan perbendaharaan kata yang pelbagai. Pendekatan ini bertujuan supaya pelajar menggunakan perkataan yang diperlukan bagi mengukuhkan penguasaan kemahiran bahasa.
Strategi Belajar Secara Terus
Pembelajaran perbendaharaan kata secara terus memerlukan pelajar mempelajari banyak perkataan yang perlu difahami melalui aktiviti pembacaan dan pendengaran. Terdapat beberapa saranan yang boleh diikuti semasa menggunakan pendekatan ini.
1. Berusaha menguasai tatabahasa
Pelajar perlu menunjukkan usaha ke arah penguasaan tatabahasa yang baik. Mereka akan merasakan kekurangan apabila menggunakan tatabahasa yang salah sama ada secara lisan atau tulisan. Oleh itu, usaha tersebut perlu menggunakan teknik yang sesuai. Pelajar perlu berusaha ke arah mencapai tahap penguasaan bahasa yang tinggi. Mereka perlu menguji diri sendiri bagi melihat sama ada tahap penguasaan tersebut dapat dicapai. Bagi mengingat perbendaharaan kata yang baru, pelajar akan sering terlupa perkataan-perkataan baru yang sudah dipelajari.
2. Menggunakan kad perbendaharaan kata
Dengan menggunakan kad catatan yang sesuai, pelajar boleh menuliskan perkataan baru yang dipelajari berserta penggunaannya dalam ayat. Perkataan ini juga boleh disediakan dalam bentuk katalog yang mudah dirujuk. Pelajar juga perlu mengkaji penggunaan perkataan tersebut dalam contoh ayat yang berbeza. Pelajar boleh menyemak sama ada mereka dapat mengekalkan ingatannya terhadap perkataan yang baru dipelajari.
3. Menyebut perkataan dengan jelas atau menuliskannya semula
Pelajar boleh menggunakan teknik latih tubi melalui penyebutan bagi membantu aspek sebutan. Dengan cara tersebut perkataan yang sukar disebut dapat dikuasai dengan baik. Oleh itu, melalui teknik latih tubi serta menuliskan semula perkataan baru atau sukar, mereka dapat mengingat dengan lebih baik lagi.
4. Mengarang ayat dengan menggunakan perkataan yang dipelajari
Perkataan yang dipelajari akan lebih mudah diingat dan tepat penggunaannya dengan cara cuba mengarang ayat dalam konteks yang berlainan. Mereka juga boleh meminta guru menyemak sama ada ayat yang dibina betul atau salah penggunaannya.
5. Merakamkan perkataan dan definisinya
Jika pelajar suka belajar melalui pendengaran, mereka boleh menggunakan alat perakam bagi merakamkan perkataan yang baru dipelajari. Kelebihan rakaman ialah pelajar boleh mengulang sebutan dan makna perkataan berulang kali. Dengan cara ini ingatan pelajar terhadap perkataan tersebut dapat dipertingkatkan serta memudahkan mereka membuat pembetulan kesalahan yang dilakukan dengan membuat ujian kendiri.
6. Mewarnakan kod perkataan
Sesetengah pelajar, penggunaan warna dapat membantu mereka mengingat perkataan yang dituliskan dengan lebih baik. Perkataan yang disenaraikan boleh diwarnakan jika pelajar merasakan kesan warna membantunya mengingat perkataan yang dipelajari. Berikan tumpuan kepada perkataan yang menimbulkan banyak masalah kepada pelajar.
Teknik Mnemonik
Di samping strategi yang dinyatakan di atas, pelajar juga boleh menggunakan teknik mnemonik iaitu teknik yang dapat meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dengan lebih baik lagi. Teknik ini sering digunakan bagi membantu pelajar mengingat dengan cara mengorganisasikan item yang diingati secara terasing ke dalam pola yang bercantum bersama-sama. Terdapat banyak jenis alat mnemonik yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Pelajar perlu mencuba menggunakan alat yang berbeza-beza bagi menentukan jenis yang sesuai. Berikut adalah antara jenis mnemonik yang sesuai digunakan.
1. Menggunakan rima perkataan
Pelajar boleh mengingat perkataan yang mempunyai rima yang mudah diingat. Contohnya; kesang, berang, serang, curang. Oleh itu, apabila mengingat perkataan yang mempunyai rima yang senang diingat, pelajar boleh juga menambahkan perkataan yang lain yang mempunyai rima yang sama.
2. Menggunakan aliterasi perkataan
Perkataan yang dimulakan dengan huruf atau bunyi yang sama boleh dipelajari bersama bagi tujuan memudahkan ingatan.
3. Menghubungkan perkataan dengan bentuk fizikal
Imej mental yang boleh membentuk perkataan sangat membantu pelajar menguasai sesuatu perkataan baru. Teknik ini sesuai bagi perkataan yang lebih mudah dipelajari dengan menghubungkannya dengan warna, saiz, bau, rasa, atau beberapa ciri fizikal yang lain. Apabila pelajar cuba mengingati nama sayur-sayuran, mereka boleh mengaitkan dengan warna seperti merah bagi bulat dan bentuk panjang dengan warna hijau. Contohnya bagi perkataan kelat, payau, masam dan sebagainya dapat ditandai dengan buah yang biasa dimakan.
4. Mengaitkan perkataan dengan fungsi
Kadangkala kita boleh mengaitkan sesuatu perkataan dengan fungsi. Sebagai contoh, apabila cuba mengingati perkataan perabot, pelajar boleh mengumpulkan data mengikut kegunaan untuk tempat duduk dan sebagai-nya. Pelajar juga boleh mengorganisasikan perkataan dengan fungsi perbualan. Sebagai contoh, dapatkan suatu senarai perkataan sapaan, perkataan lain bertujuan mengambil bahagian dalam perbualan dan akhirnya bagi tujuan ucapan terima kasih.
5. Menggunakan perkataan antonim
Dalam aktiviti berbahasa, penutur sering kali mengaitkan sesuatu perkataan yang disebut dengan lawan atau antonim bagi perkataan tersebut. Ini menunjukkan wujudnya perkaitan secara semula jadi antara sebutan sesuatu perkataan dengan antonimnya dalam situasi kehidupan sehari-hari. Perkataan yang boleh hadir secara berpasangan seperti abang-kakak, kecil-besar, berdiri-duduk secara automatik dikaitkan dalam minda. Oleh itu, apabila mempelajari perkataan baru, cuba bina pasangan perkataan supaya apabila sesuatu perkataan itu disebut, perkataan yang satu lagi akan hadir dalam minda.
6. Mempelajari kelas perkataan
Terdapat banyak perkataan yang boleh membantu pelajar dalam kemahiran berbahasa. Kadangkala dengan cara mengelaskannya boleh membantu mempelajari perkataan-perkataan baru yang berkaitan seperti warna, buah-buahan, sayur-sayuran, profesion dan sebagainya. Tidak semua perkataan yang dapat dikuasai dengan baik walaupun kita pernah melihat atau membacanya. Contohnya, dengan menamakan jenis-jenis pisang, ikan dan sebagainya.
7. Mempelajari perkataan yang berkaitan
Terdapat beberapa jenis perkataan yang mempunyai kata dasar yang sama dan boleh membentuk kata terbitan. Contohnya kata dasar tanam boleh dibina perkataan yang lain seperti tanaman, tanamkan, penanaman, menanam dan sebagainya. Oleh itu, jika pelajar mempunyai senarai perkataan untuk diingati, cuba organisasikan perkataan tersebut ke dalam kumpulan yang mempunyai kata dasar yang sama atau mengaitkan dengan perkataan baru dengan perkataan lalu yang sama kata dasarnya.
8. Kumpulkan perkataan dalam kelas gramatikal
Ini akan membantu pelajar mengorganisasikan senarai perkataan mengikut golongan kata. Secara umumnya, kata nama mudah diingati dibandingkan dengan kata kerja. Oleh itu, pelajar mungkin mahu memperuntukkan masa yang lebih bagi kelas perkataan yang sukar.
9. Mengaitkan perkataan dengan konteks
Pelajar juga boleh mengaitkan perkataan baru dengan konteks penggunaannya. Oleh itu, bagi mengingati sesuatu perkataan, pelajar boleh fikirkan konteks penggunaannya dan perkataan akan hadir pula wujud dalam fikirannya. Sebagai contoh, pelajar boleh me-mikirkan dialog atau teks berkaitan makanan yang sudah dipelajari apabila mengingat istilah berkaitan makanan yang terdapat di sesebuah restoran atau hotel.
Belajar Secara Tidak Langsung
Pendekatan lain yang boleh digunakan semasa mempelajari tatabahasa yang melibatkan penguasaan perbendaharaan kata ialah pendekatan tidak langsung. Dalam pembelajaran perbendaharaan kata secara tidak langsung, perhatian pelajar ditumpukan kepada pencapaian ke atas beberapa aktiviti atau tugasan bahasa yang pelbagai, seperti cuba memahami mesej secara lisan atau bertulis.
Melalui proses tersebut, pelajar berpeluang memulakan pembelajarannya dengan berhadapan banyak perbendaharaan kata yang baru. Melalui pendekatan ini, pelajar akan diperkenalkan dengan beberapa teknik pembelajaran perbendaharaan kata yang didapati berkesan. Pelajar juga perlu mencuba dan mengadaptasi mana-mana strategi pembelajaran yang sesuai. Berikut ialah beberapa strategi yang boleh digunakan melalui pendekatan ini.
1. Membaca teks berkaitan topik
Bagi mendapatkan kesan yang positif terhadap penguasaan perbendaharaan kata, pelajar perlu membaca beberapa buah teks berdasarkan topik yang berkaitan. Jika pelajar sudah membaca suatu siri teks atau artikel yang berkaitan, pelajar akan berpeluang bertemu dengan perbendaharaan kata yang kerap diulang. Dengan cara tersebut, pelajar dapat membaca secara bersama sesuatu perbendaharaan kata daripada satu teks kepada teks yang lain dan ini akan membantu pelajar mengenali perkataan dengan lebih mudah apabila melihatnya pada masa akan datang. Oleh itu, melihat perkataan yang sama dalam konteks yang berlainan, akan membantu pelajar mempelajari pelbagai makna yang boleh dikaitkan dengan perkataan tersebut.
2. Membuat inferens makna perkataan berdasarkan konteks
Semasa membaca teks, terdapat beberapa perkataan yang maknanya boleh diinferensikan berdasarkan konteks. Oleh itu, melalui inferens pelajar dapat membuat pertimbangan klu bagi perkataan yang berkaitan.
3. Mengasingkan perkataan mengikut komponennya
Dengan memecahkan perkataan kepada kata dasar, kata imbuhan awalan dan akhiran, pelajar dapat membuat inferens makna perkataan tersebut walaupun mereka tidak pernah mendengarnya sebelum ini.
Kesimpulan
Kesimpulannya, penguasaan perbendaharaan kata sangat penting kepada pelajar ketika mempelajari Bahasa Melayu. Kesukaran menguasai aspek tersebut banyak berlaku kepada pelajar bukan Melayu serta pelajar pada tahap pencapaian rendah. Oleh itu, strategi yang dicadangkan diharap akan dapat membantu pelajar tersebut terutama memudahkan penguasaan kemahiran berbahasa dengan lebih baik lagi.
MEMBACA adalah aktiviti berbahasa yang sangat penting dalam usaha membentuk pengaliran ilmu daripada bahan yang dibaca. Aktiviti ini memerlukan kemahiran yang khusus terutama dalam memastikan kefahaman pelajar berkenaan bahan yang dibaca memberikan manfaat dengan berkesan. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa masalah yang timbul dalam usaha pelajar memanfaatkan bahan yang dibaca bagi membantu kefahaman mereka.
Persoalan yang selalu dikemukakan adalah, "Bolehkah pembaca mengingat kembali perkara yang sudah dibaca?" Kadangkala pelajar menyatakan yang mereka memahami perkara yang dibaca tetapi tidak dapat menyatakan jawapan yang tepat apabila disoal dalam peperiksaan. Situasi itu menggambarkan yang pelajar tidak faham isi teks yang dibaca. Ini mungkin kerana tujuan mereka membaca, persepsi ke atas maklumat dan pemahaman atau latar belakang pengetahuan berbeza dengan objektif yang hendak dicapai melalui pembacaan itu.
Proses membaca adalah dinamik dan perlu aktif dengan mewujudkan situasi komunikasi yang bermakna antara pembaca dengan penulis. Membaca tanpa memahami makna tidak memberikan kepuasan dan tidak menepati matlamat membaca yang ditetapkan. Sebagai guru yang mengajar membaca, ciri utama yang perlu diberikan perhatian adalah meningkatkan keupayaan pemahaman ketika pelajar membaca bahan yang disediakan.
Secara kognitif, membaca bagi tujuan pemahaman menekankan keseluruhan aspek interaktif secara semula jadi serta peranan pembaca dalam membina makna. Pandangan secara interaktif mengiktiraf peranan pembaca dan teks yang ditulis bagi proses membaca teks itu bagi tujuan pemahaman. Keadaan ini bergantung sama ada hanya pada pengalaman lalu pembaca yang dibawa bagi memahami teks pemahaman itu ataupun hanya pada perkara yang dibaca daripada teks. Dalam hal ini, interaktif dalam membaca mementingkan hubungan antara penulis teks dengan pembaca. Pembaca perlu memiliki pengetahuan lalu yang berkaitan dengan teks yang dibaca.
Teori Skema Membaca
Terminologi skema mula digunakan oleh Piaget dalam tahun 1926 dan diperluaskan lagi huraiannya oleh Anderson seorang ahli psikologi pendidikan pada tahun 1967. Teori pembelajaran ini melihat pengetahuan yang diorganisasikan sebagai suatu rangkaian struktur mental yang terperinci, bersifat abstrak dan mewakili pemahaman seseorang berkaitan dunia yang luas.
Skema selalunya diorganisasikan secara bermakna, boleh ditambah bagi individu yang ingin menambahkan pengalaman, membina termasuk menambahkan lebih pemboleh ubah membaca yang lebih spesifik. Skema juga boleh wujud dalam skema yang lain manakala skema juga mengandungi sub skema. Selain itu, skema berubah dari semasa ke semasa ketika maklumat baru diterima. Skema juga mungkin dapat diorganisasikan semula apabila data yang masuk memperlihatkan keperluan menstrukturkan semula konsep.
Prinsip Pengajaran dan Pembelajaran
Teori skema ini juga didasari oleh beberapa prinsip yang dapat diaplikasikan bagi membantu pelajar dalam pembelajarannya. Pertama, dengan mengajarkan pengetahuan umum dan konsep generik yang terdapat dalam teks. Melalui cara ini keseimbangan daripada segi kerumitan pelajar menghadapi teks dapat dikenal pasti dengan tujuan melengkapkan pengetahuan umum terutamanya yang berkaitan dengan situasi silang budaya. Kedua, guru perlu membantu pelajar membina skema dan membuat hubungan antara idea-idea yang terdapat dalam teks. Ini dapat dilakukan melalui aktiviti perbincangan, ilustrasi dan membincangkan cara sesuatu ilmu pengetahuan itu diguna. Sehubungan dengan itu, guru-guru boleh menggunakan teknik itu bagi menguatkan hubungan dalam skema.
Di samping itu, pengetahuan lalu penting bagi memahami maklumat baru. Bagi tujuan itu, guru-guru perlu sama ada membantu pelajar membina pengetahuan asas ataupun mengingatkan mereka perkara yang sudah mereka ketahui sebelum memperkenalkan pengetahuan yang baru. Oleh itu, dalam penguasaan membaca, pelajar perlu dibantu daripada aspek pengetahuan lalu bagi memudahkannya menguasai pengetahuan baru dan dapat membantu pemahamannya ke atas teks yang dibaca.
Sehubungan dengan itu, pelajar mungkin mengalami konflik dalaman apabila mereka cuba mengasimilasikan skema yang sifatnya berbeza dengan anggapan dan pengetahuan lalu pembaca. Guru-guru perlu memahami dan bersimpati dengan masalah yang dialami pelajar yang sedemikian. Walau bagaimanapun, dalam proses membaca, ketidaksuaian antara pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada pelajar sewajarnya dapat membantu pelajar mengukuhkan lagi pemahaman teks dengan lebih baik lagi.
Kesimpulannya, teori skema cuba mencari hubungan antara struktur pengetahuan sedia ada pembaca dengan pengetahuan yang baru diperoleh. Pengkaji melihat pembelajaran sebagai pemetaan maklumat baru ke dalam sesuatu struktur pengetahuan sedia ada yang diorganisasikan secara berhierarki. Berdasarkan teori itu, maklumat umum yang diletakkan pada hierarki teratas dan maklumat yang lebih spesifik pada struktur kedudukan di bawah. Oleh itu, pembelajaran dapat dipermudahkan apabila pelajar memiliki skema yang relevan serta dapat mengaktifkannya. Maklumat baru dapat dihubungkan pada struktur skema pengetahuan sedia ada pembaca. Dalam proses membaca, pemahaman diperoleh melalui jenis dan tahap skema yang dibawa oleh pembaca ke dalam teks.
Skema dalam Pemahaman Teks
Skema sering dikaitkan dengan proses membaca bagi tujuan pemahaman (Marohaini Yusuf, 1999). Dengan mengaitkan skema dengan maklumat baru yang terdapat dalam teks, seseorang dapat memahami sesuatu peristiwa dengan baik. Apabila pembaca tidak memiliki pengalaman yang luas ke atas sesuatu perkara, mereka perlu mengisi kekosongan slot maklumat yang terdapat dalam mindanya dengan menggunakan set skema yang lain.
Apabila pengalaman yang ada tidak dapat membantu memahami maklumat sedia ada, pembaca mengalami masalah ketika berhadapan dengan maklumat baru pada masa akan datang. Apabila skema yang sesuai gagal diwujudkan ketika pembaca berusaha memahami teks, sesetengah pengalaman yang baru tidak dapat diwujudkan ketika itu. Keadaan ini menyukarkan pemahaman pembaca.
Oleh yang demikian, pembaca perlu menggunakan pengetahuan sedia ada dan dapat memperluaskan lagi idea yang disampaikan oleh penulis. Adalah penting pembaca perlu mengaitkan bahan tekstual dengan pengetahuan dan pengalamannya. Ini kerana membaca bagi tujuan pemahaman melibatkan bukan hanya maklumat yang terdapat dalam teks, tetapi juga pengetahuan yang pembaca miliki. Ini bermakna, bagi tujuan memahami perkataan, ayat dan wacana melibatkan tidak hanya kemampuan atau pengetahuan linguistik semata-mata, tetapi juga meliputi pengetahuan dunia yang lebih luas.
Dalam hal ini, pembaca yang baik adalah mereka yang dapat mengaktifkan skema melalui kedua-dua proses iaitu proses ‘Bawah-Ke-Atas’ dan ‘Atas-Ke-Bawah’. Proses ‘Bawah-Ke-Atas’ dimulai dengan pengenalan huruf dan beralih pada mengenal pasti perkataan, struktur sintaksis dan semantik. Manakala proses ‘Atas-Ke-Bawah’ pula bermula dengan pengetahuan pembaca ke atas bahasa dan pandangan dunianya, serta bertujuan menguji hipotesis tertentu yang berlawanan dengan teks.
Sehubungan dengan itu, teori skema mencadangkan pembaca perlu memahami mesej dengan cara mengaktifkan dan membina skema yang memperlihatkan subjek dan penghuraian peristiwa yang baik. Proses ini juga dikenali sebagai interaktif dalam hubungan antara maklumat teks dengan pembaca. Proses ini juga mengetengahkan fungsi pengetahuan lalu pembaca dalam mengungkapkan model atau hipotesis sebagai asas pada pemahaman. Di samping itu, proses itu wujud secara automatik sebagai skema menentukan huraian pengetahuan lalu.
Apabila tidak terdapat maklumat yang bertentangan, pembaca yang baik dapat menggunakan skema bagi membuat interpretasi. Penggunaan teori skema dalam pemahaman membaca adalah usaha menghuraikan cara pengetahuan lalu dipersembahkan dalam minda dan gambaran yang dapat memudahkan pemahaman dan pembelajaran.
Selain itu, Rumelhart (1984) membangunkan model yang berasaskan andaian semua sumber pengetahuan bertindak secara serentak. Proses interaksi antara sumber-sumber pengetahuan pembaca dan teks bertujuan membentuk sesuatu yang bermakna. Penggunaan pengetahuan pembaca sebagai sumber disebut sebagai pemprosesan Atas-Ke-Bawah. Melalui proses ini, pembaca membuat hipotesis, mencari maklumat bagi dimuatkan ke dalam hipotesis dan membuat keputusan mengenainya berdasarkan skema yang dimilikinya.
Jenis pemprosesan yang kedua, model Bawah-Ke-Atas adalah berasaskan teks. Di sini, pemprosesan model Bawah-Ke-Atas adalah berpandukan data. Prosesnya melibatkan aktiviti pengekodan perkataan tunggal dan struktur sintaksis. Hubungan antara dua mod asas pemprosesan seperti berikut; proses model Atas-Ke-Bawah yang menjamin maklumat pada peringkat bawah adalah konsisten dengan jangkaan pembaca mudah menyerap kandungan teks. Ini kerana sebahagian daripada data diproses terlebih dahulu. Manakala proses model Bawah-Ke-Atas menjamin pembaca sentiasa peka ke atas sebarang maklumat yang tidak berkaitan dengan hipotesis yang dibinanya berasaskan teks yang sedang dibaca. Berdasarkan perspektif ini, pergantungan yang berlebihan ke atas mana-mana proses mengehadkan pemahaman yang efisien dan mungkin menyebabkan berlakunya masalah dalam pemahaman.
Daripada sudut lain, kebergantungan berlebihan ke atas pemprosesan model Atas-Ke-Bawah mungkin menyebabkan berlakunya salah faham berdasarkan ramalan yang tidak pasti. Ini kerana terdapat banyak data yang terdapat dalam teks yang perlu dianalisis dan menghalang proses pemahaman.
Sehubungan itu, skema melibatkan pengetahuan yang diorganisasikan berkaitan manusia, tempat, benda dan peristiwa. Hubungan antara teori skema dan metakognisi adalah berdasarkan hubungan antara teori skema dengan pemahaman. Skema diberikan kategori atau ruang yang berbeza berdasarkan kategori pengetahuan yang berbeza dan maklumat yang diperoleh pembaca daripada pelbagai teks.
Skema meliputi kerangka bagi pemahaman teks dan membuat inferens. Skema juga membantu pelajar meng-organisasikan dan menyusun semula peristiwa yang dibaca. Walaupun mengaktifkan skema adalah asas dalam membaca, namun proses membaca melibatkan proses yang kompleks. Skema tidak hanya memenuhkan ruang kosong yang terdapat dalam jaringan pengetahuan pembaca. Oleh itu pembaca yang cekap dan aktif secara tekal dapat mengaitkan perkara yang dibaca dengan pengalaman yang diperoleh. Di samping itu, minat ke atas teks juga memainkan peranan yang penting dalam proses menghubungkan konstruksi yang terdapat dalam skema yang dimiliki oleh pembaca.
Dalam teori skema, semua jenis latar belakang pengetahuan memainkan peranan yang penting dalam mencapai pemahaman membaca. Kedua-dua teori membaca psikolinguistik dan teori skema menekankan pemboleh ubah pembaca yang menyumbang kepada pemahaman membaca.
Di samping itu, skema adalah manifestasi maklumat yang terselindung sesuai kepada organisma pada bila-bila masa. Bagi yang berkemampuan menubuhkan struktur kognitif pula menghuraikan skema sebagai persepsi dalaman secara semula jadi yang berkembang daripada umum ke spesifik. Contohnya skema berkaitan perniagaan memungkinkan pembaca menggunakan aspek umum dalam dunia perniagaan sehinggalah aspek yang lebih khusus dan mendalam. Skema secara lebih spesifik dibina berdasarkan struktur pengetahuan interaktif yang mewakili konsep yang umum ke atas sesuatu perkara, peristiwa ataupun benda. Oleh itu, skema kelihatan seperti struktur berhierarki yang berkembang daripada struktur umum pada yang lebih spesifik.
Apabila menggunakan teori skema dalam pemahaman membaca, pembaca perlu melihatnya sebagai proses yang konstruktif dengan pembaca, menggunakan pengetahuan yang dimilikinya serta meluaskannya berasaskan perkara yang dinyatakan oleh penulis. Oleh yang demikian, adalah penting pembaca dapat mengaitkan bahan teks dengan pengetahuan dan pengalamannya sendiri. Ini kerana membaca bagi pemahaman bukan sahaja melibatkan maklumat dalam teks, tetapi juga pengetahuan yang sudah dikuasainya. Ini bermakna pemahaman perkataan, ayat dan wacana melibat-kan bukan sahaja pengetahuan atau kompeten linguistik tetapi juga bergantung kepada pengetahuan dunia yang luas. Dalam hal ini, pembaca yang baik mengaktifkan skema melalui kedua-dua proses, Bawah-Ke-Atas dan Atas-Ke-Bawah.
Kesimpulannya, teori skema mencadangkan yang pembaca perlu memahami mesej secara aktif melalui makna atau membina skema yang dapat menerangkan subjek dan peristiwa dengan baik. Proses ini juga sering dikenali sebagai interaktif dalam erti kata hubungan antara pembaca dengan teks. Di samping itu, proses ini wujud secara automatik sebagai skema yang menghuraikan pengetahuan lalu.
Bagi pembaca yang baik, mereka menggunakan skema sebagai membantu mengenal pasti kandungan teks yang gagal diinterpretasikan. Aplikasi teori skema dalam membaca pemahaman adalah usaha menghuraikan cara pengetahuan dan dipersembahkan dalam minda dengan cara perlambangan yang dapat memudahkan pemahaman dalam pembelajaran. Melalui teori skema, beberapa prinsip pengajaran digunakan:
1. Adalah penting mengajarkan pengetahuan yang bersifat umum dan konsep generik.
2. Guru boleh membantu pelajar membina skema dan membuat hubungan antara idea-idea. Teknik yang digunakan menguatkan hubungan itu melalui perbincangan, memainkan peranan, ilustrasi, alat bantu visual, dan penerangan cara ilmu pengetahuan boleh juga digunakan.
3. Pengetahuan terdahulu dapat melicinkan lagi proses memahami maklumat baru. Oleh itu, guru perlu membina pengetahuan asas ataupun mengingatkan pelajar berkenaan perkara yang mereka ketahui sebelum memperkenalkan bahan yang baru.
4. Skema dapat berkembang dan bertukar menjadi maklumat yang baru.
5. Skema yang menetap secara mendalam dalam pemikiran adalah sukar diubah.
Ciri-ciri Skema
Menurut Anderson (1977), terdapat beberapa ciri skema yang dikenal pasti:
1. Skema selalunya diorganisasikan secara bermakna, boleh ditokok tambah, meningkatkan lagi pengalaman, membina dan memasukkan lebih banyak variasi supaya bersifat lebih spesifik.
2. Setiap skema boleh digabungkan dengan skema yang lain dan skema itu boleh diterima sebagai betul.
3. Penggunaan mental semasa membuat persepsi dan pemahaman melibatkan keputusan sesuatu proses secara keseluruhan.
Teori Skema menghuraikan cara sesuatu ilmu pengetahuan itu dipersembahkan dan cara pengetahuan baru disepadukan dengan jaringan pengetahuan lalu. Ciri-ciri kekuatan yang terdapat dalam teori skema dapat membantu menyepadukan pembelajaran baru dengan pengetahuan sedia ada pada individu. Teori Skema juga menerangkan cara kita belajar, mengubah suai dan menggunakan maklumat yang diperoleh melalui pengalaman.
Konsep utama dalam Teori Skema adalah pengalaman dan pengetahuan yang ditadbirkan secara semantik. Keadaan ini adalah lebih baik dan berkesan daripada pengalaman yang ditadbirkan secara perkataan. Contohnya skema bagi menerangkan tempat seperti kedai, sekolah, rumah serta pasar, acara seperti perlawanan bola sepak, persidangan serta perkahwinan dan peranan seperti bapa serta guru pelajaran.
Selepas pelajar melalui pengalaman-pengalaman baru, mereka cuba memperkemaskan ruangan-ruangan yang masih dapat diisi dalam skema. Kebiasaannya pembaca melakukan perubahan, mengubah suai atau membuang saja skema yang ditimbulkan melalui teks.
Pembaca membuat pemahaman dengan menggunakan pengetahuan sedia ada yang dapat bertukar atau berubah apabila menemui maklumat baru. Walaupun perubahan dalam skema berlaku secara perlahan, pembelajaran baru mungkin dapat dihasilkan dengan mengubah suai skema yang sedia ada atau dengan mewujudkan sesuatu skema yang baru.
Perkara penting dalam ciri pemilihan skema adalah membuat inferens. Membuat inferens juga digunakan dalam mengisi ruangan-ruangan yang kosong dalam pembentukan skema. Apabila ruangan kosong itu diisi, keadaan ini dapat mempengaruhi inferens bagi mengisi ruangan kosong yang lain.
Teori Skema dan Pemahaman Bacaan
Teori Skema membantu pembaca mengenai cara menggunakan pengetahuan terdahulu bagi memahami dan belajar daripada teks. Terdapat beberapa ciri skema yang mungkin mempengaruhi pemahaman pelajar:
1. Pelajar mungkin tidak mempunyai skema yang mempunyai hubungan dengan isi kandungan teks. Mereka mungkin kekurangan skema berkenaan topik politik dunia, ekonomi dunia dan kehidupan di ladang. Sebagai rumusannya, pelajar tidak mempunyai cara yang sesuai membuat hipotesis mengenai kandungan yang dibaca.
2. Pelajar mungkin mempunyai skema yang sesuai bagi isi kandungan dalam konteks tertentu, tetapi kurang skema bagi aspek bahasa dalam memahami teks. Oleh itu mereka tidak dapat mengakses skema bagi memahami isi kandungan.
3. Pelajar mungkin dapat membina skema dengan baik bagi isi kandungan dan bahasa tetapi pengarang mungkin memasukkan banyak pembayang yang dicadangkan bagi maksud pemahaman. Pelajar dalam beberapa hal memerlukan bantuan bagi merapatkan jurang yang terbina.
4. Pelajar mungkin mendapati skemanya aktif dan dapat memberikan makna dalam memahami teks. Bagaimana pun makna itu mungkin berbeza daripada pandangan pengarang. Pelajar yang selalu berfikir yang dia lebih tahu daripada pengarang dalam pembacaan selalunya dapat mendemonstrasikan pemahamannya itu.
Faktor sosial dan budaya memberi kesan kepada skema. Teori skema memberikan perhatian kepada pembaca berkenaan cara menstrukturkan makna yang diproses daripada teks. Teori skema juga membantu menerangkan berkenaan kesan variasi sosiobudaya dalam pembacaan.
Pengkaji menunjukkan pembaca daripada budaya yang berbeza memberikan interpretasi yang berbeza. Individu yang membaca bahan yang berkaitan secara langsung dengan budayanya memperuntukkan masa yang sedikit dan dapat mengingat kembali banyak maklumat berkenaan budayanya. Oleh itu, apabila pelajar mempunyai maklumat yang lebih ke atas sesuatu budaya, memungkinkannya menjawab soalan berkaitan dengan budaya itu dengan baik. Analisis daripada beberapa pengkaji juga menunjukkan aktiviti membaca bahan dengan kandungan aspek budaya yang dikenal pasti dapat mempengaruhi pemahaman ke atas teks. Pembaca membina maksud yang berbeza apabila terdapat perbezaan antara budaya pembaca dengan kandungan budaya yang terdapat dalam teks yang dibaca.
Teori Skema dan Perbendaharaan Kata
Teori skema banyak dikaitkan dengan pengajaran perbendaharaan kata. Ini kerana penguasaan perbendaharaan kata adalah perkara penting yang perlu dikuasai bagi memahami bacaan. Guru-guru perlu membantu para pelajar meluaskan lagi saiz perbendaharaan katanya bagi memudahkan pemahaman.
Daripada segi pengajaran perbendaharaan kata, langkah-langkah yang biasanya dilakukan oleh guru adalah seperti berikut:
1. Menerangkan makna perkataan yang sukar secara langsung.
2. Mengarahkan pelajar memberikan makna perkataan baru selepas petikan dibaca.
3. Memberikan perhatian kepada perkataan penting dan kemudian meminta pelajar membina ayat.
4. Memberikan latihan dan kerja rumah seperti membuat ayat ataupun mencari perkataan sukar.
Ini menggambarkan yang pengajaran perbendaharaan kata dilakukan secara terasing. Pelajar diajarkan penguasaan perbendaharaan kata tanpa membuat perkaitan antara perkataan yang sedia difahami dengan perkataan yang baru ditemui. Oleh itu, kejayaan pelajar dalam mempelajari bahasa bergantung kepada perluasan dan kekayaan pengalaman yang dialami dan pemerolehan konsep yang dikuasainya dulu.
Daripada segi pelaksanaan, peruntukan masa mengajar perbendaharaan kata adalah singkat. Pengajarannya adalah komponen kecil daripada pengajaran bacaan dan pemahaman. Oleh itu, perlu dibuat pengubahsuaian dalam memperuntukkan masa mengajar perbendaharaan kata kerana penguasaannya bukan sahaja membantu pemahaman teks yang dibaca tetapi juga dalam menguasai kemahiran menulis. Lebih luas saiz penguasaan perbendaharaan kata pelajar bertambah mudah baginya mengolah ayat dalam kemahiran menulis.
Teori skema dalam pengajaran perbendaharaan kata banyak dikaitkan dengan keupayaan pelajar memahami perkataan yang ditemui dalam teks. Ciri penting yang dapat dikesan daripada skema dihuraikan di bawah ini:
Kaitan dan hierarki
Perkara, konsep, benda, idea selalunya wujud dalam bentuk hubungan secara langsung. Perkataan yang dikaji selalunya dapat dilihat melalui pengelasan, ciri atau keadaan sesuatu perkara itu. Contohnya apabila memperkatakan berkenaan nelayan, yang tergambar difikiran adalah bot, pukat, ikan, laut, ombak dan sebagainya. Manakala bagi tujuan pengelasan dapat dibuat berdasarkan alat, hasil, keadaan dan sebagainya.
Kedapatan skema
Wujudnya sesuatu perkara, konsep, idea sering juga dikaitkan dengan cara memperoleh atau di mana wujudnya. Kepelbagaian bentuk skema yang diperoleh banyak bergantung kepada pengalaman dan pengetahuan seseorang. Contohnya pengalaman melawat kampung nelayan atau bersama-sama nelayan ke laut dapat memberikan kepelbagaian dalam skema itu.
Pemilihan skema
Kadangkala pelajar mempunyai skema yang banyak tetapi mereka tidak berupaya mengaitkannya dengan bahan yang dibaca. Mereka didapati tidak sedar kewujudan skema yang dimiliki dengan bahan yang dibaca.
Penjagaan skema
Kewujudan skema dalam pemikiran perlu dijaga atau dikawal supaya tetap memperoleh atau menggunakan skema itu sepanjang membaca teks itu. Sering juga terjadi skema yang terputus, hilang daripada ingatan atau tidak berfungsi dalam usaha memahami teks.
Kepentingan Teori Skema
Teori skema membantu pelajar dalam membina kefahaman. Antara kepentingan teori itu adalah:
1. Memastikan bahan yang dibaca oleh pelajar adalah dalam lingkungan pengalamannya dan kandungan latar belakang konseptual serta bahasa yang digunakan.
2. Membantu pelajar mengaitkan latar belakang pengetahuan terdahulu bagi keperluan membaca. Membekalkan pelajar dengan maklumat yang spesifik bagi menggerakkan dan membina latar belakang pengetahuan.
3. Membantu pelajar membina pengetahuan latar bagi bahan yang mengandungi maklumat baru. Lawatan ke lapangan terbang, menonton filem, melihat gambar, menghadiri ceramah, jemputan ke pameran dan lain-lain juga membantu pelajar membentuk pengetahuan latar bagi membina makna bagi maklumat baru.
4. Aktiviti-aktiviti lain yang dapat membantu pemahaman pelajar adalah dengan berbincang berkenaan perbendaharaan kata baru, menyelidik perkaitan antara konsep baru dan yang sudah diketahui dan pengalaman langsung idea baru yang dapat membina pengetahuan latar yang dapat dikaitkan dengan maklumat baru.
5. Menunjukkan kepada pelajar cara menggunakan strategi membina makna. Apabila pelajar hendak memahami maklumat yang dibaca, tunjukkan model yang sesuai dan gunakan bahan yang sudah dikenal pasti.
6. Membuat pemantauan keupayaan pelajar dengan melihat sama ada mereka memperoleh skema yang sesuai tetapi gagal menggerakkannya ataupun kekurangan skema bagi membina sesuatu makna.
Jenis Skema dalam Bacaan
Skema merujuk kepada pengetahuan yang dibawa bersama pembaca pada teks semasa membaca.
Skema kandungan
1. Melibatkan pembaca dengan asas perbandingan.
Contoh: Pembaca teks berkenaan majlis perkahwinan dapat membandingkan daripada kesemua aspek khusus majlis perkahwinan yang sudah dihadirinya dan pola-pola umum majlis perkahwinan dalam budayanya.
Skema rasmi
1. Merujuk kepada bentuk organisasi dan struktur retorik teks bertulis.
Contohnya: Apabila meneka sumber sesebuah teks; keputusan dibuat berdasarkan pengetahuan skema bentuk formal.
2. Pembaca tahu artikel akhbar distrukturkan secara berbeza dengan nota peribadi.
3. Persekolahan dan budaya memainkan peranan besar dalam memberi pengetahuan asas skema bentuk formal.
Skema linguistik
1. Termasuk ciri-ciri mengekodkan yang diperlukan bagi mengenal perkataan dan melihat bagaimana disesuaikan dalam ayat.
2. Pembaca yang tidak mengkaji perkataan secara aktif atau rumus tatabahasa tidak dapat menggunakan maklumat ketika membaca.
Kesimpulan
Kesimpulannya teori skema berperanan membantu pelajar menguasai sesuatu konsep dan pemahaman yang lebih jelas. Asas-asas yang terdapat dalam teori itu juga menjadi dasar dalam membimbing pelajar memantapkan ilmu pengetahuan dasar yang sedia ada serta membuat jangkauan ke hadapan ke atas sesuatu perkara.
Ini adalah satu lagi rahsia pelajar yang berjaya; iaitu kemahiran mengagihkan tugasan. Ada sesetengah pelajar yang menganggap bahawa kehidupan mereka sungguh sibuk dan penuh dengan tugasan yang perlu dibuat. Tetapi sebenarnya mereka ‘menyibukkan’ diri sendiri dengan bebanan kerja yang tidak sepatutnya mereka tanggung. Mereka terlalu ‘tamak’ untuk melakukan semua perkara, walhal ada perkara yang bukan menjadi urusannya.
Kita tahu di sekolah ada pelbagai organisasi, samada organisasi dalam kelas, persatuan, kumpulan belajar, dan banyak lagi. Dalam organisasi ini, sudah ada struktur dan hierarkinya yang tersendiri. Ada jawatan yang diwujudkan, ada bidang kuasa yang diterimapakai, ada batasan kerja yang ditetapkan. Semua ini adalah untuk memastikan bahawa organisasi itu berjalan dengan baik dan tersusun. Jika ada sesiapa yang tidak mematuhinya, alamat rosaklah organisasi itu. Oleh yang demikian, anda kena sering bertanya; adakah apa yang aku lakukan ini adalah apa yang patut aku lakukan? Atau aku telah menyusahkan diri sendiri melakukan tugas orang lain?
Membuat kerja orang lain bunyinya macam baik hati, tetapi sebenarnya ia merosakkan diri anda dan orang lain. Kalau anda sibuk melakukan ketua kelas, anda bukan sahaja akan menambahkan beban tugas harian, bahkan akan menimbulkan krisis di dalam kelas. Kalau sudah ada pembahagian kerja dalam kumpulan belajar (study group), buatlah kerja anda. Jangan pula sibuk dengan urusan orang lain.
9 Langkah Mahir Mengagih Kerja
Seorang pakar pengurusan Barat, Marc Mancini menggariskan 12 langkah yang mesti dikuasai jika anda ingin cemerlang dalam pengagihan tugas.
1.Kenalpasti tugasan yang hendak diagihkan. Kenalpasti apakah jawatan dan tanggungjawab anda sekarang. Adakah anda wajib untuk melaksanakan tugasan ini? Adakah ada orang lain yang sepatutnya melakukannya? Adakah anda mempunyai masa yang cukup untuk semua kerja? Apakah yang paling buruk akan berlaku jika ia diagihkan?
2.Tuliskan di atas kertas aliran perlaksanaan tugasan tersebut. Bagaimanakah cara untuk menjayakan tugasan tersebut? Anda perlu fikirkan apakah proses, keputusan dan dokumen yang perlu dalam melaksanakannya. Tuliskan ianya di atas kertas agar memudahkan orang lain memahami kerja tersebut.
3.Cari orang yang paling sesuai. Jika anda sudah mempunyai carta aliran tugasan anda, maka lebih mudah untuk anda menentukan orang yang paling sesuai untuk melaksanakannya.. Anda perlu pandai mengenalpasti kemahiran, bakat, dan minat rakan-rakan di sekeliling anda.
4.Bentangkan tugasan. Luangkan sedikit masa bersama mereka untuk menerangkan secara keseluruhan apakah tugasan yang hendak diagihkan. Anda tidak akan dapat membuat kek jika hanya memberikan separuh daripada resepinya kepada orang tersebut. Tunjukkan carta aliran yang telah anda buat. Galakkan dia supaya mengemukakan soalan.
5.Terangkan faedah-faedah. Semua orang akan sentiasa bertanya “Apakah faedahnya perkara ini untuk saya?”. Walaupun mereka tidak mengungkapkan, tetapi ia pasti akan terdetik dalam hati mereka. Pada peringkat ini, kemahiran komunikasi dan kemahiran persuasif sangatlah penting.
6.Nyatakan standard anda secara terperinci. Kalau dia perlu menyiapkan pembentangan kelas, berapa mukasurat yang dia perlu siapkan? Apakah carta dan sisipan yang mesti disertakan? Berapa lama pembentangan itu nanti? Jelaskan apakah ukuran yang diinginkan.
7.Bincangkan tarikh akhir. Pernahkah anda menerima tugasan tanpa diberitahu bilakah tarikh akhirnya? Jika pernah, sudah tentu anda terfikir bahawa tugasan itu kurang penting bukan? Tarikh akhir akan mempengaruhi prioriti seseorang itu. Setiap kali anda menyerahkan tugasan, pastikan ada tarikh akhir. Berbincanglah dengan dia dan raikan pendapat dia dalam hal ini.
8.Galakkan soalan. Setelah selesai menerangkan semua yang berkaitan dengan tugasan tersebut, galakkan dia agar menanyakan soalan yang belum disuarakan. Jika tiada, buatlah pemeriksaan menyeluruh tentang tugasan yang baru sahaja diserahkan itu. Suruh dia menyimpulkan apa yang dia faham tentang tugasan itu secara keseluruhannya.
9.Pujian / Cadang pembaikan. Jika anda sudah berjaya mengagihkan tugasan dengan baik, ucapkan tahniah pada diri anda kerana berjaya melakukannya. Dalam masa yang sama, berilah sanjungan dan ganjaran (jika ada) kepada rakan anda yang melaksanakan tugasan tersebut. Kejayaannya melaksanakan tugasan tidak akan memudarkan anda, bahkan anda akan menjadi lebih ‘menyinar’ lagi.
Langkah-langkah di atas perlu dilakukan secara teratur dan satu persatu. Mungkin pada peringkat awal anda memerlukan senarai semakan setiap kali mengagihkan tugasan. Masukkan kesembilan-sembilan langkah di atas dalam senarai tersebut. Tandakan setiap kali anda selesai melakukannya. Lama-kelamaan, anda akan semakin cekap dan mahir dalam langkah-langkah ini.
9 Petua Mengagihkan Tugasan
Sebentar tadi anda sudah tahu apakah langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mengagihkan tugasan. Mungkin anda pernah cuba untuk mengagihkan kerja kepada rakan yang lain, tetapi setiap kali anda cuba melakukannya, ianya pasti gagal. Ada rakan yang menolak, ada yang buat tak tahu, bahkan ada yang marah-marah kepadanya. Mungkin sembilan petua di bawah ini boleh membantu anda:
1.Hubungan mata: Pastikan anda mengekalkan hubungan mata yang mesra dan bertanggungjawab. Jangan sekali-kali menundukkan pandangan seperti anda rasa bersalah, atau memejamkan mata seperti anda tidak yakin, atau apa-apa tabiat pandangan yang tidak sihat.
2.Respek: Layanilah mereka dengan rasa hormat dan penghargaan
3.Dengar: Teliti apa yang diperkatakan oleh mereka, samada idea, luahan, atau apa-apa jua komennya. Anda sepatutnya berhati-hati semasa mendengar seperti anda berhati-hati semasa bercakap.
4. Susun: Susun apakah yang hendak diperkatakan. Cakap hentam semberono sahaja.
5.Jangan menjangka: Usah memikirkan perkara yang bukan-bukan seperti anda akan diejek, dimarah, diperlekehkan dan sebagainya.
6.Galakkan soalan: Setelah menjelaskan tugasan, bukalah ruang seluas-luasnya untuk orang lain bertanya jika ada sebarang kemusykilan.
7.Minta pandangan: Anda juga perlulah meminta pandangan daripada mereka. Dengan ini secara tidak langsung anda akan dapat mengetahui status mereka dan juga dapat meningkatkan minat mereka terhadap tugasan tersebut.
8.Jangan bercakap ketika marah: Lebih baik diam. Jika anda terpaksa bercakap, tanyalah soalan, jangan beri apa-apa penjelasan.
9.Pandai ‘merenjis air mawar’. Ia adalah kuasa pujian dan penghargaan. Apa salahnya untuk berterima kasih dan mengenang jasa mereka yang telah membantu anda bukan?
Sekarang sepatutnya anda sudah boleh mengagihkan tugasan yang bukan ‘milik’ anda. Semak kembali senarai tugasan anda, dan tentukan kerja-kerja yang sepatutnya boleh diagihkan kepada rakan-rakan anda yang lain. Fahami sembilan langkah mengagihkan tugasan, dan mahirkan diri anda dengan sembilan petua mengagihkan tugasan. Semoga anda tidak lagi terbeban dengan kerja-kerja orang lain lagi selepas ini!
Penulis adalah konsultan pembinaan insan dan pengarah urusan Pusat Latihan Resipi Kejayaan (SURETEC). Beliau juga pengasas dan penaung kepada laman web kejayaan http://resipikejayaan.com/
Ada sesetengah pelajar yang bimbangkan prestasi pelajarannya yang merosot. Atau mungkin ada yang risau kalau-kalau prestasi akademiknya tidak meningkat. Sudah menjadi fitrah remaja di alam pengajian, mereka ingin mendapatkan keputusan yang baik dan cemerlang. Tetapi persoalannya, bagaimana?
Salah satu cara untuk meningkatkan prestasi pelajaran anda ialah dengan meningkatkan produktiviti belajar saudara. Ada orang yang belajar satu jam sehari sudah cukup, tetapi ada orang yang mengadap buku sehingga tiga jam, tetapi hanya faham satu muka surat sahaja! Kenapa? Kerana pembelajaran mereka tidak menghasilkan produktiviti yang sepatutnya.
Oleh yang demikian, jika anda ingin meningkatkan prestasi akademik, anda juga perlu meningkatkan produktiviti belajar anda. Di bawah ini, ada lima belas tip panduan segera yang boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan produktiviti pembelajaran anda:
-
Duduk, Tulis dan Atur (DTA). Ambil kertas, dan senaraikan apakah perkara yang perlu anda lakukan. Ia termasuk kerja rumah, latihan tubi, mengulangkaji pelajaran, persiapan untuk ke kelas, menyiapkan kerja kursus, latihan bola tampar, menolong ibu atau bapa, menemani adik ke pekan, dan apa sahaja. Jangan biarkan tugasan-tugasan itu berserabut di dalam kepala anda. ‘Keluarkan’ ia dengan menulis di atas kertas. Ini yang paling awal perlu anda lakukan.
-
Tentukan prioriti setiap tugasan yang telah disenaraikan. Yang utama diutamakan. Ambil kira faktor tanggungjawab, jangka masa, dan matlamat hidup anda dalam menentukan prioriti. Apakah matapelajaran yang paling sukar dan lemah? Apakah matapelajaran yang sudah hampir dengan ujian? Apakah matapelajaran yang mesti saya ‘sasarkan’ sesuai dengan cita-cita saya untuk menjadi doktor? Adakah saya seorang pemain utama pasukan bola tampar atau hanya sebagai pemain simpanan? Semua ini perlu diambil kira oleh anda untuk menyusun yang paling penting dan diutamakan.
-
Duduk, Fikir dan Perincikan (DFP). Sebelum memulakan langkah anda, fikirlah langkah-langkah dan proses untuk menjayakan kerja anda itu. Dengan melakukan DFP, anda boleh mengenalpasti apakah sebenarnya perkara yang anda perlu buat. DFP akan menambahkan minat anda untuk terus bekerja dan bekerja. Contohnya, anda perlu menyiapkan kerja kursus untuk Sejarah. Untuk melakukannya, beberapa interview perlu dibuat, ia juga perlu ditaip, dicetak, dijilidkan dan dihantar kepada guru pemerhati. Rancanglah yang mana dahulu dan buatlah mengikut kesesuaian dan kemampuan anda.
-
Kemaskini senarai tersebut sentiasa. Ini kerana prioriti sentiasa berubah mengikut keadaan dan masa. Dapatkan semua maklumat yang perlu berkaitan dengan tugasan anda dari semasa ke semasa. Adakah cikgu telah memberikan kerja rumah yang baru? Betulkaj latihan kriket petang ini dibatalkan? Kelas tambahan ditangguhkan satu jam? Semua ini akan mengubah bentuk senarai DTA-DFP anda. Oleh itu, pastikan bahawa anda sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekitar anda. Sentiasa bermaklumat!
-
Cipta kepelbagaian dalam pembelajaran. Untuk mengelakkan kebosanan, anda perlukan langkah ini. Jangan terbelenggu dengan kaedah yang sama dalam bekerja. Contohnya, selain daripada membaca dan membuat nota, anda boleh melakukan latihtubi serta belajar dalam kumpulan. Selain daripada mengulangkaji di meja belajar, mungkin sekali-sekala anda boleh ‘berubah angin’ untuk mengulangkaji di halaman rumah atau di anjung. Tapi jangan diamalkan selalu, cukup sekadar untuk menghilangkan kebosanan sahaja.
-
Sentiasa di atas landasan. Jangan tergelincir, kerana buruk akibatnya. Anda boleh menulis matlamat dan sasaran belajar anda di atas sebuah kad dengan besar serta jelas, dan letakkan pada tempat yang mudah untuk dilihat. Manusia ini pelupa, dan perlu diperingatkan sentiasa. Jika perlu, bawalah ‘kad matlamat’ anda ke mana-mana anda pergi. Setiap kali anda berasa malas untuk belajar, bukalah kad tersebut dan lihat sasaran pelajaran anda. Adakah anda sudah bersedia untuk sasaran itu? Jika belum, berusahalah sekarang!
-
Asah parang setiap masa. Ada banyak ‘parang-parang’ yang perlu dalam proses belajar dan menjadi seorang yang cemerlang. Kemahiran mengulangkaji, kemahiran membuat nota, membaca secara aktif dan pantas, memotivasi diri, kemahiran mengingat, kemahiran memjawab soalan, menghadapi peperiksaan, mengendalikan stress, kemahiran berkomunikasi, kepemimpinan, personaliti, dan banyak lagi. Belajar kemahiran-kemahiran ini dan asahlah selalu. Pastikan ianya tidak ‘tumpul’; kalau tidak susah anda nanti.
-
Sedar apakah faedah dan harga ulangkaji itu. Adakah ia benar-benar perlu? Berbaloi atau tidak? Adakah cara ulangkaji lain yang lebih mudah dan berkesan? Setelah anda benar-benar menyedari betapa pentingnya untuk anda belajar dan mengulangkaji, maka anda tidak akan berasa lemah serta acuh tidak acuh. Anda akan melakukan sebaik mungkin untuk tidak membuang masa. Dalam masa yang sam juga, anda akan meninggalkan perkara yang tidak menguntungkan. Anda tahu yang mana penting dan yang mana tidak. Jangan membazirkan masa, tenaga, wang dan komitmen anda untuk sesuatu yang boleh ditinggalkan. Tumpukan kepada yang utama.
-
Sentiasa sediakan ‘ulangkaji anjal’ dari semasa ke semasa. Ulangkaji anjal ialah tugasan yang boleh dibuat di mana-mana, tidak kira bila masanya. Contohnya seperti menghafal formula-formula ringkas, mengingati beberapa isi dalam nota poket anda, dan banyak lagi. Ulangkaji seperti ini boleh dilakukan walaupun bukan semasa temph ulangkaji. Contohnya, seperti ketika anda sedang dalam perjalanan, atau sedang menunggu bas, atau sedang menantikan kawan anda untuk ke pekan bersama-sama. Buatlah senarai ulangkaji anjal yang boleh anda lakukan dalam sehari, dan rujuklah ia dari semasa ke semasa.
-
Gunakan tarikh akhir peribadi. Jangan bergantung kepada tarikh akhir yang diberikan oleh guru anda semata-mata. Anda lebih arif tentang masa anda, jadi kenapa tidak tentukan sendiri tarikh akhir anda sendiri. Kalau guru menyuruh anda menghantar kerja kursus itu minggu hadapan, anda buatlah tarikh akhir anda mengikut kemampuan diri anda sendiri. Jika anda boleh menyiapkannya lusa, kenapa tidak anda siapkannya lusa? Dengan berbuat demikian, anda tidak lagi berkejar-kejar setiap kali tarikh akhir sudah hampir.Anda juga tidak akan menangguh-nangguhkan kerja. Dengan sendiri anda boleh mengelakkan daripada membuat sesuatu yang tidak berfaedah; kerana anda mempunyai tarikh akhir anda sendiri.
-
Yang paling berbaloi diutamakan. Ia untuk kebaikan anda juga. Berbaloi boleh jadi dari aspek matapelajaran penting, yang mana lemah, yang diminati, dan aspek-aspek lain. Bahkan aspek pahala juga mesti dipertimbangkan. Jangan semata-mata berpuas hati dengan ‘mengulangkaji pelajaran’, tetapi sebenarnya tiada apa yang anda perolehi daripada tempoh tersebut. Kalau adapun, ia tidak berbaloi dengan masa yang anda peruntukkan. Oleh itu, sebelum anda duduk mengulangkaji, tanyalah kepada diri sendiri; Adakah ini yang paling berbaloi?.
-
Elakkan daripada timbunan kerja. Ia berlaku jika anda hanya tahu menangguhkan kerja sahaja. Kerja rumah semalam ditangguhkan esok, yang minggu ini ditangguhkan ke minggu hadapan. Akhir sekali, semakin banyak kerja-kerja yang mesti dibuat. Bukan tidak boleh menangguhkan kerja, tetapi jika anda menjadikan ia untuk ‘melarikan diri’, anda akan ‘lemas’ dalam timbunan kerja yang ditangguhkan. Jika ini berlaku, cepat-cepatlah atasi dari sekarang!
-
Jangan menjadi ahli sempurna. Jika anda inginkan semuanya sempurna dan tersusun, anda akan menghabiskan banyak masa untuk hasil yang tidak seberapa. Kadangkala anda banyak menghabiskan masa untuk perkara yang tidak penting; semata-mata untuk menjadikannya sempurna. Anda menghabiskan berpuluh minit hanya untuk mengemas meja; padahal baru sahaja belajar beberapa ketika. Anda bertungkus lumus untuk memperbetulkan bungkusan buku teks, padahal ia masih lagi elok. Akhir sekali, anda menghabiskan banyak masa dan usaha hanya untuk memastikan ianya ‘sempurna’. Padahal hasilnya tidaklah seberapa.
-
Jika terlalu sukar, berilah masa menyelesaikannya. Ada banyak benda yang boleh diselesaikan dengan memberikan sedikit masa. Ia adalah satu contoh penangguhan yang positif. Contohnya, anda tidak faham satu konsep dalam ulangkaji. Sudah beberapa kali membaca tetapi masih tidak faham. Dalam situasi sebegini, tinggalkanlah ia buat sementara. Tandakan di bahagian tepi, dan teruskan membaca bahagian lain. Berilah sedikit masa untuk otak berfikir tentangnya. Jika masih tak dapat, bertanyalah kepada guru dan rakan anda.
-
Ingat ‘Prinsip Keberkatan’. Dalam ajaran Islam, faktor keberkatan juga penting dalam pembelajaran. Keberkatan mempengaruhi hasil dan faedah yang anda perolehi daripada waktu belajar anda. Adakala orang memperuntukkan masa 2 jam untuk ulangkaji yang boleh dibuat dalam masa 30 minit. Ada pula kerja kursus setebal 200 mukasurat ditolak oleh guru, sedangkan yang setebal 50 mukasurat dipuji dan dijadikan contoh. Ada orang yang tidak banyak peralatan belajar tetapi berjaya, dan ada orang yang mempunyai semua kelengkapan tetapi masih gagal. Kenapa? Mungkin faktor keberkatan boleh menjelaskannya.
Renungkanlah kesemua tips panduan di atas. Mampukah anda mempertingkatkan produktiviti belajar anda selepas ini? Cubalah satu persatu, jadikannya sebagai satu senarai harian untuk anda amalkan secara beransur-ansur. Tetapkan sasaran peningkatan dari sehari ke sehari. Kemudian, buat analisa pelajaran anda setiap kali tiba hujung bulan. Insya Allah, jika anda melakukannya dengan betul, tidak lama lagi, anda akan dapat melihat peningkatan dalam akademik anda. Cubalah!
Penulis adalah konsultan pembinaan insan dan pengarah urusan Pusat Latihan Resipi Kejayaan (SURETEC). Beliau juga pengasas dan penaung kepada laman web kejayaan http://resipikejayaan.com/
Skema dalam Pemahaman Teks
Skema sering dikatkan dengan proses membaca bagi tujuan pemahaman (Marohaini Yusuf, 1999). Dengan mengaitkan skema dengan maklumat baru yang terdapat dalam teks, seseorang dapat memahami sesuatu perkara, mereka perlu mengisi kekosongan slot maklumat yang terdapat dalam mindanya dengan menggunakan set skema yang lain.
Apabila pengalaman yang ada tidak dapat membantu memahami maklumat sedia ada, pembaca mengalami masalah ketika berhadapan dengan maklumat baru pada masa akan datang. Apabila skema yang sesuai gagal diwujudkan ketika pembaca berusaha memahami teks, sesetengah pengalaman yang baru tidak dapat diwujudkan ketika itu. Keadaan ini menyukarkan pemahaman pembaca.
Oleh yang demikian, pembaca perlu menggunakan pengetahuan sedia ada dan dapat memperluaskan lagi idea yang disampaikan oleh penulis. Adalah penting pembaca perlu mengaitkan bahan tekstual dengan pengetahuan dan pengalamannya. Ini kerana membaca bagi tujuan pemahaman melibatkan bukan hanya yang terdapat dalam teks, tetapi juga pengetahuan yang pembaca miliki. Ini bermakna, bagi tujuan memahami perkataan, ayat dan wacana melibatkan tidak hanya kemampuan aatau pengetahuan linguistik semata-mata, tetapi juga meliputi pengetahuan dunia luas.
Dalam hal ini, pembaca yang baik adalah mereka yang dapat mengaktifkan skema melalui kedua-dua proses iaitu proses 'Bawah-Ke-Atas' dan 'Atas-Ke-Bawah'. Proses 'Bawah-Ke-Atas' dimulai dengan pengenalan huruf beralih kepada mengenal pasti perkataan, struktur sintaksis dan semantik. Manakala proses 'Atas-Ke-Bawah' pula bermula dengan pengetahuan pembaca ke atas bahasa dan pandangan dunianya, serta bertujuan menguji hipotesis tertentu yang berlawanan dengan teks.
Bacalah buku Mengajar Membaca untuk mendapat lebih gambaran bagaimana untuk memahami sesuatu bahan bacaan-editor.