Artikel

Travelog Haji Berwajah Baru: Rakaman Ceramah Tambah Maklumat

oleh Roziyah pada 25 Oct 2010

Travelog Haji kini diterbitkan dengan edisi terbaru yang menampilkan penambahan isi yang memberi lebih banyak maklumat dan memberi keinsafan kepada pembaca.

Buku yang ditulis oleh Prof. Dr Muhd Kamil ini mengisahkan tentang pengalaman dan catatan beliau berkait dengan ibadat haji yang dilaluinya sebelum ini.

“Ia catatan daripada seorang manusia yang kurang ilmu namun diberi hidayah daripada Allah,” jelas Prof. Dr Muhd Kamil.

Beliau yang juga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor berkata tidak terfikir langsung akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.

“Saya tidak mahu pergi haji kerana saya rasa jahil. Membaca al-Quran dan doa-doa dalam bahasa arab pun tidak pandai, apalagi mengenal huruf jawi. Saya berasakan diri saya jahil, seorang yang fakir dan amat hina pada pandangan Allah. Tetapi dengan izin, Allah menggerakkan hati saya untuk menunaikan haji setelah isteri saya berdoa selama enam tahun,” jelas Prof. Dr. Muhd Kamil.

Beliau berkata, masih ramai di kalangan masyarakat hari ini yang beranggapan sukar untuk menjadi insan yang lebih patuh kepada Pencipta mereka.

Autobiografi hijrah sepanjang 249 muka surat ini menceritakan detik-detik beliau menemui kasih sayang dan mengenali sifat Rahim Allah.

Menurut Editor Senior PTS Islamika Sdn Bhd, Tuan Imran Azmi, buku Travelog Haji edisi baru ini bukan sekadar buku haji biasa.

“Buku Travelog Haji ini merupakan buku penuh penghayatan tentang ibadah haji. Ia menceritakan pengembaraan haji penuh keinsafan,” jelas Tuan Imran.

Lebih menarik apabila buku Travelog Haji edisi kemas kini ini menampilkan rakaman audio ceramah Prof. Dr Muhd Kamil.

Selain itu, Travelog Haji edisi baru ini disertakan dengan penambahan gambar berwarna serta aktiviti penulis selepas pulang dari tanah suci.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024