Artikel

Tafsir Al-Quran Secara Ekstremis, ISIS Beri Tanggapan Buruk Kepada ISLAM

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 26 Sep 2016

Keamanan adalah keadaan yang aman, kesentosaan, ketenangan, dan ketenteraman. Namun, maknanya kini hanya tinggal di atas kertas semata-mata.

Saban hari, siaran berita banyak terarah kepada pembunuhan, pemerkosaan hak, dan saling menuding jari bagi menolak tanggungjawab mencetuskan huru-hara.

Bermula dengan peristiwa 11 September 2001 sehingga kemunculan ISIS, nampaknya Islamophobia masih belum dapat kita tangani dengan baik. Ini menjadikan tekanan terhadap umat Islam terutama di sekitar Timur Tengah semakin menjadi-jadi.

Sekarang, muncul pula satu ketakutan kepada ideologi ISIS, Islamic State of Iraq and Syria. Golongan ini dikatakan muncul selepas tentera Amerika Syarikat (AS) menduduki Iraq pada tahun 2003.

Gerakan ini pada mulanya menentang penjajahan AS, namun akhirnya terheret untuk bertempur dengan golongan Syiah yang menguasai Iraq hasil pemberian AS.

Malangnya, kumpulan ini terkenal dengan ideologi ekstrem. Mereka mengkafirkan kumpulan-kumpulan yang tidak sehaluan, termasuklah orang awam, para pejuang Sunni yang lain, dan para pimpinan serta anggota Parti Islam Iraq.

Dr. Maszlee Malik

Dr.Maszlee Malik dalam buku terbarunya bersama beberapa penulis lain, ISIS turut mendedahkan situasi sama yang berlaku di Syria. Kumpulan ini bukan sahaja berperang dengan tentera Basyar Al-Asad, malah turut menyerang pejuang Syria lain yang menentang Al-Asad.

ISIS

Buku terbaru, ISIS baru sahaja diterbitkan oleh PTS Publishing House Sdn. Bhd. adalah buku yang diketuai oleh Dr. Maszlee Malik dan beberapa penulis lain iaitu, Dr. Mohd Afandi Salleh, Ar. Hj. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf, Jufitri Joha, Prof. Madya Dr. Mohd Basri Ibrahim, Dr. Abdul Basit Abdul Rahman Fikri CH, Prof. Madya Dato Mohd Asri Zainul Abidin.

Ia membincangkan secara tuntas berkenaan persoalan utama, siapa ISIS, siapa pula Daesh?, Apa beza antara ISIL dengan IS?, Siapa paling untung daripada kewujudan ISIS?, Sekiranya ISIS ini Islam, kenapa ISIS sanggup membunuh orang Islam juga?, dan banyak lagi akan menjawab persoalan anda.

Mereka yang terlibat dengan jihad ISIS ini nampaknya cuba untuk menegakkan Islam, namun apa yang malang adalah segala matlamat dan ibadat mereka yang murni dikotori dan menjadi tidak bererti dengan sikap ekstrem mereka, sehingga menghalalkan darah sesama Muslim.

Mengapakah hal ini berlaku?

Ia disebabkan penafsiran teks-teks klasik kepada realiti tanpa melihat kepada konteks sosio-budaya dan realiti zaman. Isu ini kian rumit apabila mereka tidak mengikuti pandangan ulama yang muktabar.

Oleh itu, kita disarankan untuk memahami Al-Quran pada surah Al-Baqarah ayat 190 ini agar terhindar daripada kekecohan dalam masyarakat.

“Dan perangilah pada jalan Allah, orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) jangan kamu melampaui batas, kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024