Artikel dipetik daripada Harian Metro yang disiarkan pada 5 september 2010
PERLU ada strategi dalam membangunkan perniagaan dan memastikan ia berkembang maju, selain tidak goyah ketika dilanda krisis ekonomi.
Memulakan perniagaan kira-kira 10 tahun lalu ketika ekonomi negara gawat, Ainon Mohd, 60, kini mampu berbangga dengan kejayaannya menjadikan PTS syarikat penerbitan buku berdaya maju.
Pengerusi Kumpulan PTS (PTS) itu berjaya menukar rentak pasaran di kedai buku masa kini daripada penjualan buku Bahasa Inggeris kepada buku Bahasa Melayu.
Beliau yang kini memiliki tiga unit bangunan tiga tingkat menempatkan pejabat dan gudang buku di Batu Caves, Selangor serta dalam proses membeli satu unit lagi, turut melabur RM300,000 untuk membeli sistem menguruskan perniagaan berkenaan. Selain itu, sebanyak RM300,000 lagi dilaburkan untuk memantapkan sistem pengurusan gudang.
"Perlu ada keyakinan, kuat bekerja dan melakukan kerja dengan baik. Apabila berlaku krisis ekonomi, tidak dinafikan buku akan menerima tempiasnya kerana ia bukan barang wajib beli seperti beras dan minyak masak.
"Apabila gawat, kami menge luarkan buku yang harganya murah. Tingkah laku pembeli buku, mereka akan tetap membeli buku ketika krisis kewangan walaupun buku yang murah kerana membaca menjadi tabiat mereka.
“Penjualan buku murah ketika gawat dapat membantu membayar gaji pekerja dan hutang bank. Selain itu, kami mengikat perut iaitu tidak melakukan pengubahsuaian pejabat, kerja luar daerah dan hari keluarga,” katanya.
Ainon berkata, ibu bapa juga tidak akan memotong peruntukan membeli buku untuk anak mereka tetapi beralih membeli buku lebih murah.
Dunia buku sememang nya sebati dalam diri wanita kelahiran Banting ini. Minatnya membaca tersemai sejak di bangku sekolah apabila abangnya yang bertugas sebagai guru sering membawa majalah yang selesai dibaca ke kampung.
Kesukaran mendapatkan bahan bacaan, apatah lagi buku ilmiah, menyebabkan majalah dibawa abangnya dimanfaatkan sepenuhnya sebagai bahan bacaan.
“Kerajaan mengadakan dana khas untuk penerbit drama dan filem, tetapi dana untuk penerbit buku tiada. Saya berharap kerajaan dapat memperuntukkan dana serupa kepada penerbit buku kerana industri buku sangat penting untuk kemajuan negara.
“Peminat buku memang ada walaupun teknologi semakin berkembang. Ia sama seperti situasi yang berlaku satu masa dulu apabila ada televisyen, orang menyangka radio akan ‘mati’ tetapi radio tetap ‘hidup’.
“Apabila orang boleh menonton perlawanan bola sepak di televisyen, kita menjangka stadium akan ditutup, tetapi keadaan itu tidak berlaku.
Mereka yang tidak puas menonton di televisyen tetap ke stadium kerana pengalaman menyaksikan sendiri lebih menarik.
“Begitu juga dengan buku yang ada peminat tersendiri dan tetap menjadi sumber ilmu dan maklumat walaupun semakin banyak cara lain untuk memperolehnya,” katanya.