_(custom)-220x160.jpg)
Buku sememangnya pemberian menarik yang mampu memberi manfaat kepada pembaca. Namun, tidak ramai yang memikirkan buku sebagai bentuk sumbangan berbanding barangan keperluan harian.
Pelancaran Program Wakaf Buku PTS 2010 yang dilancarkan baru-baru ini, bukan saja bertujuan menggalakkan masyarakat Malaysia beramal dengan cara mewakafkan buku, malah memberi peluang lebih ramai membaca tanpa mengira status sosial.
Menariknya, buku yang dibeli bagi tujuan wakaf ini diberi diskaun 25 peratus manakala kos penghantaran ke mana-mana institusi di Malaysia adalah percuma.
Program yang bermula dari 17 Ogos hingga 31 Disember 2010 ini membolehkan individu yang ingin mewakafkan buku memilih untuk menentukan sendiri penerima wakaf.
Individu yang berminat boleh memilih institusi dan tempat seperti masjid, perpustakaan awam, perpustakaan sekolah, sudut bacaan pejabat, rumah anak yatim atau tempat lain yang dirasakan sesuai sebagai penerima wakaf.
Institusi atau organisasi penerima wakaf terhad di Malaysia sahaja. Sekiranya pewakaf masih tiada pilihan penerima wakaf, mereka boleh menyerahkan kepada PTS bagi memilih dan menentukan penerima wakaf buku mereka.
Bagi buku yang diwakafkan dan diserahkan kepada PTS sebelum 1 September 2010, kakitangan PTS akan menghantar sendiri buku yang diwakafkan kepada institusi atau organisasi penerima wakaf buku yang ditentukan PTS melalui program Infaq Ramadan.
Program Infaq Ramadan PTS adalah program amal tahunan kakitangan PTS sepanjang Ramadan.
Selepas 1 Setember ini, buku yang diwakafkan dan diserahkan kepada PTS akan diserahkan kepada badan bukan kerajaan, Islamic Relief Malaysia. Pertubuhan berkenaan akan memilih dan menghantar buku wakaf kepada institusi bersesuaian sebagai penerima wakaf buku.
Individu yang berminat untuk mewakafkan buku boleh melayari http://www.bookcafe.com.my/my/senarai-wakaf-ramadan-2010-my/ bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek berkenaan.
Selain itu, boleh layari http://www.pts.com.my ataupun e-mail ke .(JavaScript must be enabled to view this email address).
Artikel dipetik daripada akhbar harian Metro pada Selasa, 24 Ogos 2010