Dunia Buku Berita Harian Online: Punya Cinta Ramadan

oleh Roziyah Mahamad • 03 Sep 2010 10:16 AM

Petikan daripada http://www.bharian.com.my/ Oleh Nazmi Yaakub

 

 Punya Cinta Ramadan karya Ibnu Ahmad Al-Kurauwi tidak setebal novel Imam oleh Sasterawan Negara (SN), Abdullah Hussin tetapi persoalan dakwah Islam melalui ilmu dan semangat imam muda yang diungkapkan pengarang tidak boleh diukur oleh ketebalan novelnya.

Ibnu Ahmad Al-Kurauwi benar-benar menterjemahkan kesempurnaan manusia pada watak utamanya, Ismi Ramadan Syawal atau Ramadan dalam meniupkan nafas pembaharuan dalam mengubah kekangan tradisi amalan yang bersifat ikut-ikutan di Surau Darus Saadah berlatarkan bulan Ramadan.

Pengarang tidak meninggalkan Ramadan bersendirian untuk membawa tugas besar sebagai imam muda yang hafiz al-Quran, sebaliknya beliau mencampakkan guru mursyid melalui watak Ustaz Baihaqi dan rakan seperjuangan seperti Zulhilmi dan Syafiq kerana secara realiti urusan dakwah tidak mungkin dibebankan pada satu pundak saja. 

Malah tanpa watak pendukung itu, Ramadan yang kematian ayahnya itu tidak mungkin dapat keluar daripada kongkongan stereotaip terhadap watak imam yang hanya berperanan dalam lingkungan masjid tetapi seolah-olah dipisahkan daripada urus tadbir masyarakatnya. 

Persoalan agama yang dilontarkan pengarang melalui tajdid atau pembaharuan yang dibawa Ramadan benar-benar diambil daripada situasi sebenar dalam masyarakat seperti bilangan rakaat solat tarawih dan pembacaan surah dalam solat itu, penyampaian tazkirah, solat dua imam dalam satu kariah, percampuran jemaah kanak-kanak dengan dewasa serta pembabitan remaja dalam urus tadbir masjid. 

Tidak lupa, perencah cinta turut ditaburkan dalam novel ini melalui kehadiran watak anak kepada Ustaz Baihaqi, iaitu Insyirah tetapi perencah itu hampir-hampir tidak terasa kerana ia dikawal dengan baik oleh pengarang yang bergerak atas landasan syariat Islam. 


Bagi sisi antagonis pula, watak imam tua, Haji Abdullah; imam muda tahfiz, Amar dan pelajar Universiti al-Azhar, Harith pula dihadirkan untuk mencabar Ramadan baik dalam konteks kedegilan mengekalkan status quo, keculasan beriltizam dalam perjuangan atau keghairahan mendapatkan status yang melengkapkan pusingan ujian pendakwah.

Bagaimanapun di sini wujud perbezaan antara Punya Cinta Ramadan dengan Imam yang barangkali meletakkan novel ini pada tahap novel remaja apabila peleraian kepada konflik antara Ramadan dengan Haji Abdullah, Amar dan Harith diselesaikan secara mudah serta ada kalanya ia hampir-hampir tidak kelihatan atau dengan menyerahkannya kepada takdir. 

Meskipun pertentangan antara protagonis dengan tiga antagonis membabitkan konflik kemasyarakatan yang sederhana sifatnya, keinsafan tiga watak itu sewajarnya meyakinkan pembaca dengan insiden yang benar-benar menyuntik penyesalan. 

Pengarang juga tampak tergesa-gesa mengemukakan penyelesaian apabila menggunakan teknik ‘due ex machina’, iaitu peleraian kepada konflik yang rumit dalam plot dengan insiden yang bersifat tiba-tiba dan tanpa diduga, sekali gus mengurangkan impak terhadap kesan yang bakal diterima pembaca. 

Ada beberapa ketika kita seolah-olah merasakan watak Ramadan lebih matang berbanding usianya tetapi perwatakan itu mengalami perkembangan yang sejajar dengan nasihat dan tunjuk ajar daripada guru mursyidnya tetapi beberapa watak pula tidak diberikan pertimbangan yang sewajarnya seperti ibunya, Rafiah yang agak tenggelam; Pengerusi Surau Darul Saadah yang kurang memainkan peranan atau Harith yang terlalu berlebih-lebihan sifat negatif yang tidak kena dengan latar pengajiannya. 

Namun, novel setebal 243 halaman terbitan PTS Litera Utama Sdn Bhd berharga RM16 senaskhah ini, adalah landasan yang baik untuk memahami konsep imam yang sebenar dalam masyarakat dan peranan golongan berpendidikan Islam termasuk hafiz, selain menyentakkan pemikiran pembaca terhadap maksud pensyariatan dalam Islam. 

 

INFO: Punya Cinta Ramadan 
Pengarang: Ibnu Ahmad Al-Kurauwi 
Tebal: 243 halaman 
Terbitan: PTS Litera Utama Sdn Bhd 
Harga: RM16 
Bintang: ***** (5 bintang) 

Info Penulis: Ustaz pilih penulisan kreatif 

AZMAN Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ibnu Ahmad al-Kurauwi yang dilahirkan di Kuala Kurau, Bagan Serai, Perak pada 21 Januari 1974 ini, tetapi dibesarkan di tanah rancangan FELDA, Triang, Pahang serta berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Bahasa dan Kesusasteraan Arab dari Universiti Mu’tah, Jordan. 

Beliau mula berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 2001 dan pernah dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai Khas Kepada Ketua Pengarah DBP serta kini bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera. 

Azman sering dijemput untuk membentangkan kertas kerja mengenai perbandingan Sistem Ejaan Jawi Za’aba dengan Jawi yang Disempurnakan, selain mengenai perkembangan dan hala tuju jawi.

Beliau menghasilkan novel Tinta Elipsis yang mengangkat anak peneroka FELDA dan berlatarkan pengajian Bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan sebelum menghasilkan novel Insyirah yang turut memenangi tempat pertama dalam Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007. 

Cerpennya tersiar di akhbar Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, selain turut diterbitkan di Dewan Sastera, Tunas Cipta, Pelita Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Kosmik, Dewan Bahasa, Al-Islam, I, Nur, Mingguan Wanita, Dara.com, Remaja, Seri Dewi, Keluarga, Fokus, e@Siswa, URTV, Harmoni, Wanita, Anis, Milenia Muslim, Aniqah, Sinar Rohani serta Cahaya. 

Sebanyak 20 cerpen daripada karya ecerannya dihimpunkan dalam kumpulan cerpen Di Dadanya Kalam Tuhan selepas lima tahun beliau menyertai Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) pada September 2004. 
Azman pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004 lewat cerpennya Memintas al-Qadar, selain meraih tempat kedua Pertandingan Menulis Esei sempena Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni 2005. 

Berikan komen anda:



Artikel terkini
Artikel popular
Berita terkini