"Sudah lama kita berjalan, apa kata kita berehat sebentar di sini?" kata Karameswara kepada Putera Amir Arsalan sebaik sahaja mereka tiba di kaki gunung.
Putera Amir Arsalan mengangguk tanda bersetuju. Mereka duduk bersandar di bawah sebatang pokok. Tiba-tiba kedengaran bunyi salakan dan derap kaki berlari menuju ke arah mereka. Kelihatan seekor anjing sedang berlari laju seolah-olah mahu menerkam mereka.
"Awas, Amir Arsalan! Anjing itu mahu menerkam kita!" Sebaik sahaja tiba di hadapan Karameswara dan Putera Amir Arsalan, anjing itu terus melompat tinggi.
"Tunduk, Karameswara! Tunduk!" Lompatan anjing itu melepasi mereka berdua. Namun, anjing itu tidak berpatah balik sebaliknya terus berlari tanpa memperdulikan mereka.
Kemudian, muncul pula seekor pelanduk putih mengejar anjing tadi dan terus menerkamnya. Pelanduk putih itu kemudiannya menerajang anjing itu sehingga anjing itu jatuh ke dalam sungai.
Karameswara teruja melihat peristiwa luar biasa yang berlaku di hadapan matanya lalu berkata, "Sungguh berani pelanduk putih itu sehingga anjing pun takut kepadanya. Tempat ini sungguh istimewa. Hamba mesti berikan nama kepada tempat ini!"
Dia kemudiannya berpaling ke arah Putera Amir Arsalan dan bertanya kepadanya, "Apakah nama pokok tempat kita bersandar tadi?"
Putera Amir Arsalan memandang ke atas lalu ternampak benda yang berjuntai-juntai di atas pokok itu. Dia berkata kepada Karameswara, "Kalau tidak silap saya, ini pokok petai."
Karameswara meletakkan kaki kanannya di atas tunggul kayu di hadapannya sambil bercekak pinggang seraya berkata, "Jika begitu, kita namakan tempat ini negeri Petai."
Nota: Petikan dari sebuah karya oleh Sdr. Haeqal.
Artikel dipetik daripada Universiti Terbuka PTS (UNIKA) Kelolaan Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd.